Monday, September 2, 2013

Kadar Inflasi pasti melonjak naik berikutan kenaikan harga minyak. Diketahui umum bahawa setiap kegiatan ekonomi dalam semua sektor mempunyai rantaian dengan minyak. Kos pengeluaran akan meningkat serentak dengan kenaikan harga barangan/perkhidmatan. Orang ramai terpaksa berfikir panjang apa yang hendak dibeli dan apa manfaat maksima yang boleh diperolehi. Mereka perlu berjimat dan berhemat. Membeli benda yang produktif untuk kehidupan harian. Tidak mampu lagi berbelanja mewah. Yang dulu golongan sederhana boleh jadi kini miskin sederhana...ialah segalanya hendak dibeli dengan kadar kenaikan gaji yang meningkat 5% tidak mampu untuk menampung kenaikan inflasi barangan pengguna yang naik 10%...fikirlah.

Saturday, August 10, 2013

SELAMAT HARI RAYA
MAAF ZAHIR BATIN
SYUKUR GEMBIRA
DARI KAMI
SEKELUARGA




Sunday, July 28, 2013

Al-Fatihah Buat Ibu

Tepat jam 10.30 malam 15 julai 2013 iaitu pada 6 ramadan ibuku yang tersayang Almarhumah Hajah Rumijah Binti Haji Abdul Rahman telah kembali ke Rahmatullah dalam usia 66 tahun. Pemergiannya cukup memilukan hati, terasa kehilangan teman berbicara, tempat mencurah rasa mendapatkan pandangan. Pada 1.1.2005 ayah telah terlebih dahulu meninggalkan kami dalam usia 64 tahun. Semoga kedua ibu bapaku dirahmati Allah dan bersama orang yang bertakwa. Jasa ibu dan ayah sentiasa dalam ingatan. Doa kami sentiasa mengiringi masa...

Monday, June 24, 2013

Agenda Jun-Julai 2013

Di ketika sibuk dengan pemarkahan student degree ekonomi, pemasaran dan kewangan UiTM Kota Bharu yang akan mula menduduki peperiksaan final pada 26.06.13 ini. Ada dua paper yang perlu diselesaikan pemarkahan dengan jumlah pelajar 250 orang. Pada 5 dan 6 julai 2013 ini aku akan meneruskan kuliah untuk pelajar PLK UUM seperti yang dijadualkan untuk semester Julai 2013. Kerja kebun perlu konsisten kerana pulangannya suatu yang pasti. Getah harganya terus menjunam. Tanah yang siap ditambak menunggu untuk ditanam pokok buah hiasan. Kerja editorial sedang berjalan untuk projek buku yang mesti publish pada september 2013 sempena permulaan sesi pengajian di UiTM. SUFO menunggu untuk dianalisis. Apa pun Ramadan al-Mubarak bulan rahmat akan ditempoh oleh semua umat Islam. Selamat berpuasa.

Tuesday, May 28, 2013

Perjalanan

Kebetulan cuti khas semester satu minggu ini saya sekeluarga membuat perjalanan jauh KB-KL-Banting-Kelang-Puncak Alam-Simpang Pulai-Parit-Cameron Highland-Sg. Petani-Baling-Pulau Pinang-Shah Alam-Puncak Alam dan balik semula ke KB. Saya rakamkan sebahagian dari detik-detik tersebut...





Wednesday, May 15, 2013

Perang Sudah Tamat

5 mei 2013 berlaku pertarungan politik yang amat sengit iaitu Pilihanraya Umum ke13. Sebanyak 222 kerusi parlimen Malaysia menjadi taruhan. Barisan Nasional bertarung dengan Pakatan Rakyat. Dua bentuk gabungan pelbagai parti yang mewakili pelbagai etnik. Pihak yang menang mendakwa mereka masih mendapat sokongan sementara pihak yang kalah merasa tertipu dengan dakwaan proses pengundian yang tidak transparent. Apa pun masa depan negara telah menjadi tanggungjawab pihak yang menang baik di parlimen  mahupun di dewan Undangan negeri (DUN).

Ini kali kedua aku mengundi di parlimen Kubang Kerian dan DUN Pasir Tumbuh di Kelantan, sebelum ini aku mengundi di Kelang, Selangor. Rasa tak larat hendak berkejar ke sana-sini, aku buat keputusan mengundi di kawasan yang dekat dengan rumah.
Senario politik di Selangor dan Kelantan agak berbeza...aku cuba menjauhi kekotoran yang dibawa oleh ahli politik kini. Aku rasai semacam bersama denyut nadi politik di Selangor di tahun 1980an dan awal 1990an. Namun bila berhijrah ke Kelantan dan kini aku tidak lagi releven dengan perkembangan politik di  Kelantan dan Selangor. Mungkin aku patut menjadi pemerhati yang kadangkala mengemukakan pandangan yang skeptikal....

Aku sudah kehilangan political patronage....yang tiada ganti...moga Allah merahmati beliau...manusia yang berkhidmat jujur untuk melaksanakan tanggungjawab...al-fatihah.

