Gambar disimpan untuk rujukan masa akan datang...arkib ada guna pada masa depan
Pages
▼
Wednesday, June 10, 2015
Sunday, June 7, 2015
Pengajaran Surah Yaasin
ANALISA SURAH YAASIN
Latar
Belakang
Surah Yaasin merupakan salah satu surah yang banyak sekali
dibaca oleh umat Islam di Malaysia. Ia dibaca di masjid dan surau pada malam
Jumaat atau sempena peristiwa tertentu. Tidak ketinggalan juga ia dibaca di
rumah-rumah untuk kenduri arwah atau lainnya. Kepada mereka yang membaca
al-Quran secara keseluruhan dari awal hingga akhir maka mereka juga akan
membaca surah ini. Dengan ini surah ini merupakan salah satu surah yang
paling banyak dibaca.
Sekalipun surah ini telah diterjemahkan ke
dalam bahasa Melayu tetapi masih ramai yang tidak dapat memahami maksudnya
dengan baik berkemungkinan kerana bahasanya yang sukar difahami.
Oleh itu dibawakan intipati surah ini
untuk memudahkan mengetahui isi kandungannya secara ringkas. Semoga kita dapat
beramal dengan isi kandungan Surah Yaasin ini seterusnya mendorong kita dapat
beramal dengan keseluruhan al-Quran.
Perkataan
Yaasin
Menurut kebanyakan ulama, huruf muqatta`ah
yang terdapat pada awal surah seperti يس , ألم , ص , ن dan lain-lain,
tiada yang mengetahui maksudnya yang sebenar kecuali Allah sahaja. Ini ialah
kerana tiada nas yang sahih menjelaskan maksud huruf muqatta`ah tersebut.
Huruf muqatta`ah yang terdapat pada awal surah adalah tanda
bahawa al-Quran itu datangnya daripada Allah s.w.t., bukan daripada Nabi
Muhammad s.a.w.
Pengajaran Surah Yaasin
Dalam Surah ini Allah s.w.t menyatakan
kepada manusia bahawa Nabi Muhammad s.a.w. adalah
Rasul-Nya. Balasan kepada mereka yang beriman kepadanya adalah keampunan dan
pahala yang besar dan indah/syurga, sebaliknya kepada mereka yang kufur
kepadanya adalah neraka jahanam.
Manusia hendaklah berfikir dengan melihat
kekuasaan-kekuasaan Allah. Antaranya Allah telah membinasakan mereka yang kufur
kepada para rasul sebelum mereka, Allah telah menghidupkan bumi yang
tandus dengan menumbuhkan tanam-tanaman yang menjadi makanan mereka, Allah yang
telah menjadikan sesuatu itu berpasangan, manusia dan lain-lain. Allah yang
telah menjadikan malam, siang, matahari, bulan, masing-masing dengan peranannya.
Sepatutnya mereka hendaklah beriman.
Dalam Surah Yaasin juga Allah
menyatakan tentang kedatangan Hari Kiamat. Ia datang dengan mengejut dengan
satu pekikan sahaja iaitu tiupan sangkala pertama manusia semua mati. Kemudian
Allah menyatakan mengenai kebangktan manusia dari kubur iaitu dengan satu
tiupan, iaitu tiupan sangkakala kedua semua manusia bangkit dari kubur dan
mereka akan menghadap Allah untuk dihisab dengan adil segala yang mereka telah
lakukan di dunia.
Ahli syurga masuk syurga dan ahli
neraka masuk neraka. Orang yang mengingkari hari kebangkitan bertanya siapakah
yang menghidupkan tulang yang telah reput? Allah menyuruh Rasul-Nya
menjawab,yang menghidupkannya ialah Yang menjadikannya sebelum benda itu ada,
Yang Maha mengetahui setiap sesuatu, Yang menjadikan api dari pohon
yang hijau, Yang berkuasa menjadikan langit dan
bumi. Yang menguasai dan memiliki segala sesuatu dan
kepada-Nyalah kamu semua akan dikembalikan. Itulah Allah Yang Maha pencipta
lagi Maha mengetahui. Keadaan kekuasaan-Nya apa bila Dia menghendaki sesuatu
itu jadi, maka jadilah ia.
