Pages

Tuesday, June 12, 2012

Ekonomi Islam 3

Kuliah 3:

METODOLOGI DAN SUMBER HUKUM EKONOMI ISLAM


3.1          Pengenalan
Ekonomi Islam merupakan satu daripada aspek ijtihad dalam kerangka Cara Hidup Islam. Oleh itu ia mempunyai metodologi tertentu  yang digunakan bagi mengeluarkan panduan syarak dari sumber-sumber syarak iaitu al-Quran dan al-Sunnah. Ini juga menunjukkan bahawa ekonomi Islam tidak muncul kerana desakan perkembangan hidup manusia sahaja tetapi juga kerana semangat ajaran al-Quran dan al-Sunnah dengan memberi panduan kepada semua elemen ekonomi sehingga menjadikan ekonomi Islam sentiasa sesuai dengan perubahan semasa.

3.2               Metodologi Ekonomi Islam
Ekonomi Islam merupakan sebahagian dari komponan Cara Hidup Islam yang lengkap dan menyeluruh serta mempunyai panduan wahyu iaitu al-Quran dan al-Sunnah. Ekonomi Islam tidak boleh bergerak bertentangan dengan wahyu. Dalam perkembangan berikutnya ijtihad digunakan secara optima bagi merumuskan banyak perkara baru dalam aktiviti dan perkembangan ekonomi tetapi mempunyai sandaran sama ada dalam al-Quran mahupun dalam al-Sunnah. Metodologi ekonomi Islam mestilah merujuk kepada kedua-dua sumber itu dahulu dan kemudiannya kepada rujukan-rujukan lain. Jika sekiranya tidak diperolehi dari kedua-dua sumber itu barulah peranan manusia bermula dan dari sinilah mula timbulnya metodologi.

Keadaan ini dapat digambarkan dari satu hadith Rasulullah s.a.w. sebagaimana yang diceritakan oleh Muaz bin Jabal r.a. ketika beliau diutus oleh Rasulullah s.a.w. ke negeri Yaman. Rasulullah s.a.w. bertanya kepadanya; “Wahai Muaz! Bagaimana kamu hendak menghukumkan sesuatu perkara apabila kamu diperlukan berbuat demikian? Muaz menjawab; Saya akan menghukumkannya mengikut kitab Allah (al-Quran) dan sekiranya saya tidak dapat memperolehi hukum di dalamnya, saya akan memberi hukum mengikut Sunnah Rasulullah, dan jika saya tidak juga memperolehi hukum darinya, saya akan berusaha mendapatkannya dengan berijtihad. Saya tidak akan cuai dalam melakukannya. Rasulullah telah menepuk dada saya seraya bersabda; Segala puji bagi Allah yang telah memberi taufik kepada utusan Rasulnya dan dapat melakukan perkara yang diredai Allah dan Rasul-Nya”.

Pengajaran yang dapat diperolehi dari hadith ini ialah al-Quran dan al-Sunnah menjadi teras sumber hukum dalam Islam dan kemudiannya baru diikuti oleh ijtihad. Ijtihad para ulama fiqh telah merumuskan metodologi ekonomi Islam melalui pembentukan kaedah usul fiqh, maqasid syar’iyyah dan qawa’id fiqhiyyah bagi menyelesaikan banyak permasalahan ekonomi  manusia yang timbul dari masa ke semasa yang memerlukan jawapan boleh atau tidak untuk dilaksanakan dalam kehidupan seharian.

3.2.1          Usul Fiqh
Merupakan ilmu mengenai kaedah-kaedah mengeluarkan hukum syarak atau memahami hukum syarak yang berbentuk praktikal dari dalil yang tafsili (terperinci). Sebagai contohnya ialah kewajipan beriman dan membelanjakan harta ditunjukkan melalui dalil sebagaimana firman Allah yang bermaksud;
“Berimanlah kamu kepada Allah dan Rasul-Nya dan belanjakanlah (pada jalan kebajikan) sebahagian dari harta benda yang mana Allah telah menjadikan kamu sebagai wakil dalam menguasai dan menguruskannya”.
                                                                             (al-Baqarah: 43)

Dalam ayat al-Quran tersebut, Allah s.w.t. telah menghubungkaitkan perintah beriman  dengan perintah berbelanja. Allah memerintahkan umat Islam beriman danan bukti iman ialah melibatkan harta benda yang perlu dibelanjakan sebahagiannya pada saluran yang diredai Allah s.w.t. Ulama usul fiqh mengeluarkan hukum bahawa tindakan membelanjakan harta khususnya zakat adalah wajib.

