Pages

Tuesday, June 12, 2012

Ekonomi Islam 10

Kuliah 10:

KONSEP PENGAGIHAN


10.1        Pengenalan
Segala harta dan sumber alam ini adalah milik Allah yang perlu dieksploitasi oleh manusia dalam apa jua aktiviti ekonomi. Manusia yang terlibat secara langsung dalam kegiatan ekonomi akan beroleh upah, sewa dan untung. Manakala mereka yang tidak terlibat secara langsung dalam kegiatan ekonomi juga akan beroleh pemberian (infak) dalam bentuk hadiah, zakat, sedekah, derma, harta pusaka, wakaf dan sebagainya. Semua harta, sumber kekayaan dan peluang mesti diagihkan secara adil dan saksama sesama manusia tanpa mengira kelas sosial, kedudukan, agama, warna kulit dan bahasa bagi menggambarkan perpaduan umat manusia. Ini kerana kegagalan melaksanakan tanggungjawab pengagihan boleh menyebabkan menularnya gejala kemiskinan, pengangguran dan kebuluran dalam kehidupan manusia. Pengagihan bukan setakat sebagai tanda merafakkan kesyukuran kepada Allah tentang rezeki dan pemberian tetapi lebih dari itu sebagai ujian kepada manusia adakah mereka patuh dan bersyukur ataupun engkar dan tamak.
“Adapun manusia apabila Tuhannya mengujinya lalu dimuliakan-Nya dan diberi-Nya kesenangan, maka dia berkata: “Tuhanku telah memuliakan aku”. Adapun apabila Tuhannya mengujinya lalu membatasi rezekinya, maka dia berkata: “Tuhanku menghina aku””.
 (al-Fajr: 15-16)

 

10.2        Definasi Pengagihan
Mengikut Afzalur Rahman (1985: 55), pengagihan ialah kajian tentang bagaimana pendapatan dan kekayaan negara diagihkan di antara pelbagai faktor pengeluaran yang memberi sumbangan untuk mendapatkan kekayaan. Manakala dalam ekonomi konvensional, Pearce (1992: 110) menjelaskan pengagihan sebagai suatu mekanisma pengagihan pendapatan negara diagihkan di kalangan individu dan kumpulan yang terlibat dalam kegiatan ekonomi.

Ekonomi konvensional menghadkan hanya mereka yang terlibat dalam proses pengeluaran sahaja yang berhak untuk mendapat pengagihan dalam bentuk upah, gaji, sewa dan untung. Akan tetapi Islam melihat konsep pengagihan dalam konteks yang lebih luas iaitu turut melibatkan mereka yang tidak secara langsung terlibat dalam aktiviti ekonomi. Muhammad Akram Khan (1983) dalam bukunya Issues In Islamic Economics, menegaskan bahawa institusi seperti infaq, zakat dan wiratha merupakan mekanisma untuk melaksanakan pengagihan daripada segelintir orang kepada golongan yang ramai. Islam menghendaki ahli masyarakat yang memiliki harta kekayaan supaya berkongsi dengan orang lain secara sukarela dan jika enggan, tindakan undang-undang boleh dikenakan ke atas mereka. 

10.3        Kepentingan Pengagihan

Pelbagai permasalahan ekonomi timbul akibat dari kegagalan pengagihan yang sewajarnya sebagaimana yang ditentukan oleh syarak dan bukannya kerana kurangnya sumber atau harta kerana setiap orang telah ditentukan rezekinya oleh Allah. Harta yang gagal diagihkan dengan adil dan menyeluruh telah menyebabkan sebahagian besar manusia hidup ditindas, melarat, susah, miskin dan sebagainya. Dalam masa yang sama segelintir kecil manusia hidup dengan harta yang banyak dan mewah serta peluang yang banyak.

Keadaan ini menyebabkan wujud jurang pemisahan yang besar di dalam masyarakat di antara golongan kaya dan miskin. Seterusnya mencetuskan dendam kesumat dan kebencian pihak yang merasa tertindas dan serta wujud sifat bongkak dan sombong pihak yang memiliki harta kekayaan. Ekonomi Islam mahu supaya setiap individu memperolehi hak masing-masing. Islam berhasrat untuk mewujudkan perpaduan di kalangan umat manusia dan tidak mahu wujud perpecahan atas kelas-kelas yang berbeza di kalangan manusia. Oleh itu Islam mahu supaya harta kekayaan beredar (mobilize) secara sempurna supaya ia tidak dimonopoli oleh orang kaya sahaja dan bagi melindungi kepentingan ekonomi mereka yang kurang bernasib baik. Keadaan ini boleh mendatangkan keburukan ekonomi iaitu berlakunya pembekuan harta yang sepatutnya dilaburkan sebagai modal dalam aktiviti pengeluaran sehingga kesannya kelak boleh mengancam pertumbuhan ekonomi negara.

