Pages

Sunday, September 15, 2019

ISC402 L4


L 4

 

METOD PEMBANGUNAN PERSONALITI


 

 

4.1 PENDIDIKAN & LATIHAN ROHANI

Menurut perspektif Islam, pendidikan anak adalah proses mendidik, mengasuh dan melatih rohani dan jasmani mereka secara seimbang dengan berteraskan nilai baik dan terpuji yang bersumberkan al-Quran dan al-Sunnah. Ia bertujuan bagi melahirkan insan Rabbani yang beriman, bertakwa dan beramal salih. Kanak-kanak pada peringkat awal umur, tidak dapat membezakan antara baik dan buruk. Oleh itu mereka perlu dibentuk dan dididik dari awal. Barat dan Islam mempunyai perspektif yang sama dalam soal pendidikan awal tetapi berbeza dari segi pembentukan sahsiah kerana ia bukan hanya kelakuan fizikalnya tetapi juga pemantapan akhlak dengan menerapkan keimanan ke dalam roh dan jiwanya. Pendidikan Barat hanya menumpukan kepada pembinaan akal, fizikal dan nafsu semata-mata. Sementara Pendidikan Islam bermatlamat untuk mendidik, memberi kesedaran hakikat diri manusia iaitu roh. Ia juga bermatlamat untuk mencapai kebahagian hidup di dunia dan akhirat. Roh atau rohani disebut sebagai sains kerohanian (spiritual science) atau spiritual quotient (SQ). Ia merupakan didikan yang dilaksanakan secara saksama dan bersepadu dalam membina 3 komponen manusia iaitu akal,  nafsu dan roh.

Dalam Islam solat merupakan latihan bagi pembentukan rohani. Pembinaan generasi adalah melalui latihan mendirikan solat. Rasulullah SAW memerintahkan ibu bapa mulai mendidik anak-anak ketika berusia 7 tahun sebagai latihan prktikal membentuk SQ. Ibu bapa dibenarkan memukul anak-anak jika mereka lalai melaksanakan solat apabila telah mencapai usia 10 tahun. Ini menunjukkan solat adalah tanggungjawab berat yang diamanahkan kepada ibu bapa kerana ia membina rohani dan peribadi individu muslim seawal usia muda. Solat amat penting, ia mesti dilaksanakan secara kolektif bersama ahli keluarga kerana ini dapat mendisiplinkan seluruh kehidupan berkeluarga. Latihan bersolat merupakan satu langkah yang praktikal dalam proses membentuk rohani anak-anak perlu dimulakan sejak pada usia muda. Seperti kenyataan Pepatah Melayu, “Melentur buluh biarlah dari rebungnya”. Jika proses latihan ini diabaikan, Ruh yang terbiar tanpa didikan dan latihan akan dijangkiti pelbagai penyakit, seperti:

• Iri hati

• Buruk sangka

• Sombong, angkuh, bongkak

• Merasa sempurna (ujub)

• Suka menunjuk-nunjuk kelebihan (riya)

• Mencari nama/kehormatan

• Kedekut/kikir/bakhil

• Membanggakan diri

• Mementingkan kebendaan

• Pemarah

Setiap Muslim mesti berusaha untuk membersihkan diri dari sifat-sifat yang tercela atau

menghindari perkara-perkata yang boleh mengotorkan hati atau ruh. Sifat yang Menyinari Jiwa/Ruh/Hati, menurut Imam al-Ghazali di antara sifat-sifat terpuji ialah;

• Taubat: menyesali perbuatan yang tercela dan keji

• Taqwa: takut kepada Allah SWT

• Ikhlas: niat dan amal yang tulus atau suci

• Syukur: rasa terima kasih

• Redha: tenang menerima takdir Allah SWT

• Sabar: tahan menerima cubaan

• Zuhud: hidup bersederhana

• Tawakal: menggantungkan atau menyerahkan segala urusan kepada Allah SWT

• Mahabbah: perasaan cinta kepada allah SWT

• Zikrul maut: selalu mengingati mati

 

4.2 PENDIDIKAN & LATIHAN AKAL

Konsep tarbiyah aqliyah adalah suatu konsep pendidikan akal untuk berfikir benar, agar terbebas dari pemikiran tanpa dasar (asas) sehingga mampu membuat keputusan yang tepat dan benar. Pendidikan adalah peningkatan pemikiran akal dan latihan secara teratur untuk berpikir benar, dan mampu menjaga pemikiran dari pengaruh yang pelbagai  sehingga dapat membuat keputusan yang tepat dan benar.

