Sunday, April 12, 2020

ISC03


ELEMEN PEMBANGUNAN PERSONALITI


1.    PENDAHULUAN
Manusia mempunyai unsur rohani dan jasmani atau unsur dalaman dan luaran.  Perkembangan dan pembangunan kedua-duanya perlu selari, seimbang dan bersepadu. Individu yang berkembang secara bersepadu dapat menjalani hidup dan melaksanakan tugas dengan baik.

2.    RUH
Ruh diertikan sama dengan al-nafs. Ia berkaitan dengan tubuh, jantung dan peredaran darah (ruh dalam bentuk jasmaniah yang terikat dengan jasad). Ruh yang definisinya sama dengan hati, iaitu ruh sebagai lathifah rabbaniyyah ruhaniyyah, secara abstrak atau secara maknawi, ruh adalah sama dengan hati. Melalui ruh seseorang dapat merasakan penderitaan atau kebahagiaan. Barat menyebutnya mind, kita menyebutnya jiwa. Surah al-Isra’: 85 bermaksud: “Dan mereka bertanya kepadamu (Muhammad) tentang ruh. Katakanlah, Ruh itu termasuk urusan Tuhanku, sedangkan kamu diberi pengetahuan hanya sedikit”.
3.    AKAL (AQL)
Aql memiliki dua makna: Pertama: akal sebagai ilmu tentang sesuatu. orang yang berakal bererti orang yang mempunyai ilmu tentang sesuatu, ini bermakna akal sama dengan ilmu. Kedua: sesuatu di dalam diri kita yang menjadi alat untuk memperoleh ilmu. Akal sama ada ilmu itu sendiri atau alat untuk memperoleh ilmu. itu bermakna akal sama ertinya dengan hati, iaitu lathifah rabbaniyyah ruhaniyyah mudrikah alimah arifah. Ini bermakna akal membolehkan seseorang itu untuk mengetahui sesuatu Ibn Rushd membahagikan akal kepada 3 kategori:
i.      Akal demonstratif (burhani); yang mampu memahami dalil-dalil atau bukti-bukti yang meyakinkan dan tepat.
ii.     Logik (mantiq), sekadar memahami fakta-fakta argumentatif, tanpa melalui pembuktian yang jelas dan pasti.
iii.   Retorik (khitabi), hanya mampu menangkap hal-hal yang bersifat nasihat dan retorik, tidak dipersiapkan untuk memahami atau berpikir secara sistematik.
Fungsi akal: mengingat, menyimpulkan, menganalisis, menilai, membezakan benar atau
salah. Ini yang membezakan manusia dengan makhluk lain.

4.    HATI
Hati merupakan suatu elemen paling penting dalam diri seorang manusia. Hati merupakan ketua kepada kerajaaan diri. Malah para ulama sufi menggelarkan hati sebagai raja dalam kerajaan tubuh badan manusia. Kata orang-orang tua, ikut hati mati, ikut nafsu lesu, ikut rasa binasa.

5.    NAFSU
Nafsu bermakna keinginan, kecenderungan atau dorongan hati yang kuat. Nafsu juga bermakna :
i.      nafs dalam erti negatif, iaitu al-hawa, (hawa nafsu,). tugas kita adalah membersihkan hati kita dari nafsu. hati yang bersih dari nafsu, disebut  dengan istilah qalbun salim. al-hawa adalah makanan syaitan. 
ii.     nafs yang berarti manusia secara keseluruhan. hakikat diri kita adalah nafs kita, ego atau diri kita. (Al-Fajr:27-28).
Perkataan nafsu boleh digabungkan dengan perkataan lain bagi membawa erti yang lebih khusus, antaranya adalah:
- Hawa nafsu, biasanya dikaitkan dengan dorongan hati yang kuat untuk melakukan  perkara yang tidak baik. Adakalanya bermakna selera, jika dihubungkan dengan makanan.
- Nafsu syahwat iaitu keinginan, kecenderungan atau keberahian khusus berkaitan dengan seksual.
- Nafsu serakah iaitu nafsu yang tidak dikawal, tanpa batasan dalam segala hal terutamanya dalam hal berkait dengan seksual.
Pada perspektif Islam, terdapat empat peringkat nafsu yang mempengaruhi tabiat manusia, iaitu:
a)      Nafsu Ammarah: Nafsu yang sentiasa mendorong manusia melakukan kejahatan. Bagi mereka yang berada pada peringkat ini tidak merasakan perbezaan di antara yang  baik dan jahat.  Apabila melakukan kejahatan, ia tidak menyesal dan sebaliknya juga apabila melakukan kebaikan, ia tidak gembira.
b)      Nafsu Lawwamah: Nafsu yang mula menunjukkan kelemahan diri, menilai tabiat masa lampau dan ingin keluar untuk memulakan kehidupan positif.
c)       Nafsu Mulhamah: Nafsu yang sudah menerima kebenaran dan keinsafan serta merasa
 keseronokan membuat kebaikan dan benci kepada kejahatan.
d) Nafsu Mutma’innah: Nafsu yang mencapai kedamaian dan kebahagiaan. Nafsu ini berusaha terus meningkatkan keimanan & ketaqwaan dalam diri.
Menurut Ibn Qayyim, nafsu manusia dibahagikan kepada:
i. nafs mutma’innah
ii. nafs lawwamah dan
iii.   nafs ammarah

6.    KESAN KEGAGALAN MENGAWAL NAFSU
Bermula daripada individu itu sendiri, seterusnya merebak kepada institusi kekeluargaan dan memberi kesan terhadap masyarakat setempat dan akhirnya turut memberi kesan terhadap pembangunan negara.
1.    Ia menyebabkan wujud individu yang berpaksikan nafsu dan mudah terpengaruh dengan budaya negatif, tidak mempunyai pegangan agama yang kuat seterusnya memberi kesan terhadap institusi kekeluargaan itu.
2.    Wujud perpecahan dalam institusi kekeluargaan memandangkan ketua keluarga sendiri tidak mempunyai agama yang kukuh dalam membimbing keluarga. Masa depan anak terabai apabila ibu bapa sibuk dengan dunia sosial mereka yang kompleks.
3.    Masyarakat akan berpecah belah, fitnah memfitnah, berprasangka buruk (prejudis)  sesama sendiri, tidak ada persefahaman sesama masyarakat.
Melahirkan masyarakat yang tidak bersatu padu, pentingkan diri, seterusnya menimbulkan masalah perkauman dalam negara, memandangkan Malaysia mempunyai penduduk yang pelbagai etnik. Negara juga akan kehilangan generasi kepimpinan masa hadapan. Membantutkan perkembangan kemajuan ekonomi. Anasir jahat dari luar mudah menyelinap masuk ke dalam negara. Negara yang rakyatnya tidak tegoh pendirian mudah dipengaruhi di dilemahkan.

7.    JASMANI
Merupakan unsur yang berkaitan dengan jasad atau tubuh badan atau disebut fizikal. Unsur jasmani yang paling penting untuk dipertingkatkan adalah kesihatan dan kecergasan. Ia merangkumi pemanfaatan anggota fizikal untuk berdikari dan hidup bermasyarakat. Penjagaan Kesihatan diberi perhatian utama dalam al-Quran surah al-Muddatsir ayat 4 dan 5. Saranan membersihkan pakaian dan meninggalkan segala macam kekotoran. Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud; “Kebersihan adalah sebahagian dari iman”.
Beberapa contoh pencegahan dan penjagaan kesihatan jasmani seperti amalan menutup hidangan, mencuci tangan sebelum makan, memberus gigi, larangan bernafas ketika minum, tidak membuang air di tempat air yang tidak mengalir atau di bawah pohon. Maksud firman Allah; “Wahai orang yang beriman!  Makanlah dari benda-benda yang baik (yang halal) yang telah Kami berikan kepada kamu, dan bersyukurlah kepada Allah, jika betul kamu hanya beribadat kepada-Nya.” (Surah al-Baqarah: 172)
Kesihatan Jasmani juga disebut sebagai sejahtera, selamat dan afiat. Semasa sihat seharusnya digunakan sebaik mungkin. Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud; “Rebutlah lima perkara sebelum datangnya lima perkara yang lain iaitu; Masa muda sebelum datangnya hari tua. Masa sihat sebelum datangnya masa sakit. Masa kaya sebelum datang masa papa. Hidup sebelum datangnya mati”. (Riwayat Tirmizi dan Muslim). Penjagaan Kesihatan melalui makan secara berimbang, makanan yang berkhasiat. Menjauhkan diri daripada perkara yang diharamkan dan berpantang. Harith Ibn Kaladah, seorang sahabat Rasulullah SAW bersabda; “Perut itu sarang penyakit”. Berpantang adalah petua segala perubatan, Bagi mengatasi masalah ini dianjurkan supaya membiasakan diri dengan amalan harian iaitu memakan makanan yang biasa dimakan. Kelebihan orang sihat dan kuat dapat melaksanakan tugas dan kewajiban serta ibadat dengan baik dan sempurna. Maksud firman Allah SWT surah al-Qasas: 26: “Salah seorang dari keduanya berkata; Wahai ayah!  Ambillah dia sebagai pekerja, sesungguhnya sebaik-baik pekerja ialah yang kuat lagi amanah”. Nabi Adam dibekalkan dengan akal dan Allah SWT mengarahkan malaikat Jibril mengajarkan semua nama benda sebagai bekalan untuk mentadbir alam. Kurniaan akal yang membezakan manusia daripada makhluk yang lain Dengan akal manusia dapat membangun dan memperkembangkan potensi diri dan persekitarannya. Dalam usaha melaksanakan tugas Khalifatu fi al-Ard.

ISC02


ASAS PEMBANGUNAN PERSONALITI


1.    TAUHID
Pengertian tauhid dari segi bahasa berasal dari perkataan ahad yang bererti mengesakan. Dari segi istilah; beriktiqad dan mempercayai Allah SWT itu Esa, Tunggal tidak ada syirik dan sekutu bagi-Nya. Tauhid  merupakan satu pegangan hidup yang mempercayai bahawa Allah SWT adalah Tuhan yang Esa dan tidak sekutu atau yang menyerupai-Nya. Ilmu tauhid juga adalah ilmu yang menerangkan hukum syarak dalam bidang iktiqad yang diperoleh dari dalil yang qat’ie (pasti) yang berdasarkan ketetapan akal. Tauhid merupakan roh Islam, umbi akidah dan sumber ibadah.
A.   Jenis-Jenis Tauhid
·      Tauhid Rububiyyah; Mempercayai Allah SWT sebagai Rabb atau pencipta dan penguasa terhadap sesuatu. Allah adalah pencipta sekelian makhluk dan alam ini, pemilik, pentadbir dan pemberi segala-galanya. Allah SWT berfirman yang bermaksud; “Apakah mereka menyekutukan Allah dengan berhala-berhala yang tidak dapat menciptakan sesuatu pun? Sedangkan berhala-berhala itu sendiri buatan orang.” (al-A’raf:191)
·      Tauhid Uluhiyyah; Percaya bahawa Allah SWT sahaja yang berhak disembah dan tiada sekutu di dalam penyembahan-Nya. Allah sahaja yang berhak disembah, ditaati dan dikasihi, kepada-Nya tempat bertawakkal, tempat berserah, tempat menaruh harapan, permohonan dan berdoa. Firman Allah SWT yang bermaksud; Dan sesungguhnya Kami telah mengutus Nuh kepada kaumnya. Maka ia berkata: Wahai kaumku! Sembahlah kamu akan Allah (kerana) sekali-kali tidak ada Tuhan bagimu selain Dia. Mengapa kamu tidak bertaqwa kepada-Nya?” (al-Mukminun: 23).
·      Tauhid Asma’ wa al-Sifat; Percaya dbahawa Allah SWT bersifat dengan sifat-sifat kesempurnaan dan Maha Suci dari segala sifat-sifat kekurangan dan kelemahan dan Allah SWT mempunyai nama-nama yang layak dengan kebesasaran-Nya. Beriman kepada nama-nama Allah dan sifat-Nya. Tauhid ini adalah beriman bahwa Allah memiliki nama dan sifat baik (asma ul-husna) yang sesuai dengan keagungan-Nya. Umat Islam mengenal 99 asma ul-husna merupakan nama sekaligus sifat Allah.
B.    Pengaruh Tauhid Dalam Kehidupan
·      Membebaskan manusia dari pengabdian selain dari Allah,menolak segala bentuk pengabdian kepada sesiapa selain Allah SWT. Sebagai contoh Bilal bin Rabah,bagaimana jiwa tauhid telah merubah kehidupannya muncul sebagai seorang manusia baru berjiwa merdeka yang sanggup menghadapi siksaan majikannya dan mempertahankan keyakinan akidah yang dianutinya.
·      Mewujudkan keikhlasan dalam beribadah.
·      Berada di landasan yang betul dan tepat.
·      Menjauhkan diri daripada sifat cintakan dunia (hubbud dunya).
·      Membentuk peribadi mulia dengan sifat mahmudah dan menghindari sifat mazmumah.
·      Meletakkan pergantungan sepenuhnya kepada Allah dengan bertawakal.
·      Melahirkan rasa syukur.
·      Membentuk sifat berani kerana takut hanya kepada Allah.

2.    TAQWA
Berasal dari perkataan waqa yang bererti memelihara hubungan baik dengan Allah SWT dengan melakukan segala yang diperintah dan meninggalkan segala yang dilarang. “Wahai orang yang beriman! Hendaklah kamu memelihara diri kamu dan keluarga kamu dari api Neraka. (al-Tahrim: 6). Syed Qutb menyatakan dalam tafsir “Fi Zilal al-Quran” menjelaskan bahawa taqwa adalah kepekaan hati, kehalusan perasaan, rasa khuatir yang berterusan dan berhati-hati terhadap semua larangan Allah dalam kehidupan.

3.     KHILAFAH
Bererti kepimpinan atau kekuasaan. Ia juga disebut dengan Imamah. Khilafah adalah kekuasaan umum atas seluruh umat, pelaksanaan urusan umat, Imamah atau Khilafah ditetapkan bagi pengganti kenabian dalam menjaga agama dan pengaturan urusan dunia. Setiap individu perlu memahami bahawa mereka memikul amanah Allah SWT, perlu mentadbir dan membangun alam ini sejajar dengan ketetapan-Nya. Sebagai khalifah mereka perlu melengkapkan diri dengan ilmu dan kemahiran serta memupuk nilai-nilai kemanusiaan yang baik demi kesejahteraan sejagat.

4.    TAZKIYYAH
Bermaksud pembersihan, penyucian atau penyuburan. Dalam konteks ahli  tasawuf, tazkiyah merujuk kepada bersih daripada sifat keji dalam diri dan kezaliman lahiriyah. Tazkiyah al-Nafs adalah melibatkan dua proses utama iaitu al-takhalli ialah membersihkan diri daripada sifat-sifat yang tercela kerana ianya adalah najis maknawi yang menghalang untuk sampai kepada hadrat Allah yang kudus. Tazkiyah al-Nafs amat penting dalam kehidupan manusia yang mahu mencari kesejahteraan hidup di dunia dan akhirat. Tazkiyah bukan bermakna menolak kehidupan dunia tetapi mengawal berlandaskan syariat. Tazkiyah al-Nafs membentuk jiwa manusia dengan melakukan segala yang disyariatkan oleh Islam secara istiqamah.

5.    UKHUWWAH
Bermaksud saudara,teman,sahabat dan lain-lain lagi. Dari segi istilah: Menurut al-Quran ukhuwwah ialah perasaan kasih sayang, tolong menolong, bantu membantu, bertolak ansur  bermesra dan cinta mencintai di antara sesama umat Islam. Allah SWT berfirman yang bermaksud: “Sesungguhnya orang mukmin adalah bersaudara, maka damaikanlah di antara kedua saudaramu dan bertaqwalah kepada Allah SWT supaya kamu mendapat rahmat” (al-Hujurat: 10). Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Daripada Nu’man bin Bashir r.a.; Bahawa Rasulullah SAW bersabda: “Perbandingan orang mukmin pada kasih sayang mereka adalah seperti tubuh badan yang satu, apabila satu anggota berasa sakit seluruh badan akan turut merasainya.”
A. Prinsip-prinsip Ukhuwwah
·      Perdamaian atau hubungan yang baik, saling bermaaf-maafan dan tidak terlalu sensitif. Firman Allah SWT yang bermaksud: “Maka hendaklah kamu bertaqwa kepada Allah dan perbaikilah hubungan antara kamu dan taatlah kepada Allah dan Rasul-Nya sekiranya kamu orang yang beriman.”(al-Anfal: 12).
·      Saling kasih mengasihi dan cinta mencintai ke arah mengeratkan lagi ikatan ukhuwwah. Firman Allah yang bermaksud: “Kamu sekali-kali tidak sampai kepada kebaikan sebelum kamu menafkahkan sebahagian harta yang kau cintai dan apa sahaja yang kamu nafkahkan, maka sesungguhnya Allah mengetahuinya”. (Ali-Imran: 92). Kasih Sayang dan cinta mencintai boleh dipertingkatkan melalui sedekah. Dapat disuburkan sehingga mencapai taraf yang paling tinggi jika sanggup mengorbankan sesuatu yang paling disayangi untuk membela nasib golongan yang memerlukan.
·       Ikhlas. Hanya orang ikhlas sahaja yang dapat mengorbankan segala-galanya untuk menyempurnakan hidup berukhuwah. Ikhlas akan melahirkan insan yang berkhidmat tanpa noktah akhir.
·      Amanah. Orang yang tidak amanah merupakan perosak sifat kemanusian dan ketamadunan kerana Allah SWT telah memberikan amanah kepada manusia untuk memakmurkan alam ini.
·      Belas Kasihan. Sifat Ini penting kerana tanpanya menyebabkan kekejaman dan penindasan berelaku secara berleluasa di dalam masyarakat.

B. Adab Ukhuwah

·      Mengutamakan sahabat dengan harta bendanya.  Jika tidak mampu diberikan apa yang lebih dari hajatnya.

·      Bersegera membantu sahabat yang memerlukan bantuan.

·      Menyembunyi rahsia dan keaiban sahabat.

·      Menghindarkan perbuatan bantah-membantah.

·      Tidak sindir-menyindir dan perli-memperli.

·      Sentiasa mendoakan sahabat semasa senang atau susah.

·      Sentiasa melafazkan dengan perkataan “inni uhibbuka fillah” dan bertanya khabar.

·      Sentiasa mengucapkan terima kasih di atas bantuan yang diberikan.


6.    KESIMPULAN

Asas pembentukan personaliti atau sahsiah muslim adalah berpanduan acuan Rabbaniah. Hidup manusia  adalah dalam lingkungan tiga pola hubungan iaitu hubungan dengan Pencipta, hubungan dengan sesama manusia dan  hubungan manusia dengan alam. Ketiga-tiga hubungan tersebut mestilah berpaksikan kepada manual yang telah ditentukan oleh Allah SWT. Ketiga-ketiga hubungan itu mestilah dijaga dengan baik supaya tugas manusia sebagai khalifah di bumi dapat dilaksanakan secara terbaik dan sentiasa mendapat keredhaan Allah SWT.

ISC01


FALSAFAH PEMBANGUNAN PERSONALITI



1.    PENDAHULUAN
Falsafah bermaksud hikmah atau kebijaksanaan. Ia mendorong manusia untuk berfikir dengan lebih kritis. Setiap perbuatan manusia menggambarkan apa yang difikirkannya, apa yang dilakukannya adalah apa yang difikirkannya. Oleh yang demikian, seseorang yang berakhlak dan berdisiplin adalah seseorang yang mempunyai fikiran yang sistematik dan teratur serta akal yang sejahtera.

2.    DEFINASI
Personaliti ialah keperibadian merupakan suatu aspek psikologi yang mengkaji keperibadian dan proses individu lain yang menjadikan kita sebagai manusia. Personaliti berasal dari perkataan Latin, “Persona” yang bermaksud topeng atau pelindung muka iaitu suatu keadaan yang merujuk kepada penampilan luaran individu.
Dalam bidang psikologi, personaliti merangkumi pemikiran, persepsi, nilai, sikap, watak, keupayaan, kepercayaan, kecerdasan, motivasi, kebiasaan dan sebagainya. Personaliti menggambarkan sifat keperibadian seseorang dan dikaitkan dengan perwatakan. Personaliti seseorang boleh dikaji dengan memerhatikan tingkah laku, percakapan dan cara menyelesaikan masalah. Ahli psikologi bernama Sigmund Freud mendefinisikan personaliti sebagai sifat yang menggambarkan diri seseorang individu, iaitu merujuk kepada tingkah laku yang boleh diperhatikan oleh orang lain atau merujuk kepada perasaan yang dialami oleh seseorang dalam dirinya sendiri.
Personaliti mempunyai ciri-ciri yang dinamik dan tersusun yang dimiliki oleh individu secara unik. Ciri-ciri ini akan mempengaruhi kognitif, motivasi dan tingkah laku individu tersebut dalam pelbagai situasi. Personaliti merupakan gabungan pelbagai sifat dan konsep kendiri seseorang. Individu yang mempunyai konsep kendiri akan menghasilkan personaliti bersesuaian dengan keperluan persekitarannya. Gaya percakapan, cara bertindak, tingkahlaku yang ditunjukkan dan cara seseorang berinteraksi dengan persekitaran dapat membantu mengenali personaliti seseorang. Justeru, perkembangan kanak-kanak amat berkait rapat dengan perkembangan kendiri dan dapat dibahagikan kepada dua aspek iaitu personaliti dan konsep kendiri.
Pada pandangan Islam, personaliti ialah sahsiah atau akhlak yang dimiliki oleh setiap individu. Akhlak membawa maksud budi pekerti, perangai, tingkah laku atau adat kebiasaan. Akhlak adalah penentu kepada keterampilan seseorang. Ia terbahagi kepada dua iaitu akhlak yang baik dan akhlak yang buruk. Akhlak juga mengambarkan jiwa individu. Imam al-Ghazali (1058-1111) banyak membicarakan persoalan hati, akal dan nafsu. Al-Ghazali menekankan konsep Keabadian Jiwa yang wujud dalam agama dan mempercayai kehidupan selepas mati. Personaliti atau sahsiah melambangkan ciri-ciri keperibadian individu dan mencirikan perbezaan di antara setiap individu. Dalam teori ini, kerohanian yang menguasai atau mengawal jasad manusia.
Dalam al-Quran juga terdapat beberapa istilah yang berkaitan dengan ilmu ini iaitu                                                                                                                                                                      nafsu, hati dan akal. Fungsinya adalah untuk mencari dan menyampaikan ilmu pengetahuan kepada hati dan menghampirkan diri kepada Allah SWT. Manusia dilahirkan dalam keadaan suci tetapi perubahan bergantung kepada jasmani, akal dan rohnya secara seimbang. Personaliti adalah sifat yang ada pada individu seperti cara berfikir, beraksi, beremosi, persepsi dan memperihalkan sifat-sifat fizikal, emosi dan mental setiap insan.
Manusia dibezakan menerusi dua aspek:
i.      Kemampuan; meliputi pencapaian, kecerdasan dan bakat.
ii.     Personaliti; meliputi watak, sifat, penyesuaian diri, minat, emosi, sikap dan motivasi.
Personaliti juga bermaksud seluruh perlakuan luaran (jasmaniah) atau dalaman (rohaniah) individu yang lahir secara sepontan tanpa paksaan iaitu semua gerak balas anggota fizikal badan. Perlakuan dalaman mencakupi sistem kepercayaan, pegangan hidup, persepsi dan sebagainya. Personaliti merangkumi keseluruhan perlakuan manusia. Personaliti yang sempurna bergantung kepada hubungan dan taqwa kepada Allah SWT.

3.    PEMBANGUNAN PERSONALITI
Pembangunan personaliti merangkumi;
·      Aspek luaran ialah kejayaan yang diperolehi, semangat, pujian dan sebagainya.
·      Aspek dalaman pula terbitnya rasa cinta kepada Allah SWT, bertakwa, bersabar dan segala sifat yang baik.
·      Hasil dari gabungan dua faktor tadi terbentuk seorang muslim yang mempunyai personaliti yang berpandukan al-Quran dan mampu menghadapi segala dugaan.
Personaliti pada masa kini lebih dikenali sebagai modal insan dan ia melibatkan 10 perkara utama;
·      Manusia diciptakan Allah sebaik-baik kejadian (al-Tin: 4). Sesungguhnya Kami telah menciptakan manusia dalam bentuk yang sebaik-baiknya (dan berkelengkapan sesuai dengan keadaannya)”.
·      Manusia berkedudukan yang tinggi sebagai Khalifah.
·      Manusia dimuliakan dengan diberi kemudahan untuk tadbir urus alam (al-Isra: 70). Dan sesungguhnya Kami telah memuliakan anak-anak Adam; dan Kami telah beri mereka menggunakan berbagai-bagai kenderaan di darat dan di laut; dan Kami telah memberikan rezeki kepada mereka dari benda-benda yang baik-baik serta Kami telah lebihkan mereka dengan selebih-lebihnya atas banyak makhluk-makhluk yang telah Kami ciptakan”.
·      Manusia dilengkapi pendengaran, penglihatan, perasaan dan hati nurani untuk  menjalani kehidupan dengan baik (al-Sajadah: 7). Yang menciptakan tiap-tiap sesuatu dengan sebaik-baiknya, dan dimulakanNya kejadian manusia berasal dari tanah”.
·      Manusia diberi kelebihan dengan Ilmu berbanding dengan malaikat.
·      Manusia diberi dua kecenderungan untuk bertindak iaitu ke arah kebaikan dan ke arah kejahatan.
·      Manusia sanggup memikul amanah untuk memakmurkan bumi.
·      Manusia diberi kebebasan memilih haluan hidup.
·      Manusia mempunyai keupayaan meningkatkan darjat dirinya mengikut apa yang telah diusahakan.
·      Manusia perlu latih dirinya sebagai hamba Allah SWT.

4.    SUMBER PEMBANGUNAN PERSONALITI
Personaliti adalah sesuatu yang diolah dengan keimanan dan ketakwaan. Oleh yang demikian sumber pembangunan personaliti dalam Islam ialah;
·      Al-Quran: Pedoman dan  petunjuk Allah SWT kepada manusia dalam semua perkara termasuk sam`iyat dan aspek ketamadunan. Sumber perlembagaan hidup dan sumber ilmu pengetahuan dan pendidikan.
·      Al-Sunnah: Segala yang disandarkan kepada Rasulullah SAW dari sudut percakapan,  perbuatan dan pengakuan. Ia merupakan sumber asasi kedua selepas al-Quran. Berperanan menerangkan dan memperincikan isi kandungan al-Quran. Sabda Rasulullah SAW; “Sesungguhnya Allah tidak menilai atas rupamu serta harta kekayaanmu, akan tetapi Dia hanya menilai hati dan amal perbuatanmu”. (Riwayat Muslim dan Ibn Majah dari Abu Hurairah). Keperibadian sebenarnya wujud dari cara berfikir (bagaimana ia bersikap dan berfikir) dalam kehidupan.
·      Sahabat: Para personaliti sahabat Rasulullah SAW iaitu Khulafa’ al-Rasyidin seperti istiqamah dan sabar menghadapi penderitaan. Takut kepada Allah SWT (Taqwa). Berpada-pada dengan kehidupan duniawi dan zuhud. Berebut-rebut mencari keredaan Allah SWT. Semangat keberanian dan kepahlawanan. Bersimpati dan pengorbanan jiwa. Mencintai Rasulullah SAW dan mencintai ilmu.
·      Ulama: Banyak istilah ulama seperti yang terdapat dalam kitab-kitab muktabar. Di antaranya ialah fuqaha iaitu ulama fiqh, mufassirun atau ulama tafsir, ahlul ilmu kalam yang merujuk kepada ulama aqidah, usuliyyun merujuk kepada ulama usul fiqh, muhaddithun merujuk kepada ulama hadith dan lain-lain lagi. Semuanya dianggap sebagai ulama dalam Islam. Ada yang menyatakan bahawa ulama ialah sesiapa sahaja yang tahu dalam apa sahaja bidang ilmu. Ilmu dan kefahaman yang dimiliki menjadikan ulama ini; Sangat takutkan Allah SWT dan sentiasa memastikan setiap tindakan dan keputusan yang dibuat selari dengan kehendak Allah dan Rasul. Bersikap tegas jika berlaku sebarang tindakan yang bercanggah dengan syariah .

5.    KEPENTINGAN PEMBANGUNAN PERSONALITI
·      Diri; melalui pelaksanaan tuntutan agama, membentuk keyakinan, menyatakan penghargaan dan dijadikan ikutan dan model. Menzahirkan kepuasan.
·      Kerjaya; Pembangunan personaliti memberikan motivasi bagi memudahkan kerja. Ia membentuk kepercayaan, kerjasama, penghormatan dan penghargaan.
·      Organisasi; Pembangunan personaliti membentuk kepimpinan organisasi, kepercayaan dan keyakinan. Ia juga boleh membawa kejayaan atau keuntungan dan kebanggaan.

6.    KESIMPULAN
Personaliti adalah gabungan berbagai sifat dan kendiri seseorang. Individu yang mempunyai kendiri positif akan menghasilkan personaliti yang bersesuaian dengan keperluan persekitarannya. Gaya percakapan dan tingkah laku yang ditunjukkan serta cara seseorang itu berinteraksi dengan persekitarannya dapat membantu mengenali personaliti seseorang.

Saturday, November 16, 2019


ISC402 L9
BAB 9

 

KEMAHIRAN SOSIAL ISLAM


Setiap individu manusia perlu memiliki kemahiran sosial. Kemahiran sosial ialah beberapa set kemahiran yang perlu dimiliki apabila berinteraksi dengan individu lain dalam pelbagai situasi kemasyarakatan. Kemahiran sosial adalah sebahagian daripada kepintaran akal seseorang individu. Begitu pun faktor persekitaran seperti pendedahan yang kerap dalam pergaulan positif boleh mematangkan seseorang dan memberikan tahap kemahiran sosial yang baik dalam interaksi. Punca seseorang kurang mahir dari segi interaksi sosialnya adalah kerana kurang pergaulan atau pun  tiada pendedahan yang wajar untuk mereka mengatasinya.
Kemahiran sosial Islam perlu dimiliki kerana ia mampu mencapai matlamat kita kepada orang lain dan menghasilkan satu bentuk perhubungan positif dan harmonis serta berupaya untuk mengekalkan perhubungan bagi jangka masa panjang.
Apabila berinteraksi dengan orang lain, sebenarnya kita cuba berkomunikasi dengan mereka dengan bahasa (perkataan) verbal dan juga bukan verbal seperti isyarat tangan, ekspresi muka, tahap intonasi suara, gaya berjalan dan sebagainya. Dari satu segi yang lain, individu yang mengalami gangguan personaliti seperti personaliti anti sosial dan gangguan kebimbangan sosial turut mempunyai kekurangan dalam aspek kemahiran sosial.
Kemahiran sosial yang dimiliki dapat meningkatkan keupayaan seseorang untuk menempuh aktiviti kehidupan bersosial dalam masyarakat dengan;
  • hubungan yang lebih baik dan boleh dipercayai di kalangan rakan sebaya dan rakan  sekerja dan lain-lain.
  • pencapaian lebih baik dengan membuka lebih banyak peluang dan potensi untuk kerjaya, perniagaan atau kehidupan melalui jaringan kenalan yang ada.
  • meningkatkan harga diri, kemahiran menyelesaikan masalah, mengendalikan stress dengan berkesan dan kesejahteraan.
  • meningkatkan rasa keyakinan diri, kemampuan untuk menerima perbezaan pendapat  dan menghormati pandangan orang lain.
  • Boleh memberi nasihat dan galakan, bijak membaca suasana untuk memberi teguran dan kritikan serta mengiktiraf kelebihan orang lain dan menerima kelemahan mereka 
    Kekurangan kemahiran ini akan mewujudkan;
  • suasana tegang dan cemas dalam interaksi
  • tidak mampu menerima perbezaan pendapat
  • mementingkan diri sendiri dan menganggap diri sendiri saja yang betul
  • mencari keburukan dan kesalahan orang lain.  
    Dengan ini, mereka mempunyai peluang lebih baik untuk diterima masyarakat dan seterusnya menjadi golongan yang mampu bertahan dalam pelbagai situasi. Mereka juga mempunyai peluang lebih cerah untuk dilantik sebagai pemimpin berbanding individu yang tidak berupaya menunjukkan tahap keyakinan diri yang baik atau tidak berani memberikan pendapat dan idea kreatif.
Kemahiran sosial dapat diperolehi melalui;

  • Komunikasi dan melahirkan perasaan; Bertanya, berbincang mengenai aktiviti harian bagi menggerakkan perbualan.

  • Melibatkan diri dalam kumpulan; Mengambil bahagian dalam perbincangan kerja atau keluarga dan membuat keputusan.

  • Tunjukkan inisiatif; Berikan galakan kepada minatnya, benarkan kesilapan dan beri peluang berfikir secara kritikal ketika menjawab soalan.

  • Menjaga diri sendiri dan orang lain; Berakhlak, beretika dan beradab tertib dengan menunjukkan empati, menghargai dan menghormati orang lain dan berbudi bahasa.

  • Ketegasan; Berlatih mengawal intonasi  dan  kedudukan tubuh (berdiri, berjalan atau duduk) supaya nampak baik dan meyakinkan. Bersuara mempertahankan diri tanpa menggunakan keganasan atau penghinaan.

  • Berfikiran terbuka dan berpengalaman luas; Berikan pendedahan kepada benda, tempat, orang, dan aktiviti baharu yang boleh meluaskan minat supaya mereka juga akan mempunyai banyak perkara untuk diperkatakan dan dikongsi bersama orang lain.

 
Kepentingan membina perhubungan dan jaringan sosial melalui dakwah telah diamalkan pada zaman Rasulullah s.a.w. lagi dengan tujuan mempertingkatkan seruan Islam.
“... dan katakanlah kepada sesama manusia perkataan- perkataan yang baik ...”
(Al-Baqarah: 83)
“Dan janganlah kamu berbahas dengan ahli kitab melainkan dengan cara yang lebih baik, kecuali orang-orang berlaku zalim di antara mereka...”
(Al-Ankabut: 46)
 
Hadith Rasulullah yang bermaksud; 
                                                                                                                                                                                                                                                   "Sebaik-baik manusia adalah mereka yang memberi manfaat kepada manusia yang lain". (Hadith Riwayat al-Tabarani).