Saturday, October 12, 2019

ISC402 L5

ISC402 L5




BAB 5


KEMAHIRAN KEPIMPINAN


Kepimpinan amat penting dalam sesebuah masyarakat sama ada di peringkat keluarga, masyarakat, institusi, organisasi dan juga negara. Islam memandang berat soal memilih pemimpin dalam semua peringkat kehidupan. Bukti sejarah Islam: apabila Rasulullah SAW wafat, Khalifah terus dilantik menjadi pemimpin bagi menggantikan baginda sebelum pemakaman baginda. Menentukan dan memilih pemimpin menjadi suatu perkara yang sangat penting dan wajib. Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud;


“Tidak halal bagi tiga orang yang berada di satu tempat melainkan dilantik seorang daripada mereka sebagai ketua.” (Riwayat Ahmad)


 


5.1 PENGERTIAN


Terdapat berbagai perkataan yang digunakan bagi menjelaskan definasi kepimpinan di antaranya ialah Imamah, khalifah, qiyadah, za’amah, ria’ayah, ri’asah dan siyadah. Dalam Kamus Dewan (1993:1038), perkataan kepimpinan berasal dari perkataan pimpin yang bererti bimbing, pandu, tunjuk dan sebagainya. Dalam bahasa Inggeris, leadership membawa maksud the position of leader (kedudukan pemimpin), control of power over group (kawalan atau kuasa terhadap sesuatu kumpulan) dan a group of people who lead (satu kumpulan manusia yang memimpin). (Longman Dictionary of Contemporary English, 1978: 622).


 


Menurut Fathi Yakan, kepimpinan adalah satu kemahiran berkomunikasi dengan fitrah manusia untuk mempengaruhi dan juga mengarah manusia ke arah mencapai matlamat dengan cara memastikan kepatuhan, kepercayaan dan penghormatan. Ibn Taimiyyah menekankan betapa kepimpinan merupakan tuntutan agama, tanpa kepimpinan urusan pentadbiran agama dan bangsa tidak dapat dijalankan dengan sempurna. Ketua Negara (al-Imam) adalah bertanggungjawab berkaitan rakyatnya. Ketua keluarga adalah pemimpin kepada keluarga. Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: “Tiap-tiap seorang dari kamu adalah pemimpin. Justeru kamu bertanggungjawab terhadap mereka yang di bawah pimpinan kamu. Ketua negara (al-Imam) adalah bertanggungjawab berkaitan rakyatnya. Ketua keluarga adalah pemimpin kepada keluarganya dan akan ditanya berkenaan kepimpinannya. Wanita adalah pemimpin di rumah suaminya dan bertanggungjawab terhadap jagaannya. Khadam bertanggungjawab menjaga harta tuannya dan akan ditanya berkenaan barang-barang yang diamanahkan. Tiap-tiap seorang daripada kamu adalah pemimpin, justeru kamu bertanggungjawab terhadap kepimpinan kamu”.


                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                 


5.2 CIRI-CIRI KEPIMPINAN


Menurut al-Mawardi, seseorang pemimpin mesti memiliki kretaria berikut; Adil dalam memimpin pekerja dalam organisasi, berfikiran matang, berani berijtihad dalam melakukan tugas, memiliki pancaindera yang sempurna, berilmu agama yang tinggi bagi menggelak melakukan kemungkaran daan mempunyai anggota badan yang  sempurna supaya boleh menyempurnakan tugasnya.


Menurut Imam al-Ghazali, seorang pemimpin perlu memiliki sifat-sifat berikut;  hidup  sederhana, tidak membazir dengan harta miliknya, melaksanakan kerja dengan tenang tanpa merungut, cuba memuaskan semua pihak jika ia tidak melanggar undang-undang dan peraturan, menyedari tanggungjawab besar yang dipikulnya, suka bersahabat dengan para ilmuan dan mendengar nasihat mereka. Hadith daripada Aisyah r.a. bahawa Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Sekiranya Fatimah binti Muhammad mencuri nescaya aku akan potong tangannya”. (Riwayat al-Bukhari). Hadith daripada Abu Hurairah r.a. bahawa Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Orang Mukmin yang paling sempurna imannya adalah mereka yang paling baik akhlaknya”. (Riwayat al-Tirmidzi)


Edwin Ghiselli menyatakan bahawa seorang pemimpin perlu mempunyai kesungguhan dan keyakinan terhadap diri sendiri. Tanpanya sesebuah organisasi tidak akan dapat beroperasi dengan baik. Begitu juga jika memiliki kecerdasan tidak terlalu tinggi atau kecerdasan yang terlalu rendah yang akan mengurangkan keberkesanan memimpin.


Ralph M. Stogdill berpendapat, seorang pemimpin perlu cerdas, bijak, matang, mempunyai harta sebagai modal untuk menguruskan organisasinya dengan baik. Pemimpin juga memiliki sifat sosial seperti boleh bekerjasama, kemampuan berkomunikasi dan berkebolehan untuk bermasyarakat.


Firman Allah SWT yang bermaksud: “Sesungguhnya telah datang kepada kamu seorang Rasul daripada golongan kamu sendiri (iaitu Nabi Muhammad SAW) yang mengambil berat atas sebarang kesusahan yang menimpa kamu, yang sangat menginginkan kebaikan bagi kamu, amat belas kasihan lagi penyayang terhadap makhluk terhadap orang yang beriman”. (al-Taubah: 128).


Oleh yang demikian dapat dirumuskan bahawa ciri-ciri pemimpin ialah;


  1. Amanah, adil dan tidak melakukan kezaliman atau diskriminasi kepada mereka yang dipimpinannya.
  2.  Meletakkan harapan sepenuhnya kepada Allah SWT dalam melaksanakan semua yang dipertanggungjawabkan.
  3. Perwatakan dan keperibadian yang cemerlang. Iaitu berakhlak yang amat tinggi dan terpuji.
  4. Wujud perkaitan di antara pengucapan dan tindakannya.
  5. Bijak bertindak dan tidak sombong.
  6. Berupaya menjaga agama dan menegakkan syariat Allah SWT.


Ini kerana pemimpin sebenarnya adalah pengganti Rasulullah SAW untuk memelihara, menjaga dan melaksanakan syariat Allah SWT. Memiliki al-Quwwah iaitu kekuatan dari semua sudut sama ada fizikal, spiritual, emosi dan mental. Bertakwa kerana takwa menjamin seseorang pemimpin itu berintegriti dan takutkan Allah SWT dalam melaksanakan tugas. Seorang pemimpin juga seharusnya mempunyai sifat keperibadian iaitu berkebolehan, progresif dan berkeyakinan tinggi dalam menjalankan tugas.


5.3 PRINSIP KEPIMPINAN


Shura dari segi bahasa Arab ialah penyaringan madu iaitu menyaring madu dari sarangnya. Shura bertujuan untuk mewujudkan perbincangan dan perundingan di kalangan cerdik pandai ahli agama untuk menyelesaikan sesuatu masalah. Shura juga sebagai penetapan hukum yang merupakan lambang asasi al-Syariah dan pemimpin yang tidak melaksanakannya wajib disingkir tanpa perselisihan pendapat para ulama.


 


5.4 KAEDAH KEPIMPINAN


Blake & Mouton (1964) berpendapat, kaedah kepimpinan pada dasarnya dapat dibahagikan kepada empat, iaitu:


  1. Kepimpinan Otokratik seseorang  pemimpin yang otokratik mementingkan pelaksanaan tugas. Dia memimpin dengan menggunakan sumber kuasa formal.  Pemimpin yang mengamalkan kaedah ini akan membuat keputusan yang berkaitan dengan tugas, mengeluarkan arahan dan memastikan arahan itu dipatuhi. Ini biasa dapat dilihat dalam sektor industri. Sistem ini bercanggah dengan nilai kemanusiaan kerana menafikan kebebasan. Seseorang pemerintah mempunyai kuasa mutlak terhadap rakyat dan perlembagaan yang dirangkanya bercanggah dengan sistem demokrasi dan juga sistem pemerintahan Islam. Contoh sistem otokrasi dalam al-Quran ialah pemerintahan Firaun Mesir.
  2. Sistem Kapitalis dianggap zalim kerana hanya menjaga kepentingan pelabur atau peniaga, berbanding kepentingan rakyat. Pemimpin yang mengamalkan kaedah kepimpinan laissez-faire tidak begitu berminat dengan urusan yang diamanahkan kepadanya. Mereka biasanya tidak peduli mengenai kerja mahupun hasilnya. Kuasa yang ada padanya tidak digunakan. Pemimpin jenis ini akan membiarkan semua keputusan dibuat oleh orang bawahannya.
  3. Fahaman Liberalisme dianggap zalim kerana kebebasan mutlak tanpa sekatan nilai agama. Nilai liberalisme yang diamalkan akan mengganggu hak individu lain. Contohnya hak kebebasan seks seperti yang berlaku di Barat boleh mengganggu kesejahteraan masyarakat bersuara dan menganut agama.
  4. Sistem Khalifah meletakkan nilai-nilai agama sebagai perlembagaan. Kerajaan Islam bergantung kepada hasil pungutan cukai dari bukan Islam dan zakat dari orang Islam. Berbanding sistem feudalisme yang  memiliki segala hasil pertanian dan perniagaan dalam negara tersebut. Rakyat sebagai pekerja atau buruh kepada pemerintah. Dalam sistem khalifah, peralihan kuasa adalah kerana perbezaan fahaman politik bukan perbezaan nilai sosial yang dianuti. Penganut agama lain boleh hidup secara aman dan kehidupan mereka tidak diganggu. Berbeza dengan otokrasi yang melarang dan menekan kehidupan rakyat yang berlainan fahaman kehidupan dengan pemerintah. Menurut perspektif Islam sistem pemerintahan yang bercanggah dengan konsep keadilan dianggap satu kezaliman. Sistem Komunisme dianggap satu kezaliman kerana pemerintah mempunyai kuasa mutlak sedangkan rakyat dianggap sebagai pekerja atau hamba. Pemusatan kuasa sepenuhnya kepada parti Komunis dan menafikan kewujudan sektor swasta dalam ekonomi. Kepimpinan yang berperikemanusiaan menunjukkan minat yang lebih terhadap kakitangannya. Ia mementingkan suasana kerja yang baik, dipupuk melalui jalinan persahabatan yang mesra di kalangan semua kakitangan. Konflik cuba dihindarkan dengan menganjurkan permuafakatan. Kaedah kepimpinan demokratik dikenali juga sebagai pemimpin mengalakkan kesemua kakitangan melibatkan diri dalam organisasinya. Peluang diberi kepada setiap ahli organisasi untuk memberikan pendapat atau pandangan sebelum sesuatu keputusan diambil.
    Sistem Pemerintahan Demokrasi bertentangan dengan sistem otokrasi. Demokrasi melambangkan kebebasan bersuara. Sistem ini boleh diterima dalam sistem pemerintahan Islam (perlu penyesuaian) kerana ia melambangkan pemilihan pemimpin oleh majoriti rakyat seperti yang berlaku dalam sejarah awal Islam.
    Islam merupakan agama demokrasi berdasarkan alasan berikut;


  • Menjamin kebebasan rakyat pelbagai latar belakang agama untuk menganut dan mengamalkan agama dan budaya.
  • Tiada perbezaan layanan kepada rakyat walaupun berlainan latar belakang.
  • Non Muslim boleh melakukan aktiviti harian tanpa sekatan kecuali ia menyebabkan kepentingan umat Islam.
     


PERBEZAAN DI ANTARA SISTEM PEMERINTAHAN OTOKRASI DAN KHALIFAH



  1. Sistem khalifah meletakkan nilai-nilai agama sebagai perlembagaan, manakala sistem otokrasi tidak diasaskan pada nilai-nilai agama. Otokrasi diasaskan atas nilai sosial yang boleh berubah dari semasa ke semasa.
  2. Penindasan dalam sistem khalifah adalah disebabkan faktor sikap peribadi dan perbezaan politik bukan pada nilai yang dianuti, berbanding otokrasi penindasan        boerlaku berpanjangan dan diwarisi dari satu generasi ke generasi. Peperangan yang berlaku antara negara Islam dan bukan Islam bukan berpunca sikap kuku besi pemerintah sistem khalifah tetapi sebab pertahanan dan kawalan sempadan.
     
    5.5 CABARAN KEPIMPINAN


  • Cabaran Globalisasi dan Integrasi Ekonomi.
  • Cabaran yang dihadapi oleh pemimpin hari ini jauh lebih kompleks, pelbagai perkara yang berlaku di luar jangka.
  • Kepimpinan Barat memecahkan dominasi sistem kepimpinan Islam dan Timur dengan penjajahan dan dasar politik hegemoni Barat.
  • Sekularisme sering dikaitkan dengan era kebangkitan Eropah. Ia berperanan sebagai hala tuju peradaban Barat yang menjauhkan diri dari pengaruh agama dan menjadikan kemodenan sebagai matlamat. Sekularisme yang diperkenalkan Barat banyak mempengaruhi sistem  Islam termasuk kepimpinan.
    5.6 ETIKA KEPIMPINAN DALAM ISLAM


  • Ikhlas dan benar kepada Allah. Keredhaan Allah dalam setiap gerak kerja. Bersih dari sikap sifat,  riya’, ujub, mahukan kedudukan pangkat dan sanjungan.
  • Berfikiran cerdas, bijaksana, berpengetahuan luas dan berpengalaman. Cepat memahami masalah, tidak pelupa dan tidak buntu. Tenang, tidak pemarah, bertimbang rasa, pengasih, lemah lembut dan menunaikan  janji.
  • Sabar kerana perjalanan dakwah tersangat panjang. Ia mesti dipimpin oleh mukmin yang tinggi sabarnya dan cekal menempuh perjuangan. Kepimpinan merupakan amanah Allah SWT kepada umat manusia kerana ia merupakan perkara asas untuk memakmurkan dunia.
    Pemerintahan Islam iaitu KHALIFAH merupakan pemerintahan yang bertanggungjawab menunaikan tuntutan Islam. Kaedah kepimpinan Barat boleh diterima pakai tetapi perlu disesuaikan dengan ajaran Islam. Kepimpinan Islam menghadapi cabaran yang perlu diselesaikan demi masa depan ummah.
                                                     

Sunday, September 15, 2019

ISC402 L4


L 4

 

METOD PEMBANGUNAN PERSONALITI


 

 

4.1 PENDIDIKAN & LATIHAN ROHANI

Menurut perspektif Islam, pendidikan anak adalah proses mendidik, mengasuh dan melatih rohani dan jasmani mereka secara seimbang dengan berteraskan nilai baik dan terpuji yang bersumberkan al-Quran dan al-Sunnah. Ia bertujuan bagi melahirkan insan Rabbani yang beriman, bertakwa dan beramal salih. Kanak-kanak pada peringkat awal umur, tidak dapat membezakan antara baik dan buruk. Oleh itu mereka perlu dibentuk dan dididik dari awal. Barat dan Islam mempunyai perspektif yang sama dalam soal pendidikan awal tetapi berbeza dari segi pembentukan sahsiah kerana ia bukan hanya kelakuan fizikalnya tetapi juga pemantapan akhlak dengan menerapkan keimanan ke dalam roh dan jiwanya. Pendidikan Barat hanya menumpukan kepada pembinaan akal, fizikal dan nafsu semata-mata. Sementara Pendidikan Islam bermatlamat untuk mendidik, memberi kesedaran hakikat diri manusia iaitu roh. Ia juga bermatlamat untuk mencapai kebahagian hidup di dunia dan akhirat. Roh atau rohani disebut sebagai sains kerohanian (spiritual science) atau spiritual quotient (SQ). Ia merupakan didikan yang dilaksanakan secara saksama dan bersepadu dalam membina 3 komponen manusia iaitu akal,  nafsu dan roh.

Dalam Islam solat merupakan latihan bagi pembentukan rohani. Pembinaan generasi adalah melalui latihan mendirikan solat. Rasulullah SAW memerintahkan ibu bapa mulai mendidik anak-anak ketika berusia 7 tahun sebagai latihan prktikal membentuk SQ. Ibu bapa dibenarkan memukul anak-anak jika mereka lalai melaksanakan solat apabila telah mencapai usia 10 tahun. Ini menunjukkan solat adalah tanggungjawab berat yang diamanahkan kepada ibu bapa kerana ia membina rohani dan peribadi individu muslim seawal usia muda. Solat amat penting, ia mesti dilaksanakan secara kolektif bersama ahli keluarga kerana ini dapat mendisiplinkan seluruh kehidupan berkeluarga. Latihan bersolat merupakan satu langkah yang praktikal dalam proses membentuk rohani anak-anak perlu dimulakan sejak pada usia muda. Seperti kenyataan Pepatah Melayu, “Melentur buluh biarlah dari rebungnya”. Jika proses latihan ini diabaikan, Ruh yang terbiar tanpa didikan dan latihan akan dijangkiti pelbagai penyakit, seperti:

• Iri hati

• Buruk sangka

• Sombong, angkuh, bongkak

• Merasa sempurna (ujub)

• Suka menunjuk-nunjuk kelebihan (riya)

• Mencari nama/kehormatan

• Kedekut/kikir/bakhil

• Membanggakan diri

• Mementingkan kebendaan

• Pemarah

Setiap Muslim mesti berusaha untuk membersihkan diri dari sifat-sifat yang tercela atau

menghindari perkara-perkata yang boleh mengotorkan hati atau ruh. Sifat yang Menyinari Jiwa/Ruh/Hati, menurut Imam al-Ghazali di antara sifat-sifat terpuji ialah;

• Taubat: menyesali perbuatan yang tercela dan keji

• Taqwa: takut kepada Allah SWT

• Ikhlas: niat dan amal yang tulus atau suci

• Syukur: rasa terima kasih

• Redha: tenang menerima takdir Allah SWT

• Sabar: tahan menerima cubaan

• Zuhud: hidup bersederhana

• Tawakal: menggantungkan atau menyerahkan segala urusan kepada Allah SWT

• Mahabbah: perasaan cinta kepada allah SWT

• Zikrul maut: selalu mengingati mati

 

4.2 PENDIDIKAN & LATIHAN AKAL

Konsep tarbiyah aqliyah adalah suatu konsep pendidikan akal untuk berfikir benar, agar terbebas dari pemikiran tanpa dasar (asas) sehingga mampu membuat keputusan yang tepat dan benar. Pendidikan adalah peningkatan pemikiran akal dan latihan secara teratur untuk berpikir benar, dan mampu menjaga pemikiran dari pengaruh yang pelbagai  sehingga dapat membuat keputusan yang tepat dan benar.

Pendidikan akal, antaranya meliputi;

• Latihan perasaan agar cermat dan benar/betul/tepat dalam memilih sesuatu

• Melatih memperhatikan sesuatu yang nyata dan memikirkannya menurut hakikat

• Pengaturan cara berfikir dan membekalkan dengan pengetahuan yang berguna

• Menguatkan daya intuisi dan melatihnya membiasakan berfikir secara sistematik

Tahap Pendidikan Akal ialah;

  • Pengetahuan (menguji daya ingatan). Mengenal dan mengingat bahan yang dipelajari.
  • Kefahaman (Menguji tahap kefahaman/mengerti dan tahu). Kemampuan menyimpulkan bahan yang telah dipelajari.
  • Aplikasi (Penguasaan ilmu yang dipelajari). Mampu menggunakan dan mengolah bahan dan kaedah yang dipelajari dalam kehidupan.
  • Analisa (Dapat membuat andaian dan pencerakinan). Mampu menghuraikan suatu bahan ke dalam suatu idea.
  • Sintisis (Dapat menggunakan pengetahuan untuk penghasilan sesuatu yang baru).

 

4.3 PENDIDIKAN & LATIHAN JASMANI

Pendidikan Jasmani merupakan satu proses pembelajaran yang  menyeluruh merangkumi semua aspek domain seperti psikomotor, kognitif, afektif, sosial dan emosi. Melalui pendidikan jasmani, pelajar akan diberi ruang untuk mencuba dan mengalami sendiri pengalaman semua aktiviti fizikal yang dijalaninya.

Kesihatan yang baik menjadikan seseorang individu lebih selesa meneruskan kehidupan dan menikmati kebahagiaan. Perumpamaan Arab menyatakan “al-Aqlu sallim fii jismi sallim” yang bermaksud akal yang sihat datangnya dari tubuh badan yang sihat. Matlamatnya pendidikan jasmani adalah untuk meningkatkan kesegaran fizikal, mengembangkan kemahiran psikomotor, pengetahuan dan perilaku hidup sihat dan aktif serta kecerdasan emosi.

Islam sangat mementingkan kesihatan. Umat Islam diperintah menjaga tubuh badan agar sentiasa sihat dan berikhtiar berubat apabila sakit. Amalan Untuk Menjaga Kesihatan Jasmani. Makan yang halal dan berkualiti. “Wahai orang yang  beriman! Makanlah barang yang baik dari apa yang  diberikan kepada kamu dan bersyukurlah kepada Allah, jika betul kamu hanya beribadat kepadanya. Sesungguhnya Allah  hanya mengharamkan kepada kamu memakan bangkai, darah, daging babi dan binatang yang  disembelih tidak kerana Allah, maka sesiapa dalam keadaan terpaksa dengan tidak sengaja dan tidak melampaui batas, maka tidaklah berdosa baginya (memakan/mengguna benda-benda yang haram) kerana sesungguhnya Allah  Maha Pengampun lagi Mengasihani.”(al-Baqarah: 172 –173).

Makan secara sederhana dan seimbang. Makanan hendaklah diambil dalam kadar yang sederhana dan berimbang serta tidak makan secara rakus dan pelahap. Pengambilan makanan hanyalah untuk memperkuatkan tubuh, memelihara kesihatan, mendapatkan tenaga dan kecergasan. Firman Allah SWT yang bermaksud: “Makanlah dan minumlah, dan jangan pula kamu melampau; Sesungguhnya Allah tidak suka akan orang-orang yang melampaui batas (al-A’raf: 31). Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: “Bekas yang paling buruk bagi manusia adalah perutnya, jika ia hendak memenuhinya hendaklah memenuhinya hanya sepertiga untuk makanan, sepertiga untuk minuman dan sepertiga lagi untuk pernafasan” (Riwayat Al Tarmizi).

Menjaga penampilan/Rambut. Diberitakan bahawa Rasulullah SAW telah menziarahi kami, lalu terlihat seorang lelaki yang rambutnya mengerbang, lalu baginda bersabda yang bermaksud: “Tidak adakah sesuatu pada lelaki itu yang boleh digunakan untuk menyikat rambutnya? (Riwayat Muslim). Menjaga kebersihan badan dan Pakaian Rasulullah SAW menyarankan agar mandi dengan sempurna terutamanya pada hari Jumaat. Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: “Hendaklah kamu mandi pada hari Jumaat dan basuhlah kepala kamu sekalipun kamu tidak junub dan pakailah bau-bauan yang wangi (Riwayat Bukhari). Rasulullah juga bersabda yang bermaksud: “Adalah satu hak yang wajib ke atas setiap Muslim mandi satu hari dalam seminggu di mana dia mesti membasuh kepala dan tubuhnya” (Riwayat Bukhari dan Muslim). Melakukan riadah badan atau bersukan. beriadah adalah sebahagian amalan gaya hidup sihat. Islam menggalakkan umatnya mengamalkan aktiviti latihan jasmani yang bersesuaian. Sayidina Umar RA yang menggalakkan bersukan dan latihan jasmani. Katanya: “Ajarlah anak kamu berenang, memanah dan menunggang kuda”. Gaya hidup yang sihat juga dapat diperolehi dengan melakukan ibadah khusus seperti berwudhuk, bersolat dan berpuasa. Berwudhuk boleh menghilangkan jangkitan kuman dan habuk daripada terus melekat di badan atau rongga. Persekitaran yang bersih memberikan oksigen yang menyegarkan spiritual dan fizikal. Berfikiran positif boleh menyihatkan otak dan mengurangkan stress.

 

4.4 PENGUKUHAN

Teori pengukuhan (reinforcement theory) merupakan teori yang paling berkesan dalam motivasi perubahan tingkahlaku. Menurut teori ini, manusia melakukan apa saja kerana mengharapkan ganjaran. Justeru ganjaran berfungsi sebagai pengubah kepada sesuatu tingkah laku. Teori pengukuhan mengatakan bahawa seseorang berhubung dengan yang lain kerana menjangkakan akan memperolehi sesuatu. Jika pada jangkaannya tidak akan mendapat sesuatu perhubungan, perubahan tidak akan berlaku.

Pengukuhan juga dikenali sebagai peneguhan. Ia dilakukan untuk mengalakkan sesuatu perlakuan itu diulangi. Pengukuhan diberikan kerana;

  1. Untuk memuaskan kehendak individu.
  2. untuk mengurangkan tekanan dan merangsang otak.
    Pengukuhan terbahagi kepada 2 iaitu;
    PENGUKUHAN POSITIF. Pengukuhan/peneguhan positif memberi keseronokan dan lebih berkesan. Di
    Antaranya;

  1. Pujian
  2. Hadiah
  3. Memberi makan
  4. Kata-kata perangsang
  5. Penajaan
  6. Kenaikan pangkat/gaji/imbuhan/bonus
  7. Sentuhan

PENGUKUHAN NEGATIF


Pengukuhan/peneguhan negatif boleh membawa kesakitan fizikal atau emosi, kadang-kadang pelaku tidak dapat menerimanya sehingga menjadi dendam. Di antaranya;

  1. Pukulan
  2. Denda
  3. Ejekan
  4. Ancaman
    Islam memberi penekanan kepada penampilan kerana ia boleh menggambarkan perwatakan seseorang individu. Oleh itu sejak kecil lagi kanak-kanak perlu dibimbing dan dilatih supaya dapat menjaga diri secara seimbang meliputi rohani, akal dan jasmani. Rasulullah SAW pernah menegur mereka yang terlalu ekstrem melakukan ibadat, sabda baginda yang bermaksud; Tidakkah diberitahu kepadaku bahawa engkau berpuasa di siang hari dan bersembahyang di malam hari? Ya, jawabnya baginda bersabda; Janganlah berbuat demikian, berpuasalah dan berbukalah, tidur dan bangunlah kerana sesungguhnya badan mu mempunyai hak ke atas mu.
    Dalam sejarah Islam, jumlah tentera Islam yang kecil berjaya menewaskan tentera Musyrikin yang lebih ramai.  Kejayaan ini adalah hasil pendidikan dan latihan Rasulullah
    SAW. Mereka bukan sahaja gagah jasmani tetapi juga rohani mereka terisi dengan cahaya iman serta ketinggian jihad hasil dari ketakwaan kepada Allah.
     

ISC402 L 3


L 3

ELEMEN PEMBANGUNAN PERSONALITI

 

Manusia mempunyai unsur rohani dan jasmani atau unsur dalaman dan luaran.  Perkembangan dan pembangunan kedua-duanya perlu selari, seimbang dan bersepadu. Individu yang berkembang secara bersepadu dapat menjalani hidup dan melaksanakan tugas dengan baik.

 

3.1 RUH

Ruh diertikan sama dengan al-nafs. Ia berkaitan dengan tubuh, jantung dan peredaran darah (ruh dalam bentuk jasmaniah yang terikat dengan jasad). Ruh yang definisinya sama dengan hati, iaitu ruh sebagai lathifah rabbaniyyah ruhaniyyah, secara abstrak atau secara maknawi, ruh adalah sama dengan hati.  Melalui ruh seseorang dapat merasakan penderitaan atau kebahagiaan. Barat menyebutnya mind, kita menyebutnya jiwa. Surah al-Isra’: 85 bermaksud: “Dan mereka bertanya kepadamu (Muhammad) tentang ruh. Katakanlah, Ruh itu termasuk urusan Tuhanku, sedangkan kamu diberi pengetahuan hanya sedikit”.

3.2 AKAL

Aql memiliki dua makna: Pertama: akal sebagai ilmu tentang sesuatu. orang yang berakal bererti orang yang mempunyai ilmu tentang sesuatu, ini bermakna akal sama dengan ilmu. Kedua: sesuatu di dalam diri kita yang menjadi alat untuk memperoleh ilmu. Akal sama ada ilmu itu sendiri atau alat untuk memperoleh ilmu. itu bermakna akal sama ertinya dengan hati, iaitu lathifah rabbaniyyah ruhaniyyah mudrikah alimah arifah. Ini bermakna akal membolehkan seseorang itu untuk mengetahui sesuatu Ibn Rushd membahagikan akal kepada 3 kategori:

i. Akal demonstratif (burhani); yang mampu memahami dalil-dalil atau bukti-bukti yang meyakinkan dan tepat.

ii. Logik (mantiq), sekadar memahami fakta-fakta argumentatif, tanpa melalui pembuktian yang jelas dan pasti.

iii. Retorik (khitabi), hanya mampu menangkap hal-hal yang bersifat nasihat dan retorik, tidak dipersiapkan untuk memahami atau berpikir secara sistematik.

Fungsi akal: mengingat, menyimpulkan, menganalisis, menilai, membezakan benar atau

salah. Ini yang membezakan manusia dengan makhluk lain.

 

3.3 HATI

Hati merupakan suatu elemen paling penting dalam diri seorang manusia. Hati merupakan ketua kepada kerajaaan diri. Malah para ulama sufi menggelarkan hati sebagai raja dalam kerajaan tubuh badan manusia. Kata orang-orang tua, ikut hati mati, ikut nafsu lesu.

 

3.4 NAFSU

Nafsu bermakna keinginan, kecenderungan atau dorongan hati yang kuat. Nafsu juga bermakna :

i. nafs dalam erti negatif, iaitu al-hawa, (hawa nafsu,). tugas kita adalah membersihkan hati kita dari nafsu. hati yang bersih dari nafsu, disebut  dengan istilah qalbun salim. al-hawa adalah makanan syaitan.  ii. nafs yang berarti manusia secara keseluruhan. hakikat diri kita adalah nafs kita, ego atau diri kita. (Al-Fajr:27-28).

Perkataan nafsu boleh digabungkan dengan perkataan lain bagi membawa erti yang lebih khusus, antaranya adalah:

-  Hawa nafsu, biasanya dikaitkan dengan dorongan hati yang kuat untuk melakukan

perkara yang tidak baik. Adakalanya bermakna selera, jika dihubungkan dengan makanan.

- Nafsu syahwat iaitu keinginan, kecenderungan atau keberahian khusus berkaitan dengan seksual.

- Nafsu serakah iaitu nafsu yang tidak dikawal, tanpa batasan dalam segala hal terutamanya dalam hal berkait dengan seksual.

Pada perspektif Islam,  terdapat empat peringkat nafsu yang mempengaruhi tabiat manusia, iaitu:

a) Nafsu Ammarah: Nafsu yang sentiasa mendorong manusia melakukan kejahatan. Bagi mereka yang berada pada peringkat ini tidak merasakan perbezaan di antara yang  baik dan jahat.  Apabila melakukan kejahatan, ia tidak menyesal dan sebaliknya juga apabila melakukan kebaikan, ia tidak gembira.

b) Nafsu Lawwamah: Nafsu yang mula menunjukkan kelemahan diri, menilai tabiat masa lampau dan ingin keluar untuk memulakan kehidupan positif.

c) Nafsu Mulhamah: Nafsu yang sudah menerima kebenaran dan keinsafan serta merasa

keseronokan membuat kebaikan dan benci kepada kejahatan.

d) Nafsu Mutma’innah: Nafsu yang mencapai kedamaian dan kebahagiaan. Nafsu ini berusaha terus meningkatkan keimanan & ketaqwaan dalam diri.

Menurut Ibn Qayyim, nafsu manusia dibahagikan kepada:

i. nafs mutma’innah

ii. nafs lawwamah dan

iii. nafs ammarah

KESAN KEGAGALAN MENGAWAL NAFSU. Bermula daripada individu itu sendiri, seterusnya merebak kepada institusi kekeluargaan dan memberi kesan terhadap masyarakat setempat dan akhirnya turut memberi kesan terhadap pembangunan negara.

  1. Ia menyebabkan wujud individu yang berpaksikan nafsu dan mudah terpengaruh dengan budaya negatif, tidak mempunyai pegangan agama yang kuat seterusnya memberi kesan terhadap institusi kekeluargaan itu.
  2. Wujud perpecahan dalam institusi kekeluargaan memandangkan ketua keluarga sendiri tidak mempunyai agama yang kukuh dalam membimbing keluarga. Masa depan anak terabai apabila ibu bapa sibuk dengan dunia sosial mereka yang kompleks.
  3. Masyarakat akan berpecah belah, fitnah memfitnah, berprasangka buruk (prejudis)  sesama sendiri, tidak ada persefahaman sesama masyarakat.

Melahirkan masyarakat yang tidak bersatu padu, pentingkan diri, seterusnya menimbulkan masalah perkauman dalam negara, memandangkan Malaysianmempunyai penduduk yang pelbagai etnik. Negara juga akan kehilangan generasi kepimpinan masa hadapan. Membantutkan perkembangan kemajuan ekonomi. Anasir jahat dari luar mudah menyelinap masuk ke dalam negara. Negara yang rakyatnya tidak tegoh pendirian mudah dipengaruhi di dilemahkan.

 

3.5 JASMANI

Merupakan unsur yang berkaitan dengan jasad atau tubuh badan atau disebut fizikal. Unsur jasmani yang paling penting untuk dipertingkatkan adalah kesihatan dan kecergasan. Ia merangkumi pemanfaatan anggota fizikal untuk berdikari dan hidup bermasyarakat. Penjagaan Kesihatan diberi perhatian utama dalam al-Quran surah al-Muddatsir ayat 4 dan 5. Saranan membersihkan pakaian dan meninggalkan segala macam kekotoran. Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud;

“Kebersihan adalah sebahagian dari iman”.

Beberapa contoh pencegahan dan penjagaan kesihatan jasmani seperti amalan menutup hidangan, mencuci tangan sebelum makan, memberus gigi, larangan bernafas ketika minum, tidak membuang air di tempat air yang tidak mengalir atau di bawah pohon. Maksud firman Allah; “Wahai orang yang beriman!  Makanlah dari benda-benda yang baik (yang halal) yang telah Kami berikan kepada kamu, dan bersyukurlah kepada Allah, jika betul kamu hanya beribadat kepada-Nya.” (Surah al-Baqarah: 172)

Kesihatan Jasmani juga disebut sebagai sejahtera, selamat dan afiat. Semasa sihat seharusnya digunakan sebaik mungkin. Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud; Rebutlah lima perkara sebelum datangnya lima perkara yang lain iaitu; Masa muda sebelum datangnya hari tua. Masa sihat sebelum datangnya masa sakit. Masa kaya sebelum datang masa papa. Hidup sebelum datangnya mati. (Riwayat Tirmizi dan Muslim). Penjagaan Kesihatan melalui makan secara berimbang, makanan yang berkhasiat. Menjauhkan diri daripada perkara yang diharamkan dan berpantang. Harith Ibn Kaladah, seorang sahabat Rasulullah SAW bersabda; Perut itu sarang penyakit, berpantang adalah petua segala perubatan, Bagi mengatasi masalah ini dianjurkan supaya membiasakan diri dengan amalan harian iaitu memakan makanan yang biasa dimakan. Kelebihan orang sihat dan kuat dapat melaksanakan tugas dan kewajiban serta ibadat dengan baik dan sempurna. Maksud firman Allah SWT surah al-Qasas: 26: “Salah

seorang dari keduanya berkata,: wahai ayah, ambillah dia sebagai pekerja, sesungguhnya sebaik-baik pekerja ialah yang kuat lagi amanah. Nabi Adam dibekalkan dengan akal dan Allah SWT mengarahkan malaikat Jibril mengajarkan semua nama benda sebagai bekalan untuk mentadbir alam. Kurniaan akal yang membezakan manusia daripada makhluk yang lain Dengan akal manusia dapat membangun dan memperkembangkan potensi diri dan persekitarannya. Dalam usaha melaksakan tugas Khalifatu fi al-Ard.