3.2.2          Maqasid Syar’iyyah
Secara mudahnya teori Maqasid Syar’iyah bermaksud suatu perbahasan mengenai kesempurnaan syariat Islam yang merangkumi objektif-objektif dan strategi-strateginya dalam usaha menjamin kebaikan dan menghindari keburukan di dunia dan di akhirat. Sebab itu pokok perbahasan dalam teori maqasid ini ialah jaminan syariah Islam kepada lima tonggak kehidupan (dharuriyah) yang sebenar iaitu agama, nyawa, akal, keturunan dan harta. Kemudian diikuti pula dengan jaminan Islam kepada keperluan-keperluan mendesak (hajiyah) dan akhir sekali jaminan Islam kepada keperluan tidak mendesak (tahsiniyah). Pada masa yang sama, Islam menyediakan kaedah tersendiri dalam menangani tuntutan ketiga-tiga jaminan itu supaya tidak berlaku sebarang pertembungan kepentingan (maslahah). Kaedah tersebut ialah kaedah susunan keutamaan di mana keperluan asas (tonggak) kehidupan didahulukan ke atas dua kepentingan yang lain. Kemudian keperluan mendesak lebih diutamakan daripada keperluan tidak mendesak. Susunan keutamaan ini (maratib awlawiyat) merupakan satu skema (panduan) yang akan melahirkan suasana stabil kepada pengurusan hidup manusia dalam pelbagai bidang. 
a.                  Dharuriyah: Memelihara lima asas kehidupan bagi memastikan kesejahteraan hidup manusia di dunia dan di akhirat iaitu memelihara agama, jiwa, akal, keturunan dan harta. Sekiranya perkara ini diabaikan, ia bakal menjerumuskan manusia kepada kehidupan yang tidak sempurna dan kurang bererti. Oleh sebab itu, Islam menggalakkan kegiatan ekonomi yang halal dan memastikan keturunan yang baik dan sihat.
b.                  Hajiyah: Mendapatkan perkara yang diperlukan (dihajati) oleh manusia bagi memastikan kehidupan mereka tiada kesulitan atau halangan. Jika tidak, kehidupan manusia akan penuh dengan kesukaran. Islam mahu kehidupan manusia mudah dan mahu menggelakkan kesusahan kepada manusia. Dengan sebab itu Islam mengharuskan jual beli, makan minum dan mencari rezeki.
c.                   Tahsiniyah: Sesuatu yang menyempurna, memperelokkan dan melancarkan kehidupan manusia. Jika tiada ia, tidak sampai menyukarkan kehidupan. Sebagai contohnya tidak wujudnya eksploitasi, penipuan, pembolotan harta dan sebagainya dalam aktiviti ekonomi. Jika ia wujud ekonomi masih boleh berjalan tetapi jika ia tiada maka ekonomi akan berjalan lebih baik.

3.2.3          Qawa’id Fiqhiyyah
Merupakan prinsip-prinsip umum fiqh sebagai panduan untuk menetapkan hukum setiap perkara sama ada yang telah ada nas yang jelas mahu pun yang tiada nas. Disebabkan masalah-masalah fiqh dan pecahannya terlalu banyak, maka ia perlu kepada penetapan kaedah-kaedah tertentu. Hal tersebut merupakan tugas ahli-ahli fiqh untuk memahami kaedahnya dan mengetahui dalil-dalilnya kerana segala masalah fiqh bergantung kepada kaedah-kaedah tertentu. Di antara kaedah  fiqh umum yang utama dibincangkan ada lima;
a.                   Semua urusan bergantung kepada tujuannya (al-Umur bi Maqasidiha).
Maksud kaedah ini ialah amalan dan tindakan seseorang sama ada perbuatan atau perkataan, maka kesan dan hukum syaraknya berbeza dengan sebab berbeza tujuan amalan seseorang dan tindakannya. Dalil kaedah ini ialah hadith Rasulullah s.a.w. yang bermaksud:
“Sesungguhnya segala amalan bergantung kepada niat dan sesungguhnya bagi setiap orang itu apa yang diniatkan”.

