Pages

Wednesday, October 26, 2011

Konsep Ekonomi Islam

PENGENALAN KEPADA EKONOMI ISLAM


1.1 Definasi al-Iqtisad
Dalam bahasa Arab, ekonomi ialah al-Iqtisad yang bererti berjimat cermat ataupun kesederhanaan iaitu suatu situasi di antara kekurangan dan pembaziran (Akram, 1990: 30). Ia merujuk kepada pengurusan perbelanjaan yang baik bagi memenuhi keperluan hidup. Ia juga memberi makna yang lebih luas menurut kacamata Islam yang mengajar umatnya bersederhana seperti dalam penggunaan air untuk tujuan bersuci, bersederhana dalam makan dan minum, bersederhana dalam perbelanjaan dan lain-lain.

Walaupun begitu penggunaan al-Iqtisad bukan bermaksud tidak proaktif dan pasif dalam usaha mengatur urusan kehidupan manusia tetapi memberi makna bagaimana kita melaksanakan usaha mengikut peraturan ke arah mencapai matlamat dengan cara yang berhemah. Oleh yang demikian maksud al-Iqtisad dengan pengertian yang lebih luas ialah cara untuk membentuk sikap dan tingkah laku manusia dalam mengurus kehendak dan keperluan-keperluan mereka yang kurang atau tidak cukup serta bagaimana mereka membangunkannya untuk memenuhi keperluan tersebut.

Al-Quran ada menyebutkan perkataan yang berbagai-bagai selain daripada perkataan al-Iqtisad, di antaranya ialah;
“Bersederhanalah kamu (waqsid) dalam berjalan….”
(Luqman: 19)

Firman Allah s.w.t. lagi yang bermaksud;
“Di antara mereka ada golongan yang pertengahan (muqtasidah)…”
(al-Maidah: 66)

Begitu juga firman-Nya yang bermaksud;
“Maka ada di antara mereka yang menganiaya diri mereka dan ada di antara mereka golongan yang pertengahan (muqtasid)…”
(Fathir: 32)

Dari al-Hadith pula dapat difahami dengan jelas maksud al-Iqtisad yang sebenarnya sebagaimana Nabi s.a.w. bersabda yang bermaksud;
“Tidak akan rugi orang yang mencari kebaikan dan tidak akan menyesal orang yang bermesyuarat dan tidak akan melarat orang yang bersederhana dalam perbelanjaan”.
(Riwayat al-Tabarani)

Nabi s.a.w. bersabda lagi yang maksudnya;
“Tiada berkurangan atau miskin orang yang bersederhana dalam perbelanjaan”.
(Riwayat al-Suyuthi)

Maksud al-Iqtisad dalam al-Hadith di atas ialah mentadbir atau mengurus hal-hal yang berkaitan dengan urusan perbelanjaan (tadbir al-nafaqah). Oleh itu al-Iqtisad merujuk kepada maksud mengurus urusan yang berkaitan dengan perbelanjaan harta dengan cara yang sederhana dan berhemah berdasarkan nilai-nilai Islam.

Beberapa sarjana Ekonomi Islam memberikan definasi yang tersendiri. M.A. Mannan umpamanya mendefinasikan Ekonomi Islam sebagai ilmu sosial yang mengkaji masalah-masalah ekonomi sesuatu golongan masyarakat yang berpegang dengan nilai-nilai Islam. Manakala Dr. Muhammad Abdullah al-A’rabi menjelaskan Ekonomi Islam sebagai dasar-dasar umum ekonomi yang disimpulkan dari al-Qur’an dan al-Sunnah. Dr. Sobri Solomon pula mendefinasikan Ekonomi Islam sebagai ilmu yang berkaitan rumusan-rumusan tafsiran peristiwa manusia dalam menghadapi hal-hal kebendaan adalah sebahagian daripada keseluruhan ajaran Islam itu sendiri yang tidak boleh dipisahkan.

