Pages

Saturday, October 12, 2019

ISC402 L7

ISC402 L7




BAB 7


 


KEMAHIRAN PENGURUSAN DIRI MUSLIM


 


 


7.1 KETAATAN


Prinsip utama ketaatan ialah arahan atau perintah dari pihak yang perlu dihormati itu tidak bercanggah dengan Islam. Terdapat beberapa faktor yang mesti diambil kira bagi menjadikan sesuatu arahan ditaati. Di antaranya ialah arahan tersebut berada dalam bidang tugas, tugas yang diarahkan oleh majikan atau organisasi terdapat dalam deskripsi kerja dan kerja tersebut boleh dilakukan mengikut keupayaan mental dan fizikal pekerja. Ketaatan dalam organisasi amat penting untuk melicinkan perjalanan organisasi sesuai dengan matlamat yang hendak dicapai oleh organisasi. Ketaatan tersebut juga melibatkan arahan yang tidak bercanggah dengan hukum dan nilai-nilai yang ditentukan oleh syarak. Maksud firman Allah SWT surah al-Nisa’: 59; “Wahai orang yang beriman! Taatlah kamu kepada Allah dan Taatlah kamu kepada Rasulullah dan kepada "Ulil-Amri" (orang yang berkuasa) dari kalangan kamu. Kemudian jika kamu berbantah-bantah (berselisihan) dalam sesuatu perkara, maka hendaklah kamu mengembalikannya kepada (Kitab) Allah (al-Qur’an) dan (al-Sunnah) Rasul-Nya jika kamu benar beriman kepada Allah dan hari akhirat“. Maksud hadith Rasulullah SAW, “Tidak ada ketaatan pada makhluk dalam perkara maksiat kepada Al Khaliq”. (Hadith Shahih al-Jami’). “Sesiapa yang mentaati perintahku, maka sesungguhnya ia mematuhi perintah Allah. Sesiapa yang mentaati perintah amir (ketua) sesungguhnya bererti mematuhi perintahku, dan sesiapa yang melanggar perintah amir (ketua) bererti ia melanggari perintahku”. (Riwayat Muslim)


Namun begitu ketaatan pada pimpinan organisasi boleh berlaku apabila;


 Organisasi itu milik pemerintah.


 Organisasi bukan milik pemerintah (NGO), ketaatan tidak sama seperti pemerintah.


 


Hadith di atas menunjukkan bahawa ketaatan itu sangat penting dan sesebuah organisasi  sangat memerlukan ketaatan seorang ketua dan seorang pengikut. Konflik organisasi akibat dari kelemahan soal ketaatan boleh menyebabkan keruntuhan koordinasi dan organisasi menjadi lemah dan gagal. Organisasi perlu menyediakan dasar dan peraturan supaya dipatuhi oleh setiap individu yang bekerja di dalamnya. Tanpa taat kepada disiplin, operasi organisasi akan jadi kacau bilau yang akibatnya akan memusnahkan organisasi. Setiap pengurus diamanahkan oleh majikan dan pihak pengurusan atasan bagi memastikan segala peraturan dan arahan yang berkaitan dengan kerja diikuti oleh pekerjanya dan dirinya sendiri.


 


7.2 EMOSI


Kebolehan seseorang untuk mengawal emosi serta perasaan diri sendiri dan orang lain adalah suatu usaha untuk meningkatkan kualiti diri dan kualiti kehidupan. Ia penting bagi menjaga perhubungan dengan orang lain. Kebolehan ini kemudiannya digunakan sebagai panduan untuk berfikir dan bertindak. Emosi merupakan hubungan intrapersonal aspek hubungan dalam diri iaitu bagaimana seseorang itu dapat memahami diri sendiri dan seterusnya berusaha untuk mempertingkatkan kualiti diri. Intrapersonal merangkumi aspek-aspek bagaimana seseorang itu berfikir, mengawal emosi, membina nilai diri, mengawal kemarahan dan membina kekuatan diri. Ia merupakan bagaimana seseorang berinteraksi dengan dirinya sendiri. Kebolehan seseorang mengawal perasaan dengan tidak menghamburkan kata-kata kesat ketika marah, bersikap optimis, sentiasa bermotivasi, berkebolehan meneutralkan keadaan, iaitu dengan tidak terlalu cepat menerima atau menafikan sesuatu, bertanggungjawab, berintegriti, berkeyakinan tinggi, bersikap terbuka juga dikatakan sebagai sebahagian daripada kemahiran intrapersonal untuk kawalan emosi. Kemahiran berinteraksi antara individu dengan diri sendiri dan juga orang lain akan terbina apabila kemahiran interpersonal dan intrapersonal digabungkan dengan sempurna.


