Pages

Tuesday, February 25, 2014

Konsep Asas Hubungan Etnik (T1)


KONSEP-KONSEP ASAS HUBUNGAN ETNIK
Oleh
Mohd Zuhairi Safuan

1.              Kebudayaan (Culture)
Seluruh cara hidup manusia dalam aspek pemikiran dan kebendaan meliputi kepercayaan, ilmu pengetahuan, undang-undang, ekonomi, kesusilaan, kesenian, seni bina, kebolehan serta kebiasaan dan sebagainya. Ia diwarisi generasi ke generasi melalui pembelajaran dan berbeza di antara satu masyarakat dengan masyarakat yang lain. Kebudayaan manusia dipengaruhi oleh faktor-faktor seperti persekitaran tempat tinggal, bangsa dan etnik, psikologi dan kegiatan ekonomi.

2.              Masyarakat (Society)
Satu organisasi sosial yang besar, kompleks dan moden di mana ahli-ahlinya hidup bersama, saling bergantung, bekerjasama, berkongsi nilai, sama budaya dan wujud garis panduan tingkah laku sosial bagi menggambarkan organisasi yang bersatu padu dan berbeza dengan yang lain. Masyarakat boleh dikelaskan mengikut ekonomi seperti masyarakat feudal, kapitalis, sosialis. Ia juga boleh dikelaskan mengikut agama seperti masyarakat Islam, Kristian, Hindu dan Buddha ataupun mengikut jenis pengeluaran ekonomi seperti masyarakat tani dan masyarakat industri.

3.              Institusi Sosial
Pola tingkah laku yang telah dipersetujui bagi memenuhi keperluan sosial atau suatu cara yang seragam (standard) untuk mengatasi berbagai masalah yang timbul dalam masyarakat. Di antara contohnya ialah institusi politik, institusi ekonomi, institusi perkahwinan, institusi agama dan sebagainya. Kewujudan institusi sosial ini berupaya memberikan kehidupan yang lebih stabil dalam masyarakat.

4.              Mobiliti Sosial
Proses perubahan individu atau masyarakat dari suatu tingkat sosial ke suatu tingkat sosial lain yang lebih tinggi dalam satu sistem stratifikasi sosial. Ia berupa mobiliti yang bersifat mendatar (horizontal) dan menaik (vertical). Mobiliti sosial biasanya dilihat dari segi pekerjaan. Stratifikasi sosial sesebuah masyarakat yang terlalu rigid seperti mengikut ras, keturunan dan warna kulit boleh menyebabkan tidak berlaku mobiliti sosial secara terbuka. Pada masa ini sebenarnya peluang untuk mobiliti sosial adalah anjal (fleksible), terbuka dan luas. Ia tidak seperti keadaan dalam masyarakat yang mempunyai sistem sosial seperti kasta dan apartheid yang tiada langsung peluang untuk mobiliti sosial.

5.              Perubahan Sosial (Social Change)
Perubahan atau pindaan struktur dan fungsi atau peranan suatu sistem sosial. Perubahan sosial boleh berlaku secara lambat (evolusi) dan juga cepat (revolusi) kerana penerimaan idea-idea baru dan tekanan untuk proses perubahan. Ia merupakan suatu proses yang berlaku kerana keperluan bersama dalam masyarakat untuk melakukan perubahan demi memperkuatkan kedudukan mereka dan menyempurnakan kehidupan masyarakat. Berlaku perubahan dalam kehidupan berkeluarga, politik, ekonomi, nilai, agama, teknik dan sebagainya. Banyak contoh yang boleh diketengahkan antaranya ialah hilangnya semangat gotong royong, masyarakat berteknologi, berkembangnya institusi didikan kanak-kanak pra-sekolah serta rumah jagaan untuk orang tua, wanita keluar bekerja dan sebagainya.

6.              Status Sosial (Social Status)
Kedudukan social atau peranan individu dalam masyarakat. Ia merupakan manifestasi bahawa setiap individu memiliki status sosialnya yang tersendiri. Ia adalah berkaitan dengan hak dan tanggungjawab tetapi tidak semestinya berbentuk hiraki tinggi ataupun rendah. Status sosial boleh dinilai melalui jawatan, pendidikan, kekayaan, keturunan, dan sebagainya. Contohnya antara lain ialah peguam, menteri, doktor, pekerja kilang, petani, pengurus, imam, ibu dan datuk. Apabila status sosial dilihat dari sudut lebih tinggi maka akan wujud hiraki yang biasanya dikaitkan dengan pangkat atau darjat. Ia juga merupakan penghormatan masyarakat terhadap individu. Status sosial ini boleh diwarisi dari generasi ke generasi sejak lahir dan juga boleh diusahakan untuk memperolehinya dengan latihan kerja keras. Status sosial berkait rapat dengan peranan seseorang dalam masyarakat. Adakalanya seorang memiliki dua status sosial seperti seorang ibu dan juga sebagai seorang yang berkerjaya.

7.              Masyarakat Majmuk (Plural Society)
Masyarakat yang terdiri dari berbagai kelompok ras dan etnik yang berlainan cara hidup tetapi berada di bawah satu bentuk pemerintahan politik. Masyarakat majmuk pelbagai etnik ini mempunyai kebudayaan, agama, bahasa dan adat resam yang tersendiri dan berbeza, tidak bergantung kepada etnik lain tetapi hidup bersama-sama dan bercampur gaul. Ciri utama bentuk masyarakat ini ialah perpecahan, konflik, percanggahan dan paksaan. Kehidupan mereka terasing dalam satu sistem tersendiri walaupun hidup berdekatan dan berlaku interaksi sosial terhad yang biasanya pada sektor ekonomi sahaja.

8.              Ras (Race)
Sekelompok manusia yang mempunyai persamaan fizikal seperti warna kulit, bentuk kepala, mata, telinga, rambut dan sebagainya kerana dari baka atau biologi yang sama. Ada tiga ras utama, iaitu; Caucacoid (orang putih), Negroid (orang negro) dan Mongoloid (orang berkulit coklat). Tiga etnik ini mempunyai perbezaan bentuk tubuh badan dan warna kulit. Sebenarnya manusia sering bergerak dari satu kawasan ke kawasan yang lain dan perkahwinan campur kerap berlaku sehingga sukar membuat penggolongan berdasarkan ras sedemikian.

9.              Rasisme (Racism)
Kepercayaan bahawa sesuatu ras lebih utama, unggul (superior) dari ras yang lain berdasarkan faktor biologi, kebolehan, kecerdasan, keupayaan, kebudayaan dan sebagainya. Pelaksanaan rasisme menyebabkan wujud ketidakadilan, diskriminas, kebencian, permusuhan dan ketidaksamaan. Contohnya orang kulit putih di Afrika Selatan merasa lebih hebat daripada orang kulit hitam.

10.          Etnik (Ethnic)
Merupakan klasifikasi manusia berasaskan faktor sosial dan kebudayaan iaitu sekelompok manusia yang mengamalkan budaya yang hampir seragam, termasuk adat resam, pakaian, bahasa dan kegiatan ekonomi tetapi ia membezakan mereka dari kelompok lain dalam sesuatu masyarakat manusia yang lebih besar. Etnik berkait rapat dengan konsep ras dan bangsa. Ras dan bangsa memberikan penekanan pada perbezaan fizikal atau sifat-sifat biologi (keturunan dan pertalian darah yang sama) antara sesama manusia. Dalam konteks masyarakat majmuk Malaysia, terdapat pelbagai kelompok etnik yang hidup berlainan, tetapi hidup di bawah sistem politik yang sama. Etnik dapat dikelaskan melalui perbezaan budaya. Di Malaysia, orang Melayu, India, Cina, Kadazandusun, Melanau dan pelbagai lagi dianggap sebagai etnik. Etnik pada dasarnya bersifat etnosentrik iaitu menganggap ciri-ciri budayanya sahaja sebagai sebagai wajar, betul dan lebih utama daripada budaya etnik lain yang dipandang rendah. Konsep etnik juga membentuk etnisiti iaitu semangat kekitaan sesuatu kumpulan etnik. Sebagai contohnya orang Portugis di Melaka percaya mereka merupakan sama etnik dengan orang Portugis di Portugal kerana nilai, adat resam, tradisi dan kepercayaan yang sama.

11.          Asimilasi (Assimilation)
Asimilasi merupakan satu proses percantuman dan penyatuan antara kumpulan etnik berlainan budaya sehingga membentuk satu kelompok dengan kebudayaan dan identiti yang sama. Ia melibatkan kumpulan etnik minoriti kehilangan identiti dan terserap kepada kebudayaan dan sosial etnik mijoriti. Mereka yang berfikir, berperasaan dan bertindak secara berlainan akhirnya menjadi satu dalam kesatuan sosial serta budaya yang sama. Asimilasi sempurna menyebabkan berlakunya penghapusan penuh perbezaan dari segi kebudayaan dan identiti seperti bahasa, pakaian dan adat resam. Konsep ini diwakili dengan formula A+B+C=A, dalam hal ini A mewakili golongan majoriti dominan sementara B dan C mewakili kumpulan etnik minoriti. Contohnya orang Melayu di Selatan Thailand mengalami proses asimilasi sehingga menyebabkan nama, bahasa, fesyen dan hampir semua aspek cara hidup mereka (kecuali agama) telah disatukan dengan amalan dan cara hidup orang Thai. Di Malaysia, apa yang berlaku ke atas masyarakat Jawa, bugis, Cina Kelantan, Baba dan Nyonya merupakan contoh berlakunya proses asimilasi. Namun, bagi etnik Cina di Kelantan serta Baba dan Nyoya, asimilasi berlaku dalam konteks budaya tanpa melibatkan anutan kepercayaan atau agama etnik tersebut. Kejayaan asimilasi umumnya bergantung kepada kesanggupan etnik minoriti menghilangkan identiti mereka dan menerima identiti kumpulan etnik majoriti dan kesanggupan kumpulan etnik majoriti menerima kumpulan etnik minoriti.