Niat diperlukan bertujuan untuk membezakan di antara amalan ibadat dengan amalan adat dan untuk membezakan tingkat ibadat di antara satu sama lain. Contohnya ialah pemberian harta kepada orang lain sekalipun perbuatannya nampak sama tetapi penilaiannya adalah berbeza berdasarkan niat si pemberi. Pemberian itu ada berbagai tujuan di antaranya ialah hibah, zakat, sedekah, kafarah dan sebagainya. Kaedah ini memberi kefahaman bahawa niat menjadi syarat utama sah atau batalnya sesuatu perkara itu atau diberi pahala ataupun dosa. Untuk itu amalan yang tidak disertai dengan niat tidak mendatang apa-apa kesan.  

b.                  Keyakinan tidak boleh disingkirkan dengan syak (keraguan) (al-Yaqin la Yuzal bi al-Syak).
Maksud kaedah ini ialah sesuatu yang telah diyakini  tidak akan hilang  dengan kedatangan syak (keraguan) ke atasnya. Dalil kepada kaedah ini ialah hadith Nabi s.a.w. yang bermaksud:
“Apabila salah seorang kamu telah timbul syak dalam solatnya, tidak diketahui lagi berapa (rakaatkah) yang telah dilakukan, tiga atau empat? Maka hendaklah buangkan yang syak (ragu-ragu) itu dan tunaikanlah atas apa yang telah diyakininya”.

Contoh yang lain dalam masalah mudharabah, apabila pemodal mendakwa ke atas pekerjanya ada keuntungan sedangkan pekerjanya menafikan dakwaan itu maka hendaklah dibenarkan dakwaan yang menafikan dengan sumpahnya, kerana keuntungan itu suatu yang baru datang, sedangkan keadaan asal yang diyakinkan sebelum mudharabah ialah tiada keuntungan.
                                                                          
c.                   Kesukaran menghilangkan kemudahan (keringanan) (al-Masyaqqah Tajlib al-Taysir).
Maksud kaedah ini ialah apabila terdapat sesuatu kesusahan atau kesulitan dalam menunaikan dan melaksanakan perintah Allah, maka perintah itu diringankan, tidak seperti asalnya. Masyaqqah atau kesukaran yang menjadi sebab kepada keringanan ialah masyaqqah yang melampaui had biasa dan tidak mampu ditanggung oleh manusia pada kebiasaannya, bahkan boleh memudaratkan diri. Dalil kepada kaedah ini ialah firman Allah yang bermaksud:
“Allah menghendaki kamu beroleh kemudahan dan Ia tidak menghendaki kamu menanggung kesukaran”.              
(al-Baqarah: 185)

Di antara sebab-sebab yang menjadi ringan dalam syariat Islam; antaranya; kekurangan, jahil, sakit, terlupa, terpaksa, perjalanan yang jauh  (safar) dan umum al-balwa iaitu perkara yang tidak dapat dielakkan. Contoh kaedah ini ialah orang berhutang yang diisytiharkan muflis atau jatuh miskin perlu ditangguhkan tuntutan bayaran hutang sehingga ia  senang atau digugur sahaja tuntutan hutang itu.

d.                  Kemudaratan hendaklah dihilangkan (al-Dhararu Yuzal).
Kaedah ini bermaksud sesuatu yang boleh mendatangkan mudarat atau bahaya mestilah dihapuskan dan perkara yang memudaratkan itu hendaklah dihilangkan. Walaupun begitu sesuatu yang boleh membawa kepada kemudaratan tidak dapat dihilangkan dengan kemudaratan.  Asas kepada kaedah ini ialah hadith Nabi Muhammad s.a.w. :
“La dharar wa la dhirar”.
Maksudnya: “Tidak mudarat dan tidak memudaratkan”.
Dharar ertinya melakukan kerosakan terhadap orang lain sedangkan dhirar ertinya bertindak balas melakukan kemudaratan yang sama dengan kemudaratan terhadapnya. Maknanya, tidak harus bagi seseorang melakukan kemudaratan terhadap seseorang yang lain sama ada memulakannya atau untuk membalasnya. Contoh yang praktikal bagi kaedah ini ialah seperti boleh dipulangkan barang yang dibeli kepada penjual kerana terdapat kecacatan padanya. Satu contoh yang lain pula ialah diharuskan beberapa jenis akad seperti ijarah, hiwalah, salam dan istisna’ kerana ada ayat (nas) syarak yang mengharuskannya sebagai pengecualian dari kaedah umum yang tidak mengharuskan jualan yang tidak wujud (al-bai’ al-ma’dum) tetapi oleh kerana atas keperluan manusia kepada akad-akad ini maka syarak membenarkannya.