 


7.3 PENAMPILAN


Pengurusan Diri


Mahasiswa samalah juga dengan pekerja, mereka perlu menyesuaikan diri dengan alam pendidikan tinggi dan persekitaran pembelajaran yang konsisten serta kehendak organisasi pekerjaan sama ada di bidang pengeluaran atau pun perkhidmatan. Universiti dan juga organisasi kerja sepatutnya dijadikan sebagai tempat yang menyeronokkan untuk menimba ilmu pengetahuan dan kemahiran hidup. Di simpang itu bergaul bersama rakan dan tidak mempunyai hubungan yang negatif dengan pensyarah atau pemimpin organisasi. Selepas ibu bapa, pensyarah dan pemimpin organisasi merupakan  orang yang patut dihormati kerana usahanya membentuk masa hadapan kita.


 


Mengurus Masa


Bagi menjadi mahasiswa dan pekerja yang berjaya, anda mesti berupaya menjadualkan masa untuk menambah ilmu pengetahuan, meningkatkan kemahiran, beriadah, menonton televisyen sebagainya. Di samping itu, mesti berkebolehan mengingati sesuatu fakta pembelajaran dalam jangka masa yang lebih panjang.


 


Perancangan


Kemahiran merancang semua aspek hidup amat penting sama ada untuk melakukan sesuatu dan juga apa yang telah dilakukan. Mahasiswa dan pekerja mesti mempunyai arah tujuan yang positif untuk masa hadapan dan bukan hanya hidup mengikut arus sekeliling sahaja.


 


Kemahiran Berfikir dan Belajar


Mahasiswa dan pekerja mesti berkeupayaan berfikir secara kritis, positif dan matang. Kemahiran berfikir ini harus dipelajari dan dipraktikkan dan tidak hanya mengikut logik semata-mata. Belajar bukan sesuatu yang mudah tetapi tidak pula terlalu sukar. Untuk menjadikan belajar itu mudah, mereka mesti menguasai kemahiran belajar yang sistematik seperti membaca, membuat rujukan dan nota. Boleh dikatakan semua orang boleh membaca tetapi tidak ramai yang boleh membaca dengan pantas dan dalam masa yang sama dapat memahami dan mengingati apa yang dibaca. Mereka perlu ada kemahiran merujuk dan menyelidik dari buku buku, akhbar, majalah, membuat temu ramah dan sebagainya. Terdapat pelbagai cara membuat nota tetapi yang penting, nota mesti mudah difahami supaya mudah disampaikan semula kepada pihak lain dengan berkesan sama ada dalam bentuk tulisan mahupun lisan. Mahasiswa dan pekerja organisasi mesti berupaya menilai kelemahan dan kekuatan diri sendiri di samping sentiasa berusaha memperbaiki segala kelemahan diri. Jangan sesekali menyalahkan orang lain jika gagal. Adalah lebih baik menyalahkan diri sendiri dan melihat kelemahan diri dan seterusnya bertekad untuk berjaya. Walau apa keadaan sekalipun, kita mestilah sentiasa bersyukur dan bertakwa agar Allah S.W.T akan memberkati segala usaha kita.


 


 


7.4 PERWATAKAN


(Rujuk Artikel Sebelum ini)


    1. KEWANGAN


Bagi orang Islam, Nabi Muhammad S.A.W. berpesan bahawa; “akan datang lima perkara sebelum lima perkara: Sihat sebelum sakit, Kaya sebelum miskin, Lapang sebelum sibuk, Muda sebelum tua, Hidup sebelum mati”.


Secara tidak langsung, kita dapat memahami kepentingan menetapkan matlamat supaya dapat melaksanakan tanggungjawab. 4 strategi pengurusan kewangan Islam ialah;


-          Mencari Rezeki Yang Halal. Allah Maha Pemurah dan Pemberi Rezeki menyebut dalam surah al-Jum’ah, ayat 10 yang bermaksud: “Kemudian, setelah selesai sembahyang, maka bertebaranlah kamu di muka bumi, dan carilah apa yang kamu hajati dari limpah kurnia Allah, serta ingatkanlah akan Allah banyak-banyak (dalam segala keadaan), supaya kamu berjaya di dunia dan di akhirat.” Rezeki dan limpah kurniaan Allah sangat luas dan kita disarankan untuk mencari rezeki yang halal iaitu pekerjaan atau perniagaan hasil usaha jujur, bebas penipuan atau rasuah dan tidak terlibat dengan perkara yang haram. Orang Islam yang beriman dan bertakwa akan mengelakkan diri daripada terjerumus dalam riba’, arak, judi dan lain-lain hal yang dilarang oleh agama.