Ekonomi Islam juga berusaha untuk juga mewujudkan sifat mengambil berat (caring) terhadap mereka yang tidak bergiat secara langsung dalam aktiviti ekonomi kerana kecacatan, kesihatan dan sebagainya. Golongan ini tidak terlibat dalam kegiatan ekonomi bukan kerana malas, tetapi boleh memberi kesan buruk kepada sosio-ekonomi seperti kemiskinan dan memaparkan sikap meminta-minta, sedih, benci, marah dan dengki. Ekonomi Islam berusaha mengurangkan pengaruh harta kepada jiwa manusia supaya dengan segala sumber kekayaan yang dimiliki, manusia tidak lupa tanggungjawab, sombong, tamak dan tenggelam dengan kemewahan. Ini kerana kekayaan yang dimiliki oleh mereka ada sebahagiannya merupakan hak orang lain dan hak kerajaan yang mesti diagihkan.

10.4        Prinsip Pengagihan

a.            Adil
Adil ialah keseimbangan. Ia juga bermaksud hak seseorang itu mestilah diberikan kepadanya. Dalam konteks ekonomi Islam, hak individu dari segi harta bergantung kepada sumbangannya dalam aktiviti ekonomi untuk memperolehi harta sebanyak mungkin dengan menurut batasan syarak. Semua pihak mendapat hak yang sepatutnya. Pekerja mendapat upah atau gaji, usahawan mendapat untung, tanah menghasilkan bayaran sewa dan modal menjana keuntungan. Pengagihan dilakukan sehingga tiada pihak yang merasa teraniaya kerana masing-masing memperoleh sesuatu yang sepadan dengan usaha yang dilakukan.

b.            Ihsan
Oleh kerana pada asalnya Allah pemilik semua harta dan sumber maka Allah berhak menentukan pengagihannya. Tidak semua orang mendapat pengagihan yang cukup dalam bentuk upah, maka mereka memerlukan bantuan ihsan. Ihsan berlaku dari golongan berada kepada golongan kurang berkemampuan seperti orang miskin, cacat, balu, anak yatim dan seumpamanya. Mereka ini sebahagiannya tidak aktif dalam aktiviti ekonomi manakala sebahagian yang  lain telah berusaha sedaya upaya tetapi gagal memenuhi semua yang mereka perlukan. Ihsan boleh dilakukan dalam bentuk zakat, sadaqah, kafarah, faraid, hadiah, derma dan sebagainya. Ini dapat membantu merapatkan jurang pendapatan di antara golongan kaya dan miskin serta meningkatkan kuasa beli.

10.5        Kaedah Pengagihan

a.            Pembahagian pemilikan
Pemilikan harta memberi kesan kepada pembangunan ekonomi. Ada tiga bentuk pemilikan dalam Islam iaitu;
i.                    Pemilikan individu (private property). Adalah menjadi fitrah manusia cinta dan suka akan harta. Manusia akan berusaha mencari dan memiliki harta dengan bekerja. Namun tidak semua orang memiliki kemampuan bekerja yang sama kerana ada yang gigih, sederhana dan malas. Ada pula yang tidak berupaya kerana ketidaksempurnaan anggota badan. Namun setiap orang berhak memiliki harta dari hasil usahanya selama mana ia tidak bercanggah dengan syarak seperti mencuri, menipu, mengambil riba, merampas dan tidak memudaratkan orang lain. Ia juga boleh memiliki sesuatu melalui pemberian orang lain dalam bentuk hadiah. Begitu juga pemilikan melalui harta warisan (faraid) dan juga oleh pemberian kerajaan.
ii.                  Pemilikan awam (public property). Harta yang ada manfaat umum dimiliki secara bersama oleh masyarakat dan dilarang individu dari memilikinya. Harta awam itu adalah seperti api, air, tanah, garam, minyak, gas, galian, sungai dan seumpamanya yang boleh difahami pada masa kini seperti masjid, sekolah, dewan dan hospital yang digunakan bagi memberi kebaikan kepada masyarakat umum. Jika dimiliki oleh individu sedangkan semua golongan masyarakat amat memerlukannya ia bakal menjerumuskan kehidupan masyarakat kepada persengketaan.
iii.                Pemilikan negara (state property). Ia merupakan harta yang diurus selia oleh kerajaan sebagai milik negara seperti harta milik Bait al-Mal dalam bentuk al-fai’, jizyah, ghanimah, kaffarah, wasiat, waqaf, nazar, luqatah dan harta tiada waris. Manakala zakat diurus oleh kerajaan untuk lapan golongan yang ditentukan oleh syarak. Dalam pada itu harta pemilikan awam juga adalah menjadi pemilikan negara dengan peranan kerajaan memberi pemilikan kepada individu atau organisasi untuk melakukan kegiatan ekonomi tertentu seperti tanah untuk perladangan, perlombongan, kediaman, jalanraya dan sebagainya. Namun kerajaan boleh mengambil balik hak tersebut sekiranya ia terbiar tidak diusahakan atau pun ia penting untuk kegunaan masyarakat umum atau negara.