Kaedah lain yang terbit dari kaedah al-Dhararu Yuzal ini antaranya ialah; Menghindari keburukan lebih diutamakan dari mengambil kemudaratan dan kerosakan (Darrul al-Mafasid Muqaddam ala Jalb al-Masalih). Maksud kaedah ini ialah apabila bertembung keburukan (mafsadah) dengan kebaikan (maslahah) maka pada kebiasaannya hendaklah didahulukan menolak keburukan kerana penekanan syarak kepada perkara larangan adalah melebihi perkara yang diperintah.   Ertinya manusia mesti mengelakkan diri dari melakukan pebuatan-perbutan dosa yang meliputi kegiatan mencari hasil kekayaan yang tidak adil, membazirkan sumber dan hasil kekayaan serta melakukan penipuan dalam perniagaan.
“Dan janganlah sebahagian kamu memakan harta sebahagian yang lain di antara kamu dengan jalan yang batil (salah) dan (janganlah) kamu membawa (urusan) harta itu kepada hakim supaya kamu dapat memakan sebahagian daripada harta benda orang lain itu dengan (jalan berbuat) dosa, padahal kamu mengetahui”.  
                                                                                                      (al-Baqarah: 188)

Dari kaedah pecahan ini terbentuk pula hukum berikut iaitu; i.  Seseorang ditegah menguruskan harta miliknya sekiranya pengurusannya membahayakan dan memudaratkan. ii. Menghapuskan iklan rokok untuk mencegah tabiat merokok yang lebih besar bahayanya adalah lebih baik dari mendapat bayaran iklan yang sedikit.

e.                  Adat  dijadikan sebagai rujukan hukum (al-‘Adat Muhakkamah).
Adat bererti berulangnya sesuatu berkali-kali dan menjadi kebiasaan sehingga ia dapat diterima oleh orang ramai. Uruf pula bererti sesuatu yang telah dikenali oleh masyarakat dan menjadi kebiasaan mereka mematuhinya sama ada perbuatan atau perkataan dan juga perkara-perkara yang mereka tidak lakukannya. Asas kepada kaedah ini ialah hadith Nabi Muhammad s.a.w. yang bermaksud;
“Apa-apa yang dinilai dan yang dilihat oleh orang Islam sebagai suatu yang baik maka ia juga baik di sisi Allah”.                   
(Riwayat al-Bukhari)

Untuk membolehkan uruf itu diambil kira dan dibinakan hukum ke  atasnya, maka ia perlu memenuhi syarat-syarat berikut iaitu; i. Uruf itu tidak berlawanan dengan ayat (nas) syarak. ii. Uruf itu telah diamalkan oleh masyarakat secara menyeluruh dan meluas meskipun ada yang tidak mengamalkannya atau jumlahnya amat sedikit. iii. Uruf yang berlawanan dengan nas atau dengan makna lain disebut uruf fasid tidak boleh diambil kira dan diamalkan seperti bermuamalat dengan riba, melakukan akad yang ada unsur-unsur penipuan, menghidang arak di majlis rasmi dan tidak rasmi, mendedahkan aurat dan sebagainya.

3.3   Sumber Hukum Ekonomi Islam
Sumber hukum ialah sumber pengambilan dalam menetapkan sesuatu hukum syarak sama ada berasaskan sumber yang disepakati oleh ulama iaitu al-Quran, al-Sunnah, al-Ijmak dan al-Qiyas atau sumber yang tidak disepakati oleh mereka                                                                                                                                                                seperti al-istihsan, al-masalih al-mursalah dan lain-lain lagi. Perbincangan berkaitan sumber hukum ekonomi Islam di sini hanya difokuskan kepada empat sumber hukum  yang disepakati sahaja iaitu;
3.3.1          al-Quran
Ia merupakan wahyu Allah yang diturunkan melalui Rasulullah s.a.w. sebagai petunjuk kepada manusia dalam kehidupan. Ia bersifat universal, kekal dan fundamental. Ia merupakan mukjizat dan membacanya adalah ibadah. Al-Quran membicarakan prinsip-prinsip asas yang boleh membawa kemajuan kepada kebajikan manusia dalam semua bidang.