-          Melanggan Takaful Sebagai Persediaan Menghadapi Musibah. Takaful ialah produk perlindungan yang berlandaskan syariah. Kontrak takaful berbeza dengan insurans kerana ia menggunakan konsep ‘bantu-membantu’ di kalangan peserta takaful. Tiada unsur faedah dan ketidakpastian (gharar) sebagaimana kontrak insurans konvensional. Produk takaful adalah keperluan bagi anda yang mempunyai tanggungan dan sebagai persediaan menghadapi musibah seperti sakit dan kemalangan. Ia sebagai suatu perbelanjaan untuk masa depan. Peserta takaful membuat sumbangan secara bulanan dengan kadar yang telah ditetapkan. Sumbangan ini nampak kecil kerana dibuat secara konsisten setiap bulan. Apabila berlaku musibah, operator takaful akan membayar manfaat perlindungan kepada peserta. Semua peserta dalam pelan takaful seolah berpegangan tangan, jika seorang peserta terjatuh yang lain akan membantu dan menghulurkan tangan supaya dia dapat bangun semula atau sekurang-kurangnya keluarganya dapat bangkit daripada beban kewangan yang melanda.


-          Melabur Tanpa Berhutang. Matlamat pelaburan kita ialah untuk menambah nilai daripada apa yang dimiliki. Kita tidak digalakkan oleh pakar kewangan meminjam untuk pelaburan. Ini kerana setiap pelaburan mempunyai risiko. Pinjaman mengikat kita dengan komitmen hutang. Hutang perlu dijelaskan tidak kira kita untung atau pun rugi. Oleh itu, hutang akan menambah beban kewangan jika tidak diuruskan dengan betul. Kegagalan pinjaman mendedahkan kita kepada tindakan saman atau diisytiharkan muflis bagi kes yang berat. Dengan wang yang ada sepatutnya kita melabur dalam melabur dalam saham amanah yang patuh Syariah.


-          Menunaikan Zakat dan Bersedekah (Infaq). Kita mesti melaksanakan tanggungjawab zakat sebagai rukun Islam yang keempat apabila harta yang kita miliki telah cukup jumlahnya (nisab) dan tempohnya (haul) dengan kadar 2.5% daripada pendapatan. Amalan ini amat besar ertinya bagi golongan yang memerlukan sebagai melaksanakan tanggungjawab sosial kepada saudara seagama. Sekiranya ada kelebihan harta, kita disunatkan bersedekah mengikut kemampuan dan boleh dilakukan pada bila-bila masa. Inilah ciri orang yang bertakwa. Surah Ali Imran (131-132) bermaksud; “Dan segeralah kamu kepada keampunan Tuhan kamu dan syurga yang luasnya seluas langit dan bumi yang disediakan bagi orang yang bertakwa. Iaitu orang yang mendermakan hartanya pada masa senang dan susah, orang yang menahan kemarahannya dan orang yang memaafkan kesalahan orang. Dan (ingatlah), Allah mengasihi orang yang berbuat perkara yang baik”.


 

ISC402 L5

ISC402 L5




BAB 5


KEMAHIRAN KEPIMPINAN


Kepimpinan amat penting dalam sesebuah masyarakat sama ada di peringkat keluarga, masyarakat, institusi, organisasi dan juga negara. Islam memandang berat soal memilih pemimpin dalam semua peringkat kehidupan. Bukti sejarah Islam: apabila Rasulullah SAW wafat, Khalifah terus dilantik menjadi pemimpin bagi menggantikan baginda sebelum pemakaman baginda. Menentukan dan memilih pemimpin menjadi suatu perkara yang sangat penting dan wajib. Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud;


“Tidak halal bagi tiga orang yang berada di satu tempat melainkan dilantik seorang daripada mereka sebagai ketua.” (Riwayat Ahmad)


 


5.1 PENGERTIAN


Terdapat berbagai perkataan yang digunakan bagi menjelaskan definasi kepimpinan di antaranya ialah Imamah, khalifah, qiyadah, za’amah, ria’ayah, ri’asah dan siyadah. Dalam Kamus Dewan (1993:1038), perkataan kepimpinan berasal dari perkataan pimpin yang bererti bimbing, pandu, tunjuk dan sebagainya. Dalam bahasa Inggeris, leadership membawa maksud the position of leader (kedudukan pemimpin), control of power over group (kawalan atau kuasa terhadap sesuatu kumpulan) dan a group of people who lead (satu kumpulan manusia yang memimpin). (Longman Dictionary of Contemporary English, 1978: 622).


