Pages

Tuesday, June 12, 2012

Islam dalam amalan Individu, masyarakat dan negara


KONSEP MANUSIA

1.      Kejadian manusia
Manusia adalah makhluk yang berjiwa utama, datang dari langit ke bumi asalnya. Manusia adalah makhluk yang berfikiran, bernaluri, berinteraksi sosial. Manusia berasal dari Adam dan Hawa. Adam dijadikan dari tanah dan Hawa dijadikan dari tulang rusuk kiri Adam. Dari kedua mereka lahir generasi manusia di bumi ini. Roh adalah sesuatu yang mulia di sisi Allah digunakan untuk menghidupkan jasad manusia. Lantaran itu manusia dijadikan dari jasad dan roh. Manusia dikurniakan akal untuk berinisiatif, kreatif, berperadaban dan mempunyai sosio-budaya. Kemuliaan dan kesempurnaan manusia bukan sahaja kerana susunan organ dan anotominya sahaja tetapi juga pada kemampuan intelektual, emosi dan sebagainya. Manusia tahu membezakan yang baik dan buruk lebih baik dari binatang.

2.      Manusia sebagai khalifah
Manusia bukanlah malaikat, jin ataupun syaitan. Manusia bukan dicipta secara melulu dan menerima takdir. Manusia dicipta sebagai makhluk yang mempunyai kecerdasan pemikiran, usaha dan segala-galanya untuk kebaikan dirinya dan alam. Hakikat manusia sebagai khalifah atau hamba Allah bukan suatu penghinaan, sebaliknya merupakan gelaran tertinggi sebagai mandat pentadbir alam ini. Walau bagaimanapun bukan semua manusia layak menjadi khalifah tetapi hanya manusia yang melaksanakan konsep perhambaan diri dan takwa kepada Allah sahaja yang layak.
 Khalifah adalah pentadbir, pemerintah, penyambung tugas Rasulullah s.a.w. menyampaikan kebenaran dan pembasmi kebatilan. Khalifah mestilah jujur dan adil tidak melakukan penyelewengan dan bertindak penuh saksama serta melaksanakan kebaikan. Khalifah patut menyebarkan maklumat Islam kepada semua pihak. Memiliki sifat-sifat mahmudah dan menjauhi sifat mazmumah. Khalifah menyusun kehidupan ini supaya teratur dalam sistem yang dikehendaki oleh Allah selaku penciptanya. Untuk itu, Khalifah dikurniakan Allah kemampuan mencari dan memiliki ilmu, beragama dan hidup bermasyarakat mengikut perintah Allah. Sekiranya menusia menjauhi perintah ini dan mengikut hawa nafsu, mereka akan hidup dengan kesesatan, keraguan dan kezaliman.
Kejadian manusia tidak sia-sia kerana ia kelak akan dikembalikan ke tempat asalnya (akhirat). Kehidupan manusia di dunia dengan segala corak ragamnya (peristiwa) adalah untuk menjalani ujian Allah. (al-Muluk: 2). Bahan ujian tidak hanya terbatas kepada kesusahan, kesempitan, kemiskinan dan bala bencana, tetapi juga merangkumi kepandaian, kesenangan, kekayaan, pangkat dan pengaruh. (al-Anbiya: 35). Termasuklah jawatan Khalifah di muka bumi. Khalifah akan diuji untuk kebaikan dan kemuliaannya. Tanpa ujian hidup manusia akan sia-sia dan menjadi mainan. Manusia akan sama, tiada yang baik dan jahat, yang takwa dan yang durjana. (al-Qalam: 35). Kesamaan adalah mustahil. (al-Muluk: 22). Tanpa ujian tidak ada erti bagi hidup ini. Oleh itu hidup adalah ujian.
Hakikat bahawa hidup adalah ujian (khalifah) merupakan suatu daya kekuatan dalam mengharungi gelombang kehidupan, bahkan sebagai penawar penyakit gelisah, kehampaan, kekosongan dan putus asa dalam kehidupan. Seseorang yang menyedari bahawa kehidupan adalah ujian Allah; dirinya yang sempurna, kecacatannya, kebolehan, ilmu, kekayaan, jawatan, pangkat, sihat, sakit, gembira dan duka pasti akan dinilai Allah akan member kesan positif dalam kehidupan individu, masyarakat dan negara sehingga melahirkan sifat-sifat;
·         Sentiasa bersedia menghadapi ujian secara berterusan
·         Waspada dan teliti menjalani ujian
·         Menimbulkan rangsangan untuk mendapat nilai yang lebih baik
·         Merasakan tanggungjawab terhadap segala perbuatan
·         Tidak putus asa, kekosongan, kehampaan kerana apa jua keadaan
·         Merasa hidupnya terisi dan bererti

