Pages

Tuesday, June 12, 2012

Ekonomi Islam 7

Kuliah 7:


KONSEP PENGELUARAN


7.1               Pengenalan
Konsep pengeluaran dalam ekonomi Islam membawa pengertian yang amat luas dan ia menekankan pengeluaran barangan-perkhidmatan yang berguna dan bermanfaat ditawarkan kepada pengguna dengan penggunaan sumber secara optimum. Proses pengeluaran akan memastikan sumber mentah dan manusia digunakan secara sepenuhnya untuk mengeluaran barangan yang mampu memberi kepuasan yang maksimum kepada pengguna dalam usaha memenuhi keperluan hidupnya dan tuntutan agamanya. Dalam aspek pengeluaran ini hubungan antara pengeluar-pengguna ialah penawaran.
Di antara ayat al-Quran yang  menganjurkan tentang pengeluaran ialah;
“Dialah Allah yang menjadikan segala yang ada di bumi untuk kamu…”.
    (al-Baqarah: 29)

“Dan Dia telah menundukkan (pula) bagimu matahari yang terus menerus beredar (dalam orbitnya) dan telah menundukkan bagimu malam dan siang”.
(Ibrahim: 33)


7.2               Definasi Pengeluaran
Dalam konteks ekonomi Islam, Aidit Ghazali (1990: 66-67) mengulas bahawa pengeluaran ialah suatu usaha mengeluarkan barangan dan perkhidmatan yang efektif dan diperlukan, boleh membawa pembaikan kepada moral dan fizikal manusia. Manakala menurut M.A. Mannan (1986: 55) pengeluaran ialah menjadikan sesuatu benda itu berguna dan boleh memberi perkhidmatan kepada manusia. Dalam ekonomi konvensional sepertimana yang diutarakan oleh David W. Pearce (1983: 354), pengeluaran ialah tindakan mengubah faktor-faktor pengeluaran kepada barangan-perkhidmatan yang dikehendaki untuk penggunaan dan pelaburan.

Pengeluaran adalah proses ekonomi yang berkaitan dengan penawaran. Ia penting kerana tanpanya pengagihan dan penggunaan akan terbantut dan manusia gagal memperolehi barang-barang keperluan yang asas sehingga menyukarkan hidup mereka. Tanpa melakukan aktiviti pengeluaran, seseorang dari segi agama adalah melakukan kesalahan kepada kemanusiaan. Aktiviti Pengeluaran harus dilaksanakan sehingga keperluan masyarakat dapat dipenuhi sehingga berlaku keseimbangan permintaan-penawaran.

Bekerja dan berusaha adalah fitrah manusia. Manusia dijadikan untuk berusaha gigih bagi memenuhi keperluan hidupnya. Mereka perlu melakukan aktiviti ekonomi pengeluaran melalui kepayahan, kepenatan dan kesusahan. Hasilnya mereka akan mendapat imbalan yang sewajarnya dalam bentuk upah, kekayaan, aset dan barangan. Ia juga boleh membantu mencipta peluang-peluang pekerjaan baru dalam usaha mencapai gunatenaga penuh dalam semua sektor ekonomi.

7.3               Objektif Pengeluaran
Beberapa sarjana ekonomi Islam membincangkan secara serius tentang objektif pengeluaran dalam Islam yang disifatkan sebagai lebih menyeluruh jika hendak dibandingkan dengan ekonomi konvensional. Objektif pengeluaran dalam Islam ialah meningkatkan kekayaan dan keuntungan serta untuk mendapatkan keredhaan Allah sehingga aktiviti pengeluaran tersebut dapat meningkatkan kebajikan ekonomi, kualiti barangan-perkhidmatan dan mengefisienkan penggunaan sumber.