Kandungan Surah Yaasin
• al-Quran kitab yang mengandungi hikmat
kebaikan kerana ia diturunkan oleh Allah Yang Maha Perkasa lagi Maha Penyayang
kepada Nabi Muhammad s.a.w. Sesungguhnya Nabi Muhammad adalah salah seorang
rasul yang berada di jalan yang benar, diutus kepada kaum yang sedang lalai
kerana mereka, bapa dan datuk nenek
mereka belum diberi peringatan. (2-6)
• Kebanyakan mereka diazab kerana mereka
benar-benar tidak mahu beriman. (7-10)
• Orang yang mendapat manfa'at dari seruan
Nabi ialah orang mukmin iaitu orang yang mengikut al-Quran dan takut kepada Allah yang dia tidak
melihat-Nya maka balasan baginya ialah mendapat keampunan dari Allah s.w.t. dan
pahala yang besar dan indah.(11)
• Allah s.w.t. membangkitkan orang yang
mati dan menulis segala yang mereka lakukan semasa hidup sama ada perkataan,
perbuatan dan tujuan serta kesan-kesannya.(12)
• Satu contoh pengajaran, di mana sebuah
kawasan/Qaryah yang telah diutuskan kepada penduduknya beberapa orang rasul dan
disokong oleh salah seorang lelaki yang tinggal di hujung qaryah tersebut,
tetapi mereka tetap tidak mahu beriman maka Allah binasakan semua penduduk
Qaryah tersebut dengan hanya satu pekikan kuat, mereka semua mati serta merta.(13-25,28, 29)
• Setelah lelaki yang menyokong
rasul-rasul tersebut mati, dia dimasukkan ke dalam syurga dan berkata: Alangkah
baiknya kalau kaumku mengetahui keadaanku di mana Allah telah mengampuni aku
dan menjadikan aku dari kalangan orang yang mendapat kemuliaan.(26-27)
• Sungguh malang kepada manusia yang
diutuskan rasul kepada mereka tetapi mereka memperolok-olokkan rasul tersebut.
Mengapa mereka tidak melihat kepada orang yang sebelum mereka yang telah
dibinasakan oleh Allah, mereka habis mati dan tidak boleh kembali ke dunia.
(30-31)
• Semua manusia/makhluk akan dihimpunkan
di hadapan Allah s.w.t. (untuk perbicaraan/ hisab).(32)
• Tanda-tanda keesaan, kekuasaan dan
kebesaran Allah amat banyak, di antaranya: Allah yang menghidupkan bumi yang
tandus, Allah yang mengeluarkan biji-bijian (seperti beras dan gandum) yang
mereka makan.(33)
• Allah menjadikan di atas muka bumi ini
kebun, seperti kebun tamar dan anggur dan
apa yang mereka usahakan supaya mereka dapat makan buah dan hasil
usahanya. Allah juga telah memancarkan mata air dari bumi tersebut. (34-35)
• Maha Suci Allah yang telah menjadikan
sesuatu itu berpasangan, tumbuh-tumbuhan, manusia dan lain-lain yang mereka
tidak mengetahuinya. (36)
• Tanda lain yang menunjukkan kepada
keesaan, kekuasaan dan kebesaran Allah ialah Allah menghilangkan siang dan
menjadi malam maka mereka berada dalam gelap. (37)
• Tanda lain ialah matahari dan bulan
masing-masing menjalankan peranannya dengan tepat mengikut apa yang telah ditetapkan oleh Allah
yang Maha Perkasa lagi Maha Mengetahui. (38-40)
• Tanda lain yang menunjukkan kepada
keesaan, kebesaran dan kekuasaan Allah ialah Allah membawa belayar keturunan
mereka dalam bahtera yang penuh sarat, kalau Allah kehendaki Allah boleh
tenggelamkan mereka dan tiada siapa yang boleh menolong dan menyelamatkan
mereka tetapi Allah beri rahmat kepada mereka,
mereka selamat serta dapat berseronok-seronok dalam beberapa lama. (41,
43, 44)
• Allah juga menjadikan untuk mereka
kenderaan lain yang seperti bahtera yang boleh mereka naikinya. (42)
• Apabila dikatakan kepada mereka, jagalah
diri kamu dari melakukan sebarang dosa, mudah-mudahan kamu dirahmati, (mereka
tidak mengendahkannya).(45)
• Setiap tanda yang datang dari Allah,
mereka tetap tidak menerimanya. (46)
• Orang kafir tidak mahu memberi
pertolongan kepada orang Mukmin yang miskin/susah (47)
• Orang kafir ingkar akan berlakunya Hari
Kiamat (48)
• Hari Kiamat akan berlaku dengan