Ini membawa maksud bahawa Ekonomi Islam ialah sains sosial yang mengkaji masalah-masalah ekonomi suatu golongan masyarakat yang berpegang kepada nilai-nilai Islam di dalam al-Qur’an dan al-Sunnah yang terangkum dalam Cara Hidup Islam. Ia kajian tentang sekelompok masyarakat yang beriman dengan nilai-nilai hidup sebagai muslim. Masyarakat manusia yang bertindak sebagai hamba yang tunduk patuh kepada Allah Tuhan yang memiliki kekayaan dan pencipta kehidupan. Kehidupan manusia mengikut corak acuan yang ditentukan Allah dengan menggunakan berbagai-bagai aspek ekonomi sebagai suatu cara untuk memupuk kebaikan kehidupan manusia dan menghampirkan diri kepada Allah.

Ekonomi Islam ialah suatu pemikiran dan ajaran yang mengarah dan menyusun kegiatan ekonomi selaras dengan ajaran al-Quran dan al-Sunnah serta ijtihad ulama dalam mentafsir dan menyelesaikan masalah-masalah yang berhubung dengan ekonomi. Ia bukan suatu ilmu (sains) yang bersifat menghurai dan menganalisa gejala-gejala ekonomi untuk diperturunkan sebagai undang-undang dan membentuk mazhab atau pemikiran, tetapi lebih bersifat positif mengarahkan aktiviti ekonomi menurut ketetapan Allah s.w.t.

Ekonomi Islam terbentuk melalui ajaran Islam yang sentiasa terikat dengan asas dan prinsip yang tersurat di dalam al-Quran dan al-Sunnah dan ia bukan suatu ideologi ataupun pemikiran bebas yang tidak ada panduan. Ini berbeza dengan Ekonomi Konvensional yang mementingkan kepuasan kebendaan semata-mata, tidak mengakui wujud Tuhan sekaligus mengenepikan persoalan nilai-nilai (values) baik dan buruk tetapi tunduk kepada tindakan-tindakan manusia dan kuasa-kuasa pasaran sama ada yang berkaitan dengan kepentingan individu mahupun kepentingan masyarakat. Jika ada pun pertimbangan untuk kebajikan ekonomi, ia tiada kaitan dengan nilai kehidupan keagamaan tetapi hanya bagi memenuhi tuntutan kemanusiaan dan keduniaan. Justeru itu antara fokus utama dalam Ekonomi Konvensional ialah utilitarianisme, materialisme, laissez-faire dan seumpamanya.

1.2 Al-Iqtisad dan Maqasid Syariah
Secara umumnya Maqasid al-Syariah bermaksud tujuan atau matlamat syariat Islam diturunkan oleh Allah. Manakala secara khususnya bermaksud tujuan atau matlamat sesuatu hukum sama ada berbentuk suruhan atau larangan yang diturunkan oleh Allah kepada manusia melalui ajaran yang disampaikan oleh Nabi Muhammad s.a.w. yang tersimpul dalam al-Quran dan al-Sunnah.

Al-Quran dan al-Sunnah telah menjelaskan kepada kita bahawa Allah s.w.t. adalah Maha Kaya dan tidak mempunyai apa-apa kepentingan atau tidak memerlukan apa-apa daripada makhluk-Nya. Walaupun Allah tidak memerlukan apa-apa daripada manusia dan manusia tidak boleh memberikan apa-apa manfaat atau mudharat kepada Allah, namun Allah telah menjadikan manusia dalam bentuk yang terbaik dan paling sempurna untuk memikul tugas sebagai khalifah menguruskan segala yang ada di langit dan di bumi. Allah telah mengutuskan seorang rasul pembawa petunjuk untuk melakukan reformasi dalam perjalanan hidup manusia iaitu syariat Islam. Syariat ini diturunkah demi untuk kebaikan dan kesejahteraan manusia sama ada untuk tempoh terdekat atau tempoh yang jauh. Tanpa syariat Islam kehidupan manusia tidak akan stabil dan aman.

Syariat Islam bertanggungjawab menjaga dan menjamin kepentingan (maslahah) manusia sedangkan kepentingan manusia adalah berbeza-beza. Oleh itu maqasid juga mempunyai peringkat yang berbeza-beza selaras dengan bentuk-bentuk kepentingan manusia. Tahap maqasid yang paling penting disebut sebagai Dharuriyyat kemudian diikuti pula dengan peringkat Hajiyat dan kemudian Tahsiniyyat.