12.          Akomodasi (Accomodation)
Penyesuaian iaitu suatu keadaan atau proses apabila kelompok-kelompok yang berkonflik bersetuju untuk menghentikan atau mengelakkan konflik dengan mengadakan interaksi secara damai untuk sementara ataupun untuk selama-lamanya. Ini dilakukan menerusi perundingan dan juga tolak ansur tetapi mereka meneruskan sikap mereka untuk hidup berasingan. Ia juga melibatkan proses kerjasama dan tolak ansur yang menekankan keseimbangan serta tidak menghilangkan indentiti sesuatu kelompok. Di Malaysia contoh akomodasi yang ketara ialah penggunaan bahasa Melayu dan amalan kebebasan beragama terhadap rakyat yang terdiri dari etnik bukan Melayu.

13.          Amalgamasi
Satu proses yang terjadi apabila budaya atau ras bercampur untuk membentuk jenis budaya dan ras baru. Bentuk proses amalgamasi adalah perkahwinan campur antara kumpulan-kumpulan etnik yang berbeza. Teori amalgamasi dinyatakan dalam bentuk formula A+B+C=D, di mana A, B, dan C mewakili kumpulan etnik berlainan dan D mewakili amalgam, satu kumpulan baru terhasil daripada penyatuan A,B dan C yang biasanya dinamakan antara lain seperti Pan Asia, Melayu-Arab, China-India dan seumpamanya.

14.          Akulturasi
Akulturasi ialah proses perubahan kebudayaan melalui pinjam meminjam kebudayaan hasil dari perhubungan antara mereka. Ia merupakan proses penerimaan unsur kebudayaan dalam kalangan individu atau kelompok dari sesuatu kebudayaan lain yang berbeza. Akulturasi terjadi apabila satu kelompok manusia dengan kebudayaan tertentu dihadapkan dengan unsur dari suatu kebudayaan asing yang berbeza sehingga unsur kebudayaan asing itu akhirnya diterima dan diolah dalam kebudayaan sendiri. Ia tidak menyebabkan kehilangan identiti asal masyarakat penerima tetapi merupakan proses pinjam meminjam dengan diolah menjadi unsur kebudayaan sendiri. Di Malaysia contohnya ialah bahasa, tali leher, angpau, makanan, hiburan dan sebagainya. Tetapi jika tidak diolah dengan baik,  ia akan memberi kesan yang tidak baik kepada masyarakat.

15.          Segregasi
Pemisahan atau pengasingan antara satu kumpulan etnik dengan kumpulan etnik yang lain dalam sesebuah negara sehingga berlaku interaksi yang minima ataupun sehingga tiada langsung interaksi antara mereka. Pemisahan dan pengasingan berlaku dalam pekerjaan, tempat tinggal, perkahwinan, kesihatan, sistem persekolahan, pengangkutan dan kemudahan awam. Segregasi wujud sama ada didasari oleh undang-undang seperti Dasar Aparteid di Afrika Selatan (1948-1994) dan juga sikap memencilkan diri etnik tertentu untuk menentang asimilasi dengan etnik lain.

16.          Prasangka (Prejudice)
Sikap kurang baik atau tanggapan negatif terhadap individu atau kelompok lain kerana faktor-faktor tertentu seperti ras, agama, pekerjaan, jantina dan kelas. Prasangka biasanya bersifat umum yang tidak rasional iaitu penilaian yang dibentuk sebelum tinjauan dibuat terhadap faktor-faktor tersebut. Ia juga bersifat stereotaip, emosional dan diskriminasi. Sikap ini tidak berubah walaupun individu itu telah mendapat pengetahuan dan bukti baru yang berbeza. Prasangka juga boleh mendatangkan kesan melalui perkataan dan perbuatan seperti mencaci kelompok lain, melakukan diskriminasi malah perlakuan jenayah.

17.          Sekularisasi (Secularization)
Suatu konsep bahawa kerajaan atau entiti lain harus wujud secara terasing dari agama. Dari suatu segi, sekularisme dapat memberikan hak untuk menjadi bebas dari peraturan dan ajaran agama. Ia juga merupakan kebebasan dari pengenaan agama kerajaan terhadap rakyat dalam sebuah negara yang berkecuali pada hal ehwal agama. Dari segi lain, ia turut merujukkan pada pandangan bahawa aktiviti manusia dan semua keputusan yang dibuat harus berasaskan pada bukti dan fakta yang tidak berat sebelah kepada pengaruh keagamaan. Ia juga merupakan proses keruntuhan peranan agama dalam hidup sehingga masyarakat bercorak lebih bebas dari penguasaan simbol dan institusi agama.



1 comment:

  1. assalamualaikum, boleh saya tau info/nota ini dari sumber mana? saya nk buat sebagai rujukan

    ReplyDelete