3.      Konsep ujian Allah (Ibtila’)
Allah adalah pemberi rezeki dan rezeki yang diperolehi milik Allah. Allah berkuasa memberi dan menyempitkan rezeki. Manusia dengan segala kemampuan yang diberikan Allah hanya mampu berusaha, tetapi setiap usaha tidak semestinya berakhir seperti yang diharapkan. Ada manusia yang luas rezekinya menjadi kaya raya dan ada yang sempit rezeki menjadi miskin. Mungkin orang kaya itu kerja keras tetapi ada juga orang kaya yang tidak berusaha gigih. Ini menunjukkan bahawa memperolehi rezeki adalah di luar batas kemampuan manusia. Allah tidak menyamaratakan pemberian rezeki itu kepada semua orang. Ia menjadi pengajaran mengenai bukti kekuasaan Allah. Lantas menjadikan manusia beriman dan bersyukur.
Begitupun manusia tidak boleh berserah diri dan berpeluk tubuh menunggu rezeki. Manusia adalah makhluk yang paling tinggi darjat, paling sempurna kejadian, dianugerahkan akal serta berkemampuan untuk berusaha di samping berdoa. Ramai kalangan manusia berdoa dilimpahkan rezeki tetapi masih miskin, diberi kedudukan tinggi namun tidak dikabulkan Allah. Ketentuan Allah ini menunjukkan kasih sayang Allah kepada manusia kerana sesuatu yang diberi Allah merupakan sesuatu yang terbaik untuk manusia. Allah Maha Mengetahui dan Maha Bijaksana. Sekiranya sesuatu yang dipohon itu baik untuk individu, keluarga dan agama, pasti akan dikabulkan Allah. Oleh kerana manusia tidak tahu yang mana baik dan yang mana buruk, seringkali ia kecewa. Andainya tiada kesabaran, mungkin manusia akan melanggar syariat agama.
Allah hendak menguji kesabaran, kesungguhan dan kekuatan iman. Orang yang Berjaya akan mendapat nikmat. Orang yang gagal akan rugi. Ada manusia bukan Islam dan orang Islam sendiri mudah sahaja mendapat apa yang diingininya dengan usaha yang sedikit, tidak pernah berdoa kepada Allah. Tapi dikabulkan Allah. Hakikatnya, tidak sama orang yang Allah suka dengan orang yang Allah murka.
Rezeki adalah pemberian Allah. Orang kaya tidak wajar bersikap sombong, angkuh dan menyangka harta itu adalah miliknya abadi. Persoalan rezeki tidak selalunya tunduk kepada petua atau rancangan manusia. Sesungguhnya rezeki adalah urusan Allah.Pepatah melayu ada menyebutkan; “Rajin dan usaha tangga kejayaan”. Namun ada manusia gigih tapi tidak Berjaya. Dan; “ilmu pengetahuan kunci rezeki”. Namun ramai orang yang tidak berpendidikan tinggi menjadi usahawan kaya.




PEMBANGUNAN INSAN
KONSEP ILMU

1.      Definasi Ilmu
Ilmu dalam bahasa Arab ialah memerhati, mengetahui dan kebenaran. Ilmu menurut Prof. Dr.  Syed Naquib al-Attas ialah ketibaan sesuatu makna hasil dari maklumat yang benar ke dalam diri seseorang. Dalam bahasa Inggeris disebut knowledge iaitupengetahuan yang sistematik dan boleh diuji kebenarannya. Menurut Prof. Dr. Fazlur Rahman, ilmu pengetahuan yang manusia perolehi mampu melahirkan kreativiti dan mengeksploitasi daya semulajadinya (akal) untuk menjadi manusia yang baik, adil dan progresif.
Sumber ilmu dalam Islam ialah wahyu Allah dan ilmu tidak semata-mata muncul melalui keupayaan dan usaha pancaindera manusia. Seterusnya ilmu diperolehi melalui pembacaan, kajian dan mendengar dari berbagai-bagai sumber ilmu setiap hari. Ia bukan setakat untuk mendapatkan diploma atau ijazah. Ini dilakukan tanpa henti-henti dan jemu hingga ke akhir hayat. Ilmu pengetahun hidup subur dengan belajar dan membaca dan ia akan menjadi beku apabila aktiviti pembelajaran dihentikan.
Banyak ayat al-Quran menekankan tentang kepentingan menuntut ilmu dengan menyatakan bahawa Allah mengajar manusia ilmu pengetahuan dan nama-nama benda serta manusia perlu sentiasa memohon kepada Allah untuk menambah ilmu seperti dalam surah al-Alaq ayat 1-5 (anjuran membaca), surah al-Baqarah ayat 31-32 (nama-nama benda diajarkan Allah) serta peranan al-Quran sebagai petunjuk kehidupan dalam ayat 138 surah Ali-Imran dan manusia dikehendaki berdoa kepada Allah supaya ditambahkan ilmu melalui ayat 114 surah Taha.
Al-Sunnah menekankan kewajipan menuntut ilmu, kewajipan bagi lelaki dan wanita menuntut ilmu, proses menuntut ilmu dari buaian hingga ke saat kematian, lebih baik menuntut ilmu dari sembahyang sunat yang banyak. Begitu juga ulama sepakat mengenai pentingnya ilmu pengetahuan sebagai panduan dalam menjalani kehidupan dunia dan akhirat.

2.      Kepentingan Ilmu
a.        Kecemerlangan sesuatu tamadun bergantung kepada penguasaan ilmu pengetahuan sesuatu bangsa / negara/ umat.
b.        Pencapaian ilmu mampu membawa kepada kekuasaan dan ketinggian darjat / taraf hidup manusia. Contohnya Negara Amerika Syarikat dan Jerman.
c.        Tanpa ilmu tertentu akan menjadikan sesuatu bangsa itu lemah untuk berdepan dengan bangsa yang lain. Contohnya angsa yang pernah mengalami penjajahan.
d.        Ilmu membawa ketetapan keyakinan dan kepercayaan kepada ketauhidan Allah. Contohnya perkembangan tamadun Islam Abbasiyah.
e.        Ilmu memberi keselesaan kepada setiap aspek kehidupan sosio-ekonomi dan sosio-politik. Contohnya bangsa Jepun.
f.          Ilmu menunjukkan manusia sikap positif yang sepatutnya mereka amalkan dalam kehidupan seperti jujur, adil dan ihsan.