Isi kandungan al-Quran berkaitan dengan hukum-hukum yang berbentuk amali terbahagi kepada; Pertama, ibadat iaitu hukum yang mengatur hubungan manusia dengan Allah seperti solat, puasa, zakat, haji, sumpah, nazar dan sebagainya. Kedua, muamalat iaitu hukum yang mengatur hubungan manusia dengan manusia sama ada hubungan individu dengan individu, individu dengan kumpulan (jamaah) ataupun hubungan kumpulan dengan kumpulan. Bahagian ini mengandungi hukum-hukum yang berkaitan dengan kira bicara seseorang mengenai harta seperti jual beli, gadaian, sewaan dan akad-akad lain. Ada 70 ayat al-Quran yang menyentuh hukum-hukum ini. Ia juga mengandungi hukum-hukum ekonomi iaitu hukum-hukum yang berkaitan dengan punca-punca hasil negara, hak seseorang terhadap harta orang kaya dan perkara lain yang berkaitan. Ayat yang menyentuh bahagian ini sebanyak 10 ayat.  Penjelasan al-Quran terhadap hukum-hukum syarak terbahagi kepada dua bentuk iaitu; Pertama: Penjelasannya berbentuk menyeluruh (ijmal) dan tidak terperinci dengan menerangkan kaedah-kaedah atau prinsip-prinsip umum bagi mensyariat hukum dan menerangkan hukum-hukum dalam bentuk menyeluruh dan tidak secara terperinci. Di antara hukum-hukum yang diterangkan oleh al-Quran secara menyeluruh (ijmal) ialah perintah mengeluarkan zakat melalui firman-Nya yang bermaksud;
“Ambillah zakat dari harta-harta mereka”.
Berjual beli dan riba melalui firman-Nya yang bermaksud;
“Dan Allah telah menghalalkan jual beli dan mengharamkan riba”.
Pertama: Penjelasan al-Quran mengenai hukum dalam bentuk secara menyeluruh dan tidak secara terperinci ada banyak.
Kedua: Penjelasan al-Quran terhadap hukum-hukum syarak secara terperinci dengan menerangkan hukum-hukum syarak secara terperinci. Penjelasan dalam bentuk ini adalah sedikit.

3.3.2          al-Sunnah
Merupakan perjalanan hidup Rasulullah s.a.w. mencakupi perkataan (qauliyah), perbuatan (fi’liyah) dan pengakuan (taqririyah) Nabi Muhammad s.a.w.                                                                                                                                      Al-Sunnah bersifat dinamik dengan menyediakan jawapan kepada pelbagai masalah yang timbul dalam kehidupan. Al-Sunnah dianggap hujah dan sumber hukum, wajib beramal dengannya jika pasti dari Rasulullah s.a.w. Hukum-hukum yang ada dalam al-Sunnah lahir dalam empat bentuk iaitu; Pertama: Sunnah yang selaras dengan hukum-hukum yang ada dalam al-Quran dan memperkuat atau menyokongnya seperti larangan mengamalkan riba. Kedua: Sunnah yang menjelaskan hukum-hukum al-Quran iaitu mentafsirkan ayat (nas) al-Quran yang mujmal (yang tidak jelas dan tidak difahami maksudnya) seperti hadith-hadith yang menerangkan harta yang diwajibkan berzakat dan yang tidak diwajibkan zakat, kadar zakat dan nisabnya. Ketiga: Sunnah yang memansuhkan hukum dalam  al-Quran seperti sabda Rasulullah s.a.w. yang bermaksud;
“Tidak sah wasiat kepada waris“.
Hadith ini memansuhkan wajib berwasiat kepada waris yang terkandung dalam firman Allah yang bermaksud;
“Kamu diwajibkan, apabila seseorang dari kamu hampir mati, jika ia ada meninggalkan harta (hendaklah ia) membuat wasiat untuk ibu bapa dan kaum kerabat”. 

Keempat: Sunnah yang  menerangkan hukum baru dan tidak disebutkan dalam al-Quran seperti hadith yang mengandungi hukum harus melakukan gadaian semasa tidak musafir.                                                                                                                                                                                                                                                                   

3.3.3          al-Ijmak
Persepakatan para mujtahid umat Nabi Muhammad s.a.w. pada sesuatu masa tertentu mengenai suatu hukum syarak selepas kewafatan baginda. Apa yang dimaksudkan dengan persepakatan ulama mujtahid ialah mereka yang mempunyai kebolehan mengeluarkan hukum syarak dari dalil terperinci, dan mestilah dilakukan oleh umat nabi Muhammad s.a.w. sahaja. Ijmak tersebut adalah hasil ijtihad yang berperanan dalam menetapkan sesuatu hukum. Ulama sepakat mengatakan bahawa ijmak adalah sumber ketiga dalam perundangan. Hal tersebut kerana terdapat beberapa ayat (nas) yang dapat difahami bahawa perkara yang diperselisihkan oleh ulama wajib dirujuk kepada kitab Allah dan al-Sunnah. Ini bermakna bahawa perkara yang disepakati oleh mereka adalah kebenaran yang diakui oleh Allah serta wajib diamalkan.