Pendidikan akal, antaranya meliputi;

• Latihan perasaan agar cermat dan benar/betul/tepat dalam memilih sesuatu

• Melatih memperhatikan sesuatu yang nyata dan memikirkannya menurut hakikat

• Pengaturan cara berfikir dan membekalkan dengan pengetahuan yang berguna

• Menguatkan daya intuisi dan melatihnya membiasakan berfikir secara sistematik

Tahap Pendidikan Akal ialah;

  • Pengetahuan (menguji daya ingatan). Mengenal dan mengingat bahan yang dipelajari.
  • Kefahaman (Menguji tahap kefahaman/mengerti dan tahu). Kemampuan menyimpulkan bahan yang telah dipelajari.
  • Aplikasi (Penguasaan ilmu yang dipelajari). Mampu menggunakan dan mengolah bahan dan kaedah yang dipelajari dalam kehidupan.
  • Analisa (Dapat membuat andaian dan pencerakinan). Mampu menghuraikan suatu bahan ke dalam suatu idea.
  • Sintisis (Dapat menggunakan pengetahuan untuk penghasilan sesuatu yang baru).

 

4.3 PENDIDIKAN & LATIHAN JASMANI

Pendidikan Jasmani merupakan satu proses pembelajaran yang  menyeluruh merangkumi semua aspek domain seperti psikomotor, kognitif, afektif, sosial dan emosi. Melalui pendidikan jasmani, pelajar akan diberi ruang untuk mencuba dan mengalami sendiri pengalaman semua aktiviti fizikal yang dijalaninya.

Kesihatan yang baik menjadikan seseorang individu lebih selesa meneruskan kehidupan dan menikmati kebahagiaan. Perumpamaan Arab menyatakan “al-Aqlu sallim fii jismi sallim” yang bermaksud akal yang sihat datangnya dari tubuh badan yang sihat. Matlamatnya pendidikan jasmani adalah untuk meningkatkan kesegaran fizikal, mengembangkan kemahiran psikomotor, pengetahuan dan perilaku hidup sihat dan aktif serta kecerdasan emosi.

Islam sangat mementingkan kesihatan. Umat Islam diperintah menjaga tubuh badan agar sentiasa sihat dan berikhtiar berubat apabila sakit. Amalan Untuk Menjaga Kesihatan Jasmani. Makan yang halal dan berkualiti. “Wahai orang yang  beriman! Makanlah barang yang baik dari apa yang  diberikan kepada kamu dan bersyukurlah kepada Allah, jika betul kamu hanya beribadat kepadanya. Sesungguhnya Allah  hanya mengharamkan kepada kamu memakan bangkai, darah, daging babi dan binatang yang  disembelih tidak kerana Allah, maka sesiapa dalam keadaan terpaksa dengan tidak sengaja dan tidak melampaui batas, maka tidaklah berdosa baginya (memakan/mengguna benda-benda yang haram) kerana sesungguhnya Allah  Maha Pengampun lagi Mengasihani.”(al-Baqarah: 172 –173).

Makan secara sederhana dan seimbang. Makanan hendaklah diambil dalam kadar yang sederhana dan berimbang serta tidak makan secara rakus dan pelahap. Pengambilan makanan hanyalah untuk memperkuatkan tubuh, memelihara kesihatan, mendapatkan tenaga dan kecergasan. Firman Allah SWT yang bermaksud: “Makanlah dan minumlah, dan jangan pula kamu melampau; Sesungguhnya Allah tidak suka akan orang-orang yang melampaui batas (al-A’raf: 31). Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: “Bekas yang paling buruk bagi manusia adalah perutnya, jika ia hendak memenuhinya hendaklah memenuhinya hanya sepertiga untuk makanan, sepertiga untuk minuman dan sepertiga lagi untuk pernafasan” (Riwayat Al Tarmizi).

Menjaga penampilan/Rambut. Diberitakan bahawa Rasulullah SAW telah menziarahi kami, lalu terlihat seorang lelaki yang rambutnya mengerbang, lalu baginda bersabda yang bermaksud: “Tidak adakah sesuatu pada lelaki itu yang boleh digunakan untuk menyikat rambutnya? (Riwayat Muslim). Menjaga kebersihan badan dan Pakaian Rasulullah SAW menyarankan agar mandi dengan sempurna terutamanya pada hari Jumaat. Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: “Hendaklah kamu mandi pada hari Jumaat dan basuhlah kepala kamu sekalipun kamu tidak junub dan pakailah bau-bauan yang wangi (Riwayat Bukhari). Rasulullah juga bersabda yang bermaksud: “Adalah satu hak yang wajib ke atas setiap Muslim mandi satu hari dalam seminggu di mana dia mesti membasuh kepala dan tubuhnya” (Riwayat Bukhari dan Muslim). Melakukan riadah badan atau bersukan. beriadah adalah sebahagian amalan gaya hidup sihat. Islam menggalakkan umatnya mengamalkan aktiviti latihan jasmani yang bersesuaian. Sayidina Umar RA yang menggalakkan bersukan dan latihan jasmani. Katanya: “Ajarlah anak kamu berenang, memanah dan menunggang kuda”. Gaya hidup yang sihat juga dapat diperolehi dengan melakukan ibadah khusus seperti berwudhuk, bersolat dan berpuasa. Berwudhuk boleh menghilangkan jangkitan kuman dan habuk daripada terus melekat di badan atau rongga. Persekitaran yang bersih memberikan oksigen yang menyegarkan spiritual dan fizikal. Berfikiran positif boleh menyihatkan otak dan mengurangkan stress.

 

4.4 PENGUKUHAN

Teori pengukuhan (reinforcement theory) merupakan teori yang paling berkesan dalam motivasi perubahan tingkahlaku. Menurut teori ini, manusia melakukan apa saja kerana mengharapkan ganjaran. Justeru ganjaran berfungsi sebagai pengubah kepada sesuatu tingkah laku. Teori pengukuhan mengatakan bahawa seseorang berhubung dengan yang lain kerana menjangkakan akan memperolehi sesuatu. Jika pada jangkaannya tidak akan mendapat sesuatu perhubungan, perubahan tidak akan berlaku.

Pengukuhan juga dikenali sebagai peneguhan. Ia dilakukan untuk mengalakkan sesuatu perlakuan itu diulangi. Pengukuhan diberikan kerana;

  1. Untuk memuaskan kehendak individu.
  2. untuk mengurangkan tekanan dan merangsang otak.
    Pengukuhan terbahagi kepada 2 iaitu;
    PENGUKUHAN POSITIF. Pengukuhan/peneguhan positif memberi keseronokan dan lebih berkesan. Di
    Antaranya;

  1. Pujian
  2. Hadiah
  3. Memberi makan
  4. Kata-kata perangsang
  5. Penajaan
  6. Kenaikan pangkat/gaji/imbuhan/bonus
  7. Sentuhan

PENGUKUHAN NEGATIF


Pengukuhan/peneguhan negatif boleh membawa kesakitan fizikal atau emosi, kadang-kadang pelaku tidak dapat menerimanya sehingga menjadi dendam. Di antaranya;

  1. Pukulan
  2. Denda
  3. Ejekan
  4. Ancaman
    Islam memberi penekanan kepada penampilan kerana ia boleh menggambarkan perwatakan seseorang individu. Oleh itu sejak kecil lagi kanak-kanak perlu dibimbing dan dilatih supaya dapat menjaga diri secara seimbang meliputi rohani, akal dan jasmani. Rasulullah SAW pernah menegur mereka yang terlalu ekstrem melakukan ibadat, sabda baginda yang bermaksud; Tidakkah diberitahu kepadaku bahawa engkau berpuasa di siang hari dan bersembahyang di malam hari? Ya, jawabnya baginda bersabda; Janganlah berbuat demikian, berpuasalah dan berbukalah, tidur dan bangunlah kerana sesungguhnya badan mu mempunyai hak ke atas mu.
    Dalam sejarah Islam, jumlah tentera Islam yang kecil berjaya menewaskan tentera Musyrikin yang lebih ramai.  Kejayaan ini adalah hasil pendidikan dan latihan Rasulullah
    SAW. Mereka bukan sahaja gagah jasmani tetapi juga rohani mereka terisi dengan cahaya iman serta ketinggian jihad hasil dari ketakwaan kepada Allah.
     

No comments:

Post a Comment