3.      Klasifikasi Ilmu
a.      Ilmu Fardu Ain
Ilmu Asas tentang Islam seperti ilmu agama mengenai akidah, syariah dan akhlak. Dinamakan juga ilmu naqliyah berasaskan wahyu Allah. Wajib diajarkan apabila umur baligh (matang), memahami dan mengamalkannya. Boleh dilakukan secara hafalan dan ikutan. Melaksanakan tuntutan manusia sebagai Khalifah Allah.
b.      Ilmu Fardu Kifayah
Dinamakan juga ilmu aqliyah iaitu ilmu yang berdasarkan penggunaan akal manusia. Atau ilmu untuk keperluan hidup seperti amalan / ibadah yang kolektif sifatnya dan ilmu sains tulen, sains sosial dan teknikal. Ilmu ini juga harus merangkumi bidang ilmu tinggi atau ilmu kemahiran khusus seperti sains, teknologi, kedoktoran, kejuruteraan, ekonomi, perundangan dan sebagainya. Juga meliputi ilmu pengetahuan umum untuk meningkatkan daya intelek; ilmu agama / moral bagi membentuk nilai murni dan ilmu pengetahuan seperti bahasa, bagi membentuk identiti negara.
Menumpukan tenaga dan mengorbankan perhatian kepada bidang kepakaran merupakan suatu yang wajib bagi membina kehidupan masyarakat dan negara yang lebih sejahtera. Pembacaan pelbagai bidang daripada pelbagai jenis ilmu pengetahuan berupaya menyuburkan otak dan daya fikiran kepada inovasi dan kreativiti. Pengetahuan kepada bahasa-bahasa asing amat penting bagi penyuburan budaya ilmu di kalangan masyarakat dan dapat membantu membela Islam dari tohmahan negatif dan menggerakkan aktiviti dakwah kepada bangsa-bangsa dunia.
Wujud kesepaduan (integrated) antara ilmu dunia dan ilmu agama atau ilmu fardu ain dan ilmu fardu kifayah. Ia berjalan serentak dan beriringan bagi membentuk individu manusia yang berilmu pengetahuan dan berakhlak baik. Begitupun terdapat kecenderungan negatif usaha-usaha untuk membezakan ilmu agama dan ilmu umum (dualism of knowledge) sehingga menimbulkan fenomena peningkatan yang satu bererti kemunduran yang satu lagi. Oleh itu usaha untuk mengintegrasikan / menerap nilai-nilai dan budaya Islam dalam sistem pendidikan atau Islamisasi Ilmu (Islamization of Knowledge) wajar dilakukan secara serius supaya ilmu tidak terus secular (terpisah) yang kemudian boleh memberi kesan kepada aspek spiritual, moral dan budaya.
Ilmu pengetahuan adalah bersifat universal di mana ia tidak khusus kepada kepunyaan sesuatu bangsa sebaliknya ia dikongsi bersama semua umat manusia. Setiap pencapaian baru merupakan apa yang telah dicapai oleh manusia sebelum ini. Orang Islam berpegang dengan prinsip bahawa untuk memelihara akal fikiran ialah dengan cara mempergunakan akal untuk mendapatkan ilmu pengetahuan melalui pembacaan, berfikir, berbincang dan melakukan penyelidikan.
Budaya ilmu wujud dalam masyarakat apabila masyarakat hidup berdasarkan ilmu di mana ilmu menjadi landasan bagi setiap cara hidup manusia ia juga merujuk kepada kegiatan yang berterusan untuk mencari, meneroka, menghayati, menguasai dan mengamalkan ilmu. Suatu keadaan di mana setiap lapisan masyarakat terlibat secara langsung dalam kegiatan keilmuan. Dengan pengertian ilmu pengetahuan menjadi keutamaan di setiap masa dan tempat.
Matlamat pembudayaan ilmu ialah untuk membentuk individu dan masyarakat yang dapat melaksanakan pengabdian diri kepada Allah, dimuliakan Allah dan manusia lain, menjamin kejayaan kehidupan dunia dan akhirat.

4.      Aplikasi Nilai-Nilai Murni
Nilai-nilai murni merupakan himpunan akhlak yang membentuk keperibadian unggul. Ia mengandungi nilai positif dan nilai negative. Nilai negatif ialah meninggalkan perkara yang ditegah Allah. Nilai positif ialah melakukan perkara yang disuruh Allah. Nilai menjadi pegangan dan kepercayaan sesuatu bangsa dan diamalkan dalam kehidupan.
Di  Malaysia, di antara nilai-nilai murni yang diamalkan ialah; bersih (suci rohani dan fizikal), cekap (pantas, tepat dan berkualiti), amanah (tidak mungkir terhadap sesuatu perkara), tanggungjawab (komitmen terhadap tugas), ikhlas (suci hati dari niat buruk), dedikasi (penyerahan diri kepada tugas), sederhana (tidak keterlaluan), tekun (teliti dan bersungguh-sungguh), sabar (tahan menerima cabaran), disiplin (mengawal diri), kerjasama (bersatu dengan orang lain), menghargai masa (tidak buang atau melenggah-lenggahkan masa tanpa membuat sesuatu kerja).

a.      Ibubapa
Melakukan kebaikan dan berjasa kepada dua ibu bapa. Lebih utama lagi ketika mereka telah tua, uzur dan lemah. Jangan mengeluarkan tutur kata yang kasar, menyinggung perasaannya.  Sepatutnya anak menunjukkan kasih-sayang, lemah-lembut, kesabaran, syukur dan mesra kepada keduanya. Sewajarnya menggunakan budi bahasa yang halus laksana bahasa yang digunakan oleh seorang hamba kepada Tuannya. Malah dikehendaki berdiri menghormati keduanya, larangan berjalan di hadapannya, larangan duduk sebelum ia duduk dan jangan memanggilnya dengan nama sebenarnya.
Memberi nafkah bantuan kewangan dan memenuhi keperluannya dari segi makanan, pakaian dan rumah kediaman sehingga ia merasa selesa dalam menjalani kehidupan. Apatah lagi bagi ibu bapa yang miskin dan susah. Berusaha mengatasi segala kerumitan dan kesusahan mereka serta jangan melakukan sesuatu yang boleh menambahkan kekusutan mereka. Ini bagi membolehkan mereka hidup gembira setelah banyak pengorbanan yang telah mereka lalui dalam membesarkan anak-anak. Kesakitan seorang ibu melahir, mengasuh dan mendidik anak begitu juga kepayahan seorang ayah membesarkan dan member pendidikan kepada anak tidak dapat dibayar oleh anak walaupun dengan pengorbanan seluruh hartanya.
Keredhaan Allah bergantung kepada keredhaan ibubapa. Apabila ibu bapa telah tua, anak hendaklah menjaga dan memeliharanya serta bersabar dengan telatah dan kelakuan mereka yang kadangkala cerewet, serba tidak kena, cepat berkecil hati dan sebagainya. Apabila ibubapa telah meninggal dunia, mendoakan keampunan dan kesejahteraan keduanya, memenuhi janji dan wasiatnya dan meneruskan perhubungan baik silaturahim dengan kawan-kawannya. Dikehendaki juga menziarahi kuburnya, membacakan al-Quran, bersedekah, berpuasa dan menunaikan haji untuk menghadiahkan pahala kepada kedua ibubapa yang disayanginya.