b.            Hak utama terhadap harta
Hak individu untuk memiliki harta melalui kegiatannya secara langsung dalam proses pengeluaran seperti bekerja, gadaian, sewaan, pertukaran dan sebagainya. Ini berlaku kerana ketika manusia bekerja ia menggunakan kepintaran akalnya dan kekuatan fizikalnya untuk mendapatkan harta dan juga manfaat harta supaya boleh digunakan untuk memenuhi keperluan hidupnya untuk mendapatkan barangan atau perkhidmatan.

c.             Hak pelengkap terhadap harta
Hak individu untuk memperolehi harta secara tidak langsung hasil pemberian orang lain setelah ia benar-benar tidak upaya untuk memenuhi keperluan sendiri melalui derma, pemberian, hadiah, waqaf, wasiat dan sebagainya.

d.            Pencegahan penyelewengan harta
Pencegahan bagi memastikan aliran harta berlaku dengan sempurna. Ini dilakukan secara bersepadu melalui larangan memperoleh harta melalui amalan riba, rasuah, black market, pembekuan harta, pembaziran, perjudian, spekulasi, monopoli, penipuan, perampasan, sorok barang, pakatan dan sebagainya. Aktiviti ekonomi ini dilihat negatif oleh ekonomi Islam kerana ia membahayakan kestabilan sosio-ekonomi negara kerana mewujudkan jurang antara orang kaya dan orang miskin, mengurangkan modal, mengurangkan pengeluaran barangan dan perkhidmatan, meningkatkan pengangguran dan mengurangkan kuasa beli.

