Friday, June 15, 2012

Perakaunan Islam 4


PERAKAUNAN ZAKAT



  1. PENGENALAN
Zakat adalah salah satu dari Rukun Islam. Ia merupakan kewajipan terhadap harta. Menunaikan zakat adalah wajib dan mampu menjana sumber-sumber dan aktiviti ekonomi. Dalam masa yang sama pengagihan zakat berupaya memperbaiki keadaan sosio-ekonomi sesebuah negara melalui aspek pengumpulan dan pengagihan zakat.

  1. DEFINASI ZAKAT
Dari segi bahasa, zakat bermaksud menjadikan sesuatu bersih, bertambah, berkembang, berkat dan subur,
Dari segi istilah zakat ialah mengeluarkan sebahagian harta untuk diberikan kepada golongan yang berhak berdasarkan kaedah dan syarat yang ditetapkan oleh syarak.

“Ambillah sebahagian daripada harta mereka menjadi sedekah (zakat), supaya dengannya engkau membersihkan mereka (dari dosa) dan mensucikan mereka”. (al-Taubah: 103)


  1. KEWAJIPAN ZAKAT
Zakat adalah salah satu Rukun Islam dan hukumnya wajib ke atas orang yang berkemampuan. Mengingkari kewajipan berzakat adalah berdosa dan boleh diperangi. Ia merupakan sumbangan yang wajib dilaksanakan dan dipungut oleh kerajaan. Individu yang memiliki harta yang melebihi had atau kadar (nisab) wajib membenarkan kerajaan memungutnya. Berzakat adalah ibadah untuk mensucikan rohani, akal fikiran dan moral di samping membantu kemajuan sosio-ekonomi negara.

  1. SYARAT-SYARAT ZAKAT
            Islam. Hanya diwajibkan kepada orang Islam sahaja dan tidak kepada orang kafir atau yang bukan beragama Islam.

            Sempurna milik. Sesuatu harta itu menjadi milik yang sah yang boleh digunakan pada bila-bila masa diperlukan. Justeru itu harta sewaan, wakaf, pinjaman, harta haram adalah tidak wajib dizakatkan.

            Cukup nisab/ kadar. Cukup kadar minima untuk penentuan zakat. Kebanyakan harta nisabnya ialah nilai emas semasa iaitu 85g (zakat pendapatan, emas, perniagaan, simpanan dan saham). Akan tetapi nisab zakat pertanian dan ternakan ada formulanya tersendiri.

            Cukup haul / tahun hijrah. Satu tahun qamariah (bulan) ialah 354 hari bagi emas, perak, perniagaan, pendapatan, saham simpanan dan ternakan. Ia berasaskan tahun hijrah. Tidak boleh digunakan satu tahun syamsiyah (matahari) iaitu 365 atau 366 hari. Walau bagaimanapun haul tidak tertakluk kepada hasil galian dan pertanian. Ia dikenakan zakat sebaik sahaja ia dikeluarkan dari bumi atau dituai.

            Harta berkembang (al-mustaghallat)
Zakat dikenakan kepada harta yang berpotensi untuk bertambah (berkembang). Ia tidak dikenakan zakat pada harta itu sendiri sebaliknya dikenakan zakat kerana aktiviti harta itu seperti hasil sewaan rumah / bangunan / ternakan (tidak dari jenis ternakan yang wajib zakat) ataupun hasil industri hiliran seperti gamat, madu, telor.


  1. JENIS-JENIS ZAKAT
            Zakat fitrah. Wajib setiap individu membayarnya satu tahun sekali iaitu bermula dengan bulan Ramadan hingga akhir Ramadan.

            Zakat harta. Wajib setiap individu membayarnya apabila harta yang dimilikinya mencapai kadar (nisab) dan tempoh (haul) yang ditentukan syarak.


  1. KEPENTINGAN PERAKAUNAN ZAKAT
            Mengurangkan ketaksamaan ekonomi dalam masyarakat dengan pengagihan kekayaan masyarakat agar tiada yang dibelenggu kemiskinan dan kemelaratan.