b.      Guru
Menghormati guru kerana ia adalah manusia yang mempunyai pengetahuan yang mendalam dan beramal dengan keilmuannya.  Tanggungjawab guru mengajarkan ilmu adalah umpama memberi harta yang berfaedah. Seorang pelajar harus menghormati guru, berniat baik untuk menuntut ilmu serta menghindari akhlak yang buruk. Menolong guru jika diperlukan. Memanggil guru dengan nama yang memperlihatkan kemualiaannya. Harus tunduk patuh kepada nasihat guru sepertimana kepatuhan seorang pesakit kepada nasihat doktornya.

c.      Jiran
Sebagai orang yang paling hampir dengan kita, jiran ialah orang yang tinggal berhampiran atau sebelah menyebelah seseorang tetangga dalam lingkungan 40 buah rumah di segenap penjuru. Ada kemungkinan jiran ini berlainan agama, ataupun ada kalangan mereka merupakan saudara mara, jiran dekat dan jiran jauh. Hubungan social dengan jiran hendaklah positif. Dikehendaki berbuat baik kepada jiran dan larangan menyakiti jiran. Lindungi jiran dari bahaya dan kesukaran. Membantu jiran jika ia memerlukannya, memenuhi undangannya, pinjam meminjam, ziarahinya jika sakit.
“Tidak beriman kamu jika kamu makan dengan kenyang, sedangkan jiran kamu kelaparan”.
Dalam berurusan dengan jiran, dikehendaki mengucapkan salam ketika bertemu. Menolong jiran ketika mereka berdepan dengan musibah / kesukaran / kemalangan. Gembira jika jiran mendapat sesuatu yang menyenangkan. Memaafkan segala kesalahan yang pernah dilakukan. Larangan melihat aurat mereka dan tutup semua rahsia mereka dari pengetahuan umum. Membantu mengawasi rumah mereka jika mereka tiada di rumah. Jangan menyempitkan laluan masuk ke rumahnya.

d.      Kawan
Kawan menjadi tempat harapan untuk mendapatkan pertolongan dan perbincangan. Dikehendaki menghormati yang lebih tua dan mengasihi yang masih muda. Dilarang menyakiti kawan dalam bentuk perbuatan mahupun perkataan. Sebaiknya menggunakan bahasa yang ramah-tamah. Merendah diri dengan mereka, menepati janji, amanah dan larangan menyombong diri. Jangan membiarkan masa berlalu lebih dari tiga hari tanpa bertegur sapa jika berlaku perselisihan faham. Saling bantu-membantu, tolak ansur dan pemaaf. Larangan memasuki rumah mereka kecuali dengan meminta izin memberi salam dan sekiranya tidak dizinkan beredarlah. Hendaklah sentiasa bermanis muka dan menepati janji. Menyayangi mereka sebagaimana menyayangi diri sendiri.
Menutup semua keaiban dan kekurangan kawan. Larangan buruk sangka. Tenteramkan hati mereka ketika ditimpa musibah, sakit dan keuzuran. Menghargai kawan dan sentiasa nasihat menasihati atas perkara kebaikan dan takwa. Jangan menzalimi kawan atau melampau batas dalam setiap urusan. Jangan jadi pendendam kepada kawan. Sebaiknya betulkan kesalahan kawan. Berkasih sayang kerana Allah. Lindungi kawan dari kesukaran dengan bantuan. Bersama-sama suka dan duka.





HUBUNGAN SOSIAL
INDIVIDU
1.      Pengurusan Diri
Individu muslim mempunyai cara dan gaya hidup yang tersendiri dan istimewa yang membezakannya dengan individu yang bukan Islam. Mereka berbeza dari sudut fesyen, tingkahlaku, dan usaha sehingga menjadikan mereka contoh tauladan terbaik untuk manusia. Seorang muslim yang sejati tidak tergamak membiarkan dirinya tidak kemas, tidak terurus, gaya yang buruk, keadaan yang kotor, comot, tidak mempedulikan aspek lahiriah, memakai pakaian yang busuk dan kotor. Semua ini sangat dibenci dan dilarang oleh Islam. Ini kerana bentuk, gaya, fesyen yang teratur, kemas dan indah melayakkan dirinya memgang amanah Allah sebagai khalifah. Individu muslim harus bertindak secara seimbang antara kehendak jasmani, akal dan spiritualnya. Tidak ekstrim pada yang satu dan mengabaikan yang satu lagi.
a.        Jasmani:
Menjaga kesihatan dengan bersederhana dalam makan minum. Makan makanan yang bersih dan halal. Jangan sama sekali pelahap dan tamak. Makan dan minum sekadar untuk memelihara kesihatan, tenaga dan kecergasan. Jauhkan diri dari perkara yang memabukkan dan mengkhayalkan. Tidur awal pada waktu malam dan bangun awal pagi. Mengambil ubat ketika sakit sahaja. Menjauhi perkara yang boleh melemahkan dan membinasakan badan seperti berjaga malam dan tabiat buruk yang lain. Melakukan senaman yang sesuai dengan jasmani, umur dan status sosial. Mengatur senaman pada waktu yang sesuai dan dilakukan secara sederhana. Memastikan tubuh badan sentiasa bersih, sering mandi, memakai bau-bauan wangi. Bersih pakaian. Tidak redha melihat pakaiannya kotor dan berbau busuk.
 Menjaga kesihatan mulut dengan menggosok gigi ketika hendak tidur dan selepas bangun dari tidur dengan siwak atau berus gigi. Jika perlu berjumpa doctor gigi. Muliakan kepala dengan membersihkan rambut, melumur minyak dan menyikatnya agar terurus. Sentiasa memeriksa diri sebelum keluar rumah bertemu dengan orang lain supaya kemas tetapi sederhana dan tidak berlebih-lebihan. Orang akan melihat diri kita sedap mata memandang dan memberikan pujian. Pakai pakaian yang elok, menutup aurat dan cantik. Sentiasa memelihara kuku, misai, rambut dan bulu ketiak supaya bersih dan pendek.
b.        Akal:
Memelihara akal dengan menuntut ilmu pengetahuan. Selagi hidup teruskan usaha menuntut pelbagai ilmu agama dan dunia walaupun di mana dan dengan sesiapa jua. Orang yang berilmu mendapat kemuliaan Allah, lebih takwa dan mengetahui kebesaran Allah.
c.        Jiwa:
Individu mesti menyedari jiwanya merangkumi roh, nyawa dan hati sentiasa mencari kebenaran dari Tuhannya (Allah). Justeru itu sucikan jiwa dengan amal ibadah siang dan malam tanpa putus. Sedar tentang godaan syaitan laknat dengan memohon hidayah dan keampunan dari Allah. Melaksanakan segala aktiviti ibadah dengan taat dan khusyuk. Sentiasa berzikir, bertasbih, bertahmid mengingati Allah. Menghadiri majlis-majlis ilmu keagamaan untuk menambah pengetahuan mengenai kebesaran Allah serta berupaya menjernihkan jiwa melalui kemanisan iman. Memilih kawan-kawan yang salih dan kuat ibadah supaya dapat membentuk suasana persekitaran yang membina jiwa dengan kemurnian iman. Jauhi suasana maksiat dan dosa yang menggelap gelitakan jiwa. Sentiasa memastikan hidup dipenuhi dengan doa memohon perlindungan, kesihatan, rezeki, iman dan petunjuk.