 


Menurut Fathi Yakan, kepimpinan adalah satu kemahiran berkomunikasi dengan fitrah manusia untuk mempengaruhi dan juga mengarah manusia ke arah mencapai matlamat dengan cara memastikan kepatuhan, kepercayaan dan penghormatan. Ibn Taimiyyah menekankan betapa kepimpinan merupakan tuntutan agama, tanpa kepimpinan urusan pentadbiran agama dan bangsa tidak dapat dijalankan dengan sempurna. Ketua Negara (al-Imam) adalah bertanggungjawab berkaitan rakyatnya. Ketua keluarga adalah pemimpin kepada keluarga. Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: “Tiap-tiap seorang dari kamu adalah pemimpin. Justeru kamu bertanggungjawab terhadap mereka yang di bawah pimpinan kamu. Ketua negara (al-Imam) adalah bertanggungjawab berkaitan rakyatnya. Ketua keluarga adalah pemimpin kepada keluarganya dan akan ditanya berkenaan kepimpinannya. Wanita adalah pemimpin di rumah suaminya dan bertanggungjawab terhadap jagaannya. Khadam bertanggungjawab menjaga harta tuannya dan akan ditanya berkenaan barang-barang yang diamanahkan. Tiap-tiap seorang daripada kamu adalah pemimpin, justeru kamu bertanggungjawab terhadap kepimpinan kamu”.


                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                 


5.2 CIRI-CIRI KEPIMPINAN


Menurut al-Mawardi, seseorang pemimpin mesti memiliki kretaria berikut; Adil dalam memimpin pekerja dalam organisasi, berfikiran matang, berani berijtihad dalam melakukan tugas, memiliki pancaindera yang sempurna, berilmu agama yang tinggi bagi menggelak melakukan kemungkaran daan mempunyai anggota badan yang  sempurna supaya boleh menyempurnakan tugasnya.


Menurut Imam al-Ghazali, seorang pemimpin perlu memiliki sifat-sifat berikut;  hidup  sederhana, tidak membazir dengan harta miliknya, melaksanakan kerja dengan tenang tanpa merungut, cuba memuaskan semua pihak jika ia tidak melanggar undang-undang dan peraturan, menyedari tanggungjawab besar yang dipikulnya, suka bersahabat dengan para ilmuan dan mendengar nasihat mereka. Hadith daripada Aisyah r.a. bahawa Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Sekiranya Fatimah binti Muhammad mencuri nescaya aku akan potong tangannya”. (Riwayat al-Bukhari). Hadith daripada Abu Hurairah r.a. bahawa Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Orang Mukmin yang paling sempurna imannya adalah mereka yang paling baik akhlaknya”. (Riwayat al-Tirmidzi)


Edwin Ghiselli menyatakan bahawa seorang pemimpin perlu mempunyai kesungguhan dan keyakinan terhadap diri sendiri. Tanpanya sesebuah organisasi tidak akan dapat beroperasi dengan baik. Begitu juga jika memiliki kecerdasan tidak terlalu tinggi atau kecerdasan yang terlalu rendah yang akan mengurangkan keberkesanan memimpin.


Ralph M. Stogdill berpendapat, seorang pemimpin perlu cerdas, bijak, matang, mempunyai harta sebagai modal untuk menguruskan organisasinya dengan baik. Pemimpin juga memiliki sifat sosial seperti boleh bekerjasama, kemampuan berkomunikasi dan berkebolehan untuk bermasyarakat.


Firman Allah SWT yang bermaksud: “Sesungguhnya telah datang kepada kamu seorang Rasul daripada golongan kamu sendiri (iaitu Nabi Muhammad SAW) yang mengambil berat atas sebarang kesusahan yang menimpa kamu, yang sangat menginginkan kebaikan bagi kamu, amat belas kasihan lagi penyayang terhadap makhluk terhadap orang yang beriman”. (al-Taubah: 128).


Oleh yang demikian dapat dirumuskan bahawa ciri-ciri pemimpin ialah;


  1. Amanah, adil dan tidak melakukan kezaliman atau diskriminasi kepada mereka yang dipimpinannya.
  2.  Meletakkan harapan sepenuhnya kepada Allah SWT dalam melaksanakan semua yang dipertanggungjawabkan.
  3. Perwatakan dan keperibadian yang cemerlang. Iaitu berakhlak yang amat tinggi dan terpuji.
  4. Wujud perkaitan di antara pengucapan dan tindakannya.
  5. Bijak bertindak dan tidak sombong.
  6. Berupaya menjaga agama dan menegakkan syariat Allah SWT.


Ini kerana pemimpin sebenarnya adalah pengganti Rasulullah SAW untuk memelihara, menjaga dan melaksanakan syariat Allah SWT. Memiliki al-Quwwah iaitu kekuatan dari semua sudut sama ada fizikal, spiritual, emosi dan mental. Bertakwa kerana takwa menjamin seseorang pemimpin itu berintegriti dan takutkan Allah SWT dalam melaksanakan tugas. Seorang pemimpin juga seharusnya mempunyai sifat keperibadian iaitu berkebolehan, progresif dan berkeyakinan tinggi dalam menjalankan tugas.


5.3 PRINSIP KEPIMPINAN


Shura dari segi bahasa Arab ialah penyaringan madu iaitu menyaring madu dari sarangnya. Shura bertujuan untuk mewujudkan perbincangan dan perundingan di kalangan cerdik pandai ahli agama untuk menyelesaikan sesuatu masalah. Shura juga sebagai penetapan hukum yang merupakan lambang asasi al-Syariah dan pemimpin yang tidak melaksanakannya wajib disingkir tanpa perselisihan pendapat para ulama.


 


5.4 KAEDAH KEPIMPINAN


Blake & Mouton (1964) berpendapat, kaedah kepimpinan pada dasarnya dapat dibahagikan kepada empat, iaitu:


  1. Kepimpinan Otokratik seseorang  pemimpin yang otokratik mementingkan pelaksanaan tugas. Dia memimpin dengan menggunakan sumber kuasa formal.  Pemimpin yang mengamalkan kaedah ini akan membuat keputusan yang berkaitan dengan tugas, mengeluarkan arahan dan memastikan arahan itu dipatuhi. Ini biasa dapat dilihat dalam sektor industri. Sistem ini bercanggah dengan nilai kemanusiaan kerana menafikan kebebasan. Seseorang pemerintah mempunyai kuasa mutlak terhadap rakyat dan perlembagaan yang dirangkanya bercanggah dengan sistem demokrasi dan juga sistem pemerintahan Islam. Contoh sistem otokrasi dalam al-Quran ialah pemerintahan Firaun Mesir.
  2. Sistem Kapitalis dianggap zalim kerana hanya menjaga kepentingan pelabur atau peniaga, berbanding kepentingan rakyat. Pemimpin yang mengamalkan kaedah kepimpinan laissez-faire tidak begitu berminat dengan urusan yang diamanahkan kepadanya. Mereka biasanya tidak peduli mengenai kerja mahupun hasilnya. Kuasa yang ada padanya tidak digunakan. Pemimpin jenis ini akan membiarkan semua keputusan dibuat oleh orang bawahannya.
  3. Fahaman Liberalisme dianggap zalim kerana kebebasan mutlak tanpa sekatan nilai agama. Nilai liberalisme yang diamalkan akan mengganggu hak individu lain. Contohnya hak kebebasan seks seperti yang berlaku di Barat boleh mengganggu kesejahteraan masyarakat bersuara dan menganut agama.
  4. Sistem Khalifah meletakkan nilai-nilai agama sebagai perlembagaan. Kerajaan Islam bergantung kepada hasil pungutan cukai dari bukan Islam dan zakat dari orang Islam. Berbanding sistem feudalisme yang  memiliki segala hasil pertanian dan perniagaan dalam negara tersebut. Rakyat sebagai pekerja atau buruh kepada pemerintah. Dalam sistem khalifah, peralihan kuasa adalah kerana perbezaan fahaman politik bukan perbezaan nilai sosial yang dianuti. Penganut agama lain boleh hidup secara aman dan kehidupan mereka tidak diganggu. Berbeza dengan otokrasi yang melarang dan menekan kehidupan rakyat yang berlainan fahaman kehidupan dengan pemerintah. Menurut perspektif Islam sistem pemerintahan yang bercanggah dengan konsep keadilan dianggap satu kezaliman. Sistem Komunisme dianggap satu kezaliman kerana pemerintah mempunyai kuasa mutlak sedangkan rakyat dianggap sebagai pekerja atau hamba. Pemusatan kuasa sepenuhnya kepada parti Komunis dan menafikan kewujudan sektor swasta dalam ekonomi. Kepimpinan yang berperikemanusiaan menunjukkan minat yang lebih terhadap kakitangannya. Ia mementingkan suasana kerja yang baik, dipupuk melalui jalinan persahabatan yang mesra di kalangan semua kakitangan. Konflik cuba dihindarkan dengan menganjurkan permuafakatan. Kaedah kepimpinan demokratik dikenali juga sebagai pemimpin mengalakkan kesemua kakitangan melibatkan diri dalam organisasinya. Peluang diberi kepada setiap ahli organisasi untuk memberikan pendapat atau pandangan sebelum sesuatu keputusan diambil.
    Sistem Pemerintahan Demokrasi bertentangan dengan sistem otokrasi. Demokrasi melambangkan kebebasan bersuara. Sistem ini boleh diterima dalam sistem pemerintahan Islam (perlu penyesuaian) kerana ia melambangkan pemilihan pemimpin oleh majoriti rakyat seperti yang berlaku dalam sejarah awal Islam.
    Islam merupakan agama demokrasi berdasarkan alasan berikut;


  • Menjamin kebebasan rakyat pelbagai latar belakang agama untuk menganut dan mengamalkan agama dan budaya.
  • Tiada perbezaan layanan kepada rakyat walaupun berlainan latar belakang.
  • Non Muslim boleh melakukan aktiviti harian tanpa sekatan kecuali ia menyebabkan kepentingan umat Islam.
     


PERBEZAAN DI ANTARA SISTEM PEMERINTAHAN OTOKRASI DAN KHALIFAH



  1. Sistem khalifah meletakkan nilai-nilai agama sebagai perlembagaan, manakala sistem otokrasi tidak diasaskan pada nilai-nilai agama. Otokrasi diasaskan atas nilai sosial yang boleh berubah dari semasa ke semasa.
  2. Penindasan dalam sistem khalifah adalah disebabkan faktor sikap peribadi dan perbezaan politik bukan pada nilai yang dianuti, berbanding otokrasi penindasan        boerlaku berpanjangan dan diwarisi dari satu generasi ke generasi. Peperangan yang berlaku antara negara Islam dan bukan Islam bukan berpunca sikap kuku besi pemerintah sistem khalifah tetapi sebab pertahanan dan kawalan sempadan.
     
    5.5 CABARAN KEPIMPINAN


  • Cabaran Globalisasi dan Integrasi Ekonomi.
  • Cabaran yang dihadapi oleh pemimpin hari ini jauh lebih kompleks, pelbagai perkara yang berlaku di luar jangka.
  • Kepimpinan Barat memecahkan dominasi sistem kepimpinan Islam dan Timur dengan penjajahan dan dasar politik hegemoni Barat.
  • Sekularisme sering dikaitkan dengan era kebangkitan Eropah. Ia berperanan sebagai hala tuju peradaban Barat yang menjauhkan diri dari pengaruh agama dan menjadikan kemodenan sebagai matlamat. Sekularisme yang diperkenalkan Barat banyak mempengaruhi sistem  Islam termasuk kepimpinan.
    5.6 ETIKA KEPIMPINAN DALAM ISLAM


  • Ikhlas dan benar kepada Allah. Keredhaan Allah dalam setiap gerak kerja. Bersih dari sikap sifat,  riya’, ujub, mahukan kedudukan pangkat dan sanjungan.
  • Berfikiran cerdas, bijaksana, berpengetahuan luas dan berpengalaman. Cepat memahami masalah, tidak pelupa dan tidak buntu. Tenang, tidak pemarah, bertimbang rasa, pengasih, lemah lembut dan menunaikan  janji.
  • Sabar kerana perjalanan dakwah tersangat panjang. Ia mesti dipimpin oleh mukmin yang tinggi sabarnya dan cekal menempuh perjuangan. Kepimpinan merupakan amanah Allah SWT kepada umat manusia kerana ia merupakan perkara asas untuk memakmurkan dunia.
    Pemerintahan Islam iaitu KHALIFAH merupakan pemerintahan yang bertanggungjawab menunaikan tuntutan Islam. Kaedah kepimpinan Barat boleh diterima pakai tetapi perlu disesuaikan dengan ajaran Islam. Kepimpinan Islam menghadapi cabaran yang perlu diselesaikan demi masa depan ummah.