            Harta tidak hanya terkumpul kepada golongan kaya sehingga menjadikan mereka zalim, tidak berperikemanusiaan dan tidak adil.

            Orang kaya yang membayar zakat tidak akan memperolehi sebarang faedah

            Dikenakan ke atas orang Islam sahaja

            Kadar zakat berbeza mengikut jumlah usaha dan modal.


  1. ASAS PERAKAUNAN ZAKAT
            Penilaian berdasarkan harga semasa. Ia mengikut tempoh haul dan tarikh pusingannya iaitu awal dan akhirnya.

            Tempoh satu tahun qamariah (bulan). Cukup tempoh satu tahun qamariah 354 hari.

            Satu tahun tempoh pengeluaran. Akaun zakat dikira untuk tempoh satu tahun sahaja. Hasil yang diperolehi melebihi tahun berkenaan hendaklah dibawa ke taun hadapan berikutnya.

            Berdasarkan nisab yang ditentukan iaitu 85 g emas (20 dinar) atau 595 g perak (200 dirham) ataupun menggunakan matawang negara berdasarkan berat nilai semasa emas atau perak.

            Dikenakan atas pendapatan bersih dan bukannya pendapatan kasar.

            Bagi zakat pendapatan adalah setelah ditolak perbelanjaan asasi yang munasabah yang ditetapkan oleh negara

  1. KADAR ZAKAT
Bagi harta berubah kadarnya ialah antara 1.25% hingga 2.5%. Manakala bagi harta tetap kadarnya ialah 5%, 10% dan 20%. Kadar zakat perniagaan, pendapatan dan simpanan ialah 2.5%.

  1. KAEDAH PENGIRAAN ZAKAT HARTA
            Zakat pendapatan. Campurkan semua pendapatan meliputi gaji, elaun, bonus, keuntungan, sewa dan perkongsian dalam tempoh satu tahun hijrah. Tolak dengan perbelanjaan asasi (dharuriyah) seperti makan-minum, pakaian, rumah, kesihatan, pendidikan dan keselamatan bagi diri penzakat, isteri, anak dan ibu-bapa. Juga tolak dengan simpanan untuk menunaikan haji (kali pertama). Jumlah yang tinggal adalah pendapatan bersih.


Contohnya; Andaikan nisabnya ialah RM 5000 bagi haul satu tahun
A. Pendapatan satu tahun
RM
RM
Gaji

48,000.00
Elaun

  5,000.00
Bonus

  5,000.00
Jumlah Pendapatan

58,000.00



B. Tolak perbelanjaan satu tahun (yang dibenarkan)


Diri
  8,000.00

Isteri
  3,000.00

Anak 5 orang (RM 800 X 5)
  4,000.00

Nafkah ibu bapa
  3,000.00

Tanggungan adik beradik
  3,000.00

Caruman Tabung Haji
     500.00

Hutang
  8,000.00

Jumlah perbelanjaan
29,500.00




C. Pendapatan bersih dizakat (A – B)
    58,000.00
-  29,500.00
=  28,500.00

D. Zakat yang dikenakan
(C X 2.5%)
    28,500.00 X 2.5%
=       712.50


            Zakat simpanan. Simpanan wang telah cukup satu haul (tahun hijrah iaitu 354 hari) dan baki yang terendah melebihi kadar nisab (85 g emas). Maka wajib zakat  kadar 2.5%. Kadar simpanan itu hendaklah mengambil kira baki terendah dalam tempoh satu tahun dan tempoh satu tahun itu bermula apabila simpanan itu mula dibuat. Sekiranya ada interest hendaklah ditolak.