2.      Pengurusan Masa
 "Demi masa. Sesungguhnya manusia itu berada di dalam kerugian. Kecuali mereka yang beriman dan beramal salih serta berpesan-pesan dengan kebenaran dan berpesan dengan kesabaran".  (al-Asr: 1-4)
Kata pujangga masa adalah emas kerana terlalu berharga. Masa tiada galang ganti yang setara. Masa tidak boleh dibeli dan tidak dijual. Berusaha mendapatkan masa yang telah berlalu dengan menukar emas sebagai ganti adalah suatu yang mustahil. Tidak cukup dengan itu masa juga ibarat pedang tajam yang sentiasa memotong. Andai kita gagal merancang dan memikirkan pengurusan masa, pedang masa itu akan memancung dan memotong serta menghancur lumatkan kehidupan kita. Sebenarnya hakikat masa itu adalah satu bentuk amanah kehidupan dari Allah yang tidak akan kembali. “Masa itu emas”. “Masa itu kekayaan”. Masa mesti diurus dengan baik. Kesedaran tentang masa dan perubahannya boleh memanfaatkan kehidupan. Individu akan rugi hidupnya jika ia lalai tentang mada dan tidak memelihara disiplin masa. Jangan membuang masa dan tidak menghargai masa yang ada. Jangan bazirkan masa dengan hiburan dan bersiar-siar sebaliknya penuhinya dengan belajar, bekerja dan melakukan amal salih. Masa tidak boleh diganti dan ia akan berjalan terus tanpa henti sehingga individu itu menjadi tua dan mati. Sembahyang merupakan pendidikan positif menjadikan kehidupan individu lebih teratur. Kewajipan sembahyang lima kali dalam tempoh 24 jam, individu tentu dapat memerhatikan perjalanan masa dan selalu sedar tentang perubahan masa.
Ibn Sina hanya berusia 58 tahun ketika kematiannya tetapi manusia yang kaya dengan ilmu ini pernah berdoa; “Ya Allah! Berikanlah kepadaku hidup walaupun hidup itu tidak panjang, tetapi penuh erti dan manfaat”. Kebolehan mengurus masa penting bagi setiap individu untuk Berjaya dalam hidup. Ia perlu tahu masa bila ia sepatutnya belajar, beriadah, tidur, menonton televisyen, solat dan sebagainya.
Individu yang berjaya mesti mempunyai sistem jadual yang sendiri dan ketat. Mereka mematuhi jadual kerana jadual boleh mendisiplinkan kehidupan supaya menjadi lebih berfokus dalam mengejar matlamat hidup. Setiap orang akan menerima masa yang sama dalam sehari iaitu 24 jam. Penggunaan masa dalam sehari, seminggu, sebulan dan seterusnya akan memberi faedah hanya kepada merka yang pandai mengurus masa. Rasullulah s.a.w berpesan: “Bersedialah; Masa hidup sebelum mati, sihat sebelum sakit, muda sebelum tua, kaya sebelum miskin dan senang sebelum susah.” Sebagai individu yang sedang di alam pendidikan, individu itu sepatutnya membuat persediaan masa belajar di peringkat awal bagi memudahkan menghadapi peperiksaan pada peringkat akhir.
Sebelum dapat mengurus masa dengan bijak, terdapat beberapa perkara atau faktor yang boleh menyebabkan individu kehilangan masa dengan cara yang tidak berfaedah iaitu; keluarga, rakan-rakan, aktiviti yang tidak berfaedah, pengaruh media massa dan sikap. Oleh itu setiap individu sepatutnya; membuat senarai semua aktiviti yang dijalankan dalam satu hari, susun aktiviti berdasarkan kepentingannya, elak menyenarai aktiviti yang tidak berfaedah, agih masa untuk setiap aktiviti, buat jadual aktiviti dengan peruntukkan masa, disiplinkan diri melakukan semua aktiviti yang telah tetapkan dan jika berjaya dalam sehari, cuba buat jadual aktiviti dalam masa seminggu.
Masa tidak diukur melalui kuantitinya tetapi kualitinya. Bukan lama atau singkat, panjang atau pendeknya tetapi bergantung pada bagaimana ia diurus. Individu perlu tahu;
·            Masa berkait rapat dengan kehidupan seharian.
·            Masa yang berlalu akan dihitung di hadapan Allah.
·            Optimumkan masa dengan mengambilkira  faktor kemampuan dan tenaga.

Islam adalah agama yang meletakkan pengurusan masa sebagai teras kecemerlangan. Ibadat dalam Islam amat berkait rapat dengan masa. Orang yang cemerlang di dunia dan terbilang di akhirat adalah orang yang mencontohi baginda dalam menguruskan masa seharian. Rasulullah tidak akan membiarkan masa berlalu begitu sahaja tanpa ada peningkatan dari segi kualiti ketakwaan dan peningkatan mutu pekerjaan. Baginda mengingatkan bahawa, masa adalah amanah yang akan dipersoal kelak pada hari kiamat maksudnya; Tidak akan berganjak kaki setiap hamba pada hari kiamat sehinggalah ditanya tentang empat perkara. Umurnya ke mana dihabiskan. Masa mudanya ke mana digunakannya. Hartanya dari mana diperolehi dan ke mana digunakannya dan tentang ilmunya apa yang diperbuat dengannya.               
Dalam persoalan pengurusan masa, sama ada di peringkat pekerja mahupun pelajar kita tidak dapat lari dari membincangkan sifat masa. Masa akan terus berdetik dan berlalu tetapi tidak akan kembali. Masa yang berlalu tidak boleh dicari ganti. Masa amat pantas bergerak meninggalkan manusia tanpa menunggu kita sehinggalah apabila hampir menjelang hari kiamat masa sehari berlalu bagaikan satu percikan api atau sesaat sahaja. Satu sikap yang wajar dibuang ialah sikap suka menangguh. Hayatilah nasihat Sayidina Ali kepada gabenor Mesir yang baru dilantik “Janganlah engkau berlengah-lengah lagi apabila sudah tiba masa untuk melakukannya”. Sikap bertangguh masa boleh menjejaskan produktiviti.






MASYARAKAT


1.      Perpaduan, Keadilan dan Tanggungjawab.
Islam menghendaki umatnya berpegang teguh dengan ajaran Islam dan memperkukuhkan hubungan persaudaraan sesama meraka. Jika mereka berpecah belah, mereka bakal ditimpakan kehinaan dan menjadi lemah dalam semua segmen kehidupan. Islam menghendaki manusia menyedari betapa mereka dari asal-usul yang sama iaitu Adam dan Hawa. Oleh itu mereka harus mengelakkan perbalahan, pertelingkahan dan permusuhan yang bukan hanya menjerumuskan kehidupan kepada kemusnahan dan kematian tetapi juga menghapuskan kepercayaan satu sama lain mengenai nilai-nilai kebaikan. Islam tidak menganggap perbezaan darjat, pangkat, bangsa, budaya, warna kulit, kelas dan bahasa sebagai faktor perpecahan. Faktor-faktor tersebut harus digembeling untuk menjadi punca interaksi dan komunikasi positif sesama manusia.
Perbezaan ini menurut Islam merupakan rahmat alam dan bukti kebesaran Allah Maha Pencipta. Islam meraikan perbezaan ini tetapi mesti mengakui ketuhanan Allah S.W.T. dan kerasulan Muhammad s.a.w. Tidak ada kasta sosial dalam Islam kerana yang paling mulia ialah mereka yang patuh takwa melaksanakan perintah Allah. Islam melihat kepada ketakwaannya jika ia orang Islam dan dan dari segi kemanusiaan jika ia orang bukan Islam. Islam berusaha untuk menggelakkan pertelagahan dan pergeseran sesama manusia kepada kehidupan yang penuh dengan sifat mengenali antara satu sama lain, kebaikan, kasih sayang, ambil berat, hormat menghormati, toleransi, tolong menolong dan sebagainya.
Islam mengajar kita mengenai universalism atau kesejagatan. Manusia diminta supaya menganggap segala yang ada sebagai makhluk Allah, menggelakkan kezaliman, mewujudkan hubungan yang bermakna antara manusia. Inilah kebudayaan Islam yang berteraskan al-Quran dan al-Sunnah. Ia menggalakkan manusia hidup aman damai antara orang Islam dan orang yang bukan Islam atas dasar bekerjasama untuk kebaikan dan menolak keburukan. Islam mencipta masyarakat manusia yang merdeka dengan penghayatan prinsip kebebasan dan persamaan serta mengenepikan penindasan dan sekatan. Masyarakat bebas melakukan apa sahaja selama mana tidak melanggar ketentuan syariat Allah.
Masyarakat Islam yang hendak diwujudkan ialah masyarakat yang tidak dibelenggu oleh perasaan dendam dan dengki kerana perasaan itu muncul mungkin akibat kezaliman sosial dan perlakuan buruk sebahagian orang terhadap sebahagian yang lain. Atau mungkin juga akibat dari faktor luar yang cuba memecahbelahkan masyarakat dengan membakar api pertarungan antara kelompok. Masyarakat Islam tidak mengutamakan fanatik nasionalis atas persaudaraan Islam. Tidak juga memusuhi orang Islam dan mencintai musuh Islam. Perpaduan dalam Islam mampu menggembeling kerjasama, menjana kekuatan dan menutup kelemahan. Islam membenci perpecahan tetapi menganjurkan perpaduan.















NEGARA

Perlembagaan Negara Malaysia
Digubal oleh Sir Lord Reid dan Sir Ivor Jennings (British), Sir William Mckell (Australia), B. Malik (India) dan Hakim Abdul Hamid (Pakistan) dengan mendapatkan maklum balas dari Raja-raja Melayu, parti politik, orang ramai dan individu.
1.      Perkara 152
Kedudukan bahasa Melayu sebagai Bahasa Kebangsaan dan bahasa rasmi negara termaktub dalam Perlembagaan Malaysia Perkara 152 (1a), Fasal (3) dan ianya diperuntukan lagi dalam Akta Bahasa Kebangsaan 1963/67 dalam Seksyen 2 dan Seksyen 6. Namun demikian tiada larangan untuk mempelajari dan menggunakan bahasa-bahasa yang lain. Penggunaan Bahasa Melayu adalah sebagai penghubung masyarakat pelbagai etnik dan budaya kerana penggunaan pelbagai bahasa yang tidak difahami boleh mencetuskan konflik. Bahasa Melayu menjadi Lingua-Franca di Alam Melayu kerana penggunanya yang ramai dari Acheh hingga ke Irian Jaya bahkan hingga ke Malagasi, Afrika Selatan dan Sri Lanka.
Penuturan Bahasa Melayu sebagai Bahasa Kebangsaan bertujuan untuk mewujudkan perpaduan di kalangan warganegara dan mempunyai fungsi yang simbolis. Perlaksanaan Bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi bermaksud penggunaan bahasa tersebut dalam semua urusan terutama urusan pentadbiran negara. Walaupun pada hari ini Bahasa Melayu merupakan Bahasa Kebangsaan dan bahasa rasmi negara, sejauhmanakah hak ini dilaksanakan. Penggunaan Bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar di institusi pengajian tinggi terutama sekali di Institusi Pengajian Tinggi Swasta (IPTS) kian hari kian dipinggirkan. Kesalahan berbahasa di kalangan masyarakat kian ketara kerana wujudnya kejahilan tentang penuturan menggunakan bahasa Melayu dengan betul di kalangan penuturnya merupakan perkembangan yang tidak sihat kepada bahasa Melayu.

2.      Perkara 153
Memperuntukkan kepada Yang DiPertuan Agong untuk memelihara kedudukan atau hak istimewa orang Melayu dan Bumiputera Sabah dan Sarawak serta kepentingan etnik-etnik lain. Orang Melayu dan Bumiputera dilindungi oleh Perlembagaan Malaysia dalam Perkara 153 sebagai peneraju dan pemilik Negara ini. Ia meliputi jawatan perkhidmatan awam, biasiswa, bantuan, pendidikan, lessen, permit dan sebagainya.
Oleh itu keseimbangan peluang dan kekayaan serta kemakmuran negara dapat dinikmati secara menyeluruh dan kepentingan etnik yang lain juga tidak dinafikan. Ini kerana pejuang Melayu dan Bumiputera Sabah dan Sarawak banyak  berjasa mencetuskan semangat kemerdekaan menentang penjajahan dan menyokong institusi kenegaraan.

2.      Rukun Negara
Digubal pada 31 ogos 1970 dengan tujuan untuk memupuk integrasi nasional dan semangat perpaduan antara etnik setelah peristiwa berdarah 13 mei 1969 yang antara lain disebabkan oleh jurang perbezaan yang ketara antara orang melayu dengan etnik-etnik yang lain. Rukun Negara mewujudkan jati diri Malaysia untuk memacu pembangunan Negara. Ia mengandungi 5 prinsip iaitu;
i. Kepercayaan kepada Tuhan (kehidupan beragama)
ii. Kesetiaan kepada raja dan Negara (Raja sebagai lambang perpaduan)
iii. Keluhuran perlembagaan (Undang-undang tertinggi yang dipatuhi)
iv. Kedaulatan undang-undang (Rakyat diperakui hak dalam perundangan)
v. Kesopanan dan kesusilaan (Rakyat dikehendaki berakhlak mulia)

3.      Falsafah Pendidikan Kebangsaan
Pendidikan adalah tonggak kepada perubahan/ transformasi individu, masyarakat dan juga negara. Sistem pendidikan yang berkesan memberi impak kepada perubahan pemikiran, kecenderungan, cita-cita dan perubahan manusia. Reformasi pendidikan di Malaysia telah dilakukan sejak merdeka dan sentiasa dipertingkatkan. Di antara dasar yang digunapakai dalam pelan pendidikan negara ialah Laporan Razak 1956 dan Laporan Abdul Rahman Talib 1961 yang menumpukan usaha untuk perpaduan kaum dan menghasilkan tenaga manusia profesional. Demikian juga dengan pengenalan Kurikulum Bersepadu Sekolah Rendah 1980 dan Kurikulum Bersepadu Sekolah Menengah. 
Refomasi  Pendidikan yang yang berlaku pada tahun 1988 dari aspek kurikulum merupakan reformasi yang penting kepada sistem pendidikan negara kerana ia menyentuh perkara-perkara asasi dalam kehidupan insan. Di antara perubahan yang berlaku ialah wujudnya Falsafah Pendidikan Negara iaitu;
Pendidikan di Malaysia ialah satu usaha berterusan ke arah memperkembangkan lagi potensi individu secara menyeluruh dan bersepadu untuk menjadikan insan yang seimbang dan harmonis dari segi intelek, rohani, emosi dan jasmani berdasarkan kepercayaan dan kepatuhan kepada Tuhan. Usaha ini adalah bagi melahirkan rakyat Malaysia yang berilmu pengetahuan, berakhlak mulia, bertanggungjawab dan berkeupayaan mencapai kesejahteraan diri serta memberi sumbangan terhadap keharmonian dan kemakmuran Negara”.
Dasar Pendidikan juga menekankan aspek Pendidikan Islam.  Berdasarkan kepada Laporan Razak 1956, kerajaan telah mewajibkan mata pelajaran Agama Islam di semua sekolah kerajaan dan swasta. Akta Pelajaran 1961 yang dikuatkuasakan pada tahun 1962 menetapkan bahawa pelajaran Agama Islam telah dimasukkan sepenuhnya dalam jadual waktu pelajaran biasa kepada murid-murid beragama Islam di sekolah rendah dan menengah bantuan kerajaan selama 2 jam seminggu (120 minit) dan guru-gurunya dilantik oleh kementerian pelajaran untuk mengajar matapelajaran tersebut.
Sistem pendidikan mula diperkenalkan di kalangan masyarakat Melayu secara tidak formal di rumah, surau, masjid, pondok dan madrasah. Tumpuan khusus adalah untuk mengenal huruf dan mampu membaca serta akhirnya boleh menulis. Kemudian wujud Sekolah Melayu yang mengajarkan pendidikan akademik dan Sekolah Agama Petang yang mengajarkan al-Quran dan ilmu-ilmu keagamaan. Sistem pendidikan Melayu-Islam yang formal bemula dengan Penyata Razak, Laporan Rahman Talib, Akta Pelajaran Seterusnya pengenalan KBSR (Kurikulum Baru Sekolah Rendah) 1982 dan KBSM (Kurikulum Bersepadu Sekolah Menengah) 1988 yang menumpukan usaha untuk mewujudkan masyarakat yang bersepadu, berdisiplin dan terlatih.





