Pages

Sunday, September 15, 2019

ISC402 L4


L 4

 

METOD PEMBANGUNAN PERSONALITI


 

 

4.1 PENDIDIKAN & LATIHAN ROHANI

Menurut perspektif Islam, pendidikan anak adalah proses mendidik, mengasuh dan melatih rohani dan jasmani mereka secara seimbang dengan berteraskan nilai baik dan terpuji yang bersumberkan al-Quran dan al-Sunnah. Ia bertujuan bagi melahirkan insan Rabbani yang beriman, bertakwa dan beramal salih. Kanak-kanak pada peringkat awal umur, tidak dapat membezakan antara baik dan buruk. Oleh itu mereka perlu dibentuk dan dididik dari awal. Barat dan Islam mempunyai perspektif yang sama dalam soal pendidikan awal tetapi berbeza dari segi pembentukan sahsiah kerana ia bukan hanya kelakuan fizikalnya tetapi juga pemantapan akhlak dengan menerapkan keimanan ke dalam roh dan jiwanya. Pendidikan Barat hanya menumpukan kepada pembinaan akal, fizikal dan nafsu semata-mata. Sementara Pendidikan Islam bermatlamat untuk mendidik, memberi kesedaran hakikat diri manusia iaitu roh. Ia juga bermatlamat untuk mencapai kebahagian hidup di dunia dan akhirat. Roh atau rohani disebut sebagai sains kerohanian (spiritual science) atau spiritual quotient (SQ). Ia merupakan didikan yang dilaksanakan secara saksama dan bersepadu dalam membina 3 komponen manusia iaitu akal,  nafsu dan roh.

Dalam Islam solat merupakan latihan bagi pembentukan rohani. Pembinaan generasi adalah melalui latihan mendirikan solat. Rasulullah SAW memerintahkan ibu bapa mulai mendidik anak-anak ketika berusia 7 tahun sebagai latihan prktikal membentuk SQ. Ibu bapa dibenarkan memukul anak-anak jika mereka lalai melaksanakan solat apabila telah mencapai usia 10 tahun. Ini menunjukkan solat adalah tanggungjawab berat yang diamanahkan kepada ibu bapa kerana ia membina rohani dan peribadi individu muslim seawal usia muda. Solat amat penting, ia mesti dilaksanakan secara kolektif bersama ahli keluarga kerana ini dapat mendisiplinkan seluruh kehidupan berkeluarga. Latihan bersolat merupakan satu langkah yang praktikal dalam proses membentuk rohani anak-anak perlu dimulakan sejak pada usia muda. Seperti kenyataan Pepatah Melayu, “Melentur buluh biarlah dari rebungnya”. Jika proses latihan ini diabaikan, Ruh yang terbiar tanpa didikan dan latihan akan dijangkiti pelbagai penyakit, seperti:

• Iri hati

• Buruk sangka

• Sombong, angkuh, bongkak

• Merasa sempurna (ujub)

• Suka menunjuk-nunjuk kelebihan (riya)

• Mencari nama/kehormatan

• Kedekut/kikir/bakhil

• Membanggakan diri

• Mementingkan kebendaan

• Pemarah

Setiap Muslim mesti berusaha untuk membersihkan diri dari sifat-sifat yang tercela atau

menghindari perkara-perkata yang boleh mengotorkan hati atau ruh. Sifat yang Menyinari Jiwa/Ruh/Hati, menurut Imam al-Ghazali di antara sifat-sifat terpuji ialah;

• Taubat: menyesali perbuatan yang tercela dan keji

• Taqwa: takut kepada Allah SWT

• Ikhlas: niat dan amal yang tulus atau suci

• Syukur: rasa terima kasih

• Redha: tenang menerima takdir Allah SWT

• Sabar: tahan menerima cubaan

• Zuhud: hidup bersederhana

• Tawakal: menggantungkan atau menyerahkan segala urusan kepada Allah SWT

• Mahabbah: perasaan cinta kepada allah SWT

• Zikrul maut: selalu mengingati mati

 

4.2 PENDIDIKAN & LATIHAN AKAL

Konsep tarbiyah aqliyah adalah suatu konsep pendidikan akal untuk berfikir benar, agar terbebas dari pemikiran tanpa dasar (asas) sehingga mampu membuat keputusan yang tepat dan benar. Pendidikan adalah peningkatan pemikiran akal dan latihan secara teratur untuk berpikir benar, dan mampu menjaga pemikiran dari pengaruh yang pelbagai  sehingga dapat membuat keputusan yang tepat dan benar.

Pendidikan akal, antaranya meliputi;

• Latihan perasaan agar cermat dan benar/betul/tepat dalam memilih sesuatu

• Melatih memperhatikan sesuatu yang nyata dan memikirkannya menurut hakikat

• Pengaturan cara berfikir dan membekalkan dengan pengetahuan yang berguna

• Menguatkan daya intuisi dan melatihnya membiasakan berfikir secara sistematik

Tahap Pendidikan Akal ialah;

  • Pengetahuan (menguji daya ingatan). Mengenal dan mengingat bahan yang dipelajari.
  • Kefahaman (Menguji tahap kefahaman/mengerti dan tahu). Kemampuan menyimpulkan bahan yang telah dipelajari.
  • Aplikasi (Penguasaan ilmu yang dipelajari). Mampu menggunakan dan mengolah bahan dan kaedah yang dipelajari dalam kehidupan.
  • Analisa (Dapat membuat andaian dan pencerakinan). Mampu menghuraikan suatu bahan ke dalam suatu idea.
  • Sintisis (Dapat menggunakan pengetahuan untuk penghasilan sesuatu yang baru).

 

4.3 PENDIDIKAN & LATIHAN JASMANI

Pendidikan Jasmani merupakan satu proses pembelajaran yang  menyeluruh merangkumi semua aspek domain seperti psikomotor, kognitif, afektif, sosial dan emosi. Melalui pendidikan jasmani, pelajar akan diberi ruang untuk mencuba dan mengalami sendiri pengalaman semua aktiviti fizikal yang dijalaninya.

Kesihatan yang baik menjadikan seseorang individu lebih selesa meneruskan kehidupan dan menikmati kebahagiaan. Perumpamaan Arab menyatakan “al-Aqlu sallim fii jismi sallim” yang bermaksud akal yang sihat datangnya dari tubuh badan yang sihat. Matlamatnya pendidikan jasmani adalah untuk meningkatkan kesegaran fizikal, mengembangkan kemahiran psikomotor, pengetahuan dan perilaku hidup sihat dan aktif serta kecerdasan emosi.

Islam sangat mementingkan kesihatan. Umat Islam diperintah menjaga tubuh badan agar sentiasa sihat dan berikhtiar berubat apabila sakit. Amalan Untuk Menjaga Kesihatan Jasmani. Makan yang halal dan berkualiti. “Wahai orang yang  beriman! Makanlah barang yang baik dari apa yang  diberikan kepada kamu dan bersyukurlah kepada Allah, jika betul kamu hanya beribadat kepadanya. Sesungguhnya Allah  hanya mengharamkan kepada kamu memakan bangkai, darah, daging babi dan binatang yang  disembelih tidak kerana Allah, maka sesiapa dalam keadaan terpaksa dengan tidak sengaja dan tidak melampaui batas, maka tidaklah berdosa baginya (memakan/mengguna benda-benda yang haram) kerana sesungguhnya Allah  Maha Pengampun lagi Mengasihani.”(al-Baqarah: 172 –173).

Makan secara sederhana dan seimbang. Makanan hendaklah diambil dalam kadar yang sederhana dan berimbang serta tidak makan secara rakus dan pelahap. Pengambilan makanan hanyalah untuk memperkuatkan tubuh, memelihara kesihatan, mendapatkan tenaga dan kecergasan. Firman Allah SWT yang bermaksud: “Makanlah dan minumlah, dan jangan pula kamu melampau; Sesungguhnya Allah tidak suka akan orang-orang yang melampaui batas (al-A’raf: 31). Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: “Bekas yang paling buruk bagi manusia adalah perutnya, jika ia hendak memenuhinya hendaklah memenuhinya hanya sepertiga untuk makanan, sepertiga untuk minuman dan sepertiga lagi untuk pernafasan” (Riwayat Al Tarmizi).

Menjaga penampilan/Rambut. Diberitakan bahawa Rasulullah SAW telah menziarahi kami, lalu terlihat seorang lelaki yang rambutnya mengerbang, lalu baginda bersabda yang bermaksud: “Tidak adakah sesuatu pada lelaki itu yang boleh digunakan untuk menyikat rambutnya? (Riwayat Muslim). Menjaga kebersihan badan dan Pakaian Rasulullah SAW menyarankan agar mandi dengan sempurna terutamanya pada hari Jumaat. Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: “Hendaklah kamu mandi pada hari Jumaat dan basuhlah kepala kamu sekalipun kamu tidak junub dan pakailah bau-bauan yang wangi (Riwayat Bukhari). Rasulullah juga bersabda yang bermaksud: “Adalah satu hak yang wajib ke atas setiap Muslim mandi satu hari dalam seminggu di mana dia mesti membasuh kepala dan tubuhnya” (Riwayat Bukhari dan Muslim). Melakukan riadah badan atau bersukan. beriadah adalah sebahagian amalan gaya hidup sihat. Islam menggalakkan umatnya mengamalkan aktiviti latihan jasmani yang bersesuaian. Sayidina Umar RA yang menggalakkan bersukan dan latihan jasmani. Katanya: “Ajarlah anak kamu berenang, memanah dan menunggang kuda”. Gaya hidup yang sihat juga dapat diperolehi dengan melakukan ibadah khusus seperti berwudhuk, bersolat dan berpuasa. Berwudhuk boleh menghilangkan jangkitan kuman dan habuk daripada terus melekat di badan atau rongga. Persekitaran yang bersih memberikan oksigen yang menyegarkan spiritual dan fizikal. Berfikiran positif boleh menyihatkan otak dan mengurangkan stress.

 

4.4 PENGUKUHAN

Teori pengukuhan (reinforcement theory) merupakan teori yang paling berkesan dalam motivasi perubahan tingkahlaku. Menurut teori ini, manusia melakukan apa saja kerana mengharapkan ganjaran. Justeru ganjaran berfungsi sebagai pengubah kepada sesuatu tingkah laku. Teori pengukuhan mengatakan bahawa seseorang berhubung dengan yang lain kerana menjangkakan akan memperolehi sesuatu. Jika pada jangkaannya tidak akan mendapat sesuatu perhubungan, perubahan tidak akan berlaku.

Pengukuhan juga dikenali sebagai peneguhan. Ia dilakukan untuk mengalakkan sesuatu perlakuan itu diulangi. Pengukuhan diberikan kerana;

  1. Untuk memuaskan kehendak individu.
  2. untuk mengurangkan tekanan dan merangsang otak.
    Pengukuhan terbahagi kepada 2 iaitu;
    PENGUKUHAN POSITIF. Pengukuhan/peneguhan positif memberi keseronokan dan lebih berkesan. Di
    Antaranya;

  1. Pujian
  2. Hadiah
  3. Memberi makan
  4. Kata-kata perangsang
  5. Penajaan
  6. Kenaikan pangkat/gaji/imbuhan/bonus
  7. Sentuhan

PENGUKUHAN NEGATIF


Pengukuhan/peneguhan negatif boleh membawa kesakitan fizikal atau emosi, kadang-kadang pelaku tidak dapat menerimanya sehingga menjadi dendam. Di antaranya;

  1. Pukulan
  2. Denda
  3. Ejekan
  4. Ancaman
    Islam memberi penekanan kepada penampilan kerana ia boleh menggambarkan perwatakan seseorang individu. Oleh itu sejak kecil lagi kanak-kanak perlu dibimbing dan dilatih supaya dapat menjaga diri secara seimbang meliputi rohani, akal dan jasmani. Rasulullah SAW pernah menegur mereka yang terlalu ekstrem melakukan ibadat, sabda baginda yang bermaksud; Tidakkah diberitahu kepadaku bahawa engkau berpuasa di siang hari dan bersembahyang di malam hari? Ya, jawabnya baginda bersabda; Janganlah berbuat demikian, berpuasalah dan berbukalah, tidur dan bangunlah kerana sesungguhnya badan mu mempunyai hak ke atas mu.
    Dalam sejarah Islam, jumlah tentera Islam yang kecil berjaya menewaskan tentera Musyrikin yang lebih ramai.  Kejayaan ini adalah hasil pendidikan dan latihan Rasulullah
    SAW. Mereka bukan sahaja gagah jasmani tetapi juga rohani mereka terisi dengan cahaya iman serta ketinggian jihad hasil dari ketakwaan kepada Allah.
     

ISC402 L 3


L 3

ELEMEN PEMBANGUNAN PERSONALITI

 

Manusia mempunyai unsur rohani dan jasmani atau unsur dalaman dan luaran.  Perkembangan dan pembangunan kedua-duanya perlu selari, seimbang dan bersepadu. Individu yang berkembang secara bersepadu dapat menjalani hidup dan melaksanakan tugas dengan baik.

 

3.1 RUH

Ruh diertikan sama dengan al-nafs. Ia berkaitan dengan tubuh, jantung dan peredaran darah (ruh dalam bentuk jasmaniah yang terikat dengan jasad). Ruh yang definisinya sama dengan hati, iaitu ruh sebagai lathifah rabbaniyyah ruhaniyyah, secara abstrak atau secara maknawi, ruh adalah sama dengan hati.  Melalui ruh seseorang dapat merasakan penderitaan atau kebahagiaan. Barat menyebutnya mind, kita menyebutnya jiwa. Surah al-Isra’: 85 bermaksud: “Dan mereka bertanya kepadamu (Muhammad) tentang ruh. Katakanlah, Ruh itu termasuk urusan Tuhanku, sedangkan kamu diberi pengetahuan hanya sedikit”.

3.2 AKAL

Aql memiliki dua makna: Pertama: akal sebagai ilmu tentang sesuatu. orang yang berakal bererti orang yang mempunyai ilmu tentang sesuatu, ini bermakna akal sama dengan ilmu. Kedua: sesuatu di dalam diri kita yang menjadi alat untuk memperoleh ilmu. Akal sama ada ilmu itu sendiri atau alat untuk memperoleh ilmu. itu bermakna akal sama ertinya dengan hati, iaitu lathifah rabbaniyyah ruhaniyyah mudrikah alimah arifah. Ini bermakna akal membolehkan seseorang itu untuk mengetahui sesuatu Ibn Rushd membahagikan akal kepada 3 kategori:

i. Akal demonstratif (burhani); yang mampu memahami dalil-dalil atau bukti-bukti yang meyakinkan dan tepat.

ii. Logik (mantiq), sekadar memahami fakta-fakta argumentatif, tanpa melalui pembuktian yang jelas dan pasti.

iii. Retorik (khitabi), hanya mampu menangkap hal-hal yang bersifat nasihat dan retorik, tidak dipersiapkan untuk memahami atau berpikir secara sistematik.

Fungsi akal: mengingat, menyimpulkan, menganalisis, menilai, membezakan benar atau

salah. Ini yang membezakan manusia dengan makhluk lain.

 

3.3 HATI

Hati merupakan suatu elemen paling penting dalam diri seorang manusia. Hati merupakan ketua kepada kerajaaan diri. Malah para ulama sufi menggelarkan hati sebagai raja dalam kerajaan tubuh badan manusia. Kata orang-orang tua, ikut hati mati, ikut nafsu lesu.

 

3.4 NAFSU

Nafsu bermakna keinginan, kecenderungan atau dorongan hati yang kuat. Nafsu juga bermakna :

i. nafs dalam erti negatif, iaitu al-hawa, (hawa nafsu,). tugas kita adalah membersihkan hati kita dari nafsu. hati yang bersih dari nafsu, disebut  dengan istilah qalbun salim. al-hawa adalah makanan syaitan.  ii. nafs yang berarti manusia secara keseluruhan. hakikat diri kita adalah nafs kita, ego atau diri kita. (Al-Fajr:27-28).

Perkataan nafsu boleh digabungkan dengan perkataan lain bagi membawa erti yang lebih khusus, antaranya adalah:

-  Hawa nafsu, biasanya dikaitkan dengan dorongan hati yang kuat untuk melakukan

perkara yang tidak baik. Adakalanya bermakna selera, jika dihubungkan dengan makanan.

- Nafsu syahwat iaitu keinginan, kecenderungan atau keberahian khusus berkaitan dengan seksual.

- Nafsu serakah iaitu nafsu yang tidak dikawal, tanpa batasan dalam segala hal terutamanya dalam hal berkait dengan seksual.

Pada perspektif Islam,  terdapat empat peringkat nafsu yang mempengaruhi tabiat manusia, iaitu:

a) Nafsu Ammarah: Nafsu yang sentiasa mendorong manusia melakukan kejahatan. Bagi mereka yang berada pada peringkat ini tidak merasakan perbezaan di antara yang  baik dan jahat.  Apabila melakukan kejahatan, ia tidak menyesal dan sebaliknya juga apabila melakukan kebaikan, ia tidak gembira.

b) Nafsu Lawwamah: Nafsu yang mula menunjukkan kelemahan diri, menilai tabiat masa lampau dan ingin keluar untuk memulakan kehidupan positif.

c) Nafsu Mulhamah: Nafsu yang sudah menerima kebenaran dan keinsafan serta merasa

keseronokan membuat kebaikan dan benci kepada kejahatan.

d) Nafsu Mutma’innah: Nafsu yang mencapai kedamaian dan kebahagiaan. Nafsu ini berusaha terus meningkatkan keimanan & ketaqwaan dalam diri.

Menurut Ibn Qayyim, nafsu manusia dibahagikan kepada:

i. nafs mutma’innah

ii. nafs lawwamah dan

iii. nafs ammarah

KESAN KEGAGALAN MENGAWAL NAFSU. Bermula daripada individu itu sendiri, seterusnya merebak kepada institusi kekeluargaan dan memberi kesan terhadap masyarakat setempat dan akhirnya turut memberi kesan terhadap pembangunan negara.

  1. Ia menyebabkan wujud individu yang berpaksikan nafsu dan mudah terpengaruh dengan budaya negatif, tidak mempunyai pegangan agama yang kuat seterusnya memberi kesan terhadap institusi kekeluargaan itu.
  2. Wujud perpecahan dalam institusi kekeluargaan memandangkan ketua keluarga sendiri tidak mempunyai agama yang kukuh dalam membimbing keluarga. Masa depan anak terabai apabila ibu bapa sibuk dengan dunia sosial mereka yang kompleks.
  3. Masyarakat akan berpecah belah, fitnah memfitnah, berprasangka buruk (prejudis)  sesama sendiri, tidak ada persefahaman sesama masyarakat.

Melahirkan masyarakat yang tidak bersatu padu, pentingkan diri, seterusnya menimbulkan masalah perkauman dalam negara, memandangkan Malaysianmempunyai penduduk yang pelbagai etnik. Negara juga akan kehilangan generasi kepimpinan masa hadapan. Membantutkan perkembangan kemajuan ekonomi. Anasir jahat dari luar mudah menyelinap masuk ke dalam negara. Negara yang rakyatnya tidak tegoh pendirian mudah dipengaruhi di dilemahkan.

 

3.5 JASMANI

Merupakan unsur yang berkaitan dengan jasad atau tubuh badan atau disebut fizikal. Unsur jasmani yang paling penting untuk dipertingkatkan adalah kesihatan dan kecergasan. Ia merangkumi pemanfaatan anggota fizikal untuk berdikari dan hidup bermasyarakat. Penjagaan Kesihatan diberi perhatian utama dalam al-Quran surah al-Muddatsir ayat 4 dan 5. Saranan membersihkan pakaian dan meninggalkan segala macam kekotoran. Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud;

“Kebersihan adalah sebahagian dari iman”.

Beberapa contoh pencegahan dan penjagaan kesihatan jasmani seperti amalan menutup hidangan, mencuci tangan sebelum makan, memberus gigi, larangan bernafas ketika minum, tidak membuang air di tempat air yang tidak mengalir atau di bawah pohon. Maksud firman Allah; “Wahai orang yang beriman!  Makanlah dari benda-benda yang baik (yang halal) yang telah Kami berikan kepada kamu, dan bersyukurlah kepada Allah, jika betul kamu hanya beribadat kepada-Nya.” (Surah al-Baqarah: 172)

Kesihatan Jasmani juga disebut sebagai sejahtera, selamat dan afiat. Semasa sihat seharusnya digunakan sebaik mungkin. Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud; Rebutlah lima perkara sebelum datangnya lima perkara yang lain iaitu; Masa muda sebelum datangnya hari tua. Masa sihat sebelum datangnya masa sakit. Masa kaya sebelum datang masa papa. Hidup sebelum datangnya mati. (Riwayat Tirmizi dan Muslim). Penjagaan Kesihatan melalui makan secara berimbang, makanan yang berkhasiat. Menjauhkan diri daripada perkara yang diharamkan dan berpantang. Harith Ibn Kaladah, seorang sahabat Rasulullah SAW bersabda; Perut itu sarang penyakit, berpantang adalah petua segala perubatan, Bagi mengatasi masalah ini dianjurkan supaya membiasakan diri dengan amalan harian iaitu memakan makanan yang biasa dimakan. Kelebihan orang sihat dan kuat dapat melaksanakan tugas dan kewajiban serta ibadat dengan baik dan sempurna. Maksud firman Allah SWT surah al-Qasas: 26: “Salah

seorang dari keduanya berkata,: wahai ayah, ambillah dia sebagai pekerja, sesungguhnya sebaik-baik pekerja ialah yang kuat lagi amanah. Nabi Adam dibekalkan dengan akal dan Allah SWT mengarahkan malaikat Jibril mengajarkan semua nama benda sebagai bekalan untuk mentadbir alam. Kurniaan akal yang membezakan manusia daripada makhluk yang lain Dengan akal manusia dapat membangun dan memperkembangkan potensi diri dan persekitarannya. Dalam usaha melaksakan tugas Khalifatu fi al-Ard.

Saturday, September 7, 2019


ASAS PEMBANGUNAN PERSONALITI
 
2.1 TAUHID
Pengertian tauhid dari segi bahasa berasal dari perkataan ahad yang bererti mengesakan. Dari segi istilah; beriktiqad dan mempercayai Allah SWT itu Esa, Tunggal tidak ada syirik dan sekutu bagi-Nya. Tauhid  merupakan satu pegangan hidup yang mempercayai bahawa Allah SWT adalah Tuhan yang Esa dan tidak sekutu atau yang menyerupai-Nya. Ilmu tauhid juga adalah ilmu yang menerangkan hukum syarak dalam bidang iktiqad yang diperoleh dari dalil yang qat’ie (pasti) yang berdasarkan ketetapan akal. Tauhid merupakan roh Islam, umbi akidah dan sumber ibadah.
 
  1. Jenis Tauhid
  1. Tauhid Rububiyyah; Mempercayai Allah SWT sebagai Rabb atau pencipta dan penguasa terhadap sesuatu. Allah adalah pencipta sekelian makhluk dan alam ini, pemilik, pentadbir dan pemberi segala-galanya. Allah SWT berfirman yang bermaksud; “Apakah mereka menyekutukan Allah dengan berhala-berhala yang tidak dapat menciptakan sesuatupun? Sedangkan berhala-berhala itu sendiri buatan orang.” (QS 7:191)
     
  2. Tauhid Uluhiyyah; Beriktiqad dan beriman bahawa Allah SWT sahaja yang berhak disembah dan tiada sekutu di dalam penyembahan-Nya. Allah sahaja yang berhak disembah, ditaati dan dikasihi, kepada-Nya tempat bertawakkal, tempat berserah, tempat menaruh harapan, permohonan dan berdoa. Firman Allah SWT yang bermaksud; Dan sesungguhnya Kami telah mengutus Nuh kepada kaumnya. Maka ia berkata: Wahai kaumku! Sembahlah kamu akan Allah (kerana) sekali-kali tidak ada Tuhan bagimu selain Dia. Mengapa kamu tidak bertaqwa kepada-Nya?” (QS 23:) 23.
     