Contohnya; Andaikan nisabnya ialah RM 5,000.00
Tarikh
Wang Masuk (RM)
Wang Keluar (RM)
Baki (RM)
1.1.2010
 8,000.00
        -
  8,000.00
2.3.2010
 4,000.00
        -
12,000.00
3.4.2010
     -
 2,000.00
10,000.00
17.6.2010
 1,000.00

11,000.00
8.7.2010
    800.00

11,800.00
9.10.2010
    -
 4,000.00
  7,800.00
5.11.2010
 1,000.00
        -
  8,800.00
31.12.2010
 1,000.00
        -
  9,800.00

Zakat yang dikenakan dikira dari 1 januari hingga 21 disember (354 hari)
Baki terendah ialah RM 7,800.00
Interest iaitu RM 800.00 ditolak kerana ia bukan harta yang sah iaitu RM 7,800 – RM 800.00 = RM 7,000.00
Baki terendah ialah RM 7,000.00 sedangkan nisb ialah RM 5,000. Oleh itu wajib bayar zakat simpanan dengan perkiraan RM 7,000.00 X 2.5% =  RM 175.00


            Zakat perniagaan. Apa sahaja yang diperniagakan (komersilkan) sama ada peniaga kecil, usahawan besar, syarikat, kilang, firma perkhidmatan, aktiviti pertanian (untuk jualan). Asal sahaja boleh diniagakan dan boleh menjana  keuntungan.





Contohnya; Andaikan nisab zakat ialah RM 5,000.00
Perkara
RM
Barang perniagaan (Stok)
5,000.00
Wang tunai
1,000.00
Wang tunai dalam bank
2,000.00
Si berhutang
1,500.00
Pelaburan hasil perniagaan
-
Jumlah
9,500.00

Oleh yang demikian zakat perniagaan wajib dibayar kerana peniaga itu adalah beragama Islam, perniagaannya cukup haul, sempurna milik dan nilai harta perniagaannya melebihi kadar kadar nisab. Kaedah pengiraan jumlah yang perlu dizakat adalah; RM 237.50


Perkara
RM
Nilai harta perniagaan
9,500.00
Kadar zakat perniagaan
2.5% atau 1/40
Jumlah zakat perniagaan
9,500.00 X 2.5% = RM 237.50

            Zakat saham. Pemegang saham wajib membayar zakat sekiranya syarikat tempat ia melabur tidak membayar zakat. Tiada bayar zakat dua kali. Ada tiga cara pengiraan; Membeli atau memiliki saham syarikat untuk tujuan jangka panjang, maka zakatnya ialah zakat perniagaan iaitu 2.5%.; Membeli saham untuk tujuan menyimpan dan menunggu harga saham meningkat, maka zakatnya ialah zakat simpanan iaitu mengambil kira nilai harga terndah dalam tempoh haul zakat. Membeli dan menjual saham untuk jangka pendek, maka zakatnya ialah zakat pendapatan iaitu keuntungan bersih saham, dividen iaitu 2.5%. Berhutang untuk membeli saham tidak dikenakan zakat kecuali telah dibayar balik semuanya serta cukup nisab dan haul.
Contohnya; Hadi membeli 4 lot saham (4000 unit saham) syarikat Maju Machang Sdn. Bhd. pada januari 2010 dengan harga RM 4.00 sesaham. Pada hujung tahun sahamnya meningkat kepada RM 5.00 sesaham. Beliau masih memegang saham itu sehingga hujung tahun.
Pengiraan zakatnya ialah RM 5.00 sesaham iaitu
= RM 5.00 X 4000 unit X 2.5%
= RM 20000 X 2.5%
= RM 2500

            Zakat emas dan perak. Sesiapa yang menyimpan atau memiliki emas melebihi 85 g hendaklah mengeluarkan zakat 2.5%. Manakala pemilik perak yang memiliki lebih dari 595 g dikehendaki zakat. Emas yang dipakai oleh perempuan sebagai perhiasan dengan tidak melebihi uruf (adat kebiasaan) tidak perlu dizakat. Emas yang dipakai oleh lelaki adalah haram tetapi wajib dizakat.
Contohnya;

            Zakat pertanian. Hasil pertanian iaitu bijirin dan buah-buahan yang kena zakat ialah barli (seumpama lain diqiyaskan seperti padi, jagung), gandum, anggur dan tamar. Sekiranya tanaman itu disirami oleh air hujan atau mata air semulajadi, maka kadar zakatnya 10% tetapi jika mengeluarkan perbelanjaan untuk menyiraminya seperti guna enjin atau tenaga manusia, kadar zakatnya 5%. Nisab zakat padi di Malaysia mengikut ketetapan majlis agama Islam negeri (contohnya di Kelantan 375 gantang). Kemudian tolak dengan perbelanjaan mengusahakan tanaman meliputi kos traktor, baja, racun, cukai, upah tanam, sewa tanah. Walau bagaimanapun ini tidak termasuk kos mengairi tanaman kerena zakatnya telah dibezakan di sini. Tempoh haulnya ialah apabila dituai dan bukan satu tahun hijrah.

            Zakat ternakan. Syarat zakat ternakan ialah; cukup nisab (unta apabila 5 ekor, lembu apabila 30 ekor dan kambing apabila 40 ekor), telah dimiliki satu tahun (hijrah), diternak (bagi mendapatkan susu, daging, anak), tidak melakukan kerja (mengangkut, membajak).


  1. PENUTUP
Zakat adalah ibadah. Ia wajib dilaksanakan bagi menggerakkan hubungan sosio-politik-ekonomi. Amalan berzakat menggerakkan wujudnya sistem perakaunan, percukaian, sistem kalendar. Ia juga mengajar manusia erti  tanggungjawab.

Perakaunan Islam 3


KONSEP PEMILIKAN



  1. PENGENALAN
Islam memberi kebebasan kepada individu dan masyarakat memulakan, menyusun, mengurus dan memiliki apa sahaja mengikut keupayaan seseorang. Islam juga mengiktiraf hak milik peribadi dan umum serta negara asalkan tidak menceroboh hak orang lain dan memiliki sesuatu yang halal menjauhi yang haram. Ini bersesuaian dengan fitrah manusia yang sukakan kekayaan harta. Pemilikan sebagai motivasi kepada manusia supaya berusaha lebih gigih untuk mendapatkan seberapa banyak harta yang boleh.

  1. DEFINASI PEMILIKAN
Pemilikan dalam bahasa Arab ialah al-milk iaitu seseorang memiliki hak untuk memiliki sesuatu atau mampu bertindak ke atas secara mutlak. Seseorang yang telah memiliki harta boleh memanfaatkannya, menjual atau membelanjakannya mengikut keperluannya atau kehendaknya. Pemilikan adalah dalam bentuk benda (ain) ataupun manfaat. Pemilikan ini menegah pihak lain dari melibatkan diri  kecuali atas kebenaran pemiliknya atau halangan syarak. Seseorang yang memiliki sesuatu harta; boleh memanfaatkannya, menjual atau membelanjakannya. Pemilikan sebagai pemegang amanah.

  1. SEBAB-SEBAB PEMILIKAN HARTA
  1. Bekerja melalui sumbangan tenaga secara langsung.
  2. Pensyariatan agama melalui nafkah, zakat, pusaka. Mendapat kebaikan di dunia dan akhirat.
  3. Pertukaran hak milik melalui transaksi jual beli, sewa, pajak gadai.
  4. Sumbangan dari orang perseorangan, masyarakat, kerajaan.
  5. Warisan. Kematian menyebabkan pemindahan hak milik
  6. Perintah mahkamah

  1. JENIS-JENIS PEMILIKAN
  1. Pemilikan sempurna (tam). Meliputi benda (ain) dan manfaat (faedah). Boleh dimanfaatkan, mengurus, memberi pada bila-bila masa tanpa had masa dan tempat. Pemilik harta boleh menjual, menyewakan, meminjamkan, menghadiah atau memusnahkan harta tersebut. Pemilikan sempurna ini boleh diperolehi dengan meneroka tanah, melombong, memburu, pusaka, wasiat, kontrak, kongsi, zakat, sedekah, waqaf.

  1. Pemilikan tidak sempurna (milk al-naqis). Harta dimiliki seseorang tetapi dia tidak memiliki manfaatnya. Ia memiliki salah satu sama ada ain (benda) ataupun manfaatnya. Ini boleh berlaku pada sewaan, pinjaman, wakaf, wasiat. Ia terikat dengan masa dan tempat. Ia terikat dengan tempoh masa dan tempat. Apabila tempohnya tamat harta itu hendaklah dikembalikan kepada pemilik harta.

  1. TANGGUNGJAWAB PEMILIK HARTA
  1. Wajib berbelanja untuk diri sendiri, zakat, nafkah
  2. Sunat bersedekah
  3. Tidak boros, membazir, kedekut
  4. Sederhana, halal, tidak menunjuk-nunjuk

  1. PENUTUP
Pemilikan harta dalam Islam merupakan fitrah manusia yang sentiasa mendorong manusia supaya gigih berusaha sehingga memiliki harta untuk kemanfaatan hidup

Perakaunan Islam 2


KONSEP AL-MAL (HARTA)


  1. PENGENALAN
Kehidupan manusia memerlukan harta untuk kemudahan dan menggelakkan kesusahan. Namun harta bukanlah segala-galanya bagi hidup ini. Cinta manusia kepada harta merupakan salah satu fitrah. Islam menetapkan harta sebagai perhiasan hidup. Islam menggalakkan umatnya mencari harta kekayaan. Memiliki harta memudahkan untuk beribadah. Islam memuliakan orang kaya. Kemiskinan boleh membawa kekufuran.

  1. DEFINASI AL-MAL
Perkataan al-Mal dalam bahasa Arab ialah harta iaitu sesuatu yang boleh dimiliki oleh individu atau kumpulan manusia seperti barangan berharga, aset, tanah, rumah, bangunan, tumbuh-tumbuhan, galian, wang dan haiwan. Beberapa sarjana mendefinasikan al-Mal.
Abdul Karim Zaydan menjelaskan al-Mal sebagai; ”Setiap yang boleh didapatkan (dikuasai) dan dimanfaatkan dalam keadaan biasa”.
Mohd Akram mendefinasikannya sebagainya; ”Sesuatu yang boleh disimpan atau dipegang untuk digunakan pada masa yang diperlukan”.
Menurut Muhammad Kamal Attiyah, al-Mal ialah; ”Apa yang dikehendaki oleh jiwa dan dicintainya”.

  1. KEDUDUKAN AL-MAL (HARTA) DALAM ISLAM
  1. Semua harta di dunia ini adalah milik Allah. Manusia tidak memiliki harta secara mutlak. Sebaliknya kerajaan boleh membuat peraturan mengenai pemilikan dan penggunaan harta.
”Segala yang ada di langit dan di bumi adalah kepunyaan Allah”. (al-Baqarah: 284)
  1. Manusia sebagai pemegang amanah. Manusia tidak boleh menganggu hak milik orang lain. Ia bertanggungjawab terhadap apa yang diperolehi dan apa yang dibelanjakan. Manusia perlu meggunakan harta dengan sebaik mungkin mengikut ketentuan syarak. Harta adalah ujian dari Allah untuk manusia. Gunakan harta ke jalan Allah.
  2. Semua harta di dunia ini adalah untuk manusia. Manusia perlu menggunakan harta sebaik mungkin dan elakkan dari melakukan kerosakan.
  3. Harta dianugerahkan kepada manusia tidak sama antara satu sama lain. Harta diperolehi dengan kerja keras, bantu membantu, perancangan. Harta untuk menguji keimanan. Ramai penghuni syurga dari kalangan orang miskin dan ramai penghuni neraka adalah orang kaya.
  4. Harta yang disediakan Allah kepada manusia adalah banyak dan cukup untuk manusia. Ketidakcukupan berlaku kerana ketamakan dan pembaziran.
  5. Cara memperolehi harta yang halal ialah dengan melibatkan diri dalam aktiviti ekonomi seperti bekerja sendiri dan makan gaji. Ia juga boleh diperolehi melalui pensyariatan agama seperti nafkah, pusaka, wasiat, zakat. Turut diperolehi melalui pemindahan seperti jual beli, hutang, pemberian, mas kahwin. Malah melalui bantuan orang lain seperti individu, masyarakat dan juga kerajaan.