Tuesday, April 2, 2013

Artikel Hubungan Etnik



MASYARAKAT MAJMUK DAN  PENDIDIKAN

 Oleh

Mohd Zuhairi Bin Safuan
                                                                                                                   



1.      Pendahuluan
Sosiologi pendidikan membincangkan aspek-aspek sosial yang boleh mempengaruhi pendidikan. Kewujudan masyarakat majmuk di Malaysia banyak mempengaruhi sistem pendidikan di Malaysia. Oleh itu ia memberi impak besar dalam merumuskan Dasar Pendidikan Negara. Peristiwa 13 Mei 1969 dan Kg. Medan 6 Mac 2001 banyak memberi pengajaran perlunya sistem pendidikan memberi sumbangan kepada perpaduan.
Masyarakat majmuk terdiri dari berbagai kelompok ras / etnik yang berlainan tetapi berada di bawah satu bentuk pemerintahan.  Masyarakat majmuk pelbagai etnik ini mempunyai kebudayaan, agama, bahasa dan adat resam yang tersendiri.
Ciri utama bentuk masyarakat ini ialah konflik, percanggahan dan paksaan. Kehidupan mereka terasing dan interaksi sosial yang terhad yang biasanya pada sektor ekonomi sahaja. Malaysia yang mempunyai masyarakat majmuk mesti menanggani persoalan hubungan etnik ini sebaik mungkin supaya seluruh tenaga dan fikiran rakyat dapat disalurkan kepada pembangunan negara.
Oleh itu pelajar mesti didedahkan dalam situasi pembelajarannya tentang;
a. Kesedaran mengenai kewujudan masyarakat majmuk. Pelajar harus mengamalkan persefahaman, toleransi, kerjasama dan perpaduan melalui pergaulan yang sihat di kalangan masyarakat majmuk dalam semua aktiviti pembelajaran dan kehidupan kampus. Ini kerana dalam bidang sosial; mereka berbeza dari segi pakaian, agama, tempat tinggal, pendidikan, bahasa dan sebagainya. Ada pertubuhan sosial yang berbeza dan sekolah yang berbeza. Majoriti orang Melayu tinggal di luar Bandar, orang China tinggal di lombong yang kemudiannya menjadi Bandar dan orang India di estet kesan dari dasar (divide and rule) “pecah dan perintah” penjajah Inggeris.
Keadaan ini telah mengurangkan interaksi sosial tetapi memperkuatkan semangat kekitaan etnik yang menyuburkan prasangka dan ketidaktahuan mengenai etnik yang lain. Setiap etnik mempunyai sistem pendidikan yang tersendiri (vernacular). Orang Melayu belajar di sekolah Melayu yang menggunakan bahasa Melayu. Di UiTM, pensyarah dari kalangan kaum lain dapat membantu dalam aspek ini.
b. Pelajar harus mengambil aspek kebaikan dari kemajmukkan demi memperkayakan kehidupan. Ini kerana setiap etnik mempunyai agama yang berbeza Islam, Kristian, Buddha, Hindu, Sikh, Animisme dan lain-lain sehingga membawa kepada polarisasi etnik. Perbezaan boleh menebal jika sentimen perbezaan dimainkan oleh pemimpin agama. Pelajar boleh mengetahui dan memahami aspek persamaan dan perbezaan agama selain anutannya dan menghormati amalan kebebasan agama. Ini membantu mewujudkan masyarakat yang bersatupadu dan bertanggungjawab.
c.   Pelajar perlu melakukan mobiliti sosial melalui pendidikan untuk menjamin keseimbangan ekonomi antara kaum. Ini kerana dalam bidang ekonomi; Ada pembahagian yang jelas seperti orang Melayu bergiat dalam pertanian, sebagai nelayan dan sektor awam yang berpendapatan rendah dan sederhana, orang China dalam sektor perniagaan dan perlombongan yang berpendapatan sederhana dan tinggi, manakala orang India dalam sektor perladangan, perkilangan dan keretapi yang berpendapatan rendah.
Berlaku ketidakseimbangan pendapatan sehingga berlaku tuntutan setiap etnik untuk mendapat hak yang lebih munasabah dan baik yang kesannya jika tidak ditangani membawa kepada ketidakstabilan negara.
d.     Berusaha menjadi pelajar yang bersikap moderat dan harmonis dalam semua kegiatan berpersatuan. Ini kerana dalam realiti dunia politik masyarakat majmuk mementingkan survival masing-masing dengan dipimpin oleh kalangan mereka sendiri dan sukar menerima kalangan pemimpin etnik lain. Setiap etnik ada parti politik tersendiri. Orang Melayu (UMNO dan PAS), orang China (MCA, DAP, Gerakan), orang India (MIC, IPP) dan demikian juga di Sabah dan Sarawak.
Parti yang berasaskan agama dan pelbagai kaum, gagal mendapat kepercayaan rakyat. Kewujudan parti politik berasaskan etnik menyuarakan kepentingan masing-masing sehingga menimbulkan persaingan kepentingan dan semangat perkauman terutamanya pada isu-isu seperti bahasa, agama, pendidikan, ekonomi dan sebagainya. Kita pernah didedahkan mengenai perjuangan chauvanisme persatuan bahasa Cina dan persatuan bahasa Tamil di UM.
            2.         Penutup
Pendidikan dan perpaduan merupakan ramuan penting untuk Malaysia menjadi negara yang maju, makmur, aman dan damai. Pengetahuan dan penggunaan ilmu sosiologi dalam pendidikan dapat membantu penting usaha-usaha perpaduan negara demi untuk kemajuan politik, ekonomi dan sosial. Perasaan kekitaan dan taatsetia terhadap Negara Malaysia perlu digerakkan melalui pendidikan. Sekian terima kasih.