1. Maqasid Dharuriyyat
Maqasid ini menjadi tiang seri bagi kehidupan manusia di dunia dan di akhirat. Tanpa maqasid dharuriyyat ini kehidupan manusia akan terhenti dan langsung tidak dapat berjalan dengan normal, kehidupan manusia akan cacat dan di akhirat pula akan menerima azab. Fuqaha telah membahagikan maqasid dharuriyyat ini kepada lima perkara iaitu; agama (Islam), nyawa (diri), akal, keturunan dan harta.

a. Menjaga agama
Agama Islam dijadikan asas pertama kerana ia suatu agama yang mengatur sistem hidup manusia seluruhnya sama ada dalam urusan pegangan akidah atau peraturan hidup seperti muamalah, politik dan sebagainya. Bagi menjamin wujud dan tertegaknya agama maka Allah mensyariatkan rangkaian usul-usul pengabdian yang terdiri daripada iman, dua kalimah syahadah, sembahyang dan lain-lain. Bagi menjamin terpeliharanya agama (di peringkat individu dan negara) dari sebarang pencerobohan maka Allah mensyariatkan jihad, hukuman yang berat ke atas orang yang murtad dan lain-lain.

b. Menjaga nyawa
Allah telah mengangkat kemuliaan manusia mengatasi makhluk lain dengan menyerahkan urusan pemerintahan dan pentadbiran bumi kepada manusia. Bagi menjamin wujudnya keturunan dan zuriat, Allah mensyariatkan perkahwinan dan Ia juga menyediakan perkara yang membantu kehidupan seperti makanan, minuman dan lain-lain. Bagi menjamin keselamatan keturunan manusia dari pencerobohan, Allah mengharamkan sebarang tindakan yang membahayakan nyawa dan diri manusia seperti pembunuhan dan seumpamanya.

c. Menjaga akal
Akal merupakan neraca taklif. Tanpa akal gugur segala taklif. Kemuliaan akal seseorang ialah apabila ia telah memilih iman sebagai pegangan. Bagi menjaga akal, Allah mengharamkan perkara-perkara yang merosakkan akal dan melemahkan daya fikirannya seperti arak.

d. Menjaga keturunan
Bagi menjaga keturunan Islam menyediakan peraturan yang menjamin keturunan mengikut disiplin syarak iaitu perkahwinan.

e. Menjaga harta
Untuk menentukan manusia dapat memiliki harta benda mengikut cara yang betul, Islam mensyariatkan “kontrak pemilikan” seperti jual beli dan kaedah-kaedah pemilikan lain seperti hibah dan lain-lain. Bagi mencegah sebarang pencerobohan ke atas harta benda dan pemilikannya, Islam mengharamkan pemilikan secara yang tidak betul seperti mencuri, menipu, rasuah dan lain-lain. Islam juga mengharamkan pembaziran dan kerosakan harta benda sama ada dalam konteks individu atau negara. Islam juga menghalang penyerahan harta kepada individu yang tidak bijak menguruskan harta.

2. Maqasid Hajiyat
Iaitu sesuatu (maqasid) yang diperlukan untuk mendapatkan kelapangan hidup dan menghilangkan kesempitan yang membawa kesusahan. Sekiranya maqasid ini tidak diambil perhatian, banyak kesukaran akan dihadapi walaupun tidak sampai kepada menghancurkan sistem kehidupan manusia atau maslahat hidup mereka. Contoh maqasid ini di dalam muamalat ialah seperti jual beli salam, qirad, musaqat dan lain-lain.

3. Maqasid Tahsiniyat
Iaitu melakukan sesuatu amalan atau adat yang baik dan terpuji serta menjauhi perkara-perkara yang dianggap tidak baik oleh akal yang sempurna. Pada umumnya ia berkaitan dengan perkara-perkara sunat dan akhlak-akhlak yang mulia. Contoh maqasid ini dalam muamalat ialah seperti mengharamkan penipuan, sorok barang untuk mengaut keuntungan, menyembunyikan kecacatan barang dan lain-lain.

Begitulah peranan yang dimainkan oleh maqasid al-syariah dalam mengatur kehidupan manusia. Asas syariat Islam ialah setiap orang bebas untuk menggunakan kebaikan yang dihalalkan Allah s.w.t., tetapi kebebasan itu dibatasi oleh beberapa peraturan untuk memastikan agar ia tidak mendatangkan kerugian kepada maslahah umum. Sayidina Umar al-Khattab pada masa pemerintahannya pernah melarang orang ramai memakan daging selama dua hari berturut-turut dalam satu minggu kerana bekalan daging sangat berkurangan ketika itu dan tidak cukup untuk bekalan semua penduduk Madinah dan beliau melarang masyarakat menyembelih binatang buat sementara waktu.