  1. CIRI-CIRI AL-MAL (HARTA)
  1. Benda yang boleh dilihat, dipegang, dikuasai dan dimanfaatkan secara langsung. Contohnya tanah, bangunan, rumah, kereta dan lain-lain lagi.
  2. Sesuatu yang belum dimiliki tetapi berkemungkinan untuk dimiliki. Contohnya ikan di sungai, minyak di perut bumi dan sebagainya.
  3. Benda yang wujud. Dapat disimpan dan digunakan ketika diperlukan. Seperti tenaga solar, nuklear.
  4. Benda yang halal dan dibenarkan syarak. Jika sebaliknya seperti harta curi, rasuah, bangkai bukan dianggap harta oleh Islam.

  1. JENIS-JENIS AL-MAL (HARTA)
  1. Harta yang bernilai (mutaqawwam) dan harta yang tidak bernilai (ghair mutaqawwam). Syarak membenarkan pemilikannya apabila ia dimiliki secara sah dan haram bagi harta yang tidak dibenarkan syarak seperti menggunakan atau memiliki barangan curi, arak.
  2. Harta yang ada persamaan (mithly) atau seharga (qimmiy). Harta yang ada persamaan  dari segi kualiti dan kuantiti boleh ditentukan dengan cara; Disukat (al-makilat) seperti beras, gandum dengan sukatan gantang, cupak. Ditimbang (al-mauzunat) seperti buah-buahan, sayuran dengan kilogram, gram. Dikira (al-adadiyyat) seperti buku, pensil, meja. Dan boleh diukur (al-Zar’iyyat) seperti tinggi, panjang, luas menggunakan depa, ela, meter.
  3. Harta alih (manqul) dan harta tak alih (ghair manqul). Dilihat dari segi kekal dan tidak kekal di tempatnya. Harta alih boleh dipindahkan tempat seperti kereta. perabot, wang, barangan, pakaian. Manakala harta tak alih tidak boleh dipindahkan ke tempat lain seperti bangunan, pokok, tanah.
  4. Harta yang kekal bentuk asal (al-Istihlaky) dan tidak kekal bentuk asal (al- Isti’maly) selepas digunakan. Al-Istihlaky ialah harta yang berubah zatnya selepas digunakan seperti makanan, minuman. Manakala harta al-Istikmaly berubah zat asal setelah digunakan berkali-kali seperti pakaian, kereta, perabut.

  1. PENUTUP
Harta penting untuk kehidupan manusia sebagai alat untuk mendapatkan sesuatu. Namun ia bukan matlamat hidup manusia. Harta adalah ujian dari Allah. 

Thursday, June 14, 2012

Asas Perakaunan Islam


KONSEP PERAKAUNAN ISLAM


  1. Pengenalan
Setiap transaksi memerlukan catatan bagi memastikan kebenaran, kepastian, keterbukaan dapat dilaksanakan. Ia juga manjadikan sesuatu urusan lebih sistematik dan menjadikan semua pihak yang terlibat bersifat amanah dan bekerjasama untuk kejayaan semua urusan mereka.

  1. Definasi Perakaunan Islam
Perakaunan dalam bahasa Arab ialah al-Muhasabah (akaun) atau al-Hisab (kira-kira) iaitu mengira atau menyukat. Individu yang terlibat dengan kerja-kerja muhasabah ialah muhasib (akauntan). Ia adalah kawalan pergerakan keluar-masuk wang atau harta dengan catatan yang teliti dan tersusun.
Menurut American Accounting Association (1966); Perakaunan ialah “…proses mengenalpasti, mengukur, mengkomunikasikan maklumat berbentuk ekonomi untuk membolehkan pertimbangan berpengetahuan dan keputusan dibuat oleh pengguna maklumat itu”.
Muhammad Kamal Attiyah pula menegaskan bahawa perakaunan ialah; “…Satu pengiraan hasil-hasil kerja yang halal menurut kaedah syarak dengan pelaksanaan berdasarkan perbandingan pendapatan dan kos”.
Dari perbincangan di atas dapat disimpulkan bahawa perakaunan Islam adalah satu sains sosial yang berasaskan laporan kewangan dengan tujuan untuk menyatakan kebenaran, kepastian dan keadilan kepada semua pihak yang terlibat.

  1. Prinsip Asas Perakaunan Islam
            Menulis, mencatat dan merekod semua aktiviti kewangan.
            Mengadakan saksi yang boleh dipercayai.
            Keseimbangan kira-kira dan ketepatan ukuran.
            Tugas manusia untuk menguruskannya dan Allah pemilik semua harta.

  1. Sejarah Perkembangan Perakaunan Islam
  1. Tahap Kegemilangan
Pada zaman Rasulullah s.a.w., baginda memerintahkan para sahabat mengira dan mencatat atau merekodkan keluar-masuk wang atau harta negara semasa memungut zakat dan sedekah. Begitu juga baginda melaksanakan kewajipan membayar zakat menggunakan kaedah perakaunan iaitu mata wang yang digunakan adalah mengikut nilaian semasa dan setiap pernyataan mesti mempunyai cop pengesahannya.
Pada zaman Umar al-Khattab, beliau menubuhkan jabatan khusus untuk urusan perakaunan, pengurusan aset Bait al-Mal direkod, setiap aktiviti kewangan direkod dalam buku catatan harian dengan tarikh, hari, bulan dan tahun. Prinsip keseimbangan (catatan beregu) telah dipraktikkan dengan menggunakan istilah al-Hisab. Penggunaan mata wang dinar (emas) dan dirham (perak) diperkenalkan utuk mewujudkan keadilan dan menggelakkan unsur riba.
Pada zaman Umaiyyah dan Abbasiyah, wilayah Islam berada di puncak kemajuan (ketamadunan) apabila Islam menjadi rujukan ilmu pengetahuan, berlaku peluasan kuasa dan wilayah, kaedah percukaian (zakat), perdagangan antarabangsa, pengurusan Bait al-Mal. Kerajaan Abbasiyah menggunakan angka tertentu dalam dalam urusan jual-beli, pembahagia harta rampasan perang (al-Ghanimah), pembahagian pusaka (al-Faraid), mengukur tanah, menyukat, menimbang. Sebagai contohnya 404 ditulis TD, 400 ditulis T dan 4 sebagai D. Kemudiannya mereka mengikut sistem angka yang diambil dari tamadun India iaitu angka kosong (zero) di samping penggunaan sembilan angka yang lain bagi memudahkan penyelesaian masalah pengiraan, menulis pecahan, perpuluhan serta sistem persamaan. Pengawasan rapi dilakukan ke atas harta benda negara. Proses semakan penyata dilakukan oleh pihak lain berdasarkan laporan asal dan dokumen berkaitan untuk mengesahkannya.

  1. Tahap Kemerosotan
Kemerosotan berlaku apabila berlaku perpecahan dunia Islam dan kekalahan kepada bangsa Monggol pada tahun 1258M di tangan Hulagu Khan yang bertindak membakar Bait al-Mal (Pusat Harta) dan Bait al-Hikmah (Pusat Ilmu Pengetahuan) dan kejatuhan Andalus yang menyebabkan khazanah perbendaharaan ilmu Islam dimusnahkan ataupun dipindahkan secara gelap ke dunia Barat. Pemimpin saling berebut kuasa menjatuhkan antara satu sama lain. Ulama berijtihad untuk saling mengikut kehendak pemerintah dan tidak melakukan usaha berijtihad untuk membangunkan ummah. Bahkan mendakwa “pintu ijtihad telah tertutup” sehingga menyebabkan bidang perakaunan terputus dari ilmu-ilmu Islam. Negara Islam berpecah kepada wilayah-wilayah kecil dan muncul pemerintah yang laparkan kuasa, mementingkan kesenangan, harta sehingga mengenepikan ajaran Islam. Dalam masa yang sama imperialisme Barat menerjah Dunia Islam sehingga banyak wilayah Islam tunduk kepada penjajah Barat seperti Inggeris, Belanda, Portugis, Italy dan Peranchis. Bahkan empayar Uthmaniyah Turki juga berjaya disekularkan apabila Mustafa Kamal Atartuk berjaya mengambil alih kuasa dengan menyingkirkan Sultan Abdul Hamid. Sekaligus melemahkan umat Islam dan ilmu-ilmu Islam.

  1. Tahap Kebangkitan Semula
Pada abad 20M, berlaku kesedaran umat Islam untuk kembali menghayati Islam sebagai Cara Hidup (Islam a Way of Life) dalam semua bidang termasuk ilmu perakaunan. Pengkajian perakaunan menjadi perbahasan di samping ilmu ekonomi Islam untuk usaha membebaskan umat Islam dari belenggu riba. Kemerdekaan kebanyakan negara Islam dari penjajahan Barat telah memaksa umat Islam mengisi erti kemerdekaan. Banyak persidangan, konferensi dan seminar mengenai pelbagai ilmu Islam diperincikan untuk agenda bertindak umat Islam.

  1. Objektif dan Kepentingan Perakaunan Islam
            Memelihara harta. Kuantiti dan kualiti harta terpelihara dengan pasti.
            Catatan bertulis sebagai pembuktian sekiranya berlaku perselisihan antara pihak-pihak yang terlibat.
            Merealisasikan Maqasid Syariah. Menegakkan syiar Islam. Harta adalah milik Allah.
            Melaksanakan keadilan. Memastikan hak semua yang terlibat dalam aktiviti pengurusan harta terpelihara.
            Dapat membantu mengambil keputusan berdasarkan catatan, angka dan fakta yang berkaitan.
            Menentukan hasil untuk dikeluarkan zakat. Membantu menyediakan penyata kewangan yang teratur sehingga sempurna kunci kira-kira bagi mengetahui untung-rugi, kos dan modal.

  1. Ciri-ciri dan Perbezaan Perakaunan Islam dan Perakaunan Konvensional
            Sumber perakaunan Islam. Merujuk kepada al-Quran dan al-Sunnah. Berasaskan wahyu dan pemikiran manusia yang bersendikan ajaran agama.
            Penekanan kepada aspek nilai dan etika. Semua harta mesti berpunca dari aktiviti yang dibenarkan syarak. Untuk kesejahteraan dunia dan akhirat dan bebas dari sebarang penyelewengan.
            Akauntan dan saksi mesti seorang yang bertanggungjawab, amanah, berakhlak dan boleh dipercayai.
            Membezakan jenis harta yang dibenarkan dan dilarang syarak. Menjauhi riba, penyelewengan harta, aktiviti tidak berakhlak dalam mengurus harta. Ia merupakan aktiviti yang bersifat ibadah.
            Mempastikan maklumat yang tepat dalam laporan kewangan. Mementingkan kebenaran dan kejujuran (akauntabiliti) sesama manusia dan berdasarkan nilaian serta harga semasa.

  1. Penutup
Perakaunan Islam adalah sebahagian dari ajaran Islam dan ia diawasi oleh sistem akidah yang menjadi kawalan dalaman bagi memastikan sistem perakaunan yang adil dan telus yang dapat menjamin keharmonian hidup. Dalam konteks kerajaan, perakaunan memainkan peranan penting bagi mengawasi polisi, program, perbelanjaan dan pendapatan negara. Bahkan menentukan pengurusan harta zak