  3. Tauhid Asma’ wa al-Sifat; Beriktiqad dan beriman bahawa Allah SWT bersifat dengan sifat-sifat kesempurnaan dan Maha Suci dari segala sifat-sifat kekurangan dan kelemahan dan Allah SWT mempunyai nama-nama yang layak dengan kebesasaran-Nya. Beriman kepada nama-nama Allah dan sifat-Nya. Tauhid ini adalah beriman bahwa Allah memiliki nama dan sifat baik (asma ul-husna) yang sesuai dengan keagungan-Nya. Umat Islam mengenal 99 asma ul-husna merupakan nama sekaligus sifat Allah.
 
  1. Pengaruh Tauhid Dalam Kehidupan
  1. Membebaskan manusia dari pengabdian selain dari Allah,menolak segala bentuk pengabdian kepada sesiapa selain Allah SWT. Sebagai contoh Bilal bin Rabah,bagaimana jiwa tauhid telah merubah kehidupannya muncul sebagai seorang manusia baru berjiwa merdeka yang sanggup menghadapi siksaan majikannya dan mempertahankan keyakinan akidah yang dianutinya.
  2. Mewujudkan keikhlasan dalam beribadah.
  3. Berada di landasan yang betul dan tepat.
  4. Menjauhkan diri daripada sifat cintakan (hubbu) dunia.
  5. Membentuk peribadi mulia dengan sifat mahmuddah dan menghindari sifat mazmummah.
  6. Meletakkan pergantungan sepenuhnya kepada Allah dengan bertawakal.
  7. Melahirkan rasa syukur.
  8.  Membentuk sifat berani kerana takut hanya kepada Allah.
     
     
2.2 TAQWA
Berasal dari perkataan waqa yang bererti memelihara hubungan baik dengan Allah SWT dengan melakukan segala yang diperintah dan meninggalkan segala yang dilarang. “Wahai orang yang beriman! Hendaklah kamu memelihara diri kamu dan keluarga kamu dari api Neraka. (al-Tahrim: 6). Sayyid Qutub menyatakan dalam tafsir “Fi Zilal al-Quran” menjelaskan bahawa Taqwa adalah kepekaan hati, kehalusan perasaan, rasa khuatir yang berterusan dan berhati-hati terhadap semua larangan Allah dalam kehidupan.
 
2.3 KHILAFAH
Bererti kepimpinan atau kekuasaan. Ia juga disebut dengan Imamah. Khilafah adalah kekuasaan umum atas seluruh umat, pelaksanaan urusan umat, Imamah atau Khilafah ditetapkan bagi pengganti kenabian dalam menjaga agama dan pengaturan urusan dunia. Setiap individu perlu memahami bahawa mereka memikul amanah Allah SWT, perlu mentadbir dan membangun alam ini sejajar dengan ketetapanNya. Sebagai khalifah mereka perlu melengkapkan diri dengan ilmu dan kemahiran serta memupuk nilai-nilai kemanusiaan yang baik demi kesejahteraan sejagat.
 
2.4 TAZKIYYAH
Bermaksud pembersihan, penyucian atau penyuburan. Dalam konteks ahli  tasawuf, tazkiyah merujuk kepada bersih daripada sifat keji dalam diri dan kezaliman lahiriyah. Tazkiyah al-Nafs adalah melibatkan dua proses utama iaitu al-takhalli ialah membersihkan diri daripada sifat-sifat yang tercela kerana ianya adalah najis maknawi yang menghalang untuk sampai kepada hadrat Allah yang Quddus. Tazkiyah al-Nafs amat penting dalam kehidupan manusia yang mahu mencari kesejahteraan hidup di dunia dan akhirat. Tazkiyah bukan bermakna menolak kehidupan dunia tetapi mengawal berlandaskan syariat. Tazkiyah al-Nafs membentuk jiwa manusia dengan melakukan segala yang disyariatkan oleh Islam secara istiqamah.
 
 
2.5 UKHUWWAH
Bermaksud saudara,teman,sahabat dan lain-lain lagi. Dari segi istilah: Menurut Al-Quran ukhuwwah ialah perasaan kasih sayang, tolong menolong, bantu membantu, bertolak ansur  bermesra dan cinta mencintai di antara sesama umat Islam. Allah SWT berfirman yang bermaksud: “Sesungguhnya orang mukmin adalah bersaudara, maka damaikanlah di antara kedua saudaramu dan bertaqwalah kepada Allah SWT supaya kamu mendapat rahmat” (surah al-Hujurat: 10). Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Daripada Nu’man bin Bashir r.a.; Bahawa Rasulullah SAW bersabda: Perbandingan orang mukmin pada kasih sayang mereka adalah seperti tubuh badan yang satu, apabila satu anggota berasa sakit seluruh badan akan turut merasainya.”
 
a. Prinsip-prinsip Ukhuwwah
i. Perdamaian atau hubungan yang baik, saling bermaaf-maafan dan tidak terlalu sensitif. Firman Allah SWT yang bermaksud: “Maka hendaklah kamu bertaqwa kepada Allah dan perbaikilah hubungan antara kamu dan taatlah kepada Allah dan Rasul-Nya sekiranya kamu orang yang beriman”(Al-anfal: 12).
ii. Saling kasih mengasihi dan cinta mencintai ke arah mengeratkan lagi ikatan ukhuwwah. Firman Allah yang bermaksud: “Kamu sekali-kali tidak sampai kepada kebaikan sebelum kamu menafkahkan sebahagian harta yang kau cintai dan apa sahaja yang kamu nafkahkan, maka sesungguhnya Allah mengetahuinya”. (Ali  Imran: 92).
     Kasih Sayang dan cinta mencintai boleh dipertingkatkan melalui sedekah. Dapat disuburkan sehingga mencapai taraf yang paling tinggi jika sanggup mengorbankan sesuatu yang paling disayangi untuk membela nasib golongan yang memerlukan. malang.
2 . Ikhlas. Hanya orang ikhlas sahaja yang dapat mengorbankan segala-galanya untuk menyempurnakan hidup berukhuwah. Ikhlas akan melahirkan insan yang berkhidmat tanpa noktah akhir.
3.  Amanah. Orang yang tidak amanah merupakan perosak sifat kemanusian dan ketamadunan kerana Allah SWT telah memberikan amanah kepada manusia untuk memakmurkan alam ini.
4. Belas Kasihan. Sifat Ini penting kerana tanpanya menyebabkan kekejaman dan penindasan berelaku secara berleluasa di dalam masyarakat.
 
Adab Ukhuwah
 
1. Mengutamakan sahabat dengan harta bendanya.  Jika tidak mampu diberikan apa yang lebih dari hajatnya.
2. Bersegera membantu sahabat yang memerlukan bantuan.
3. Menyembunyi rahsia sahabat.
4. Menutup keaiban sahabat.
5. Menghindarkan perbuatan bantah-membantah.
6. Tidak sindir-menyindir dan perli-memperli.
7. Sentiasa mendoakan sahabat semasa senang atau susah.
8. Sentisasa melafazkan dengan perkataan “inni uhibbuka fillah”.
9. Sentiasa bertanya khabar.
10. Sentiasa mengucapkan terima kasih di atas bantuan yang diberikan.
 
KESIMPULAN
 
Asas pembentukan personaliti atau sahsiah Muslim adalah berpanduan acuan Rabbaniah. Hidup manusia  adalah dalam lingkungan 3 pola hubungan iaitu hubungan dengan Pencipta, hubungan dengan sesama manusia dan  hubungan manusia dengan alam. Ketiga-tiga hubungan tersebut mestilah berpaksikan kepada manual yang telah ditentukan oleh Allah SWT. Ketiga-ketiga hubungan itu mestilah dijaga dengan baik supaya tugas manusia sebagai khalifah di bumi dapat dilaksanakan secara terbaik dan sentiasa mendapat keredhaan Allah SWT.