10.6        Kaedah Pengagihan Semula

Pengagihan pendapatan dan harta kadangkala gagal menyempurnakan keperluan manusia dalam menyara kehidupan kerana kebolehan mental dan keupayaan fizikal yang tidak sama sehingga mewujudkan ketidakseimbangan pendapatan. Ungkapan yang dikemukakan oleh Afzalur Rahman (1992: 537) boleh dijadikan panduan untuk menjayakan pengagihan semula, iaitu “Orang yang kurang bernasib baik seharusnya belajar bersifat sabar, bertolak ansur dan berpuashati; manakala orang yang berada harus membentuk nilai-nilai kesyukuran, kebaikan, kemurahan hati dan menyembunyikan pengorbanan mereka”. Oleh itu pengagihan semula perlu dilakukan secara komprehensif dalam bentuk kewangan, barangan, perkhidmatan dan peluang dengan;
a.            Cara wajib (compulsory)
Pemindahan harta kepada individu atau pihak lain boleh dilakukan oleh individu sendiri ataupun oleh kerajaan melalui amalan;
i.                    Zakat. Ia diagihkan kepada lapan golongan sasaran yang ditentukan oleh nas al-Quran iaitu fakir, miskin, amil, mualaf, hamba, yang berhutang, fi sabilillah dan Ibn Sabil. Zakat bukan hanya sebagai cukai keagamaan tetapi juga merupakan ibadah harta. Kadar zakat dan jenis harta yang dikenakan zakat ditentukan oleh syarak. Kesan positif agihan zakat dalam kehidupan ialah; berlakunya pengagihan semula untuk menghapuskan kemiskinan, mengurangkan jurang ekonomi golongan kaya dan miskin, peningkatan kualiti kehidupan, mengekalkan kestabilan ekonomi dari segi nilai benar wang dengan mengawal inflasi, meningkatkan permintaan atau kuasa beli melalui kesaksamaan pendapatan dan kekayaan, mendorong pelaburan ke arah pertumbuhan optimum, menggalakkan produktiviti melalui pelaburan semula, tabungan negara dan mewujudkan peluang pekerjaan bagi mencapai gunatenaga penuh. Fazlur Rahman dalam analisisnya berdasarkan semangat ajaran al-Quran melihat peranan pengagihan zakat dalam konteks yang lebih luas dan komprehensif peranan kerajaan sebagai pengurus iaitu perbelanjaan zakat sepertimana yang ditetapkan dalam al-Quran tidak semata-mata digunakan untuk menolong orang miskin dan mereka yang memerlukannya; ia juga digunakan sebagai perbelanjaan untuk kesejahteraan sosial dalam pengertian yang lebih luas meliputi perbelanjaan untuk membantu orang yang berhutang, gaji anggota perkhidmatan awam, perbelanjaan diplomatik, pertahanan, pendidikan, kesihatan dan komunikasi sehingga mencakupi seluruh aktiviti negara (Rahman 1980: 41).
ii.                  Pemberian nafkah (infaq) atau sara hidup. Ia diagihkan kepada ibubapa, isteri, anak, keluarga dan saudara mara merupakan suatu bentuk kebaikan yang terhasil dari rasa tanggungjawab dan kasih sayang. Ini dapat menggelakkan mereka dari kesusahan hidup, kemelaratan dan kemiskinan terutamanya apabila mereka telah tua ataupun cacat kerana mereka memiliki sesuatu untuk dibelanjakan selaras dengan keperluan hidup mereka. Islam mewajibkan seseorang membantu kaum kerabat atau saudaramaranya yang hidup susah terlebih dahulu dan kemudian baru membuat tindakan untuk menolong orang lain. Ini kerana pemberian nafkah sebegini boleh memperkukuhkan kepentingan institusi kekeluargaan dan membina perpaduan dalam masyarakat.
iii.                Pemberian harta warisan (faraid) peninggalan si mati. Ia merupakan pengagihan semula harta si mati kepada waris yang berhak dengan penetapan kaedah pengiraan tertentu bagi menggelakkan perbalahan kerana harta. Ini dapat menggelakkan waris dari belenggu kemiskinan dan kemelaratan kerana ia mempunyai harta untuk menyara hidup dari pemberian si mati.
iv.                Cukai kepada kerajaan. Ia boleh digunakan oleh kerajaan bagi menjana pembangunan negara dan bagi menampung keperluan yang tidak dapat diselesaikan oleh harta zakat untuk membina infrastruktur, memelihara keamanan dan mengurus kebajikan rakyat.

2.            Cara pilihan (optional)
Pemindahan harta atau pengagihan kekayaan kepada pihak lain secara pilihan untuk melakukannya ataupun untuk meninggalkannya boleh dilakukan melalui;
i.                    Wasiat. Orang yang mempunyai harta boleh membuat kebajikan dengan berwasiat tidak lebih dari 1/3 dari hartanya. Ia merupakan pesanan si mati agar hartanya kelak akan digunakan untuk kebajikan apabila ia telah mati. Ia diagihkan semula oleh kerajaan sebagai penyelia dan akan digunakan oleh institusi yang melaksanakan kerja-kerja kebajikan seperti yang dikehendaki oleh si mati.
ii.                  Waqaf. Seseorang yang memiliki harta dibenarkan berwaqaf dengan syarat tidak lebih dari 1/3 hartanya. Ini kerana 2/3 hartanya yang lain mesti diagihkan kepada para waris yang ditinggalkan bila ia mati. Ini bererti si mati menyerahkan hartanya untuk tujuan kebajikan umum untuk mengharapkan balasan syurga dari Allah. Kerajaan akan mengurus harta tersebut mengikut tujuan waqaf sama ada waqaf khas ataupun waqaf umum. Ia juga boleh digunakan untuk membina infrastruktur ataupun membiayai sesuatu yang boleh membawa kepada kebajikan umum seperti institusi pendidikan, kesihatan, ibadah, jaminan sosial dan sebagainya.
iii.                Derma. Seseorang boleh menyerahkan hartanya kepada institusi, kerajaan dan orang perseorangan sebagai pernyataan kasih sayang, simpati, timbang rasa dan kebajikan bagi memenuhi keperluan masyarakat yang memerlukan kemudahan tertentu. Ia boleh dilakukan sama ada dengan menderma wang ataupun harta benda. Usaha ini dapat menampung jurang pengagihan dalam masyarakat seperti untuk bantuan pembinaan rumah, keperluan makanan dan penjagaan kesihatan orang miskin, anak yatim, orang tua, orang cacat dan sebagainya.

3.            Cara menghalang
Islam menghalang sebarang cara yang boleh menyekat pengaliran harta dan sumber kekayaan dengan sempurna kepada masyarakat umum. Oleh itu Islam menetapkan larangan seperti pembekuan harta, riba, penyeludupan, pasaran gelap, pembaziran, pakatan, spekulasi, mengambil untung besar, perniagaan yang merosakkan akhlak-moral, penipuan, monopoli dan sebagainya.

10.7        Tanggungjawab Kerajaan Dalam Pengagihan

Kerajaan yang bertanggungjawab adalah kerajaan yang mengutamakan kepentingan dan memenuhi keperluan rakyat. Kerajaan melaksanakan dasar yang boleh membawa kepada perpaduan, menghapuskan kemiskinan, menguatkan golongan yang lemah dan memenuhi keperluan asas supaya kualiti hidup mereka meningkat. Untuk tujuan tersebut, kerajaan pada pandangan Muhammad Abdul Mannan (1986:57-105) dalam bukunya Islamic Economic: Theory and Practice, bertanggungjawab mewajibkan bayaran zakat, mengharamkan riba kepada pinjaman penggunaan dan pengeluaran, mewujudkan undang-undang harta warisan, menggalakkan pinjaman tanpa faedah, tidak menggalakkan penyusutan sumber-sumber ekonomi, menggalakkan pemberian sedekah, menggalakkan organisasi takaful (insuran), menggalakkan penubuhan badan waqaf, menguatkuasakan jaminan sosial bagi keperluan hidup minima, dan menggenakan cukai tambahan tertentu.

Antara langkah lain yang boleh dilakukan oleh kerajaan ialah mewujudkan undang-undang mengenai pemilikan supaya semua pihak bertanggungjawab, mengawasi jaminan kepentingan umum (dharuriyat, hajiyat dan kamaliyat) bagi memastikan keselesaan hidup, menyediakan tenaga manusia yang terlatih dan berpengetahuan, memperlengkapkan infrastruktur yang sempurna, menyekat aktiviti yang boleh menghalang atau menyekat aliran pengagihan dengan hukuman yang setimpal, mengorganisasikan zakat dari segi kutipan dan agihan yang cekap, bertindak ke atas mereka yang enggan membayar zakat dan memberi keutamaan kepada Dasar Kewangan Islam yang berasaskan cukai dan mengurangkan perbelanjaan negara menerusi hutang, mengawal perbelanjaan dari pembaziran dan terlalu mewah. Firman Allah yang bermaksud;
“Supaya harta itu jangan hanya beredar di kalangan orang-orang kaya di kalangan kamu sahaja”.
                                                                                                                                                                                     (al-Hasyr: 7)

 

10.8        Kesimpulan
Ringkasnya, konsep pengagihan dalam ekonomi Islam tunduk kepada peraturan Allah dan demi kepentingan keseluruhan hidup manusia. Ia bagi memastikan setiap manusia dapat menjalani hidup dengan sejahtera dengan mendapat bahagian yang sewajarnya. Islam mengajarkan kerjasama dan kesaksamaan ekonomi dalam masyarakat. Semua perbelanjaan yang baik kepada manusia lain dengan ikhlas dan sukarela bakal beroleh ganjaran pahala dari Allah dan menjadikan seseorang itu manusia yang bertanggungjawab serta menghalang keterlaluan kepada sifat individualisme.


3 comments:

  1. This comment has been removed by the author.

    ReplyDelete
  2. Assalamualaikum Tuan
    Saya seorang pensyarah kolej swasta dan mengajar subjek Ekonomi Islam..sy nak minta sedikit bantuan dr Tuan.Harap dpt berikan alamat emel. Berminat utk dapatkn buku yg ditulis oleh Tuan tapi xjumpa.Harap Tuan dpt membantu.Terima kasih.

    ReplyDelete
  3. rujukan ada disediakan tak ?

    ReplyDelete