Pages

Sunday, April 12, 2020

ISC02


ASAS PEMBANGUNAN PERSONALITI


1.    TAUHID
Pengertian tauhid dari segi bahasa berasal dari perkataan ahad yang bererti mengesakan. Dari segi istilah; beriktiqad dan mempercayai Allah SWT itu Esa, Tunggal tidak ada syirik dan sekutu bagi-Nya. Tauhid  merupakan satu pegangan hidup yang mempercayai bahawa Allah SWT adalah Tuhan yang Esa dan tidak sekutu atau yang menyerupai-Nya. Ilmu tauhid juga adalah ilmu yang menerangkan hukum syarak dalam bidang iktiqad yang diperoleh dari dalil yang qat’ie (pasti) yang berdasarkan ketetapan akal. Tauhid merupakan roh Islam, umbi akidah dan sumber ibadah.
A.   Jenis-Jenis Tauhid
·      Tauhid Rububiyyah; Mempercayai Allah SWT sebagai Rabb atau pencipta dan penguasa terhadap sesuatu. Allah adalah pencipta sekelian makhluk dan alam ini, pemilik, pentadbir dan pemberi segala-galanya. Allah SWT berfirman yang bermaksud; “Apakah mereka menyekutukan Allah dengan berhala-berhala yang tidak dapat menciptakan sesuatu pun? Sedangkan berhala-berhala itu sendiri buatan orang.” (al-A’raf:191)
·      Tauhid Uluhiyyah; Percaya bahawa Allah SWT sahaja yang berhak disembah dan tiada sekutu di dalam penyembahan-Nya. Allah sahaja yang berhak disembah, ditaati dan dikasihi, kepada-Nya tempat bertawakkal, tempat berserah, tempat menaruh harapan, permohonan dan berdoa. Firman Allah SWT yang bermaksud; Dan sesungguhnya Kami telah mengutus Nuh kepada kaumnya. Maka ia berkata: Wahai kaumku! Sembahlah kamu akan Allah (kerana) sekali-kali tidak ada Tuhan bagimu selain Dia. Mengapa kamu tidak bertaqwa kepada-Nya?” (al-Mukminun: 23).
·      Tauhid Asma’ wa al-Sifat; Percaya dbahawa Allah SWT bersifat dengan sifat-sifat kesempurnaan dan Maha Suci dari segala sifat-sifat kekurangan dan kelemahan dan Allah SWT mempunyai nama-nama yang layak dengan kebesasaran-Nya. Beriman kepada nama-nama Allah dan sifat-Nya. Tauhid ini adalah beriman bahwa Allah memiliki nama dan sifat baik (asma ul-husna) yang sesuai dengan keagungan-Nya. Umat Islam mengenal 99 asma ul-husna merupakan nama sekaligus sifat Allah.
B.    Pengaruh Tauhid Dalam Kehidupan
·      Membebaskan manusia dari pengabdian selain dari Allah,menolak segala bentuk pengabdian kepada sesiapa selain Allah SWT. Sebagai contoh Bilal bin Rabah,bagaimana jiwa tauhid telah merubah kehidupannya muncul sebagai seorang manusia baru berjiwa merdeka yang sanggup menghadapi siksaan majikannya dan mempertahankan keyakinan akidah yang dianutinya.
·      Mewujudkan keikhlasan dalam beribadah.
·      Berada di landasan yang betul dan tepat.
·      Menjauhkan diri daripada sifat cintakan dunia (hubbud dunya).
·      Membentuk peribadi mulia dengan sifat mahmudah dan menghindari sifat mazmumah.
·      Meletakkan pergantungan sepenuhnya kepada Allah dengan bertawakal.
·      Melahirkan rasa syukur.
·      Membentuk sifat berani kerana takut hanya kepada Allah.

2.    TAQWA
Berasal dari perkataan waqa yang bererti memelihara hubungan baik dengan Allah SWT dengan melakukan segala yang diperintah dan meninggalkan segala yang dilarang. “Wahai orang yang beriman! Hendaklah kamu memelihara diri kamu dan keluarga kamu dari api Neraka. (al-Tahrim: 6). Syed Qutb menyatakan dalam tafsir “Fi Zilal al-Quran” menjelaskan bahawa taqwa adalah kepekaan hati, kehalusan perasaan, rasa khuatir yang berterusan dan berhati-hati terhadap semua larangan Allah dalam kehidupan.

3.     KHILAFAH
Bererti kepimpinan atau kekuasaan. Ia juga disebut dengan Imamah. Khilafah adalah kekuasaan umum atas seluruh umat, pelaksanaan urusan umat, Imamah atau Khilafah ditetapkan bagi pengganti kenabian dalam menjaga agama dan pengaturan urusan dunia. Setiap individu perlu memahami bahawa mereka memikul amanah Allah SWT, perlu mentadbir dan membangun alam ini sejajar dengan ketetapan-Nya. Sebagai khalifah mereka perlu melengkapkan diri dengan ilmu dan kemahiran serta memupuk nilai-nilai kemanusiaan yang baik demi kesejahteraan sejagat.

4.    TAZKIYYAH
Bermaksud pembersihan, penyucian atau penyuburan. Dalam konteks ahli  tasawuf, tazkiyah merujuk kepada bersih daripada sifat keji dalam diri dan kezaliman lahiriyah. Tazkiyah al-Nafs adalah melibatkan dua proses utama iaitu al-takhalli ialah membersihkan diri daripada sifat-sifat yang tercela kerana ianya adalah najis maknawi yang menghalang untuk sampai kepada hadrat Allah yang kudus. Tazkiyah al-Nafs amat penting dalam kehidupan manusia yang mahu mencari kesejahteraan hidup di dunia dan akhirat. Tazkiyah bukan bermakna menolak kehidupan dunia tetapi mengawal berlandaskan syariat. Tazkiyah al-Nafs membentuk jiwa manusia dengan melakukan segala yang disyariatkan oleh Islam secara istiqamah.

5.    UKHUWWAH
Bermaksud saudara,teman,sahabat dan lain-lain lagi. Dari segi istilah: Menurut al-Quran ukhuwwah ialah perasaan kasih sayang, tolong menolong, bantu membantu, bertolak ansur  bermesra dan cinta mencintai di antara sesama umat Islam. Allah SWT berfirman yang bermaksud: “Sesungguhnya orang mukmin adalah bersaudara, maka damaikanlah di antara kedua saudaramu dan bertaqwalah kepada Allah SWT supaya kamu mendapat rahmat” (al-Hujurat: 10). Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Daripada Nu’man bin Bashir r.a.; Bahawa Rasulullah SAW bersabda: “Perbandingan orang mukmin pada kasih sayang mereka adalah seperti tubuh badan yang satu, apabila satu anggota berasa sakit seluruh badan akan turut merasainya.”
A. Prinsip-prinsip Ukhuwwah
·      Perdamaian atau hubungan yang baik, saling bermaaf-maafan dan tidak terlalu sensitif. Firman Allah SWT yang bermaksud: “Maka hendaklah kamu bertaqwa kepada Allah dan perbaikilah hubungan antara kamu dan taatlah kepada Allah dan Rasul-Nya sekiranya kamu orang yang beriman.”(al-Anfal: 12).
·      Saling kasih mengasihi dan cinta mencintai ke arah mengeratkan lagi ikatan ukhuwwah. Firman Allah yang bermaksud: “Kamu sekali-kali tidak sampai kepada kebaikan sebelum kamu menafkahkan sebahagian harta yang kau cintai dan apa sahaja yang kamu nafkahkan, maka sesungguhnya Allah mengetahuinya”. (Ali-Imran: 92). Kasih Sayang dan cinta mencintai boleh dipertingkatkan melalui sedekah. Dapat disuburkan sehingga mencapai taraf yang paling tinggi jika sanggup mengorbankan sesuatu yang paling disayangi untuk membela nasib golongan yang memerlukan.
·       Ikhlas. Hanya orang ikhlas sahaja yang dapat mengorbankan segala-galanya untuk menyempurnakan hidup berukhuwah. Ikhlas akan melahirkan insan yang berkhidmat tanpa noktah akhir.
·      Amanah. Orang yang tidak amanah merupakan perosak sifat kemanusian dan ketamadunan kerana Allah SWT telah memberikan amanah kepada manusia untuk memakmurkan alam ini.
·      Belas Kasihan. Sifat Ini penting kerana tanpanya menyebabkan kekejaman dan penindasan berelaku secara berleluasa di dalam masyarakat.

B. Adab Ukhuwah

·      Mengutamakan sahabat dengan harta bendanya.  Jika tidak mampu diberikan apa yang lebih dari hajatnya.

·      Bersegera membantu sahabat yang memerlukan bantuan.

·      Menyembunyi rahsia dan keaiban sahabat.

·      Menghindarkan perbuatan bantah-membantah.

·      Tidak sindir-menyindir dan perli-memperli.

·      Sentiasa mendoakan sahabat semasa senang atau susah.

·      Sentiasa melafazkan dengan perkataan “inni uhibbuka fillah” dan bertanya khabar.

·      Sentiasa mengucapkan terima kasih di atas bantuan yang diberikan.


6.    KESIMPULAN

Asas pembentukan personaliti atau sahsiah muslim adalah berpanduan acuan Rabbaniah. Hidup manusia  adalah dalam lingkungan tiga pola hubungan iaitu hubungan dengan Pencipta, hubungan dengan sesama manusia dan  hubungan manusia dengan alam. Ketiga-tiga hubungan tersebut mestilah berpaksikan kepada manual yang telah ditentukan oleh Allah SWT. Ketiga-ketiga hubungan itu mestilah dijaga dengan baik supaya tugas manusia sebagai khalifah di bumi dapat dilaksanakan secara terbaik dan sentiasa mendapat keredhaan Allah SWT.

No comments:

Post a Comment