Ini menunjukkan bahawa dalam usaha menegakkan maslahah umum menuntut campur tangan kerajaan untuk memastikan tiada sebarang kegiatan ekonomi yang boleh mendatangkan mudharat kepada masyarakat mencakupi penindasan, rasuah, monopoli dan sebagainya.

1.3 Peranan Manusia Dalam Ekonomi
Dalam bahasa Arab, manusia disebut sebagai al-nas, al-insan dan al-ins yang bererti makhluk yang lupa dan makhluk yang jinak. Nama-nama lain adalah seperti al-basyar, bani adam. Ia dinyatakan Allah s.w.t. dalam Surah al-Hujurat ayat 13, al-‘Alaq ayat 2, al-Zaariyat ayat 56 begitu juga al-Kahfi ayat 110. Dari segi istilah, manusia adalah makhluk Allah s.w.t. yang terbaik yang dijadikan dari unsur jasmani dan rohani. Dengannya manusia boleh berfungsi sebagai makhluk yang teristimewa dan bergelar sebagai khalifah di muka bumi.

Kejadian manusia adalah begitu sempurna. Ia merupakan gabungan dua unsur iaitu jasmani dan rohani. Unsur jasmani yang terdapat pada diri manusia dijadikan daripada tanah. Segala tuntutan dan keperluan hidup yang bersifat jasmani juga berkait rapat dengan tanah. Ia terkumpul dalam tiga perkara utama iaitu makanan dan minuman, pakaian dan perhiasan serta tempat tinggal dan keamanan. Unsur rohani juga mempunyai keperluan yang sesuai dengan sifat kerohaniannya. Ia terangkum dalam aspek akidah, syariah dan akhlak.

Kejadian manusia yang sempurna ini apabila dikaitkan dengan ekonomi memperlihatkan bahawa agama Islam adalah amat lengkap. Kedua-dua unsur sama ada jasmani atau rohani diberi perhatian secara serentak oleh Ekonomi Islam. Sumber-sumber dalam ekonomi Islam iaitu modal, tanah, buruh dan usaha mempunyai hukum halal dan haram yang mengimbangi antara tuntutan jasmani dan rohani. Firman Allah s.w.t. yang bermaksud;
“Wahai manusia! Makanlah yang halal lagi baik dari apa yang terdapat di bumi, janganlah kamu mengikut langkah-langkah syaitan kerana sesungguhnya syaitan itu adalah musuh yang nyata bagi kamu”.
(al-Baqarah: 168)

Islam memberi perhatian dengan arahan dan panduan dalam semua urusan kehidupan manusia ke arah memelihara aspek rohani dan jasmani, benda dan jiwa dalam bentuk yang dapat menjamin wujudnya keseimbangan di antara dua sudut itu sehingga setiap manusia sentiasa terikat dengan tuhannya dalam segala aktiviti yang dilakukannya. Dengan demikian setiap insan akan berterusan terikat dengan suruhan-suruhan dan larangan-larangan agama, juga dengan arahan-arahan dan panduan-panduan serta bimbingan tuhan. Dengan demikian manusia tidak akan lupa dan cuai dengan arahan-arahan tersebut dan tidak pula bersikap melampaui batas dengan berlaku zalim.

Dalam Ekonomi Islam tanggungjawab manusia sebagai khalifah adalah memikul amanah berdasarkan kepada panduan yang telah ditetapkan oleh syariat Allah s.w.t. Di antaranya;
i) Membangun dan mengolah sumber alam di atas dan di dalam perut bumi hingga boleh dimanfaatkan bagi kehidupan manusia. Begitu juga memelihara dan menggunakan bahan-bahan yang berguna mengikut lunas-lunas Islam.
ii) Tidak mengkhianati amanah. Segala usaha dilakukan dengan tekun dan bersungguh-sungguh dan mengelakkan diri dari melakukan sebarang perbuatan negatif kerana segala tingkahlakunya diperhatikan oleh Allah s.w.t. Orang yang mengkhianati amanah Allah adalah orang yang gagal sebagai khalifah di muka bumi. Firman Allah s.w.t. , maksudnya;
“Dia berkata: Mudah-mudahan Tuhan kamu akan membinasakan musuh kamu dan menjadikan kamu khalifah di bumi, kemudian Dia akan mengawasi tingkah laku kamu”.
(al-A’raf: 129)

iii) Berbelanja pada jalan Allah. Apa yang telah dihasilkan oleh manusia daripada sumber alam hendaklah dibelanjakan dengan cara dan tujuan yang baik.

Ekonomi Islam juga tidak seperti Ekonomi Konvensional yang melihat manusia hanya sebagai manusia fizikal atau manusia ekonomi (economic man). Ekonomi Islam melihat manusia sebagai entiti yang merangkumi fizikal dan spiritual yang memegang mandat sebagai khalifah dan hamba Allah. Manusia adalah faktor penentu berjaya atau gagalnya ekonomi. Bentuk aktiviti ekonomi yang bakal dicorakkan oleh manusia harus diredhai oleh Allah.

Malek ben Nabi (Siddiqi:1980:42-43) mengkritik pandangan yang mengatakan bahawa dinamisme ekonomi terletak kepada pelaburan modal. Menurut beliau dinamisme ekonomi terletak kepada manusia dan keazaman masyarakat iaitu bagaimana cara untuk memanfaatkan manusia dan keazamannya. Ini menjelaskan betapa pembangunan ekonomi dan kebendaan tidak dapat berjalan dengan betul sekiranya unsur dalaman manusia tidak dibangunkan dengan sepenuhnya. Beliau kesal Negara Dunia Ketiga kerap memberi fokus kepada modal dalam perancangan pembangunan ekonominya dan apabila tidak cukup modal negara-negara tersebut meminjam kepada pihak lain dan bergantung kepada pakar asing yang tidak benar-benar mengetahui mengenai situasi tempatan. Strategi ini menurut Malik ben Nabi telah menemui kegagalan dan beliau memberi contoh positif betapa pembangunan negara China berjaya kerana mereka menggerakkan ekonominya selaras dengan budaya masyarakatnya dan mengikut situasi tempatan.

Lantaran itu sistem Ekonomi Islam melihat manusia secara sempurna dan memberi tanggungjawab kepada manusia supaya melaksanakan kegiatan ekonomi secara seimbang dan tekun.

1.4 Ekonomi dan Ibadah
Ibadah dalam bahasa Arab bererti taat, tunduk, patuh, setia, sembah dan perhambakan diri kepada orang lain. Dari segi istilah menurut Ibn Taimiyah, ibadah merangkumi bersama makna kehinaan dan kecintaan terhadap Allah s.w.t. iaitu kemuncak kehinaan diri apabila berhadapan dengan Allah dan kemuncak kecintaan kepada Allah dalam segala perbuatan.

Berdasarkan pengertian ibadah di atas dapat difahami bahawa ibadah mengandungi dua perkara; Pertama: Komitmen dengan apa yang disyariatkan oleh Allah dan seruan rasul-Nya sama ada dalam bentuk perintah atau larangan, penghalalan dan pengharaman. Ini merupakan unsur ketaatan dan ketundukan kepada Allah. Kedua: Komitmen ini lahir dari hati yang cintakan Allah s.w.t. Tiada yang lain dalam kewujudan ini yang layak dicintai lebih dari Allah s.w.t. Allah pemilik jasa dan kebaikan. Dia-lah yang telah menjadikan manusia. Dia-lah yang menjadikan semua yang terdapat di atas permukaan bumi untuk manusia. Dia-lah segala-galanya. Siapakah yang lebih utama dari Allah untuk dicintai?

Konsep ibadah dalam Islam terlalu luas bidangnya. Ia meliputi segala aspek kehidupan manusia sama ada dalam skop ekonomi, politik, sosial dan lain-lain. Secara umumnya ia dapat dibahagikan kepada ibadah khusus dan ibadah umum. Ibadah khusus atau disebut juga ibadah formal merupakan segala perlakuan yang berhubungan terus dengan Allah seperti mengerjakan solat, membaca al-Quran, berzikir dan seumpamanya. Ibadah umum atau disebut ibadah tidak formal adalah terdiri dari dua perkara, iaitu tugas harian dan semulajadi. Tugas harian bermaksud pekerjaan harian seperti berniaga bagi peniaga, mengajar bagi guru dan sebagainya. Tugas semulajadi pula bermaksud pekerjaan yang dituntut oleh naluri semulajadi manusia seperti makan, tidur dan sebagainya.

Allah s.w.t. sentiasa memberi galakan kepada umat manusia untuk melakukan pekerjaan yang baik dan menjalankan pekerjaannya itu dengan bersungguh-sungguh dan tekun supaya pekerjaan itu menjadi satu amal salih yang berhak diberikan ganjaran oleh Allah s.w.t. Menurut pandangan Islam sesuatu pekerjaan itu walau apa bentuk pun merupakan kehormatan dan kemuliaan kepada pihak pekerja dan suatu perkara yang dapat menyelesaikan serta memenuhi keperluan mereka. Islam bukan hanya mengangkat taraf pekerjaan itu ke taraf kemuliaan sahaja malah Islam memandang pekerjaan itu sebagai sejenis ibadah, istighfar dan suatu bentuk kesyukuran terhadap nikmat kurniaan Allah. Dalam hal ini Allah telah berfirman yang ditujukan kepada kaum keluarga Nabi Daud a.s. yang maksudnya;
“Beramallah kamu wahai keluarga Nabi Daud untuk bersyukur. Dan sememangnya sedikit sekali di antara hamba-hamba-Ku yang bersyukur”.
(Saba’: 13)

Dari penerangan di atas dapat difahami bahawa sesuatu pekerjaan itu dikira ibadah apabila memenuhi syarat-syarat berikut;
· Kerja itu diharuskan oleh Syarak. Kerja yang ditegah oleh Islam seperti kerja-kerja yang melibatkan riba, arak dan sebagainya sudah pasti tidak akan menjadi ibadah. Sesungguhnya Allah Maha Baik dan tidak akan menerima yang tidak baik.
· Niat yang baik, seperti untuk menjaga kehormatan diri, membiayai keluarga, memberikan manfaat kepada umat, memakmurkan bumi dan sebagainya.
· Melakukan kerja dengan tekun dan sebaik mungkin. Amalan ini disukai oleh Allah dan rasul-Nya.
· Mematuhi hukum-hukum yang telah ditetapkan oleh Allah. Dalam usaha mencari rezeki seseorang itu tidak boleh berlaku zalim, menipu, merampas harta orang lain dan sebagainya.
· Tidak menghalang dari menunaikan kewajipan asasi terhadap Allah. Sekiranya menghalang kewajipan asas, maka ia tidak lagi dikira sebagai ibadah.
· Disertakan dengan rasa syukur terhadap Allah. Bersyukur menjadikan rezeki seseorang itu diberkati dan ditambahkan kurniaannya.

Bidang ekonomi merupakan sebahagian daripada Cara Hidup Islam yang menyeluruh dan lengkap yang diasaskan kepada al-Qur’an, al-Sunnah dan ijmak ulama’. Malah ia juga menyediakan mekanisme menyelesaikan masalah-masalah baru dalam ekonomi melalui qiyas dan ijtihad. Oleh itu ekonomi dalam Islam tunduk di bawah kawalan suatu sistem yang mempunyai prinsip-prinsip keagamaan. Banyak nas al-Qur’an dan al-Sunnah menyentuh bidang ini khususnya dalam pemilikan harta, pengeluaran, perniagaan, pinjaman, zakat dan sebagainya.

Masyarakat Islam di zaman awal telah mempraktikkan Islam sebagai cara hidup. Kemunculan ulama-ulama seperti Imam Malik, al-Syafii, al-Nawawi, al-Suyuti dan sebagainya dan perbahasan mereka dalam kitab-kitab fiqh telah menyebabkan muncul teori-teori ekonomi seperti harga, syarikat, riba, pasaran, monopoli dan sebagainya hasil dari kajian yang teliti mengenai dalil-dalil al-Qur’an dan al-Sunnah.

Usaha gigih para ulama dan sarjana Islam untuk merumuskan Ekonomi Islam telah menampakkan hasil dan ia perlukan komitmen yang konsisten melalui penyelidikan yang serius. Mereka meletakkan Ekonomi Islam sebagai suatu perkara fardhu ain dan aktivitinya berjalan selaras dengan nilai-nilai Islam yang menguntungkan kepada semua pihak yang terlibat di dunia dan di akhirat. Islam juga meletakkan kegiatan ekonomi sebagai penting kerana ia membantu memenuhi keperluan hidup beragama.

Ekonomi Islam terangkum dalam fiqh muamalat seperti urusan jualbeli, pinjaman, gadaian, pemilikan harta dan sebagainya. Demikian halnya juga dengan tafsiran yang dibuat oleh para ulama dan sarjana Islam seperti peranan kerajaan dalam ekonomi, percukaian, konsep harga, untung, pembangunan ekonomi dan sebagainya. Dengan lain perkataan, Ekonomi Islam merupakan satu sistem ekonomi yang komprehensif kerana tidak mengabaikan faktor-faktor agama, politik dan sosial.

1.5 Ekonomi dan Jihad
Islam meletakkan faktor kebendaan dalam persoalan ekonomi di tempat yang penting. Sebagai buktinya Allah ada menyebutkan dalam kitab-Nya di antara lain yang bermaksud;
“Harta benda dan anak pinak itu ialah perhiasan hidup di dunia”.
(al-Kahfi: 46)

Rasullullah bersabda yang bermaksud;
“Berusaha mencari rezeki yang halal itu adalah suatu kewajipan”.

Dan sabda baginda lagi;
“Mencari rezeki yang halal itu sejenis jihad”.

Bukti lain yang menunjukkan bahawa bergiat dalam bidang ekonomi adalah dipandang setaraf dengan jihad pada jalan Allah ialah hadith berikut;
Diriwayatkan bahawa pada suatu hari Rasulullah sedang berada bersama dengan para sahabatnya dan mereka nampak seorang pemuda keluar pada waktu awal pagi untuk pergi bekerja dan para sahabat pun berkata: “Aduhai kesiannya orang muda ini, alangkah baiknya kalau pada zaman muda dan gagah sasanya itu digunakan untuk berjihad pada jalan Allah…”. Maka Rasulullah s.a.w. bersabda yang maksudnya;
“Janganlah kamu berkata begitu kerana orang muda itu berusaha mencari rezekinya sendiri supaya dia tidak terpaksa mengemis dan meminta belas kesihan orang dan dirinya pun tidak merasa terikat kepada orang lain, kerana sebenarnya dia pun sedang berjihad pada jalan Allah, dan kalaulah dia berusaha untuk menyara hidup kedua ibu bapanya yang sedang uzur dan daif ataupun kepada anak cucunya yang masih lemah untuk mencukupi keperluan hidup mereka dan melepaskan mereka daripada menjadi beban orang ramai maka dia adalah di jalan Allah”.

Begitulah pengiktirafan yang diberikan oleh Islam kepada mereka yang berusaha mencari rezeki di muka bumi ini. Asalkan memenuhi syarat-syarat suatu pekerjaan itu menjadi ibadah seperti yang telah disebutkan di atas maka mereka beroleh pahala menyamai orang yang berjuang pada jalan Allah sehingga akhirnya terbukti umat Islam berjaya menguasai bidang ekonomi di zaman kegemilangan Andalus dan Baghdad kerana mereka melaksanakan kegiatan ekonomi secara bersungguh-sungguh sebagai satu daipada tuntutan agama dan keperluan hidup. Kegiatan ekonomi dianggap sebagai satu cara untuk meninggikan syiar Islam kerana umat Islam percaya bahawa mereka perlu menggunakan segala sumber alam dan potensi mental fizikal mereka untuk melaksanakan kegiatan ekonomi. Mereka berjihad untuk melaksanakan aktiviti ekonomi pengeluaran, pelaburan dan perkhidmatan sebagaimana yang dibenarkan oleh agama dan berusaha untuk keluar dari suasana pergantungan ekonomi kepada pihak yang bukan Islam dan membina kekuatan ekonomi yang tersendiri.

1.6 Penutup
Ekonomi Islam berteraskan agama Islam dan membantu manusia melaksanakan fungsinya sebagai khalifah yang bertangungjawab melaksanakan aktiviti ekonomi sehingga membawa kebaikan dan kemakmuran kepada hidup manusia.

2 comments: