Sunday, April 12, 2020

ISC01


FALSAFAH PEMBANGUNAN PERSONALITI



1.    PENDAHULUAN
Falsafah bermaksud hikmah atau kebijaksanaan. Ia mendorong manusia untuk berfikir dengan lebih kritis. Setiap perbuatan manusia menggambarkan apa yang difikirkannya, apa yang dilakukannya adalah apa yang difikirkannya. Oleh yang demikian, seseorang yang berakhlak dan berdisiplin adalah seseorang yang mempunyai fikiran yang sistematik dan teratur serta akal yang sejahtera.

2.    DEFINASI
Personaliti ialah keperibadian merupakan suatu aspek psikologi yang mengkaji keperibadian dan proses individu lain yang menjadikan kita sebagai manusia. Personaliti berasal dari perkataan Latin, “Persona” yang bermaksud topeng atau pelindung muka iaitu suatu keadaan yang merujuk kepada penampilan luaran individu.
Dalam bidang psikologi, personaliti merangkumi pemikiran, persepsi, nilai, sikap, watak, keupayaan, kepercayaan, kecerdasan, motivasi, kebiasaan dan sebagainya. Personaliti menggambarkan sifat keperibadian seseorang dan dikaitkan dengan perwatakan. Personaliti seseorang boleh dikaji dengan memerhatikan tingkah laku, percakapan dan cara menyelesaikan masalah. Ahli psikologi bernama Sigmund Freud mendefinisikan personaliti sebagai sifat yang menggambarkan diri seseorang individu, iaitu merujuk kepada tingkah laku yang boleh diperhatikan oleh orang lain atau merujuk kepada perasaan yang dialami oleh seseorang dalam dirinya sendiri.
Personaliti mempunyai ciri-ciri yang dinamik dan tersusun yang dimiliki oleh individu secara unik. Ciri-ciri ini akan mempengaruhi kognitif, motivasi dan tingkah laku individu tersebut dalam pelbagai situasi. Personaliti merupakan gabungan pelbagai sifat dan konsep kendiri seseorang. Individu yang mempunyai konsep kendiri akan menghasilkan personaliti bersesuaian dengan keperluan persekitarannya. Gaya percakapan, cara bertindak, tingkahlaku yang ditunjukkan dan cara seseorang berinteraksi dengan persekitaran dapat membantu mengenali personaliti seseorang. Justeru, perkembangan kanak-kanak amat berkait rapat dengan perkembangan kendiri dan dapat dibahagikan kepada dua aspek iaitu personaliti dan konsep kendiri.
Pada pandangan Islam, personaliti ialah sahsiah atau akhlak yang dimiliki oleh setiap individu. Akhlak membawa maksud budi pekerti, perangai, tingkah laku atau adat kebiasaan. Akhlak adalah penentu kepada keterampilan seseorang. Ia terbahagi kepada dua iaitu akhlak yang baik dan akhlak yang buruk. Akhlak juga mengambarkan jiwa individu. Imam al-Ghazali (1058-1111) banyak membicarakan persoalan hati, akal dan nafsu. Al-Ghazali menekankan konsep Keabadian Jiwa yang wujud dalam agama dan mempercayai kehidupan selepas mati. Personaliti atau sahsiah melambangkan ciri-ciri keperibadian individu dan mencirikan perbezaan di antara setiap individu. Dalam teori ini, kerohanian yang menguasai atau mengawal jasad manusia.
Dalam al-Quran juga terdapat beberapa istilah yang berkaitan dengan ilmu ini iaitu                                                                                                                                                                      nafsu, hati dan akal. Fungsinya adalah untuk mencari dan menyampaikan ilmu pengetahuan kepada hati dan menghampirkan diri kepada Allah SWT. Manusia dilahirkan dalam keadaan suci tetapi perubahan bergantung kepada jasmani, akal dan rohnya secara seimbang. Personaliti adalah sifat yang ada pada individu seperti cara berfikir, beraksi, beremosi, persepsi dan memperihalkan sifat-sifat fizikal, emosi dan mental setiap insan.
Manusia dibezakan menerusi dua aspek:
i.      Kemampuan; meliputi pencapaian, kecerdasan dan bakat.
ii.     Personaliti; meliputi watak, sifat, penyesuaian diri, minat, emosi, sikap dan motivasi.
Personaliti juga bermaksud seluruh perlakuan luaran (jasmaniah) atau dalaman (rohaniah) individu yang lahir secara sepontan tanpa paksaan iaitu semua gerak balas anggota fizikal badan. Perlakuan dalaman mencakupi sistem kepercayaan, pegangan hidup, persepsi dan sebagainya. Personaliti merangkumi keseluruhan perlakuan manusia. Personaliti yang sempurna bergantung kepada hubungan dan taqwa kepada Allah SWT.

3.    PEMBANGUNAN PERSONALITI
Pembangunan personaliti merangkumi;
·      Aspek luaran ialah kejayaan yang diperolehi, semangat, pujian dan sebagainya.
·      Aspek dalaman pula terbitnya rasa cinta kepada Allah SWT, bertakwa, bersabar dan segala sifat yang baik.
·      Hasil dari gabungan dua faktor tadi terbentuk seorang muslim yang mempunyai personaliti yang berpandukan al-Quran dan mampu menghadapi segala dugaan.
Personaliti pada masa kini lebih dikenali sebagai modal insan dan ia melibatkan 10 perkara utama;
·      Manusia diciptakan Allah sebaik-baik kejadian (al-Tin: 4). Sesungguhnya Kami telah menciptakan manusia dalam bentuk yang sebaik-baiknya (dan berkelengkapan sesuai dengan keadaannya)”.
·      Manusia berkedudukan yang tinggi sebagai Khalifah.
·      Manusia dimuliakan dengan diberi kemudahan untuk tadbir urus alam (al-Isra: 70). Dan sesungguhnya Kami telah memuliakan anak-anak Adam; dan Kami telah beri mereka menggunakan berbagai-bagai kenderaan di darat dan di laut; dan Kami telah memberikan rezeki kepada mereka dari benda-benda yang baik-baik serta Kami telah lebihkan mereka dengan selebih-lebihnya atas banyak makhluk-makhluk yang telah Kami ciptakan”.
·      Manusia dilengkapi pendengaran, penglihatan, perasaan dan hati nurani untuk  menjalani kehidupan dengan baik (al-Sajadah: 7). Yang menciptakan tiap-tiap sesuatu dengan sebaik-baiknya, dan dimulakanNya kejadian manusia berasal dari tanah”.
·      Manusia diberi kelebihan dengan Ilmu berbanding dengan malaikat.
·      Manusia diberi dua kecenderungan untuk bertindak iaitu ke arah kebaikan dan ke arah kejahatan.
·      Manusia sanggup memikul amanah untuk memakmurkan bumi.
·      Manusia diberi kebebasan memilih haluan hidup.
·      Manusia mempunyai keupayaan meningkatkan darjat dirinya mengikut apa yang telah diusahakan.
·      Manusia perlu latih dirinya sebagai hamba Allah SWT.

4.    SUMBER PEMBANGUNAN PERSONALITI
Personaliti adalah sesuatu yang diolah dengan keimanan dan ketakwaan. Oleh yang demikian sumber pembangunan personaliti dalam Islam ialah;
·      Al-Quran: Pedoman dan  petunjuk Allah SWT kepada manusia dalam semua perkara termasuk sam`iyat dan aspek ketamadunan. Sumber perlembagaan hidup dan sumber ilmu pengetahuan dan pendidikan.
·      Al-Sunnah: Segala yang disandarkan kepada Rasulullah SAW dari sudut percakapan,  perbuatan dan pengakuan. Ia merupakan sumber asasi kedua selepas al-Quran. Berperanan menerangkan dan memperincikan isi kandungan al-Quran. Sabda Rasulullah SAW; “Sesungguhnya Allah tidak menilai atas rupamu serta harta kekayaanmu, akan tetapi Dia hanya menilai hati dan amal perbuatanmu”. (Riwayat Muslim dan Ibn Majah dari Abu Hurairah). Keperibadian sebenarnya wujud dari cara berfikir (bagaimana ia bersikap dan berfikir) dalam kehidupan.
·      Sahabat: Para personaliti sahabat Rasulullah SAW iaitu Khulafa’ al-Rasyidin seperti istiqamah dan sabar menghadapi penderitaan. Takut kepada Allah SWT (Taqwa). Berpada-pada dengan kehidupan duniawi dan zuhud. Berebut-rebut mencari keredaan Allah SWT. Semangat keberanian dan kepahlawanan. Bersimpati dan pengorbanan jiwa. Mencintai Rasulullah SAW dan mencintai ilmu.
·      Ulama: Banyak istilah ulama seperti yang terdapat dalam kitab-kitab muktabar. Di antaranya ialah fuqaha iaitu ulama fiqh, mufassirun atau ulama tafsir, ahlul ilmu kalam yang merujuk kepada ulama aqidah, usuliyyun merujuk kepada ulama usul fiqh, muhaddithun merujuk kepada ulama hadith dan lain-lain lagi. Semuanya dianggap sebagai ulama dalam Islam. Ada yang menyatakan bahawa ulama ialah sesiapa sahaja yang tahu dalam apa sahaja bidang ilmu. Ilmu dan kefahaman yang dimiliki menjadikan ulama ini; Sangat takutkan Allah SWT dan sentiasa memastikan setiap tindakan dan keputusan yang dibuat selari dengan kehendak Allah dan Rasul. Bersikap tegas jika berlaku sebarang tindakan yang bercanggah dengan syariah .

5.    KEPENTINGAN PEMBANGUNAN PERSONALITI
·      Diri; melalui pelaksanaan tuntutan agama, membentuk keyakinan, menyatakan penghargaan dan dijadikan ikutan dan model. Menzahirkan kepuasan.
·      Kerjaya; Pembangunan personaliti memberikan motivasi bagi memudahkan kerja. Ia membentuk kepercayaan, kerjasama, penghormatan dan penghargaan.
·      Organisasi; Pembangunan personaliti membentuk kepimpinan organisasi, kepercayaan dan keyakinan. Ia juga boleh membawa kejayaan atau keuntungan dan kebanggaan.

6.    KESIMPULAN
Personaliti adalah gabungan berbagai sifat dan kendiri seseorang. Individu yang mempunyai kendiri positif akan menghasilkan personaliti yang bersesuaian dengan keperluan persekitarannya. Gaya percakapan dan tingkah laku yang ditunjukkan serta cara seseorang itu berinteraksi dengan persekitarannya dapat membantu mengenali personaliti seseorang.

Saturday, November 16, 2019


ISC402 L9
BAB 9

 

KEMAHIRAN SOSIAL ISLAM


Setiap individu manusia perlu memiliki kemahiran sosial. Kemahiran sosial ialah beberapa set kemahiran yang perlu dimiliki apabila berinteraksi dengan individu lain dalam pelbagai situasi kemasyarakatan. Kemahiran sosial adalah sebahagian daripada kepintaran akal seseorang individu. Begitu pun faktor persekitaran seperti pendedahan yang kerap dalam pergaulan positif boleh mematangkan seseorang dan memberikan tahap kemahiran sosial yang baik dalam interaksi. Punca seseorang kurang mahir dari segi interaksi sosialnya adalah kerana kurang pergaulan atau pun  tiada pendedahan yang wajar untuk mereka mengatasinya.
Kemahiran sosial Islam perlu dimiliki kerana ia mampu mencapai matlamat kita kepada orang lain dan menghasilkan satu bentuk perhubungan positif dan harmonis serta berupaya untuk mengekalkan perhubungan bagi jangka masa panjang.
Apabila berinteraksi dengan orang lain, sebenarnya kita cuba berkomunikasi dengan mereka dengan bahasa (perkataan) verbal dan juga bukan verbal seperti isyarat tangan, ekspresi muka, tahap intonasi suara, gaya berjalan dan sebagainya. Dari satu segi yang lain, individu yang mengalami gangguan personaliti seperti personaliti anti sosial dan gangguan kebimbangan sosial turut mempunyai kekurangan dalam aspek kemahiran sosial.
Kemahiran sosial yang dimiliki dapat meningkatkan keupayaan seseorang untuk menempuh aktiviti kehidupan bersosial dalam masyarakat dengan;
  • hubungan yang lebih baik dan boleh dipercayai di kalangan rakan sebaya dan rakan  sekerja dan lain-lain.
  • pencapaian lebih baik dengan membuka lebih banyak peluang dan potensi untuk kerjaya, perniagaan atau kehidupan melalui jaringan kenalan yang ada.
  • meningkatkan harga diri, kemahiran menyelesaikan masalah, mengendalikan stress dengan berkesan dan kesejahteraan.
  • meningkatkan rasa keyakinan diri, kemampuan untuk menerima perbezaan pendapat  dan menghormati pandangan orang lain.
  • Boleh memberi nasihat dan galakan, bijak membaca suasana untuk memberi teguran dan kritikan serta mengiktiraf kelebihan orang lain dan menerima kelemahan mereka 
    Kekurangan kemahiran ini akan mewujudkan;
  • suasana tegang dan cemas dalam interaksi
  • tidak mampu menerima perbezaan pendapat
  • mementingkan diri sendiri dan menganggap diri sendiri saja yang betul
  • mencari keburukan dan kesalahan orang lain.  
    Dengan ini, mereka mempunyai peluang lebih baik untuk diterima masyarakat dan seterusnya menjadi golongan yang mampu bertahan dalam pelbagai situasi. Mereka juga mempunyai peluang lebih cerah untuk dilantik sebagai pemimpin berbanding individu yang tidak berupaya menunjukkan tahap keyakinan diri yang baik atau tidak berani memberikan pendapat dan idea kreatif.
Kemahiran sosial dapat diperolehi melalui;

  • Komunikasi dan melahirkan perasaan; Bertanya, berbincang mengenai aktiviti harian bagi menggerakkan perbualan.

  • Melibatkan diri dalam kumpulan; Mengambil bahagian dalam perbincangan kerja atau keluarga dan membuat keputusan.

  • Tunjukkan inisiatif; Berikan galakan kepada minatnya, benarkan kesilapan dan beri peluang berfikir secara kritikal ketika menjawab soalan.

  • Menjaga diri sendiri dan orang lain; Berakhlak, beretika dan beradab tertib dengan menunjukkan empati, menghargai dan menghormati orang lain dan berbudi bahasa.

  • Ketegasan; Berlatih mengawal intonasi  dan  kedudukan tubuh (berdiri, berjalan atau duduk) supaya nampak baik dan meyakinkan. Bersuara mempertahankan diri tanpa menggunakan keganasan atau penghinaan.

  • Berfikiran terbuka dan berpengalaman luas; Berikan pendedahan kepada benda, tempat, orang, dan aktiviti baharu yang boleh meluaskan minat supaya mereka juga akan mempunyai banyak perkara untuk diperkatakan dan dikongsi bersama orang lain.

 
Kepentingan membina perhubungan dan jaringan sosial melalui dakwah telah diamalkan pada zaman Rasulullah s.a.w. lagi dengan tujuan mempertingkatkan seruan Islam.
“... dan katakanlah kepada sesama manusia perkataan- perkataan yang baik ...”
(Al-Baqarah: 83)
“Dan janganlah kamu berbahas dengan ahli kitab melainkan dengan cara yang lebih baik, kecuali orang-orang berlaku zalim di antara mereka...”
(Al-Ankabut: 46)
 
Hadith Rasulullah yang bermaksud; 
                                                                                                                                                                                                                                                   "Sebaik-baik manusia adalah mereka yang memberi manfaat kepada manusia yang lain". (Hadith Riwayat al-Tabarani).                                                                                                                             

Sunday, November 3, 2019

L8

ISC402 L8




                                                                                     BAB 8


KEMAHIRAN MENYELESAIKAN MASALAH
Kemahiran penyelesaian masalah diperlukan apabila wujud sesuatu rintangan dalam mencapai matlamat. Penyelesaian masalah merupakan keupayaan menggunakan minda untuk mencari idea dan langkah-langkah mengatasi kekurangan atau halangan yang ada untuk mencapai objektif yang dihasratkan. Menyelesaikan masalah dengan bijak adalah penting dalam kehidupan seharian kita kerana dapat memajukan lagi kehidupan kita dan menjadikan kehidupan kita lebih selesa dan selamat.

Menyelesaikan masalah adalah satu proses mental untuk mengatasi halangan yang sedang dihadapi berdasarkan tujuan tertentu. Menyelesaikan sesuatu masalah boleh dijadikan sebagai cabaran kepada seseorang. Dengan ini seseorang individu akan bersungguh-sungguh menyelesaikan masalah sekiranya terdesak untuk menanggani keadaan yang tidak menyenangkan. Proses penyelesaian masalah bermula dengan menyedari masalah, mengenal pasti dan memahami masalah. Seterusnya, meneroka pilihan penyelesaian masalah dan meninjau kesan akibat pilihan penyelesaian masalah. Kemudian baru memilih penyelesaian masalah yang terbaik dan melaksanakannya. Apabila terdapat banyak kesan negatif, maka pilihan itu hendaklah dipertimbangkan semula ataupun ditolak.
Setiap kita mesti mengetahui cara menghadapi masalah supaya dapat meneruskan hidup dengan lebih baik. Strategi untuk mengurus masalah ialah;
  • Kawal emosi
  • Jauhkan diri dari situasi yang boleh menimbulkan kemarahan
  • Luahkan perasaan secara asertif (kawalan diri)
  • Kenal pasti sebab berlakunya konflik. Siapakah yang bertanggungjawab? Sekiranya perlu, jauhkan diri dari orang yang menimbulkan konflik dan memikirkan cara dan merancang strategi untuk menyelesaikannya.
  • Bertanya kepada orang tersebut sama ada dia mempunyai masa untuk berbincang.
  • Beritahu mereka bagaimana perasaan kita (contohnya: Saya sangat sedih ketika ini)
  • Dengar. Benarkan orang itu memberi maklum balas.
  • Berbincang tentang alternatif lain untuk menyelesaikan konflik tersebut.
  • Teruskan untuk berbincang dengan tenang
  • Sekiranya konflik itu tidak boleh diselesaikan atau kemarahan anda semakin bertambah, beritahu orang itu yang kita perlu beredar dan ingin membicarakan tentang hal tersebut kemudian. 
  • 8.1 KEMAHIRAN MENYELESAIKAN MASALAH KENDIRI
  • Zahirkan perasaan dan tindakan kita secara jujur, berterus terang dan ikhlas tanpa mencabuli batas hak orang lain. Menghormati diri kita dan diri orang lain. Berkelakuan asertif iaitu kita yang mengawal hidup diri kita sendiri serta tidak pula mengawal hak mutlak orang lain. Dalam kehidupan ini masalah dan konflik tidak dapat dielakkan. Gangguan emosi boleh wujud dengan segera disebabkan masalah perhubungan. Dengan bersikap asertif memperkatakan sesuatu secara berpatutan dan bertindak secara menghormati orang lain, dapat mewujudkan perhubungan yang tulin dan harmoni sesama kita. Menyedari bahawa kita adalah hamba Allah yang dijadikan untuk mengabdikan diri kepada-Nya, menyedari bahawa kita mempunyai beberapa kekurangan dan hidup ini sebagai "sharing" atau perkongsian sesama kita.
  • 8.2 KEMAHIRAN MENYELESAIKAN MASALAH ORGANISASI
  • Lazimnya, isu-isu dalam sesebuah organisasi berpunca daripada masalah-masalah biasa yang berkisar pada penglibatan dan pelaksanaan. Punca setiap masalah adalah kurangnya kesedaran diri, sama ada dalam kalangan pasukan kepimpinan atau kakitangan, atau kedua-duanya secara menyeluruh.
  • Mengadakan mesyuarat yang melibatkan semua jabatan sekali atau dua kali sebulan adalah cara baik untuk berkongsi perkembangan (termasuk kejayaan dan cabaran) di jabatan masing-masing.
  • Para pemimpin boleh mengambil peluang ini untuk mengutarakan idea bagaimana jabatan-jabatan mereka boleh bekerjasama bagi menyelesaikan sesuatu masalah atau mengambil kesempatan daripada hasil yang memberangsangkan. Dengan cara ini, mereka betul-betul dapat mengeluarkan anak buah mereka daripada gelembung pasukan dan memberi perspektif yang lebih meluas tentang sumbangan mereka kepada organisasi secara keseluruhannya.
  • Mengadakan mesyuarat yang melibatkan semua jabatan sekali atau dua kali sebulan adalah cara baik untuk berkongsi perkembangan (termasuk kejayaan dan cabaran) di jabatan masing-masing. Pemimpin boleh mengambil peluang ini untuk mengutarakan idea bagaimana organisasi mereka boleh bekerjasama bagi menyelesaikan sesuatu masalah atau mengambil kesempatan daripada hasil yang memberangsangkan. Dengan cara ini, mereka dapat mengeluarkan pekerja mereka daripada masalah organisasi dan memberi perspektif yang lebih luas tentang sumbangan mereka kepada organisasi secara keseluruhannya.
  • Pemimpin yang efektif melibatkan diri dengan pasukan sepanjang masa. Mereka sentiasa memberi sokongan yang diperlukan dan mudah dihubungi untuk mendapatkan nasihat dan panduan. Mereka perlu bersifat proaktif dalam mengenal pasti apa yang diperlukan oleh kakitangan untuk menjalankan tugas dengan lebih baik.
  • Mungkin pahit untuk ditelan tetapi apabila semua orang diam seribu bahasa, inilah masanya pemimpin mengeluarkan kata-kata yang berani.
  • Mungkin ada sesetengah pekerja yang kurang selesa berbicara tentang kesukaran kerja yang dialami dan mengapa ia timbul, tetapi inilah satu-satunya cara untuk mengemudi organisasi anda untuk mencapai penyelesaian. Selesaikan masalah itu. Jangan lari dari masalah; ia hanya akan meruncingkan suasana dan menjadikannya lebih sukar untuk ditangani.
  • Tunjukkan penghargaan kepada sumbangan kakitangan anda dengan kata-kata seperti, “Terima kasih Nurul Aswani kerana menyediakan slaid itu untuk saya atau bagus kerja kamu Faizzudin, saya sangat menghargainya.” Itu sudah cukup untuk membuat pekerja anda merasa dihargai. Atau anda boleh juga berbelanja mereka makan tengah hari di luar.
  • Sebagai seorang pemimpin, anda boleh menunjukkan yang anda prihatin dalam pelbagai cara, dan yang paling mudah adalah dengan memberikan pujian ikhlas kepada kakitangan atau rakan sekerja setiap hari. Biasakan diri membuatnya tetapi ia haruslah ikhlas dan spesifik. Anda mungkin akan terkejut dengan perbezaan yang terhasil.
  • Gunakan perkataan ‘kita’ dan ‘kami’ sebanyak mana yang mungkin dalam pelbagai cara yang membina dan positif dan letakkan orang lain sebagai tumpuan utama.
  • Syarikat organisasi mendapat kontrak yang besar? Beritahu kejayaan ahli pasukan yang mendapatkan kontrak tersebut ke seluruh organisasi.
  • Kegagalan patut ditanggung bersama, seperti juga kejayaan. Tetapi apabila keadaan menjadi sukar, kakitangan akan memerlukan pemimpin yang membuat keputusan dan pemimpin yang baik adalah mereka yang tidak menuding jari kepada orang lain, tidak kira dalam apa jua keadaan.

 


 

ISC402 L7




BAB 7

KEMAHIRAN PENGURUSAN DIRI MUSLIM


 7.1 KETAATAN
Prinsip utama ketaatan ialah arahan atau perintah dari pihak yang perlu dihormati itu tidak bercanggah dengan Islam. Terdapat beberapa faktor yang mesti diambil kira bagi menjadikan sesuatu arahan ditaati. Di antaranya ialah arahan tersebut berada dalam bidang tugas, tugas yang diarahkan oleh majikan atau organisasi terdapat dalam deskripsi kerja dan kerja tersebut boleh dilakukan mengikut keupayaan mental dan fizikal pekerja. Ketaatan dalam organisasi amat penting untuk melicinkan perjalanan organisasi sesuai dengan matlamat yang hendak dicapai oleh organisasi. Ketaatan tersebut juga melibatkan arahan yang tidak bercanggah dengan hukum dan nilai-nilai yang ditentukan oleh syarak.

Maksud firman Allah SWT surah al-Nisa’: 59; “Wahai orang yang beriman! Taatlah kamu kepada Allah dan Taatlah kamu kepada Rasulullah dan kepada "Ulil-Amri" (orang yang berkuasa) dari kalangan kamu. Kemudian jika kamu berbantah-bantah (berselisihan) dalam sesuatu perkara, maka hendaklah kamu mengembalikannya kepada (Kitab) Allah (al-Qur’an) dan (al-Sunnah) Rasul-Nya jika kamu benar beriman kepada Allah dan hari akhirat“.

Maksud hadith Rasulullah SAW, “Tidak ada ketaatan pada makhluk dalam perkara maksiat kepada Al Khaliq”. (Hadith Shahih al-Jami’). “Sesiapa yang mentaati perintahku, maka sesungguhnya ia mematuhi perintah Allah. Sesiapa yang mentaati perintah amir (ketua) sesungguhnya bererti mematuhi perintahku, dan sesiapa yang melanggar perintah amir (ketua) bererti ia melanggari perintahku”. (Riwayat Muslim)

Namun begitu ketaatan pada pimpinan organisasi boleh berlaku apabila;
 Organisasi itu milik pemerintah.
 Organisasi bukan milik pemerintah (NGO), ketaatan tidak sama seperti pemerintah.
 
Hadith di atas menunjukkan bahawa ketaatan itu sangat penting dan sesebuah organisasi  sangat memerlukan ketaatan seorang ketua dan seorang pengikut. Konflik organisasi akibat dari kelemahan soal ketaatan boleh menyebabkan keruntuhan koordinasi dan organisasi menjadi lemah dan gagal. Organisasi perlu menyediakan dasar dan peraturan supaya dipatuhi oleh setiap individu yang bekerja di dalamnya. Tanpa taat kepada disiplin, operasi organisasi akan jadi kacau bilau yang akibatnya akan memusnahkan organisasi. Setiap pengurus diamanahkan oleh majikan dan pihak pengurusan atasan bagi memastikan segala peraturan dan arahan yang berkaitan dengan kerja diikuti oleh pekerjanya dan dirinya sendiri.

7.2 EMOSI
Kebolehan seseorang untuk mengawal emosi serta perasaan diri sendiri dan orang lain adalah suatu usaha untuk meningkatkan kualiti diri dan kualiti kehidupan. Ia penting bagi menjaga perhubungan dengan orang lain. Kebolehan ini kemudiannya digunakan sebagai panduan untuk berfikir dan bertindak. Emosi merupakan hubungan intrapersonal aspek hubungan dalam diri iaitu bagaimana seseorang itu dapat memahami diri sendiri dan seterusnya berusaha untuk mempertingkatkan kualiti diri. Intrapersonal merangkumi aspek-aspek bagaimana seseorang itu berfikir, mengawal emosi, membina nilai diri, mengawal kemarahan dan membina kekuatan diri. Ia merupakan bagaimana seseorang berinteraksi dengan dirinya sendiri. Kebolehan seseorang mengawal perasaan dengan tidak menghamburkan kata-kata kesat ketika marah, bersikap optimis, sentiasa bermotivasi, berkebolehan meneutralkan keadaan, iaitu dengan tidak terlalu cepat menerima atau menafikan sesuatu, bertanggungjawab, berintegriti, berkeyakinan tinggi, bersikap terbuka juga dikatakan sebagai sebahagian daripada kemahiran intrapersonal untuk kawalan emosi. Kemahiran berinteraksi antara individu dengan diri sendiri dan juga orang lain akan terbina apabila kemahiran interpersonal dan intrapersonal digabungkan dengan sempurna.

7.3 PENAMPILAN
Pengurusan Diri
Mahasiswa samalah juga dengan pekerja, mereka perlu menyesuaikan diri dengan alam pendidikan tinggi dan persekitaran pembelajaran yang konsisten serta kehendak organisasi pekerjaan sama ada di bidang pengeluaran atau pun perkhidmatan. Universiti dan juga organisasi kerja sepatutnya dijadikan sebagai tempat yang menyeronokkan untuk menimba ilmu pengetahuan dan kemahiran hidup. Di simpang itu bergaul bersama rakan dan tidak mempunyai hubungan yang negatif dengan pensyarah atau pemimpin organisasi. Selepas ibu bapa, pensyarah dan pemimpin organisasi merupakan  orang yang patut dihormati kerana usahanya membentuk masa hadapan kita.

Mengurus Masa
Bagi menjadi mahasiswa dan pekerja yang berjaya, anda mesti berupaya menjadualkan masa untuk menambah ilmu pengetahuan, meningkatkan kemahiran, beriadah, menonton televisyen sebagainya. Di samping itu, mesti berkebolehan mengingati sesuatu fakta pembelajaran dalam jangka masa yang lebih panjang.

Perancangan
Kemahiran merancang semua aspek hidup amat penting sama ada untuk melakukan sesuatu dan juga apa yang telah dilakukan. Mahasiswa dan pekerja mesti mempunyai arah tujuan yang positif untuk masa hadapan dan bukan hanya hidup mengikut arus sekeliling sahaja.

Kemahiran Berfikir dan Belajar
Mahasiswa dan pekerja mesti berkeupayaan berfikir secara kritis, positif dan matang. Kemahiran berfikir ini harus dipelajari dan dipraktikkan dan tidak hanya mengikut logik semata-mata. Belajar bukan sesuatu yang mudah tetapi tidak pula terlalu sukar. Untuk menjadikan belajar itu mudah, mereka mesti menguasai kemahiran belajar yang sistematik seperti membaca, membuat rujukan dan nota. Boleh dikatakan semua orang boleh membaca tetapi tidak ramai yang boleh membaca dengan pantas dan dalam masa yang sama dapat memahami dan mengingati apa yang dibaca. Mereka perlu ada kemahiran merujuk dan menyelidik dari buku buku, akhbar, majalah, membuat temu ramah dan sebagainya. Terdapat pelbagai cara membuat nota tetapi yang penting, nota mesti mudah difahami supaya mudah disampaikan semula kepada pihak lain dengan berkesan sama ada dalam bentuk tulisan mahupun lisan. Mahasiswa dan pekerja organisasi mesti berupaya menilai kelemahan dan kekuatan diri sendiri di samping sentiasa berusaha memperbaiki segala kelemahan diri. Jangan sesekali menyalahkan orang lain jika gagal. Adalah lebih baik menyalahkan diri sendiri dan melihat kelemahan diri dan seterusnya bertekad untuk berjaya. Walau apa keadaan sekalipun, kita mestilah sentiasa bersyukur dan bertakwa agar Allah S.W.T akan memberkati segala usaha kita.

 7.4 PERWATAKAN
(Rujuk Artikel Sebelum ini)
7.5 KEWANGAN
Bagi orang Islam, Nabi Muhammad S.A.W. berpesan bahawa; “akan datang lima perkara sebelum lima perkara: Sihat sebelum sakit, Kaya sebelum miskin, Lapang sebelum sibuk, Muda sebelum tua, Hidup sebelum mati”.
Secara tidak langsung, kita dapat memahami kepentingan menetapkan matlamat supaya dapat melaksanakan tanggungjawab. 4 strategi pengurusan kewangan Islam ialah;
1. Mencari Rezeki Yang Halal. Allah Maha Pemurah dan Pemberi Rezeki menyebut dalam surah al-Jum’ah, ayat 10 yang bermaksud: “Kemudian, setelah selesai sembahyang, maka bertebaranlah kamu di muka bumi, dan carilah apa yang kamu hajati dari limpah kurnia Allah, serta ingatkanlah akan Allah banyak-banyak (dalam segala keadaan), supaya kamu berjaya di dunia dan di akhirat.” Rezeki dan limpah kurniaan Allah sangat luas dan kita disarankan untuk mencari rezeki yang halal iaitu pekerjaan atau perniagaan hasil usaha jujur, bebas penipuan atau rasuah dan tidak terlibat dengan perkara yang haram. Orang Islam yang beriman dan bertakwa akan mengelakkan diri daripada terjerumus dalam riba’, arak, judi dan lain-lain hal yang dilarang oleh agama.
2. Melanggan Takaful Sebagai Persediaan Menghadapi Musibah. Takaful ialah produk perlindungan yang berlandaskan syariah. Kontrak takaful berbeza dengan insurans kerana ia menggunakan konsep ‘bantu-membantu’ di kalangan peserta takaful. Tiada unsur faedah dan ketidakpastian (gharar) sebagaimana kontrak insurans konvensional. Produk takaful adalah keperluan bagi anda yang mempunyai tanggungan dan sebagai persediaan menghadapi musibah seperti sakit dan kemalangan. Ia sebagai suatu perbelanjaan untuk masa depan. Peserta takaful membuat sumbangan secara bulanan dengan kadar yang telah ditetapkan. Sumbangan ini nampak kecil kerana dibuat secara konsisten setiap bulan. Apabila berlaku musibah, operator takaful akan membayar manfaat perlindungan kepada peserta. Semua peserta dalam pelan takaful seolah berpegangan tangan, jika seorang peserta terjatuh yang lain akan membantu dan menghulurkan tangan supaya dia dapat bangun semula atau sekurang-kurangnya keluarganya dapat bangkit daripada beban kewangan yang melanda.
3. Melabur Tanpa Berhutang. Matlamat pelaburan kita ialah untuk menambah nilai daripada apa yang dimiliki. Kita tidak digalakkan oleh pakar kewangan meminjam untuk pelaburan. Ini kerana setiap pelaburan mempunyai risiko. Pinjaman mengikat kita dengan komitmen hutang. Hutang perlu dijelaskan tidak kira kita untung atau pun rugi. Oleh itu, hutang akan menambah beban kewangan jika tidak diuruskan dengan betul. Kegagalan pinjaman mendedahkan kita kepada tindakan saman atau diisytiharkan muflis bagi kes yang berat. Dengan wang yang ada sepatutnya kita melabur dalam melabur dalam saham amanah yang patuh Syariah.
4. Menunaikan Zakat dan Bersedekah (Infaq). Kita mesti melaksanakan tanggungjawab zakat sebagai rukun Islam yang keempat apabila harta yang kita miliki telah cukup jumlahnya (nisab) dan tempohnya (haul) dengan kadar 2.5% daripada pendapatan. Amalan ini amat besar ertinya bagi golongan yang memerlukan sebagai melaksanakan tanggungjawab sosial kepada saudara seagama. Sekiranya ada kelebihan harta, kita disunatkan bersedekah mengikut kemampuan dan boleh dilakukan pada bila-bila masa. Inilah ciri orang yang bertakwa. Surah Ali Imran (131-132) bermaksud; “Dan segeralah kamu kepada keampunan Tuhan kamu dan syurga yang luasnya seluas langit dan bumi yang disediakan bagi orang yang bertakwa. Iaitu orang yang mendermakan hartanya pada masa senang dan susah, orang yang menahan kemarahannya dan orang yang memaafkan kesalahan orang. Dan (ingatlah), Allah mengasihi orang yang berbuat perkara yang baik”.