Secara terperinci Nejatullah Siddiqi (1972:11-34) dalam bukunya The Economic Enterprise In Islam berpendapat objektif pengeluaran dalam ekonomi Islam antara lain ialah;
a.                   Menyediakan keperluan diri secara sederhana. Usaha pengeluaran barangan-perkhidmatan makanan, tempat tinggal, kesihatan, pendidikan yang asas bagi membolehkan menjalani kehidupan biasa secara sederhana.
b.                  Memenuhi keperluan orang yang di bawah tanggungan. Pengeluaran untuk memenuhi tanggungjawab menyara kehidupan keluarga dan ibu bapa supaya tidak dihimpit oleh kesusahan bahkan beroleh kemudahan dalam kehidupan.
c.                   Menyediakan keperluan masa depan. Pengeluaran untuk menghasilkan barangan-perkhidmatan dan keuntungan yang dapat disimpan pada masa ada kelebihan dan dapat digunakan di masa-masa mendatang yang manusia tidak ada pengetahuan mengenainya terutamanya pada masa kesusahan.
d.                  Peruntukan untuk generasi akan datang. Hasil dari aktiviti pengeluaran tidak dibelanjakan atau digunakan tetapi disimpan untuk warisan generasi akan datang sama ada melalui sumber mentah, wang, emas, saham, faraid, wakaf, hadiah dan sebagainya.
e.                  Khidmat sosial dan sumbangan pada jalan Allah. Hasil pengeluaran digunakan untuk memenuhi agenda jihad memenuhi keperluan rakyat atau orang ramai melalui pemberian secara sukarela terhadap golongan fakir, miskin dan al-mustadh’afin (golongan yang memerlukan) supaya mereka dapat bebas dari kesukaran hidup dan dapat menjalani hidup yang lebih sempurna dan juga menghasilkan barangan-perkhidmatan yang baik dan diperlukan dengan harga yang murah.

7.4               Kepentingan Pengeluaran

a.                   Allah menyediakan pelbagai kemudahan asas bagi manusia di bumi ini untuk keperluan hidup manusia. Manusia sentiasa didorong oleh Islam supaya berusaha gigih dan bekerja dalam aktiviti pengeluaran seperti berniaga, berternak dan bertani.

b.                  Kebanyakan Nabi dan Rasul terlibat dalam bidang pengeluaran. Ada kalangan nabi yang menjadi peniaga, penternak, petani dan tukang besi. Ini bagi menunjukkan sanjungan kepada sikap berdikari dan kurang pergantungan kepada pihak lain.

c.                   Memenuhi keperluan masyarakat dalam tahap yang sesuai seperti dharuriyat, hajiyat dan kamaliyat.

d.                  Asas pembangunan negara dan umat Islam. Masyarakat Islam mesti bekerja keras bagi memenuhi keperluan masyarakatnya dan ini dapat membantu pertumbuhan ekonomi.

e.                  Menggelak diri dari unsur-unsur kemalasan yang bukan setakat merugikan individu yang terlibat tetapi juga struktur negara dan masyarakat.


Pada realitinya amat sedikit kita dapati manusia yang secara individu mengeluarkan sendiri barangan keperluan untuk kehidupannya sebaliknya terpaksa bergantung kepada bantuan orang lain untuk barangan atau perkhidmatan yang diperlukannya.

 

7.5               Konsep Barangan dan Perkhidmatan
Ekonomi konvensional melihat barangan sebagai sesuatu yang memiliki cita rasa dan nilai ekonomi, sementara perkhidmatan sebagai sebarang urusan yang memudahkan aktiviti pengeluaran dan pengagihan. Ini berbeza dengan ekonomi Islam yang melihat barangan-perkhidmatan bukan sahaja sebagai sesuatu yang mempunyai nilai ekonomi iaitu boleh mendatangkan keuntungan tetapi juga berupaya memenuhi kehendak keagamaan dan keperluan masyarakat. Ia juga berusaha mewujudkan manusia yang terlibat dalam kegiatan ekonomi supaya menjadi manusia yang baik, sabar, bertanggungjawab, rajin bekerja, berhemah dan amanah dalam aktiviti ekonomi bagi memastikan peruntukan sumber yang optimum dan suasana kegiatan ekonomi yang harmonis.

Monzer Kahf (1982:27-29) menggunakan perkataan yang sesuai dengan barangan sebagai al-Tayyibah dan al-Rizq yang bermaksud barangan yang baik dan suci. Dengan pengertian barangan pengguna adalah barangan yang baik, suci, berkualiti, meningkatkan nilai akhlak serta membawa kebaikan. Sementara barangan yang tidak ada kebaikan, membawa kepada dosa dan maksiat, merbahaya pada fizikal, merosakkan nilai akhlak, serta tidak membantu kehidupan manusia secara keseluruhannya tidak boleh dianggap sebagai barangan dan dilarang penggunaannya. Di antara contohnya ialah aktiviti pelacuran, perjudian, hiburan bebas, perniagaan haram, minuman keras dan sebagainya. Dalam Islam, menggunakan barangan yang baik merupakan suatu kebajikan dan menggunakan ciptaan Allah merupakan suatu ibadah.

