Sunday, April 12, 2020

ISC14


PENGHAYATAN AKHLAK


1.    PENDAHULUAN
Manusia adalah makhluk istimewa kerana keperibadiannya merupakan akhlak sedangkan persoalan akhlak merupakan salah satu dari tiga asas Islam selain dari akidah dan syariah. Akhlak tidak akan wujud dalam diri seseorang sekiranya ia tidak memiliki akidah dan syariah yang betul. Misi risalah Nabi Muhammad SAW adalah untuk menyempurnakan akhlak manusia. Sesebuah negara memerlukan rakyat yang berakhlak baik bagi membina kemajuan negara dan pada masa yang sama negara boleh musnah kerana akhlak rakyat yang buruk dan jahat.

2.    DEFINASI
Menurut Kamus Dewan, penghayatan menggambarkan proses menghayati atau mendalami, menjiwai sesuatu sama ada melalui penglihatan, pendengaran, pembacaan atau sebagainya. Melalui penghayatan, seseorang dapat merealisasikan sesuatu yang ditanggapinya dalam kehidupan sama ada secara individu mahupun masyarakat (Kamus Dewan 1994: 447). Akhlak dari perkataan khuluq yang bermaksud tingkah laku, tabiat, perbuatan, perangai dan membentuk peribadi. Imam al-Ghazali dalam Ihya Ulumuddin berkata akhlak adalah sifat yang tertanam dalam jiwa seseorang yang dengannya menghasilkan sesuatu perbuatan secara sepontan. Ibn Miskawayh menyatakan bahawa akhlak merupakan situasi kejiwaan yang mendorong seseorang insan melakukan perbuatan dengan senang tanpa berfikir dan perancangan rapi.
Allah SWT mencipta perasaan semulajadi ini dalam diri manusia sebagaimana maksud firman Allah surah al-Shams ayat 7; “Demi jiwa dan kesempurnaan ciptaannya, maka Allah mengilhamkan kepada jiwa itu kefasikan dan ketakwaan. Sesungguhnya telah berbahagia orang yang menyucikannya dan kecewa orang yang mengotorkannya”. Ayat ini menjelaskan betapa Allah telah menciptakan dalam diri manusia unsur baik dan unsur buruk (fasik), maka terpulang kepada manusia untuk memilih salah satu daripadanya. Rasulullah saw bersabda yang bermaksud, “Kamu tidak akan dapat menarik manusia dengan hartamu tetapi kamu tariklah mereka dengan tingkah laku yang baik.” Dalam hadith yang lain, baginda bersabda yang bermaksud, “Orang yang paling aku kasihi adalah mereka yang memiliki tingkahlaku yang terbaik dan orang yang akan mendapat perlindungan adalah meraka yang mengasihi dan dikasihi.” (Al-Tabarani).
Etika dalam bahasa Inggeris ialah ethics yang berpunca dari bahasa Greek, ethos yang bererti nilai-nilai atau perkara-perkara yang berkaitan dengan sikap. Moral didefinasikan sebagai tingkahlaku yang ditentukan oleh etika.
Di antara ciri-ciri akhlak Islam ialah;
o      Kebaikannya bersifat mutlak dan universal
o      Bersumber dari Allah
Akhlak Islam mempunyai skop yang luas, iaitu;
§  Akhlak dengan Allah; iaitu beriman kepada Allah dengan melakukan ibadah dengan mengabdi diri, tunduk, taat dan patuh. Sentiasa mengharapkan Allah dalam setiap usaha dan amalan.
§  Akhlak sesama manusia; iaitu melakukan perbuatan baik, memulia dan menghormati orang lain.
§  Akhlak kepada makhluk selain manusia; iaitu menghormati malaikat dan jin, binatang yang diternak hendaklah diberikan keperluan yang secukupnya manakala binatang yang digunakan untuk bekerja hendaklah tidak dibebani pekerjaan yang di luar kesanggupannya. Berakhlak dengan alam melalui usaha untuk memakmurkan sumber-sumber alam semulajadi.

3.    MENGAMALKAN SIFAT MAHMUDAH
Akhlak mahmudah ialah perbuatan terpuji menurut pandangan akal dan syariat Islam. Ia adalah sifat peribadi Rasulullah s.a.w. dan amalan utama penganut Islam yang sejati. Imam al-Ghazali menetapkan empat prinsip utama bagi melahirkan akhlak terpuji iaitu;
·      Hikmah (Kebijaksanaan) iaitu kekuatan akal yang membolehkan individu membezakan di antara perkara baik dan buruk. Sifat ini akan melahirkan baik hati, cerdik, bersangka baik dan pertimbangan baik.
·      Adil. Ia adalah kekuatan jiwa yang dapat meletakkan perasaan marah dan nafsunya mengikut kesesuaian keadaan berlandaskan pertimbangan akal dan syariat.
·      Berani (Syajaah). Ia adalah keupayaan diri mengawal perasaan marah. Pemarah, berani, bermujahadah dengan nafsu, menanggung penderitaan, lemah-lembut dan tetap pendirian.
·      Kesucian (Iffah). Ia adalah keupayaan diri mendidik keinginan nafsu syahwat agar tunduk kepada kemahuan akal dan syariat. Pemurah, rendah diri, memlihara penglihatan, malu, sabar, pemaaf, tolong-menolong, peramah dan kurang mengharap orang lain.
Apabila empat sifat ini wujud dalam diri manusia, barulah akan melahirkan sifat-sifat mahmudah yang lain. Jika sifat ini terhakis atau berlebihan dalam diri manusia akan melahirkan sifat yang keji pula. Hadith Rasulullah SAW; “Sebaik-baik perkara adalah bersederhana".

4.    BERPANDUKAN SYARIAH
Syariah Islam mengandungi sistem perundangan, sistem etika dan sistem nilai-nilai yang boleh digunakan untuk menyelesaikan masalah kehidupan. Syariah merangkumi semua aspek kehidupan manusia seperti hal ehwal peribadi, sosial, politik dan intelektual. Ia memberi makna dan isi kandungan kepada tingkah laku orang Islam dalam menjalankan kegiatan mereka di dunia. Skop syariah adalah seluas Islam sebagai al-Din. Skop yang cuba dijelaskan di sini ialah syariah sebagai peraturan Allah dalam konteks hubungan manusia dengan Allah dan hubungan manusia dengan makhluk (sesama manusia, dengan tumbuhan, binatang, jin dan alam seluruhnya). Perhubungan manusia dengan Allah merupakan ketaatan terhadap segala perintah dan larangan-Nya.
la direalisasikan dalam konteks ibadah khusus dan ibadah umum. Ibadah khusus seperti solat, puasa, zakat, haji, baca al-Quran, zikir dan seumpamanya. Ibadah umum pula ialah perlakuan atau tindak tanduk manusia ketika berhubungan dengan selain Allah iaitu sesama manusia, alam, haiwan, jin dan cakrawala. Semua perbuatan manusia akan menjadi amal salih apabila melalui syarat yang tertentu iaitu niat kerana Allah (ikhlas), perkara itu harus dari sudut syarak, tidak meninggalkan ibadat khusus dan memberi komitmen yang jitu. Perhubungan sesama manusia adalah ibadat umum seperti sosial, ekonomi, politik, perkahwinan, pendidikan, pengurusan, perniagaan, pembangunan, harta pusaka, jihad dan sebagainya. Segala bentuk interaksi ini perlu dilakukan menurut peraturan yang selari dengan syarak. Apabila syariah Allah dipraktikkan, Allah memberi jaminan manusia akan mencapai kebahagiaan hidup di dunia dan di akhirat.
Penguatkuasaan segala perintah dan larangan yang terdapat dalam syariat Islam tertakluk kepada hukum taklifi iaitu wajib, sunat, haram, harus dan makruh. Bagi menjamin pematuhan, undang-undang syariah tidak semata-mata bergantung pada hukum keduniaan, iaitu kekuatan pendapat orang ramai dan agensi penguatkuasaan undang-undang seperti pasukan polis, mahkamah dan penjara. Faktor pematuhan yang utama dalam kes syariah ialah kesedaran penganutnya akan kewujudan Allah dan sifat Allah yang Maha Melihat dan juga keyakinan bahawa semua perkataan dan perbuatan setiap individu dicatatkkan oleh malaikat yang mengiringinya. Di akhirat, semua manusia akan dibawa kehadapan Allah untuk disoal tentang amalannya.
Keyakinan dan kesedaran inilah yang membentuk hati nurani yang disedarkan dalam pemikiran manusia yang akan menyeru individu ke arah jalan yang benar dan membenci kejahatan. Walau bagaimanapun, ini tidak menghalang faedah penggunaan hukum atau sekatan-sekatan yang lain. Hati nurani manusia boleh dicemarkan oleh nafsu jahat yang boleh mengakibatkan keganasan dan keingkaran. Pada masa ini pengamalan akhlak mazmumah atau gejala keruntuhan akhlak seperti fitnah, rasuah, minum arak, seks bebas, salahguna dadah dan sebagainya mampu mempengaruhi individu dan masyarakat.
Tekanan sosial juga boleh memainkan peranan sebagai pencegah yang berkesan dan ketakutan terhadap hukum perundangan boleh menghindarkan diri dari keburukan yang ingin dilakukan. Walau bagaimanapun, hukum ini hanya digunakan dalam kes pelanggaran yang konkrit, yang terbukti atau yang diakui, sedangkan rasa cinta kepada Tuhan dan rasa takut kepada-Nya mencegah perlanggaran yang dilakukan secara sembunyi serta menggalakkan perbuatan sukarela yang baik dan amal kebajikan.
Syariah Islam memerlukan pemerintah mengambil langkah-langkah pencegahan terhadap sebarang pelanggaran hukum yang berlaku atau yang berulang kali berlaku. Dalam kebanyakan kes, syariah tidak mendefinisikan bentuk hukuman yang seharusnya dikenakan tetapi menyerahkannya kepada kebijaksanaan pemerintah. Hanya bagi beberapa jenis pelanggaran sahaja yang dinyatakan hukumannya yang khusus iaitu, pembunuhan, pencurian, perompakan, zina dan pengambilan arak. Hukuman khusus berkenaan perbuatan salah ini dikenali sebagai hudud, manakala hukuman yang tidak didefinisikan oleh syariah dikenali sebagai takzir. Individu yang berkenaan juga perlu membentuk semula personaliti mereka dengan bertaubat kepada Allah, istiqamah melakukan perkara ibadah dan menjauhkan diri dari pihak yang boleh memesongkan akhlak mereka.

5.    MEMPUNYAI PENDIRIAN
Ilmu merupakan satu pembolehubah. Ia membolehkan berlakunya banyak penambahbaikan. Seseorang yang berilmu akan dapat mencari jalan untuk mendekatkan dirinya kepada Allah dan melakukan yang terbaik untuk masyarakat. Ilmu juga melambangkan kuasa. Manusia yang berilmu akan berupaya untuk mengawal nafsunya.

6.    MENJADI ROLE MODEL
Tujuan hidup seorang Muslim adalah untuk membina personaliti dirinya sendiri, persekitaran sosialnya dan dunia umumnya. Bagi memenuhi tujuan tersebut, seseorang itu perlu melengkapkan dirinya dan bekerjasama dengan masyarakatnya dalam  kehidupan berteraskan penghayatan akhlak dan menjalankan aktiviti kemanusiaan yang betul. Penguasaan ilmu menjadi teras kepada pembangunan modal insan. Ia juga merupakan alat muhasabah diri yang dapat membantu mengenal dan membaiki diri. 

No comments:

Post a Comment