mengejut, dengan satu pekikan sahaja iaitu tiupan sangkala pertama mereka semua
habis mati. Mereka tidak sempat berwasiat apa-apa pun dan tidak sempat kembali
menemui keluarganya. (49-50)
• Satu tiupan pada sangkakala iaitu tiupan
kedua semua manusia bangkit dari kubur dan mereka dihadapkan di hadapan Allah
untuk perbicaraan/hisab.(51- 53)
• Perbicaraan pada Hari Kiamat adalah amat
adil, tiada siapa pun yang dizalimi. Balasan mereka adalah mengikut apa yang
mereka lakukan semasa di dunia.(54)
• Penghuni syurga sibuk dengan keseronokan
bersama pasangan mereka di tempat yang teduh menikmati buah-buahan dan apa
sahaja yang mereka kehendaki, semuanya akan diberikan. (55-57)
• Mereka mendapat ucapan selamat sejahtera
dari Tuhan mereka. (58)
• Allah memberitahu manusia supaya jangan
sekali-kali menyembah syaitan kerana dia telah menyesatkan beberapa banyak
generasi manusia, tetapi kamu hendaklah menyembah Allah kerana itulah jalan
yang benar. (60-62)
• Kepada
orang kafir mereka dipisahkan daripada orang mukmin, lalu mereka dimasukkan ke
dalam neraka jahanam. Apabila mereka engkar terhadap apa yang mereka lakukan
semasa di dunia anggota-anggota mereka akan bercakap memperakui apa yang dibuat
dan disaksikan oleh anggota-anggota lain. (59, 63-65)
• Jika Allah hendak di dunia ini, Allah
berkuasa membutakan mata sehingga mereka tidak nampak dan jika Allah hendak
Allah boleh tukar badan mereka di tempat mereka berada sehingga mereka tidak
boleh mara ke hadapan atau undur ke belakang. (66-67)
• Allah s.w.t memberitahu manusia, sesiapa
sahaja yang dipanjangkan umurnya dia akan balik semula kepada serba kekurangan.
Mereka sepatutnya berfikir. (68)
• Allah s.w.t tidak mengajar syair kepada
Rasulullah s.a.w. tetapi apa yang diajar oleh Allah kepadanya adalah wahyu
supaya dia memberi peringatan kepada orang yang hidup dan kepada orang yang
ingkar balasannya adalah neraka jahanam. (69-70)
• Allah s.w.t. seterusnya menyuruh orang
kafir berfikir tidakkah Allah telah menjadikan untuk mereka binatang ternakan
untuk kegunaan mereka, ada untuk tunggangan, ada sebagai makanan dan ada untuk
minum susu dan berbagai-bagai manfaat lagi yang sepatutnya mereka bersyukur.
(71-73)
• Mereka menyembah selain dari Allah
bertujuan kononnya tuhan-tuhan itu akan memberi pertolongan kepada mereka,
sedangkan yang sebenarnya tuhan-tuhan itu tidak dapat menolong mereka dan
tuhan-tuhan itu akan dihimpunkan bersama-sama mereka, (bagi menambahkan lagi
dukacita dan kehinaan mereka). (74-75)
• Allah melarang Rasulullah s.a.w. dari
berdukacita disebabkan perkataan mereka kerana Allah sentiasa mengetahui
segala-galanya, sama ada yang mereka sembunyikan atau yang mereka nyatakan.
(76)
• Orang yang mengingkiri Hari Kebangkitan
hendaklah berfikir bahawasanya Allah telah menjadikannya dari nutfah yang lemah
maka mengapa pula dia sebagai penentang yang keras. (77)
• Orang kafir membandingkan Allah itu
seperti dirinya lupa akan kejadian dirinya lantas berkata: Siapakah yang
menghidupkan tulang-tulang yang telah reput. (78)
• Allah s.w.t. menyuruh Rasul-Nya
menjawab: Yang menghidupkannya ialah Yang menjadikan benda itu sebelum benda
itu ada, iaitu Allah Yang Maha mengetahui setiap kejadian yang menjadikan untuk
kamu api dari pokok yang masih hijau.
(79-80)
• Tidakkah yang berkuasa menjadikan langit
dan bumi berkuasa menghidupkan manusia yang telah mati? Bahkan, Dia adalah Maha
pencipta dan Maha mengetahui.(81)
• Sesungguhnya keadaan kekuasaan Allah itu
apabila menghendaki sesuatu, Allah berkata, jadi, maka benda itu jadi.(82)
• Maha Suci Allah yang menguasai dan
memiliki segala sesuatu dan kepada-Nya kamu semua dikembalikan.(83)
Wallahu A’lam