Pages

Sunday, April 12, 2020

ISC14


PENGHAYATAN AKHLAK


1.    PENDAHULUAN
Manusia adalah makhluk istimewa kerana keperibadiannya merupakan akhlak sedangkan persoalan akhlak merupakan salah satu dari tiga asas Islam selain dari akidah dan syariah. Akhlak tidak akan wujud dalam diri seseorang sekiranya ia tidak memiliki akidah dan syariah yang betul. Misi risalah Nabi Muhammad SAW adalah untuk menyempurnakan akhlak manusia. Sesebuah negara memerlukan rakyat yang berakhlak baik bagi membina kemajuan negara dan pada masa yang sama negara boleh musnah kerana akhlak rakyat yang buruk dan jahat.

2.    DEFINASI
Menurut Kamus Dewan, penghayatan menggambarkan proses menghayati atau mendalami, menjiwai sesuatu sama ada melalui penglihatan, pendengaran, pembacaan atau sebagainya. Melalui penghayatan, seseorang dapat merealisasikan sesuatu yang ditanggapinya dalam kehidupan sama ada secara individu mahupun masyarakat (Kamus Dewan 1994: 447). Akhlak dari perkataan khuluq yang bermaksud tingkah laku, tabiat, perbuatan, perangai dan membentuk peribadi. Imam al-Ghazali dalam Ihya Ulumuddin berkata akhlak adalah sifat yang tertanam dalam jiwa seseorang yang dengannya menghasilkan sesuatu perbuatan secara sepontan. Ibn Miskawayh menyatakan bahawa akhlak merupakan situasi kejiwaan yang mendorong seseorang insan melakukan perbuatan dengan senang tanpa berfikir dan perancangan rapi.
Allah SWT mencipta perasaan semulajadi ini dalam diri manusia sebagaimana maksud firman Allah surah al-Shams ayat 7; “Demi jiwa dan kesempurnaan ciptaannya, maka Allah mengilhamkan kepada jiwa itu kefasikan dan ketakwaan. Sesungguhnya telah berbahagia orang yang menyucikannya dan kecewa orang yang mengotorkannya”. Ayat ini menjelaskan betapa Allah telah menciptakan dalam diri manusia unsur baik dan unsur buruk (fasik), maka terpulang kepada manusia untuk memilih salah satu daripadanya. Rasulullah saw bersabda yang bermaksud, “Kamu tidak akan dapat menarik manusia dengan hartamu tetapi kamu tariklah mereka dengan tingkah laku yang baik.” Dalam hadith yang lain, baginda bersabda yang bermaksud, “Orang yang paling aku kasihi adalah mereka yang memiliki tingkahlaku yang terbaik dan orang yang akan mendapat perlindungan adalah meraka yang mengasihi dan dikasihi.” (Al-Tabarani).
Etika dalam bahasa Inggeris ialah ethics yang berpunca dari bahasa Greek, ethos yang bererti nilai-nilai atau perkara-perkara yang berkaitan dengan sikap. Moral didefinasikan sebagai tingkahlaku yang ditentukan oleh etika.
Di antara ciri-ciri akhlak Islam ialah;
o      Kebaikannya bersifat mutlak dan universal
o      Bersumber dari Allah
Akhlak Islam mempunyai skop yang luas, iaitu;
§  Akhlak dengan Allah; iaitu beriman kepada Allah dengan melakukan ibadah dengan mengabdi diri, tunduk, taat dan patuh. Sentiasa mengharapkan Allah dalam setiap usaha dan amalan.
§  Akhlak sesama manusia; iaitu melakukan perbuatan baik, memulia dan menghormati orang lain.
§  Akhlak kepada makhluk selain manusia; iaitu menghormati malaikat dan jin, binatang yang diternak hendaklah diberikan keperluan yang secukupnya manakala binatang yang digunakan untuk bekerja hendaklah tidak dibebani pekerjaan yang di luar kesanggupannya. Berakhlak dengan alam melalui usaha untuk memakmurkan sumber-sumber alam semulajadi.

3.    MENGAMALKAN SIFAT MAHMUDAH
Akhlak mahmudah ialah perbuatan terpuji menurut pandangan akal dan syariat Islam. Ia adalah sifat peribadi Rasulullah s.a.w. dan amalan utama penganut Islam yang sejati. Imam al-Ghazali menetapkan empat prinsip utama bagi melahirkan akhlak terpuji iaitu;
·      Hikmah (Kebijaksanaan) iaitu kekuatan akal yang membolehkan individu membezakan di antara perkara baik dan buruk. Sifat ini akan melahirkan baik hati, cerdik, bersangka baik dan pertimbangan baik.
·      Adil. Ia adalah kekuatan jiwa yang dapat meletakkan perasaan marah dan nafsunya mengikut kesesuaian keadaan berlandaskan pertimbangan akal dan syariat.
·      Berani (Syajaah). Ia adalah keupayaan diri mengawal perasaan marah. Pemarah, berani, bermujahadah dengan nafsu, menanggung penderitaan, lemah-lembut dan tetap pendirian.
·      Kesucian (Iffah). Ia adalah keupayaan diri mendidik keinginan nafsu syahwat agar tunduk kepada kemahuan akal dan syariat. Pemurah, rendah diri, memlihara penglihatan, malu, sabar, pemaaf, tolong-menolong, peramah dan kurang mengharap orang lain.
Apabila empat sifat ini wujud dalam diri manusia, barulah akan melahirkan sifat-sifat mahmudah yang lain. Jika sifat ini terhakis atau berlebihan dalam diri manusia akan melahirkan sifat yang keji pula. Hadith Rasulullah SAW; “Sebaik-baik perkara adalah bersederhana".