CABARAN APLIKASI HUBUNGAN SOSIAL

Masyarakat Melayu-Islam di Malaysia yang selama ini hidup bersendikan ajaran Islam seperti persaudaraan, berpegang kepada adab, kebenaran, persamaan dan sebagainya yang serba sedikit bercampur dengan budaya setempat mulai mengalami perubahan struktur akibat dari cabaran dalaman dan cabaran yang dating dari pihak luar.
1.      Individualistik
Individu dilarang Islam daripada menyendiri dan mementingkan diri sendiri. Sikap ego, bongkak dan takbur merupakan kesan dari individualistic. Individu sepatutnya melibatkan diri dalam aktiviti kemasyarakatan seperti ziarah, gotong royong, sembahyang berjemaah dan sebagainya. Ini dapat menonjolkan bahawa ia adalah sebahagian dari ahli masyarakat. Melalui pergaulan positif yang dijalinkan bersama ahli masyarakat akan mendedahkan kita kepada kepentingan perpaduan, bekerjasama dan faham memahami. Ini juga untuk menghidupkan semangat kejiranan. Individu juga digalakkan menjadi penggerak masyarakat ke arah melahirkan komuniti yang berkualiti.
2.      Materialistik
Pergaulan bebas tanpa batas kesopanan, pendedahan aurat dan perzinaan berlaku secara berleluasa. Pusat dan taman hiburan (Amusement Park) seperti menyediakan peluang bagi kegiatan seks bebas dan pesta maksiat. Kes khalawat dan perzinaan menyebabkan antara lain kenaikan drastic kadar kelahiran anak luar nikah dan kes pembuangan bayi lantas menunjukkan kerendahan moral masyarakat. Artis yang menjadi idola peminat gagal menunjukkan model yang baik kerana mereka sering dikaitkan dengan unsur-unsur yang tidak selari dengan Islam.
Budaya hedonism (seronok) seperti pengamalan budaya hiburan, rock, rap, boros dan hidup mewah. Mereka berhibur sehingga lupa terhadap tanggungjawab agama dan negara. Kadangkala bentuk hiburan songsang ini diorganisasikan dengan tersusun di setiap malam minggu ataupun atas nama pertandingan tertentu ataupun uji bakat tertentu. Muzik rock dan rap ala-Amerika yang penuh dengan aksi tidak bermoral penyanyi dan pemuziknya serta budaya hidup boros dan mewah kalangan tertentu bagi mengikut selera kehidupan metropolitan tanpa mengikut keperluan.
3.      Anti sosial
Ada kalangan ahli masyarakat yang sanggup melakukan sesuatu tindakan untuk memecahbelahkan masyarakat dengan memfitnah, mencerca, menghina, memukul dan seumpamanya sehingga mencetuskan kekacauan dan menghancurkan keamanan. Sebarang perselisihan boleh diatasi di meja perundingan tanpa pertumpahan darah dan kecederaan serta kemusnahan harta benda. Terdapat juga kalangan masyarakat yang menjadi perosak kemudahan awam seperti papan tanda, pondok menunggu bas, telefon awam, lif, wayar elektrik, kabel telefon, laman web kerajaan dan sebagainya.
Mereka tidak menghargai harta awam bahkan memusnahkannya dengan tujuan ingin berseronok, mencari kepuasan, inginkan perhatian terpengaruh dan meluahkan tekanan perasaan yang dihadapi. Sebenarnya beban anti sosial ini akan kembali kepada setiap rakyat kerana kerajaan akan membaik pulih kemudahan itu dengan menggunakan wang rakyat dari kutipan cukai ataupun kerajaan akan mengurangkan peruntukan untuk perbelanjaan pembangunan yang lain.
4.      Globalisasi
Dunia diumpamakan sebagi suatu “kampong kecil”, “dunia tanpa sempadan” apabila semua maklumat boleh diperolehi dengan menyeluruh dan pantas dengan menggunakan teknologi komputer, komunikasi dan multi media. Barat ingin meneruskan hegemoni mereka terhadap dunia Timur khususnya Dunia Islam yang pernah dijajahnya melalui penonjolan beberapa isu seperti hak asasi manusia, demokrasi, ekonomi bebas, sains, teknologi dan budaya sejagat. Keadaan ini boleh melemahkan pegangan terhadap nilai-nilai hidup Islam dan sekaligus menjejaskan hubungan sosial masyarakat Islam.
Pendedahan berterusan instrument multi media dan internet secara global tanpa sempadan dan had menjadikan maklumat yang negatif seperti pornografi, ajaran sesat, khurafat dan amalan yang melanggar norma-norma agama begitu cepat dan mudah tersebar. Akibatnya masyarakat Islam meniru amalan seperti budaya lepak, fesyen up-to-date dan bentuk pemikiran simplistic (ambil mudah) terhadap agama. Iklan produk bukan setakat memperkenalkan produk baru  tetapi juga gaya hidup baru yang merosakkan seperti dalam iklan Coca-cola, Seven-up, Nescafe, Hotlink dan sebagainya dengan imej perempuan seksi dan lelaki daring.

1 comment: