Pages

Sunday, November 3, 2019

ISC402 L7




BAB 7

KEMAHIRAN PENGURUSAN DIRI MUSLIM


 7.1 KETAATAN
Prinsip utama ketaatan ialah arahan atau perintah dari pihak yang perlu dihormati itu tidak bercanggah dengan Islam. Terdapat beberapa faktor yang mesti diambil kira bagi menjadikan sesuatu arahan ditaati. Di antaranya ialah arahan tersebut berada dalam bidang tugas, tugas yang diarahkan oleh majikan atau organisasi terdapat dalam deskripsi kerja dan kerja tersebut boleh dilakukan mengikut keupayaan mental dan fizikal pekerja. Ketaatan dalam organisasi amat penting untuk melicinkan perjalanan organisasi sesuai dengan matlamat yang hendak dicapai oleh organisasi. Ketaatan tersebut juga melibatkan arahan yang tidak bercanggah dengan hukum dan nilai-nilai yang ditentukan oleh syarak.

Maksud firman Allah SWT surah al-Nisa’: 59; “Wahai orang yang beriman! Taatlah kamu kepada Allah dan Taatlah kamu kepada Rasulullah dan kepada "Ulil-Amri" (orang yang berkuasa) dari kalangan kamu. Kemudian jika kamu berbantah-bantah (berselisihan) dalam sesuatu perkara, maka hendaklah kamu mengembalikannya kepada (Kitab) Allah (al-Qur’an) dan (al-Sunnah) Rasul-Nya jika kamu benar beriman kepada Allah dan hari akhirat“.

Maksud hadith Rasulullah SAW, “Tidak ada ketaatan pada makhluk dalam perkara maksiat kepada Al Khaliq”. (Hadith Shahih al-Jami’). “Sesiapa yang mentaati perintahku, maka sesungguhnya ia mematuhi perintah Allah. Sesiapa yang mentaati perintah amir (ketua) sesungguhnya bererti mematuhi perintahku, dan sesiapa yang melanggar perintah amir (ketua) bererti ia melanggari perintahku”. (Riwayat Muslim)

Namun begitu ketaatan pada pimpinan organisasi boleh berlaku apabila;
 Organisasi itu milik pemerintah.
 Organisasi bukan milik pemerintah (NGO), ketaatan tidak sama seperti pemerintah.
 
Hadith di atas menunjukkan bahawa ketaatan itu sangat penting dan sesebuah organisasi  sangat memerlukan ketaatan seorang ketua dan seorang pengikut. Konflik organisasi akibat dari kelemahan soal ketaatan boleh menyebabkan keruntuhan koordinasi dan organisasi menjadi lemah dan gagal. Organisasi perlu menyediakan dasar dan peraturan supaya dipatuhi oleh setiap individu yang bekerja di dalamnya. Tanpa taat kepada disiplin, operasi organisasi akan jadi kacau bilau yang akibatnya akan memusnahkan organisasi. Setiap pengurus diamanahkan oleh majikan dan pihak pengurusan atasan bagi memastikan segala peraturan dan arahan yang berkaitan dengan kerja diikuti oleh pekerjanya dan dirinya sendiri.

7.2 EMOSI
Kebolehan seseorang untuk mengawal emosi serta perasaan diri sendiri dan orang lain adalah suatu usaha untuk meningkatkan kualiti diri dan kualiti kehidupan. Ia penting bagi menjaga perhubungan dengan orang lain. Kebolehan ini kemudiannya digunakan sebagai panduan untuk berfikir dan bertindak. Emosi merupakan hubungan intrapersonal aspek hubungan dalam diri iaitu bagaimana seseorang itu dapat memahami diri sendiri dan seterusnya berusaha untuk mempertingkatkan kualiti diri. Intrapersonal merangkumi aspek-aspek bagaimana seseorang itu berfikir, mengawal emosi, membina nilai diri, mengawal kemarahan dan membina kekuatan diri. Ia merupakan bagaimana seseorang berinteraksi dengan dirinya sendiri. Kebolehan seseorang mengawal perasaan dengan tidak menghamburkan kata-kata kesat ketika marah, bersikap optimis, sentiasa bermotivasi, berkebolehan meneutralkan keadaan, iaitu dengan tidak terlalu cepat menerima atau menafikan sesuatu, bertanggungjawab, berintegriti, berkeyakinan tinggi, bersikap terbuka juga dikatakan sebagai sebahagian daripada kemahiran intrapersonal untuk kawalan emosi. Kemahiran berinteraksi antara individu dengan diri sendiri dan juga orang lain akan terbina apabila kemahiran interpersonal dan intrapersonal digabungkan dengan sempurna.

7.3 PENAMPILAN
Pengurusan Diri
Mahasiswa samalah juga dengan pekerja, mereka perlu menyesuaikan diri dengan alam pendidikan tinggi dan persekitaran pembelajaran yang konsisten serta kehendak organisasi pekerjaan sama ada di bidang pengeluaran atau pun perkhidmatan. Universiti dan juga organisasi kerja sepatutnya dijadikan sebagai tempat yang menyeronokkan untuk menimba ilmu pengetahuan dan kemahiran hidup. Di simpang itu bergaul bersama rakan dan tidak mempunyai hubungan yang negatif dengan pensyarah atau pemimpin organisasi. Selepas ibu bapa, pensyarah dan pemimpin organisasi merupakan  orang yang patut dihormati kerana usahanya membentuk masa hadapan kita.

Mengurus Masa
Bagi menjadi mahasiswa dan pekerja yang berjaya, anda mesti berupaya menjadualkan masa untuk menambah ilmu pengetahuan, meningkatkan kemahiran, beriadah, menonton televisyen sebagainya. Di samping itu, mesti berkebolehan mengingati sesuatu fakta pembelajaran dalam jangka masa yang lebih panjang.

Perancangan
Kemahiran merancang semua aspek hidup amat penting sama ada untuk melakukan sesuatu dan juga apa yang telah dilakukan. Mahasiswa dan pekerja mesti mempunyai arah tujuan yang positif untuk masa hadapan dan bukan hanya hidup mengikut arus sekeliling sahaja.

Kemahiran Berfikir dan Belajar
Mahasiswa dan pekerja mesti berkeupayaan berfikir secara kritis, positif dan matang. Kemahiran berfikir ini harus dipelajari dan dipraktikkan dan tidak hanya mengikut logik semata-mata. Belajar bukan sesuatu yang mudah tetapi tidak pula terlalu sukar. Untuk menjadikan belajar itu mudah, mereka mesti menguasai kemahiran belajar yang sistematik seperti membaca, membuat rujukan dan nota. Boleh dikatakan semua orang boleh membaca tetapi tidak ramai yang boleh membaca dengan pantas dan dalam masa yang sama dapat memahami dan mengingati apa yang dibaca. Mereka perlu ada kemahiran merujuk dan menyelidik dari buku buku, akhbar, majalah, membuat temu ramah dan sebagainya. Terdapat pelbagai cara membuat nota tetapi yang penting, nota mesti mudah difahami supaya mudah disampaikan semula kepada pihak lain dengan berkesan sama ada dalam bentuk tulisan mahupun lisan. Mahasiswa dan pekerja organisasi mesti berupaya menilai kelemahan dan kekuatan diri sendiri di samping sentiasa berusaha memperbaiki segala kelemahan diri. Jangan sesekali menyalahkan orang lain jika gagal. Adalah lebih baik menyalahkan diri sendiri dan melihat kelemahan diri dan seterusnya bertekad untuk berjaya. Walau apa keadaan sekalipun, kita mestilah sentiasa bersyukur dan bertakwa agar Allah S.W.T akan memberkati segala usaha kita.

 7.4 PERWATAKAN
(Rujuk Artikel Sebelum ini)
7.5 KEWANGAN
Bagi orang Islam, Nabi Muhammad S.A.W. berpesan bahawa; “akan datang lima perkara sebelum lima perkara: Sihat sebelum sakit, Kaya sebelum miskin, Lapang sebelum sibuk, Muda sebelum tua, Hidup sebelum mati”.
Secara tidak langsung, kita dapat memahami kepentingan menetapkan matlamat supaya dapat melaksanakan tanggungjawab. 4 strategi pengurusan kewangan Islam ialah;
1. Mencari Rezeki Yang Halal. Allah Maha Pemurah dan Pemberi Rezeki menyebut dalam surah al-Jum’ah, ayat 10 yang bermaksud: “Kemudian, setelah selesai sembahyang, maka bertebaranlah kamu di muka bumi, dan carilah apa yang kamu hajati dari limpah kurnia Allah, serta ingatkanlah akan Allah banyak-banyak (dalam segala keadaan), supaya kamu berjaya di dunia dan di akhirat.” Rezeki dan limpah kurniaan Allah sangat luas dan kita disarankan untuk mencari rezeki yang halal iaitu pekerjaan atau perniagaan hasil usaha jujur, bebas penipuan atau rasuah dan tidak terlibat dengan perkara yang haram. Orang Islam yang beriman dan bertakwa akan mengelakkan diri daripada terjerumus dalam riba’, arak, judi dan lain-lain hal yang dilarang oleh agama.
2. Melanggan Takaful Sebagai Persediaan Menghadapi Musibah. Takaful ialah produk perlindungan yang berlandaskan syariah. Kontrak takaful berbeza dengan insurans kerana ia menggunakan konsep ‘bantu-membantu’ di kalangan peserta takaful. Tiada unsur faedah dan ketidakpastian (gharar) sebagaimana kontrak insurans konvensional. Produk takaful adalah keperluan bagi anda yang mempunyai tanggungan dan sebagai persediaan menghadapi musibah seperti sakit dan kemalangan. Ia sebagai suatu perbelanjaan untuk masa depan. Peserta takaful membuat sumbangan secara bulanan dengan kadar yang telah ditetapkan. Sumbangan ini nampak kecil kerana dibuat secara konsisten setiap bulan. Apabila berlaku musibah, operator takaful akan membayar manfaat perlindungan kepada peserta. Semua peserta dalam pelan takaful seolah berpegangan tangan, jika seorang peserta terjatuh yang lain akan membantu dan menghulurkan tangan supaya dia dapat bangun semula atau sekurang-kurangnya keluarganya dapat bangkit daripada beban kewangan yang melanda.
3. Melabur Tanpa Berhutang. Matlamat pelaburan kita ialah untuk menambah nilai daripada apa yang dimiliki. Kita tidak digalakkan oleh pakar kewangan meminjam untuk pelaburan. Ini kerana setiap pelaburan mempunyai risiko. Pinjaman mengikat kita dengan komitmen hutang. Hutang perlu dijelaskan tidak kira kita untung atau pun rugi. Oleh itu, hutang akan menambah beban kewangan jika tidak diuruskan dengan betul. Kegagalan pinjaman mendedahkan kita kepada tindakan saman atau diisytiharkan muflis bagi kes yang berat. Dengan wang yang ada sepatutnya kita melabur dalam melabur dalam saham amanah yang patuh Syariah.
4. Menunaikan Zakat dan Bersedekah (Infaq). Kita mesti melaksanakan tanggungjawab zakat sebagai rukun Islam yang keempat apabila harta yang kita miliki telah cukup jumlahnya (nisab) dan tempohnya (haul) dengan kadar 2.5% daripada pendapatan. Amalan ini amat besar ertinya bagi golongan yang memerlukan sebagai melaksanakan tanggungjawab sosial kepada saudara seagama. Sekiranya ada kelebihan harta, kita disunatkan bersedekah mengikut kemampuan dan boleh dilakukan pada bila-bila masa. Inilah ciri orang yang bertakwa. Surah Ali Imran (131-132) bermaksud; “Dan segeralah kamu kepada keampunan Tuhan kamu dan syurga yang luasnya seluas langit dan bumi yang disediakan bagi orang yang bertakwa. Iaitu orang yang mendermakan hartanya pada masa senang dan susah, orang yang menahan kemarahannya dan orang yang memaafkan kesalahan orang. Dan (ingatlah), Allah mengasihi orang yang berbuat perkara yang baik”.

 

1 comment:

  1. merujuk artikel sebelum ini? tu artikel mende pulok

    ReplyDelete