Ijmak boleh dilakukan sama ada secara lisan ataupun tulisan ataupun dengan berdiam diri dari menyatakan pendapat. Ini bererti apabila timbul masalah, setiap mujtahid mempunyai pandangan tersendiri apabila mereka merujuk kepada al-Quran dan al-Sunnah. Pandangan mereka boleh jadi sama dengan mujtahid yang lain dan boleh jadi tidak sama dengan mujtahid yang lain. Pandangan yang sama di kalangan mujtahid inilah yang dinamakan al-Ijmak.

3.3.4          al-Qiyas
Al-Qiyas ialah perbandingan di antara satu hukum dalam perkara yang baru ada dengan perkara yang telah ada hukumnya  di dalam al-Quran, al-Sunnah dan al-Ijmak. Contoh al-Qiyas ialah sabda Nabi Muhammad s.a.w. yang bermaksud;
“Orang yang beriman saudara orang yang beriman.Tidak halal bagi seorang yang beriman meminang perempuan yang telah dipinang oleh saudaranya atau membeli sesuatu yang mana saudaranya telah membuat keputusan untuk membelinya sehingga ia meninggalkannya”.

Hadith ini mengharamkan seseorang dari meminang perempuan yang telah dipinang orang atau membeli barangan yang telah dibeli oleh orang lain. Sebab (illah) pengharamannya ialah kerana perbuatan tersebut menyakiti orang lain dan boleh membawa kepada perbalahan, mencetuskan perasaan dendam dan putus silaturrahim. Penyewaan oleh seseorang terhadap sesuatu yang orang lain telah mendahului menyewanya tidak ada ayat al-Quran atau hadith mengenai hukumnya tetapi didapati padanya sebab (illah) hukum yang dijelaskannya.  Oleh sebab itu hukumnya sama dengan hukum yang dijelaskan oleh hadith tersebut iaitu haram kerana wujudnya persamaan sebab (illah) pada keduanya iaitu menyakiti hati orang lain.

Meminang perempuan yang telah terlebih dahulu dipinang oleh orang lain dan membeli sesuatu yang telah orang lain membuat keputusan untuk membelinya dinamakan asal (maqis alaih). Penyewaan seseorang terhadap sesuatu yang orang lain telah terlebih dahulu menyewanya dinamakan furuk (maqis). Haram meminang perempuan yang telah dipinang oleh orang lain dan membeli sesuatu yang telah dibeli oleh orang lain. Ia dinamakan hukum asal (maqis alaih). Sebab pengharamannya kerana perbuatan tersebut boleh menyakiti hati orang lain dan boleh memutuskan hubungan persaudaraan, silaturahim dan kasih sayang. Ini dinamakan sebab (illah). Berdasarkan pengertian dan huraian tersebut, al-Qiyas yang diterima menurut syarak mempunyai empat rukun iaitu;
i.                     Asal: Masalah yang dijelaskan hukumnya dalam al-Quran atau al-Sunnah atau al-Ijmak. Contohnya arak yang dinyatakan hukumnya dengan al-Quran.
ii.                   Hukum asal: Hukum syarak bagi masalah yang dijelaskannya di dalam salah satu dari tiga dalil.  Contohnya hukum pengharaman arak
iii.                  Furuk: Masalah yang tidak dijelaskan hukumnya dalam salah satu dari tiga dalil tersebut seperti tuak dan dadah.
iv.                 Illah: Sebab bagi hukum asal dan ia serupa dengan sifat pada furuk seperti mabuk pada arak, tuak dan dadah.
Qiyas yang sah dianggap sebagai sumber hukum dan hujah dan berada di tangga keempat selepas al-Quran, al-Sunnah dan al-Ijmak. Qiyas terbahagi kepada dua: Qiyas jaliy dan Qiyas khafiy.

               










No comments:

Post a Comment