7.6               Jenis Barangan dan Perkhidmatan
Ekonomi Islam meletakkan pemilihan jenis barangan dan perkhidmatan adalah berasaskan matlamat pengguna Islam sendiri. Surtahman Kastin Hasan dalam bukunya Ekonomi Islam: Dasar dan Amalan (1995) menggariskan matlamat tersebut sebagai; memenuhi keperluan hidup secara sederhana, menghindari penggunaan barangan yang dilarang, tidak boros dan membazir, dan penggunaan serta kepuasan yang terhasil tidak menjadi matlamat akhir pengguna. Setelah matlamat kepenggunaan dipastikan barulah seseorang pengguna Islam mengatur pilihannya mulai dengan barangan atau perkhidmatan yang;
a.                   Dharuriyat (barangan keperluan asas); semua benda asas yang diperlukan bagi kehidupan manusia bagi melindungi diri, agama, akal, keturunan dan harta. Tanpa keperluan asas ini manusia tidak berupaya untuk hidup sempurna, meruntuhkan nilai-nilai kemanusiaan, hidup dicengkam suasana kesusahan malah mungkin tidak boleh hidup seperti makanan, minuman, pakaian, tempat tinggal dan kesihatan. Tanpa makanan manusia akan kebuluran, tanpa rumah manusia akan kesejukan dan tanpa penjagaan kesihatan manusia menderita diserang pelbagai jenis penyakit. Kegagalan untuk memiliki atau memperolehi barangan-perkhidmatan ini menyebabkan individu dan kelompok berada dalam kedudukan kelas bawahan atau pada tahap kemiskinan.

b.                  Hajiyat (barangan kemudahan dan keselesaan); benda yang membantu meningkatkan kecekapan, memudahkan hidup manusia dan meningkatkan kualiti kehidupan. Adanya menyenangkan dan menjadikan hidup lebih selesa tanpa melanggar batas-batas kesederhanaan. Mereka yang tergolong dalam kategori ini dinamakan golongan kelas menengah atau golongan berpendapatan sederhana. Contohnya ialah makanan yang berzat serta lazat dan pakaian yang selesa. Ini kerana badan yang sihat, cergas dan kuat kerana pemakanan yang berzat. Dari sudut kesihatan mampu menjadikan seseorang itu dapat bekerja rajin dan gigih. Islam membenarkan manusia menikmati kesenangan dan itu merupakan tabiat semulajadi manusia. Malah tidak salah untuk menghiasi kehidupan dengan pelbagai perhiasan yang manusia suka mengikut kemampuan yang ada kerana ia mencerminkan kehebatan kurniaan Allah. Firman Allah:
“Katakanlah (Wahai Muhammad) siapakah yang (berani) mengharamkan perhiasan Allah yang telah dikeluarkan-Nya untuk hamba-hamba-Nya dan demikian juga benda-benda yang baik lagi halal dari rezeki yang dikurniakan-Nya?”
(al-a’raf: 32)
“Apabila Tuhan sudah mengurniakan rezeki-Nya ke atasmu, Ia lebih suka melihat rezeki-Nya itu pada dirimu (dalam bentuk pemakanan, pakaian dan kehidupan yang baik)”.
                                                                                                                                                (Riwayat Abu Dawud)

c.                   Kamaliyat (barangan mewah); Benda yang tidak membantu meningkatkan kecekapan tetapi mungkin sebaliknya. Ia adalah barangan-perkhidmatan yang menunjukkan gaya, prestij, perbezaan, kemegahan, kemewahan, kesempurnaan dan kelayakan. Mereka dikategorikan sebagai golongan kaya dan kelas atasan.  Contohnya ialah baju mahal, barang kemas, kereta mewah, kehidupan berprestij, perhiasan diri dan rumah mewah. Kos yang dikeluarkan untuk mendapatkannya adalah melebihi faedah yang boleh diperolehi darinya. Bahkan pada keadaan tertentu boleh menghalang kecekapan ekonomi melalui pembaziran gunatenaga, modal dan bahan mentah. Barangan mewah boleh terus dikeluarkan tetapi langkah untuk pengagihan semula kekayaan daripada orang kaya yang sedikit kepada orang miskin yang ramai perlu dilakukan (kuasa beli) melalui pengeluaran barangan-perkhidmatan yang diperlukan dan sekaligus ia menyediakan peluang pekerjaan yang besar. Jika keadaan ini tidak diseimbangkan dikhuatiri ia boleh mendedahkan ekonomi kepada pengangguran dan barangan tiada pasaran. Ini kerana penggunaan barangan mewah bukan suatu pembaziran ekonomi secara menyeluruh kerana wujudnya permintaan. Islam menegah kemewahan hidup sebegini kerana ia menggalakkan pertumbuhan industri yang tidak produktif dan tidak bermoral yang boleh menggugat keharmonian masyarakat. Sesuatu benda atau perkhidmatan itu diharamkan apabila ia membawa kepada perkara keji seperti sombong dan angkuh.

Namun apa yang selalu berlaku ialah kehendak manusia bukan merupakan keperluan sebenar manusia, tetapi ia biasanya merupakan keinginan nafsu. Islam telah mengenali tabiat manusia sebagaimana firman Allah:
“Sesungguhnya manusia diciptakan bersifat keluh kesah lagi kikir”.
     (al-Ma’arij: 19)

“Dijadikan indah pada (pandangan) manusia kecintaan kepada apa-apa yang diingini iaitu wanita-wanita, anak-anak, harta yang banyak dari emas, perak, kuda pilihan, binatang ternakan dan sawah ladang”.
 (Ali-‘Imran: 14)

Oleh itu tidak benar untuk mengatakan sumber ekonomi adalah terhad kerana apa yang berlaku ialah kehendak manusia yang melampau dan tidak terhad menyebabkan sumber ekonomi tidak dapat diurus dengan berhemat. Ekonomi Islam cuba mengurangkan keperluan manusia terhadap kebendaan yang berlebih-lebihan kerana kegagalan mengawal kehendak manusia yang tidak terbatas ini merupakan punca kepada timbulnya pelbagai masalah dalam ekonomi.

7.7               Klasifikasi Keperluan Manusia
Sarjana ekonomi Islam seperti Afzalur Rahman (1985), M.A. Mannan (1986: 47-48) dan Muslehuddin (1980: 58) mengklasifikasikan barangan keperluan manusia kepada tiga iaitu; barangan keperluan asas, barangan keperluan kecekapan dan barangan mewah. Pengguna Islam hanya berbelanja dalam klasifikasi keperluan asas (dharuriyat) dan barangan kecekapan (hajiyat) sedangkan yang lebih dari itu adalah membazir dan tidak produktif.

7.8               Jumlah Barangan dan Perkhidmatan
Jumlah barangan dan perkhidmatan yang dikeluarkan untuk pasaran bukan hanya mengikut kehendak pengguna tetapi juga ditentukan oleh kerajaan supaya kerajaan dapat menyeimbangkan penawaran dan permintaan barangan dharuriyat, hajiyat dan kamaliyat. Kerajaan perlu bijaksana melihat keperluan rakyat melalui aspek saiz penggunaan dan taraf hidup rakyat supaya ia boleh menentukan polisi ekonomi negara menjurus kepada keutamaan pengeluaran barangan dharuriyat, mengeluarkan sedikit barangan hajiyat dan kamaliyat serta menggelakkan pemborosan dan pembaziran.

Pengeluar memproses sumber ekonomi sehingga menjadi barangan dengan cekap sedangkan jumlah barangan ditentukan oleh kerajaan dan pengguna. Jumlah permintaan pengguna kepada barangan dan perkhidmatan akan jatuh jika barangan itu sedikit kegunaannya. Begitu juga dengan pengeluaran barangan mewah, saiz permintaannya kecil dan Islam menyifatkannya sebagai mengikut hawa nafsu dan boleh memberi kesan sosio-moral dalam hidup bermasyarakat. Permintaan kepada barangan keperluan dharuriyat dan hajiyat akan mengurangkan permintaan barangan-perkhidmatan mewah (kamaliyat) begitu juga permintaan tinggi terhadap barangan halal akan mengurangkan permintaan terhadap barangan-perkhidmatan yang haram.

Dalam pada itu tuanpunya firma dan kilang boleh mengeluarkan barangan-perkhidmatan dengan jumlah yang lebih besar terutamanya pada barangan keperluan asas (dharuriyat) dengan kos yang lebih rendah kerana penggunaan sumber pengeluaran yang optimum bagi menolong orang ramai mendapatkan barangan-perkhidmatan dengan mudah dan dalam masa yang sama memperoleh ganjaran pahala dari Allah juga keuntungan dari jualan.

7.9               Faktor-Faktor Pengeluaran
Sarjana ekonomi Islam seperti M.A. Mannan (1986: 56-64) dan Dr. Muhammad Abdul Mun’im al-Jamal (1992: 89-96) mempunyai pandangan yang berbagai tentang faktor-faktor pengeluaran yang dapat dirumuskan seperti berikut;
1.                   Tanah
Tanah merupakan aset fizikal alam semulajadi meliputi semua yang ada di bumi, laut dan udara. Al-Quran dan al-Sunnah banyak menekankan agar tanah diusahakan secara sewajarnya kerana tanah dilihat sebagai sumber semulajadi dan sumber boleh pupus. Tanah adalah sumber semulajadi kerana ia merupakan tempat bekerja, membina rumah, kilang, perlombongan dan bercucuk tanam. Adalah menjadi kewajipan manusia untuk membangunkan tanah untuk mendapatkan sewa tanah dan juga upah atau untung hasil dari eksploitasi tenaga buruh seperti pajakan, sewaan, pertanian, perindustrian dan penternakan. Sumber yang boleh pupus ini juga adalah untuk generasi akan datang kerana saiznya yang semakin mengecil. Apa yang penting ialah manusia mesti sentiasa berfikir bagaimana untuk meningkatkan daya pengeluaran dari penggunaan tanah yang cekap. Jangan jadikan tanah yang ada terbiar tanpa aktiviti ekonomi kerana ia suatu pembaziran yang menghalang dari tercapainya kebajikan manusia.

2.                   Buruh
Sumber alam tidak bermakna kepada manusia jika tidak dieksploitasi menjadi sesuatu yang berguna dengan menggunakan tenaga buruh. Buruh dinamakan juga sebagai sumber manusia berperanan melakukan kerja-kerja ekonomi secara profesional dengan menggunakan keupayaan mental ataupun tenaga fizikal yang selalu juga disebut sebagai kolar putih dan juga kolar biru. Jika perlu buruh  berhijrah keluar dari lokalitinya untuk mencari rezeki dan tidak sahaja menunggu peluang yang tidak diketahui bila akan muncul. Orang yang bekerja kuat pasti akan berjaya dan tidak ada orang kaya yang tidak gigih bekerja. Manusia mesti menanggung kesukaran, penderitaan dan bertungkus lumus untuk mendapatkan kesenangan dan kebahagiaan. Islam memandang manusia yang bekerja dengan gigih, tekun dan sabar untuk menghasilkan barangan-perkhidmatan yang diperlukan oleh manusia sebagai ibadah. Manusia yang malas dan membuang masa dengan sia-sia akan hidup penuh kehinaan, kesusahan dan kelaparan. Apa yang penting di sini ialah memahami bahawa buruh atau sumber manusia bukannya mesin atau manusia ekonomi (economic man) tetapi perkara yang amat penting ialah mengubah orientasi budaya buruh supaya rajin bersemangat dan produktif.

Buruh terikat dengan bidang kerja, sosio-moral dan etika kerja. Ia patut menjauhi kerja-kerja yang membawa kepada dosa, maksiat, kejahatan dan melalikan. Ia mesti memiliki kecekapan, kesihatan fizikal, kecerdasan mental, pendidikan dan latihan. Islam melihat buruh bukan setakat sebagai tenaga kerja sahaja kerana sesiapa yang mengupah buruh mempunyai tanggungjawab moral dan melindungi hak asasi pekerjanya seperti tawaran gaji yang sewajarnya, pekerjaan yang mampu dilakukan, memelihara hubungan baik dengan saling bantu membantu dan memelihara kebajikannya. Buruh juga tidak bebas melakukan apa yang disukainya yang dilarang oleh syarak. Ia tidak boleh mensabotaj majikannya dan majikannya tidak boleh menindasnya.