4.    BERPANDUKAN SYARIAH
Syariah Islam mengandungi sistem perundangan, sistem etika dan sistem nilai-nilai yang boleh digunakan untuk menyelesaikan masalah kehidupan. Syariah merangkumi semua aspek kehidupan manusia seperti hal ehwal peribadi, sosial, politik dan intelektual. Ia memberi makna dan isi kandungan kepada tingkah laku orang Islam dalam menjalankan kegiatan mereka di dunia. Skop syariah adalah seluas Islam sebagai al-Din. Skop yang cuba dijelaskan di sini ialah syariah sebagai peraturan Allah dalam konteks hubungan manusia dengan Allah dan hubungan manusia dengan makhluk (sesama manusia, dengan tumbuhan, binatang, jin dan alam seluruhnya). Perhubungan manusia dengan Allah merupakan ketaatan terhadap segala perintah dan larangan-Nya.
la direalisasikan dalam konteks ibadah khusus dan ibadah umum. Ibadah khusus seperti solat, puasa, zakat, haji, baca al-Quran, zikir dan seumpamanya. Ibadah umum pula ialah perlakuan atau tindak tanduk manusia ketika berhubungan dengan selain Allah iaitu sesama manusia, alam, haiwan, jin dan cakrawala. Semua perbuatan manusia akan menjadi amal salih apabila melalui syarat yang tertentu iaitu niat kerana Allah (ikhlas), perkara itu harus dari sudut syarak, tidak meninggalkan ibadat khusus dan memberi komitmen yang jitu. Perhubungan sesama manusia adalah ibadat umum seperti sosial, ekonomi, politik, perkahwinan, pendidikan, pengurusan, perniagaan, pembangunan, harta pusaka, jihad dan sebagainya. Segala bentuk interaksi ini perlu dilakukan menurut peraturan yang selari dengan syarak. Apabila syariah Allah dipraktikkan, Allah memberi jaminan manusia akan mencapai kebahagiaan hidup di dunia dan di akhirat.
Penguatkuasaan segala perintah dan larangan yang terdapat dalam syariat Islam tertakluk kepada hukum taklifi iaitu wajib, sunat, haram, harus dan makruh. Bagi menjamin pematuhan, undang-undang syariah tidak semata-mata bergantung pada hukum keduniaan, iaitu kekuatan pendapat orang ramai dan agensi penguatkuasaan undang-undang seperti pasukan polis, mahkamah dan penjara. Faktor pematuhan yang utama dalam kes syariah ialah kesedaran penganutnya akan kewujudan Allah dan sifat Allah yang Maha Melihat dan juga keyakinan bahawa semua perkataan dan perbuatan setiap individu dicatatkkan oleh malaikat yang mengiringinya. Di akhirat, semua manusia akan dibawa kehadapan Allah untuk disoal tentang amalannya.
Keyakinan dan kesedaran inilah yang membentuk hati nurani yang disedarkan dalam pemikiran manusia yang akan menyeru individu ke arah jalan yang benar dan membenci kejahatan. Walau bagaimanapun, ini tidak menghalang faedah penggunaan hukum atau sekatan-sekatan yang lain. Hati nurani manusia boleh dicemarkan oleh nafsu jahat yang boleh mengakibatkan keganasan dan keingkaran. Pada masa ini pengamalan akhlak mazmumah atau gejala keruntuhan akhlak seperti fitnah, rasuah, minum arak, seks bebas, salahguna dadah dan sebagainya mampu mempengaruhi individu dan masyarakat.
Tekanan sosial juga boleh memainkan peranan sebagai pencegah yang berkesan dan ketakutan terhadap hukum perundangan boleh menghindarkan diri dari keburukan yang ingin dilakukan. Walau bagaimanapun, hukum ini hanya digunakan dalam kes pelanggaran yang konkrit, yang terbukti atau yang diakui, sedangkan rasa cinta kepada Tuhan dan rasa takut kepada-Nya mencegah perlanggaran yang dilakukan secara sembunyi serta menggalakkan perbuatan sukarela yang baik dan amal kebajikan.
Syariah Islam memerlukan pemerintah mengambil langkah-langkah pencegahan terhadap sebarang pelanggaran hukum yang berlaku atau yang berulang kali berlaku. Dalam kebanyakan kes, syariah tidak mendefinisikan bentuk hukuman yang seharusnya dikenakan tetapi menyerahkannya kepada kebijaksanaan pemerintah. Hanya bagi beberapa jenis pelanggaran sahaja yang dinyatakan hukumannya yang khusus iaitu, pembunuhan, pencurian, perompakan, zina dan pengambilan arak. Hukuman khusus berkenaan perbuatan salah ini dikenali sebagai hudud, manakala hukuman yang tidak didefinisikan oleh syariah dikenali sebagai takzir. Individu yang berkenaan juga perlu membentuk semula personaliti mereka dengan bertaubat kepada Allah, istiqamah melakukan perkara ibadah dan menjauhkan diri dari pihak yang boleh memesongkan akhlak mereka.

5.    MEMPUNYAI PENDIRIAN
Ilmu merupakan satu pembolehubah. Ia membolehkan berlakunya banyak penambahbaikan. Seseorang yang berilmu akan dapat mencari jalan untuk mendekatkan dirinya kepada Allah dan melakukan yang terbaik untuk masyarakat. Ilmu juga melambangkan kuasa. Manusia yang berilmu akan berupaya untuk mengawal nafsunya.

6.    MENJADI ROLE MODEL
Tujuan hidup seorang Muslim adalah untuk membina personaliti dirinya sendiri, persekitaran sosialnya dan dunia umumnya. Bagi memenuhi tujuan tersebut, seseorang itu perlu melengkapkan dirinya dan bekerjasama dengan masyarakatnya dalam  kehidupan berteraskan penghayatan akhlak dan menjalankan aktiviti kemanusiaan yang betul. Penguasaan ilmu menjadi teras kepada pembangunan modal insan. Ia juga merupakan alat muhasabah diri yang dapat membantu mengenal dan membaiki diri. 

ISC13


KEMAHIRAN ILMU



1.    KEMAHIRAN MENCARI SUMBER MAKLUMAT DAN ILMU
Ilmu perlu dicari kerana ia merupakan sebahagian daripada pembentukan personaliti manusia. Penguasaan ilmu boleh dicapai melalui kefahaman yang tinggi terhadap apa yang dipelajari dan aplikasinya dalam kehidupan. Memiliki personaliti yang baik mencerminkan keindahan dan kesempurnaan yang hanya dapat dicapai melalui kesedaran diri dan ilmu. Kepentingannya dapat dilihat dalam semua bentuk ibadah yang telah ditentukan oleh ajaran Islam. Ia merupakan satu bentuk latihan bagi membolehkan manusia menpunyai akhlak dan tingkahlaku yang betul dan memelihara nilai-nilai tersebut selama hidupnya walau apa pun perubahan yang berlaku di persekitarannya. Personaliti manusia merupakan penentu kepada segala aktiviti yang dilakukan oleh manusia. Perlu ada keseimbangan di antara perkembangan personaliti dan pencapaian akademik melalui penguasaan ilmu yang menjadi teras kepada pembangunan modal insan. Ilmu merupakan alat muhasabah diri yang dapat membantu mengenal dan memperbaiki diri.

2.    KEMAHIRAN MENENTUKAN KEUTAMAAN ILMU
Memiliki ilmu pengetahuan sangat penting bagi manusia, karena tanpa ilmu hidup seseorang akan hilang arah dan berada dalam kegelapan. Hukum menuntut ilmu dalam Islam adalah wajib. “Menuntut ilmu wajib atas setiap muslim (lelaki ataupun perempuan).” (Ibnu Majah)
Bagi seorang muslim ilmu pengetahuan sangatlah penting, karena di dalam Islam, orang yang berilmu akan diangkat darjatnya dan dihormati. Ada beberapa keutamaan berilmu dalam Islam yang perlu di ketahui oleh seorang muslim. Allah SWT menjelaskan keutamaan orang yang berilmu melalui ayat al-Quran dan hadith. Rasulullah SAW Bersabda; “Sesiapa yang menempuh perjalanan untuk mencari ilmu, maka akan Allah mudahkan jalannya menuju syurga.” (Muslim)
“Allah akan meninggikan kedudukan orang yang beriman di antara kamu dan orang yang diberi ilmu pengetahuan beberapa darjat.” (al-Mujadalah: 11).
Katakanlah: Adakah sama orang yang mengetahui dengan orang yang tidak mengetahui? Sesungguhnya orang yang berakallah yang dapat menerima pelajaran. (al-Zumar: 9)
“Sesungguhnya yang takut kepada Allah diantara hamba-Nya hanyalah ulama. Sesungguhnya Allah Maha Perkasa lagi Maha Pengampun. (al-Fathir: 28)
Adapun hadith yang berkaitan dengan keutamaan ilmu pengetahuan adalah sabda Rasulullah SAW;
Sesiapa yang dikehendaki baik oleh Allah, maka ia dipintarkan dalam hal keagamaan dan diilhami oleh-Nya kepandaian dalam hal itu”. (Bukhari dan Muslim serta Tabarani).
Sabda Rasulullah SAW yang lain; “Para Alim ulama adalah pewaris para nabi” (Abu Dawud, Tirmidzi, Ibnu Majah dan Ibnu Hibban).
“Jika seseorang meninggal dunia maka terputuslah segala amalannya kecuali tiga perkara; Sedekah jariyah, ilmu yang bermanfaat dan doa anak yang salih.” ( Muslim)
Dalam surah al-Faathir ayat 28 Allah berfirman yang bermaksud;
“Dan demikian pula di antara manusia, makhluk bergerak yang bernyawa dan haiwan ternakan ada yang bermacam-macam warnanya dan jenisnya. Di antara hamba Allah yang takut kepada-Nya hanyalah para ulama (ilmuan). Sesungguhnya Allah Maha Perkasa lagi Maha Pengampun” .
Dalam surah al-Mujadalah ayat 58 maksud firman Allah SWT;  “Wahai orang yang beriman! Apabila dikatakan kepadamu, “Berilah kelapangan di dalam majlis,”maka lapangkanlah, niscaya Allah akan memberi kelapangan untukmu. Dan apabila dikatakan,“Berdirilah kamu”, maka berdirilah, niscaya Allah akan mengangkat (darjat) orang yang beriman di antaramu dan orang yang diberi ilmu beberapa darjat. Dan Allah Maha Mengetahui terhadap apa yang kamu kerjakan”.
Surah al-Baqarah ayat 269, Allah SWT berfirman; “Allah berikan al-Hikmah (Ilmu pengetahuan) kepada sesiapa sahaja yang Dia kehendaki. Dan sesiapa yang dianugerahi al-Hikmah itu, sungguh ia telah dianugerahi kurnia yang banyak. Dan hanya orang berakallah yang dapat mengambil pelajaran (berzikir) firman Allah”.
Rasulullah SAW Bersabda; “Sesiapa yang Allah kehendaki mendapatkan semua kebaikan, niscaya Allah akan memahamkan dia tentang ilmu agama”.

3.    ISTIQAMAH
digalakkan menimba ilmu pengetahuan secara berterusan selaras dengan konsep pendidikan sepanjang hayat (life long learning) dan melahirkan para pekerja yang berilmu (knowledge-workers).

4.    PERKONGSIAN MAKLUMAT
ilmu yang kita pelajari atau diperolehi itu harus dapat kita terjemahkan kepada suatu keadaan yang nyata yang kemudiannya dapat kita gunakan sebagai asas bagi kita untuk memudahkan segala urusan atau tugas yang diserahkan kepada kita. Dalam banyak situasi, kita sebenarnya tidak dapat mengelakkan daripada berkongsi ilmu, pengalaman dan maklumat dengan orang lain.
Bagi kakitangan yang telah lama berkhidmat dengan sesebuah organisasi, tidak harus timbul perasaan yang kita tidak diperlukan atau sudah hampir masanya untuk kita ‘memperlahankan’ kerja kita.
Sikap atau perasaan ini harus dikikis.  Sebaliknya, dengan tempoh masa untuk kita berkhidmat semakin singkat, ianya harus dijadikan dorongan untuk kita mencurahkan seberapa banyak pengetahuan dan pengalaman yang ada pada kita kepada kakitangan baru atau yang lebih muda daripada kita. Ini penting bagi membolehkan mereka (kakitangan baru atau pegawai muda) meningkatkan pengetahuan, pengalaman dan kemahiran dalam menjalankan tugas. Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud, “Sesiapa yang ditanya tentang ilmu lalu dia menyembunyikannya akan diikat mulutnya (meletakkan kekang di mulutnya seperti kuda) dengan kekang dari api neraka pada Hari Kiamat.” (Hadis riwayat Abu Daud dan at-Tirmidzi)

5.    MENGAPLIKASI ILMU
Apa yang penting seseorang itu perlu mencari sebanyak mungkin ilmu dan pada masa yang sama mendekatkan diri kepada Allah. Ilmu juga perlu diamalkan untuk kebaikan. Peribahasa Arab menyatakan bahawa, “Ilmu tanpa amal umpama pokok yang tidak berbuah”. Ayat pertama yang diturunkan oleh Allah di dalam al-Quran memperkatakan tentang Ilmu seharusnya digunakan untuk kebaikan semua manusia dan bukan untuk membawa kerosakan di muka bumi ini. Ia selari dengan peringatan Allah dalam Quran al-Rum ayat 41 yang bermaksud, “Berlaku kerosakan di daratan dan di lautan adalah angkara perbuatan manusia. Dengan itu mereka merasai kesan perbuatannya, agar mereka kembali (insaf).”
Ayat ini membicarakan tentang perkembangan manusia. Sifat kemanusiaan manusia perlu dipertingkatkan ke tahap yang paling tinggi. Insan yang baik menggunakan ilmunya untuk kebaikan. Tidak cukup sekadar melalui pembacaan dan pemerhatian sahaja. Menurut Louay M. Safi (1998), tugas utama seorang intelektual adalah untuk mengembangkan suatu pandangan berasaskan prinsip kebenaran, mengenalpasti nilai-nilai dan matlamat ilmu dan mencadangkan model yang sesuai bagi merealisasikan nilai-nilai tersebut dalam kehidupan.

6.    KESIMPULAN
Penguasaan ilmu boleh dicapai melalui kefahaman yang tinggi terhadap apa yang dipelajari dan aplikasinya dalam kehidupan. Pencapaian akademik yang tinggi sahaja tidak mencukupi jika tidak disertakan dengan pembentuk

ISC12


KEMAHIRAN PERUNDINGAN



1.    PENDAHULUAN
Kemahiran perundingan merupakan satu kemahiran hidup yang penting kerana setiap ketika individu pasti berunding dengan pihak lain baik di rumah atau pun di luar rumah, di pejabat dan juga semasa rekreasi dan bermuamalah. Perundingan berperanan menyemarakkan persefahaman dan persahabatan.Ia adalah usaha untuk memahami perbezaan serta menerima dan memanfaatkannya ke arah yang positif untuk kepentingan masyarakat. Dalam hal ini, suatu hubungan dapat diperkuat dan kepercayaan dapat diwujudkan. Perundingan juga merupakan manifestasi Islam dalam memperkukuhkan ukhuwwah melalui pembinaan hubungan kejiranan, mengeratkan silaturahim, menyemai kemesraan, memupuk kerjasama dan memudahkan penyelesaian semua konflik budaya dan ekonomi.

2.    DEFINASI
Kamus Dewan memberikan definasi perundingan sebagai perhitungan, perkiraan, pertimbangan dan perbicaraan yang mendalam tentang sesuatu hal. Manakala Oxford Advanced Learner’s Dictionary of Current English mendefinasikan perundingan sebagai discuss confer, in order to come to an agreement.
Allah menciptakan manusia pelbagai bangsa, pelbagai personaliti dengan kecerdasan dan ketajaman fikiran yang berbeza. Sebahagian manusia sangat cerdas, berdisiplin, jujur, sabar, dan bertanggungjawab, namun sebahagian lagi kurang cerdas, emosional atau cepat marah, suka berbohong, tidak berdisiplin dan tidak bertanggungjawab. Maka segala penyelesaian atas permasalahan yang berlaku perlu dilakukan secara berbincang atau berunding.
Perundingan bukanlah satu proses paksaan tetapi ia dilakukan antara dua pihak atau lebih dengan cara sukarela. Dalam beberapa proses perundingan, pihak yang berselisih ada kalanya menjadi begitu beremosi dan berkeras terhadap perbezaan mereka. Proses dan hasil rundingan akan mencetuskan perasaan positif dan negatif. Lazimnya emosi yang positif akan memberi kesan yang positif kepada perundingan dan emosi yang negatif akan memberi kesan yang negatif kepada perundingan. Perundingan juga dikaitkan dengan aktiviti tawar menawar dalam kehidupan seharian. Ada kalanya tanpa disedari apabila kita membeli barangan dari sesebuah kedai sebagai contoh, pada kebiasaannya kita akan melakukan proses berunding iaitu dengan cara tawar-menawar harga barang tersebut. Perundingan juga boleh berlaku dalam menyelesaikan kontrak, pertelingkahan rumah tangga, perdamaian dan seumpamanya. Kata kunci lain dalam proses berunding adalah kesepakatan. Kesepakatan bukan bererti bahawa setiap individu akan mendapat apa yang mereka inginkan, juga bukan bererti bahawa suatu kesepakatan akan diputuskan dengan suara bulat dan bukan juga bererti bahawa pengambilan keputusan dilakukan melalui pemungutan suara majoriti. Kesepakatan bererti bahawa setiap orang akan merasakan kepentingan mereka telah diberi perhatian dan mereka dapat menerima kesepakatan yang dibuat. Mereka mungkin ingin memperoleh sesuatu yang lebih atau sesuatu yang minimum tetapi mereka bersetuju untuk menerima keputusan yang dilakukan melalui berunding antara satu sama lain.

3.    KELEBIHAN BERUNDING
·      Seseorang itu tidak perlu bergantung kepada kekuatan atau kelebihan personaliti semasa berunding.
·      Ia berfokus kepada penyelesaian masalah ke arah kepentingan bersama, manfaat bersama dan bermatlamat. Ia sesuai untuk mencari penyelesaian yang munasabah dan bermanfaat kepada banyak permasalahan yang berlaku.
·      Kaedah terbaik kepada pihak yang lemah untuk berhadapan dengan pihak yang berkuasa.
·      Adalah untuk pencapaian positif bersama.

4.    FAKTOR-FAKTOR KURANG KEMAHIRAN BERUNDING
·      Kurang pengalaman
·      Tidak matang
·      Kurang mendapat peluang untuk berbincang
·      Kurang yakin
·      Harga diri yang rendah

5.    FAKTOR PEMBANTU KEMAHIRAN BERUNDING
·      Tahu apa yang dimahukan
·      Luahkan pendapat anda
·      Sediakan perancangan
·      Kenal pasti keperluan
·      Mendengar dengan penuh perasaan
·      Ajukan masalah
·      Mendidik bukan menggertak atau mengugut
·      Sabar
·      Bertolak ansur dan kreatif
·      Fikirkan orang lain seperti kawan anda
·      Ceburkan diri dalam semua aktiviti
·      Terima tanggung jawab jika dipilih

6.    PRINSIP BERUNDING YANG BERKESAN
A.      Responsif: Tindak balas yang rasional semasa mesyuarat di mana kedua belah pihak perlu mempunyai sifat yang jujur dan ikhlas kerana sifat-sifat ini akan memberi responsif yang positif.
B.      Bersopan: Adab, proseder  tatacara bagaimana cara untuk berunding dengan pihak lain. Ia memerlukan kerjasama kedua pihak dan selain itu adab tatacara sosial budaya, faktor-faktor situasi seperti masa, tempat dan pihak ketiga (jika ada) perlu dipertimbangkan.
C.      Kebanyakan orang melihat bahawa dalam sesuatu proses perundingan pasti ada pihak yang menang dan ada yang kalah. Pada perspektif perunding perkara sebegini sebenarnya tidak wujud.
D.      Saling Membantu: Satu konsep perundingan dengan cuba memahami antara satu pihak dengan pihak lain untuk mencari jalan penyelesaian yang terbaik serta diterima kedua belah pihak. Konsep bertolak ansur amat memainkan peranan dalam menjayakan proses perundingan.
E.       Perunding yang efektif adalah individu yang dapat mewujudkan keputusan menang-menang. Mereka memastikan sesiapa sahaja yang terbabit di dalam sesuatu perundingan didengari pandangannya dan prosesnya berlangsung atas prinsip dipersetujui bersama.
F.       Perunding Super beroperasi dengan suatu sistem kepercayaan bahawa sesiapa sahaja yang beredar daripada meja perundingan akan berpuas hati. Mereka percaya ada perkara yang lebih baik berlaku di sebalik meja perundingan

Rundingan merupakan satu proses di mana dua belah pihak mencapai kata sepakat yang mampu memberikan kepuasan kepada semua pihak dengan mengekalkan elemen kerjasama.
Kebiasaannya terdapat beberapa tujuan untuk mengadakan rundingan iaitu:
1.       Mencapai hasil yang diingini melalui perbincangan dalam proses mengembangkan sayap perhubungan dalam perniagaan.
2.       Merupakan cara yang paling efektif untuk mengatasi dan penyelesaian konflik atau perbezaan pendapat atau kepentingan.
3.       Mencari penyelesaian yang menguntungkan kedua-dua pihak terhadap sesuatu permasalahan tanpa ada unsur kekerasan.
4.       Meningkatkan hubungan professional dengan rakan niaga dan rakan sekerja.
5.       Perlaksanaan dengan penuh keyakinan demi mencapai kesepakatan.Membangunkan sikap kepimpinan dan keahlian dalam membentuk sebuah pasukan yang kuat.
Dalam sesuatu rundingan, persetujuan dan percanggahan adalah fenomena biasa dalam                                 mencari kesepakatan. Adalah penting untuk mengetahui cara atau teknik yang betul ketika melakukan rundingan agar memberi manfaat kepada semua pihak yang terlibat.
·      Persiapan yang cukup. Persiapan yang baik sangat perlu sebelum proses rundingan berlangsung. Proses persiapan ini turut mengambil kira tujuan sesuatu rundingan diadakan. Tanpa tujuan yang jelas, pastinya matlamat sesuatu rundingan tidak dapat dicapai dengan pihak terbabit.
·      Persiapan mental. Bagi mengelakkan berlangsungnya perdebatan hangat, pastikan kita sentiasa berada dalam keadaan tenang dan selesa. Pastinya proses rundingan akan berlangsung dengan lancar. Berjabat tangan dengan pihak yang berkaitan terlebih dahulu dengan tegas dan singkat. Selain itu, sentiasa mempamerkan senyuman sebelum memulakan rundingan untuk mudah mendapatkan kerjasama dan mengeratkan diri dengan pihak terbabit.
·      Sepanjang rundingan berlangsung hendaklah menyatakan tuntutan pihak kita secara singkat tapi jelas dengan perasaan percaya kepada diri sendiri. Ini menunjukkan betapa seriusnya terhadap rundingan tersebut selain mempamerkan keyakinan atas kejayaan rundingan yang dilakukan. Dalam masa yang sama juga, jelaskan kepada pihak berkenaan bahawa kita  berkenaan untuk mencapai kata sepakat. Setidak-tidaknya, penggunaan masa berjalan dengan lebih efektif kerana rundingan berlangsung terus kepada objektif tanpa membincangkan perkara remeh yang merugikan kedua-dua belah pihak.

ISC11


KEMAHIRAN KERJA BERJEMAAH



1.    PENDAHULUAN
Kerja berjemaah (amal jamai’e) dikenali juga sebagai team work atau kerja berkumpulan. Ia boleh membantu seseorang untuk mendapatkan kekuatan dalam diri bagi memenuhi keperluan sosial dan psikologikal serta mencapai matlamat hidup. Pepatah Melayu ada menyebutkan tentang perumpamaan lidi jika diikat banyak boleh menjadi penyapu yang mampu mengumpulkan sampah yang banyak.

2.    DEFINASI
Menurut Kamus Dewan, amal ialah apa sahaja yang dilakukan, perbuatan dan pekerjaan. Jamai’e ialah sekumpulan manusia yang berkumpul untuk bekerjasama untuk mencapai tujuan yang sama. Ia bermaksud sekumpulan manusia bersepakat untuk bekerjasama melakukan sesuatu aktiviti dengan mengupayakan setiap potensi yang dimiliki untuk mencapai sesuatu objektif. Mustafa Masyhur (2001) melihat amal jamai’e sebagai sesuatu yang dirancang oleh pasukan yang mempunyai peraturan, sistem dan prinsip bagi mencapai matlamat yang diimpikan. Amal atau kerja yang dilakukan itu bukan hanya dari segi fizikal dan material sahaja tetapi juga meliputi  aspek spiritual kerana aspek akidah merupakan elemen yang mengikat diri setiap orang dalam melaksanakan tugasnya secara berjamaah. Yusuf al-Qardhawi melihat amal jamai’e sebagai suatu keperluan bagi mendepani tuntutan kehidupan seperti menyuruh bekerjasama dalam melaksanakan perkara kebajikan dan ketakwaan (1981). Begitu pun bagi Said Hawwa, amal jamai’e tidak akan berjaya sekiranya wujud sifat mementingkan diri sendiri serta tidak ada pengorbanan harta benda, jiwa dan tenaga. (2006).
Dari suatu sisi yang berbeza, K. Smith (2000) menegaskan bahawa kerja berpasukan lebih produktif daripada kerja secara individu. Ia akan cepat dapat membantu organisasi mencapai matlamat organisasi kerana setiap ahli dalam organisasi merasakan bahawa mereka berada dalam satu pasukan dan diterima baik oleh ahli lain dalam pasukan tersebut. Oxford Dictionary mendefinasikan team work sebagai pasukan yang bekerja bersama atau kerjasama yang disusun.
3.    CIRI-CIRI KERJA BERJEMAAH
Dalam sesuatu organisasi, ciri-ciri kerja berjemaah merupakan teras utama bagi mendokong kejayaan organisasi. Di antaranya ialah;
A.   Kerjasama
Merupakan suatu usaha yang dilakukan oleh beberapa orang atau kelompok untuk mencapai tujuan bersama. Dalam kehidupan seharian dan dalam sesuatu organisasi, kerjasama amat diperlukan untuk menjayakan sesuatu tugasan melalui bersama-sama menghasilkan idea yang bernas dan seterusnya bersama dalam melaksanakannya. “Berat sama dipikul, ringan sama dijinjing”, merupakan peribahasa Melayu yang menjadi pendorong kepada kerja berjemaah.
B.    Amanah
Merupakan asas kepada kecemerlangan pekerjaan. Tidak amanah membawa kegagalan. Amanah tidak sahaja kepada kerja dan tugasan dan diberi tetapi juga amanah kepada Allah kerana segala yang diamanahkan kepada seseorang akan dinilai di akhirat kelak. Setiap ahli organisasi mesti bersifat amanah dalam melaksanakan tugas dan tidak menyalahgunakan kuasa, melakukan penyelewengan dan cuai dalam melakukan pekerjaan. Dengan amalan sifat amanah, setiap ahli organisasi akan dapat melaksanakan kerja dengan tekun, gigih dan bersungguh-sungguh.
C.    Kepercayaan
Ia sangat penting dalam organisasi sebagai daya dorong untuk membina kesepakatan bagi melahirkan strategi yang berkesan dan mencapai matlamat yang diingini. Dalam organisasi, harapan yang tinggi biasanya diletakkan kepada seseorang yang boleh dipercayai untuk melaksanakan sesuatu tugasan besar dan penting bagi mengatasi sesuatu masalah. Memilih orang yang sangat dipercayai amat penting bagi mengetuai organisasi kerana kekuatan organisasi terletak kepada kepercayaan yang lahir dalam diri setiap ahli organisasi. Kepercayaan yang kuat ini akan menzahirkan strategi yang berkesan melalui semangat bekerja kuat untuk kejayaan organisasi.
D.   Komitmen
Ia terhasil dari keyakinan individu terhadap nilai, misi dan tujuan organisasi. Organisasi memerlukan ahli yang komited bersungguh-sungguh untuk melaksanakan misi dan tujuan organisasi. Lantaran itu individu yang mempunyai komitmen yang tinggi akan terus menyumbang kepada matlamat organisasi tanpa merasa penat dan jemu. Ini sekaligus akan membawa organisasi ke arah kecemerlangan.

4.    KEPENTINGAN KERJA BERJEMAAH
A.   Berkongsi maklumat dan bertukar pandangan
Setiap ahli organisasi perlu sentiasa bertukar fikiran dan berkongsi idea supaya boleh dimanfaatkan bersama untuk organisasi. Ini dapat membantu kalangan mereka menambah ilmu pengetahuan, kemahiran dan pengalaman untuk mengendalikan tugasan dalam organisasi. Ini bolehmenjadikan setiap tugasan yang dilakukan dapat dilaksanakan dengan pantas dan efektif.
B.    Dapat menyelesaikan kerja yang rumit dan sukar
Ironinya bekerja secara berkumpulan bukan sesuatu yang mudah kerana setiap ahli organisasi mempunyai masalah yang tersendiri. Akan tetapi, setiap masalah tersebut jika dikongsi bersama dengan menggunakan tenaga yang optimum sudah pasti ia akan cepat diselesaikan dengan bantuan antara satu sama lain. Kerja yang sukar akan menjadi lebih mudah dan masa yang panjang akan menjadi lebih pendek dengan kualiti hasil kerja yang terbaik.
C.    Menzahirkan daya kreativiti yang lebih lancar
Setiap individu mempunyai cara dan kaedah tersendiri untuk menyelesaikan tugasan mereka dalam sesebuah organisasi. Sekiranya setiap idea ini diraikan dan dihargai, ia boleh dikombinasikan untuk menjadi lebih komprehensif dan kreatif. Pada masa yang sama perasaan tertekan emosi untuk cepat menyelesaikan tugasan secara individu menjadi berkurangan kerana masalah itu telah diselesaikan secara bersama dengan menggunakan idea berkumpulan. Idea baru dan saling bantu membantu dapat memajukan organisasi.
D.   Mengeratkan semangat ukhuwah dan setiakawan
Apabila setiap ahli organisasi bergerak serentak maka banyak nilai-nilai murni yang ada dalam diri mereka seperti kasih-sayang, ambil berat, tolong-menolong dan bertolak ansur akan terpancar ketika mana mereka melaksanakan tugasan organisasi. Setiap mereka mesti berkomunikasi baik supaya segala mesej dapat difahami sekaligus dapat mengeratkan hubungan kemanusiaan. Berkomunikasi secara positif dengan lemah lembut, menjaga percakapan dan sopan-santun. Pada masa yang sama sikap negatif seperti bercakap besar, panas baran dan penggunaan kata-kata kesat hendaklah dielakkan kerana ia boleh menyebabkan perasaan kecil hati dan mengundang persengketaan.
5.    CABARAN TERHADAP KERJA BERJEMAAH
A.   Memberi kefahaman terhadap ahli organisasi atau pasukan
Setiap organisasi mempunyai matlamat yang hendak dicapai sama ada untuk mencapai tingkat keuntungan atau kebajikan sosial atau kredibiliti kepimpinan atau seumpamanya. Seluruh gerak kerja dan infrastruktur organisasi diarahkan kepada matlamat organisasi. Walau bagaimanapun ada kalangan ahli organisasi kerana tahap pengetahuan dan latar belakang yang berbeza menyebabkan berlaku salah faham terhadap matlamat organisasi sehingga melambatkan kalau tidak pun menggagalkan matlamat organisasi. Oleh itu organisasi perlu memastikan setiap matlamat organisasi diketahui dan dapat difahami serta berupaya mempertingkatkan komitmen ahli untuk memajukan organisasi.
B.    Kepimpinan yang lemah tidak efektif
Pemimpin yang berkarisma boleh memajukan organisasi dengan arahan yang jelas, bacaan yang tepat dan bimbingan yang meyakinkan. Pemimpin organisasi mesti dipilih dari kalangan mereka yang berpengetahuan, berkemahiran, berpengalaman, cekap dan bertanggungjawab bagi menghadapi situasi sukar dan memutuskan hala tuju organisasi. Organisasi yang barisan kepimpinannya tidak memiliki sifat-sifat ini bakal menjerumuskan organisasi ke jurang kegagalan, kerugian dan menghancurkan harapan setiap ahli organisasi.
C.    Komunikasi yang kurang berkesan
Mewujudkan kepercayaan di antara setiap ahli dalam organisasi adalah amat penting walaupun sukar untuk disempurnakan. Komunikasi yang lemah dan kurang berkesan menyebabkan tiadanya suasana bertukar-tukar pandangan dan bersama-sama menyelesaikan tugasan organisasi. Komunikasi yang berkesan boleh memberi panduan kepada ahli organisasi bagi mengurangkan salah faham di kalangan mereka. Ahli organisasi juga perlu menjadi individu yang terbaik dari segi mental dan fizikal dengan bertindak balas cepat menyelesaikan masalah organisasi dengan berupaya berkomunikasi secara terbuka dan jujur di antara mereka, bersedia menerima perbezaan pendapat dan berani menghadapi setiap konflik yang timbul.
D.   Budaya negatif
Tiada sikap tolong menolong, bekerjasama dan bertolak ansur. Sikap negatif ahli-ahli dalam organisasi mesti diminimakan untuk kemantapan organisasi. Jangan keterlaluan mementingkan diri sendiri sehingga tidak mahu bertolak ansur dengan orang lain. Jangan saling membenci, bermusuhan dan memandang rendah orang lain. Jangan tenggelam dengan masalah peribadi sehingga sukar memajukan organisasi. Sebaiknya merendah diri, memahami dan belajar bekerjasama serta bertolak ansur.
E.    Strategi kerja yang tidak terancang
Strategi kerja seperti arahan yang jelas, amalan berpsikologi dan pembahagian tugas amat penting bagi keberkesanan organisasi. Setiap tugasan perlu disusun dengan teratur supaya dapat dilaksanakan dengan lancar. Sekiranya organisasi tidak mempunyai strategi yang mantap, pasukan kerja akan hilang rujukan, merasa tertekan dan hilang semangat kerja merupakan kegagalan organisasi.

6.    PENYELESAIAN MASALAH
A.   Mempertingkatkan kualiti diri
Ini dilakukan melalui pencarian ilmu, kemahiran dan pengalaman yang mantap. Setiap ahli organisasi perlu saling melengkapi antara satu sama lain dengan menutup kekurangan dan kelemahan yang ada. Berusaha mempertingkatkan ilmu pengetahuan, memantapkan kemahiran dan mencari pelbagai pengalaman bagi memperkayakan organisasi dalam semua proses kerja.
B.    Meningkatkan karisma kepimpinan
Dalam kerja berpasukan melalui amalan shura dan bertindak mengutamakan keadilan dan kebebasan menyatakan pandangan yang berbeza untuk kepentingan bersama. Pemimpin mesti dibentuk supaya bertanggungjawab, memberi harapan, meningkatkan keyakinan diri dan peniup semangat. Pemimpin bukan sahaja sebagai penunjuk arah tetapi juga sebagai pembimbing ahli organisasi untuk memastikan segala urusan kerja berjalan baik.
C.    Komunikasi yang berkesan
Dalam sesuatu pasukan adalah amat penting dipupuk amalan komunikasi secara sopan, pengucapan intonasi yang betul dan bahasa badan yang tepat serta niat yang baik. Setiap ahli organisasi berusaha untuk berkomunikasi secara  jujur, terbuka dan menerima perbezaan serta bersedia menghadapi konflik bagi menghadapi salah faham, tekanan dan persengketaan. Komunikasi yang baik memberikan semangat berpasukan yang kuat dan komunikasi yang lemah mengoyahkan semangat untuk bekerja secara efisyen.
D.   Peningkatan nilai akhlak dalam diri
Merupakan suatu keperluan bagi organisasi untuk membentuk ahli yang berfikiran terbuka, benar, tabah, tolak ansur dan saling membantu perlu diutamakan dalam hala tuju organisasi. Sikap negatif seperti malas, irihati dan adu domba wajar dielakkan supaya suasana dalam organisasi diwarnai dengan semangat setiakawan dan kegembiraan. Ini mesti diusahakan walaupun sukar.
E.    Peningkatan strategi kerja
Melalui perancangan yang teratur, pemimpin organisasi akan memberi tugasan kepada ahli organisasi supaya dapat diselesaikan pada masa yang ditetapkan sebagaimana spesifikasi yang dikehendaki. Sekiranya tugasan tersebut berhadapan dengan masalah, setiap ahli organisasi perlu bersatu menyelesaikannya dan menambahbaik perkara tersebut supaya berada di landasan yang betul untuk kejayaan organisasi.
F.    Pengabdian diri kepada Allah
Ahli dan kepimpinan organisasi mesti menunjukkan peningkatan pengabdian diri kepada Allah melalui amalan solat, doa, zikir dan tawakal bagi mendapat keberkatan hidup dan kerahmatan organisasi. Membina hubungan spiritual dengan Allah mempu menjadikan suasana organisasi teratur dan tenang serta menggelakkan ketegangan.

Kemahiran kerja berjemaah melibatkan kebolehan untuk bekerjasama dengan orang lain daripada pelbagai latar belakang sosio budaya untuk mencapai matlamat yang sama. Ia adalah kebolehan untuk;
·      membina hubungan baik, berinteraksi dengan orang lain dan bekerja secara efektif bersama mereka untuk mencapai matlamat yang sama.
·      Kebolehan memahami orang lain dan mengambil peranan silih berganti sebagai pemimpin dan yang dipimpin.
·      Mengenali dan menghormati sikap, kelakuan dan kepercayaan orang lain untuk memudahkan mengurus konflik.
·      Memberi sumbangan kepada perancangan dan menyelaras hasil usaha jemaah untuk menghasilkan produk berkualiti atau perkhidmatan yang berkesan.
·      Bertanggungjawab terhadap keputusan kumpulan dengan menyelesaikan setiap kekurangan.
Dalam berorganisasi, membina kumpulan jemaah yang mantap sangat penting kerana ia dapat menyumbang kepada produktiviti dan perkhidmatan yang berkualiti. Jemaah ini dibentuk melalui penghargaan terhadap setiap orang, keputusan dibuat berdasarkan shura, setiap ahli jemaah saling mempercayai dan hormat menghormati. Setiap orang diberikan kebebasan untuk menggunakan kreativitinya, kemampuannya dan kepakarannya. Sentiasa wujud suasana mesra di antara ahli. Setiap mereka berbangga dengan hasil kerja jemaah dan pencapaian organisasi.
·      Melatih kemahiran kepimpinan, mengurus dan amalan berorganisasi.
·      Memupuk kebolehan berkomunikasi dan jaringan sosial.
·      Mendorong sifat mempercayai, menghormati , kerjasama dan saling membantu.
·      Melahirkan minat untuk menggunakan kreativiti, meneroka idea-idea baru dan menerima perubahan.
·      Melahirkan ahli jemaah yang berkebolehan menyelesaikan masalah secara kolektif dan sistematik dengan suasana mesra.
·      Memberi peluang kepada ahli menyertai proses membuat keputusan dalam perkara yang berkaitan tugas harian mereka.
·      Mengurangkan krisis dan konflik serta mewujudkan suasana harmoni dan selesa serta berbangga dengan hasil kerja pasukan.
Islam sering menyeru supaya kita hidup dalam berjemaah. Ini dibuktikan dalam hadith Rasulullah SAW yang bermaksud “Seseorang yang solat jemaah lebih baik daripada solat berseorangan”. Begitu juga sorotan sejarah Islam membuktikan bahawa kerja berpasukan amat penting sepertimana peristiwa Perang Uhud apabila tentera Islam yang bilangannya lebih kecil tetapi brsatu dapat menewaskan pihak musuh yang lebih besar jumlahnya, apabila mereka bertindak secara berkumpulan dan mempunyai perancangan yang teliti.

7.    KESIMPULAN
Kemahiran kerja berjemaah merupakansatu daripada sistem pengurusan gerak kerja yang sistematik dalam sesebuah organisasi. Sebagai satu prosedur kerja yang berpandukan ketetapan yang digariskan oleh organisasi, banyak faedah yang boleh diperolehi oleh organisasi dan individu yang terlibat dengan organisasi yang berkenaan dari segi psikologikal, sosiologikal dan ekonomikal.



RUJUKAN

Baba, S. 2005. Konsep Khalifah dan Komunikasi Dalam Pasukan.
Hawa, S. 2006. Memahami Prinsip-Prinsip Amal Islami. Terj. Darus Sanawi. Kula Lumpur: Dewan Pustaka Fajar.
Smith, K. 2000. Teamwork Content. Canada.