3.                   Modal
Modal ialah harta kekayaan yang membantu untuk menghasilkan lebih banyak kekayaan seperti mesin, kenderaan, bahan mentah dan wang. Tanpa modal proses pengeluaran tidak dapat dilakukan hanya dengan usaha gigih manusia sahaja. Modal merupakan hasil simpanan dari kerja kuat dan jimat cermat. Ia juga boleh diperolehi dari pelaburan semula wang dalam perniagaan dan juga dari pinjaman tanpa faedah (riba). Modal mesti bebas dari sebarang unsur riba, penipuan, sorok, perjudian, spekulasi, pakatan (cartel) dan rasuah. Modal mesti digunakan sebaik mungkin untuk aktiviti pengeluaran dan juga untuk tujuan tabungan bagi kekayaan dan pelaburan semula. Islam melihat modal sebagai amanah dengan dijana secara baik dan tidak diboroskan. Islam menegah manusia menyembunyikan modal kerana ia boleh mengurangkan kadar kemajuan kerana kegiatan ekonomi tidak mampu dilaksanakan kerana ketidakcukupan modal. Sebaliknya Islam menggalakkan pelaburan modal melalui musyarakah dan mudharabah dengan berkongsi untung-rugi. Modal mesti ditadbir urus dengan baik dan mengelakkan pemborosan serta penyalahgunaan kerana ia dapat menggelakkan kerugian dan penderitaan bukan sahaja kepada tuan punya modal tetapi juga kepada para pekerjanya.

4.            Organisasi
Organisasi ekonomi bertanggungjawab merintis, merancang, menyelia dan melaksanakan aktiviti pengeluaran pertanian, industri dan perkhidmatan. Organisasi mesti mempunyai manusia yang baik, berkualiti dan bekerja keras. Ia melakukan proses pengeluaran barangan dan perkhidmatan yang halal dan berguna untuk kebaikan masyarakat serta menyediakan peluang pekerjaan kepada masyarakat umum. Organisasi ini berorientasikan amanah, ketinggian mutu barangan-perkhidmatan dan kebaikan. Ia terbahagi kepada dua bentuk iaitu mudharabah (berkongsi untung) dan musyarakah (berkongsi untung rugi). Mudharabah beroperasi bila pemodal menyediakan modal dan usahawan melaksanakan aktiviti ekonomi dengan untungnya dibahagi sama mengikut nisbah yang dipersetujui bersama, manakala kerugian akan ditanggung oleh pemodal sahaja kerana usahawan telah berusaha gigih dan jika rugi ia tidak mendapat upahnya. Manakala musyarakah ialah perkongsian ekuiti dan tugas dalam aktiviti ekonomi yang memberi implikasi untung-rugi ditanggung bersama.

5.            Keusahawanan
Keusahawanan menggerakkan pengeluaran dan usaha-usaha yang produktif. Pengurus atau pengusaha menguruskan kerja-kerja perusahaan untuk mendapatkan keuntungan yang akhirnya boleh dikongsi bersama dengan pemegang saham atau untuk keuntungan sendiri dengan melaksanakan prinsip mudharabah dan juga musyarakah. Untuk itu, ekonomi Islam melihat aspek keusahawanan perlu kepada keutuhan moral, ketepatan waktu, kesungguhan, produk bermutu dan kejujuran mengurus sebagai teras keusahawanan yang berjaya. Bahkan ia dapat mengurangkan kos pengurusan dan penyeliaan.

6.            Teknologi
Dalam perkembangan masa, teknologi dianggap sebagai satu daripada faktor pengeluaran. Penggunaan teknologi iaitu mesin, jentera dan peralatan telah menambah kekayaan dan keuntungan manusia melalui jumlah pengeluaran yang dipertingkatkan, kualiti barangan yang dijamin dan kos pekerja yang dapat dikurangkan. Perubahan teknologi juga dapat memperkenalkan sistem dan cara kerja yang baru. Masalah pencemaran dapat dimimimakan untuk kesejahteraan masyarakat. Justeru itu usaha-usaha penyelidikan dan pembangunan perlu sentiasa digalakkan untuk pengenalan teknologi baru yang boleh mempertingkatkan output pengeluaran.

7.10            Kesimpulan
Pengeluaran merupakan aktiviti ekonomi yang penting sama seperti penggunaan dan pengagihan. Ia adalah asas kepada pertumbuhan dan kemajuan ekonomi serta kebajikan masyarakat. Kehendak-kehendak manusia dikawal ketat dalam menentukan proses pengeluaran. Begitu juga dengan faktor-faktor pengeluaran akan dimanipulasi dengan baik oleh usahawan muslim yang beretika Islam. Dari situ muncul aktiviti penggunaan yang sederhana dan seimbang dalam semua aktiviti ekonomi mengikut tahap dharuriyat, hajiyat dan kamaliyat.


No comments:

Post a Comment