Sunday, September 22, 2013

Dedikasi Seorang Pensyarah


AMALAN DEDIKASI DALAM MENINGKATKAN KUALITI PENDIDIKAN
Oleh
MOHD ZUHAIRI SAFUAN (115144)
ACIS UiTM KELANTAN

Manusia dikenang kerana sifat dedikasinya; Nabi Muhammad s.a.w. memberi sumbangan kerana menyebarkan kebaikan Islam untuk manusia. Isaac Newton diingati kerana memperkenalkan teori kegravitian dan hukum gerakan. Begitu juga Albert Einstein kerana teori relativiti. Tsai Lun dari China mencipta kertas untuk manusia kemudiannya. Inspirasi Johann Gutenberg memajukan mesin percetakan yang asalnya untuk akhbar dan berkembang untuk percetakan buku. Oliver dan Wilbur Wright dihormati kerana dedikasinya mencipta kapalterbang dan menerbangkannya dari Peranchis hingga ke England. Adam Smith ahli ekonomi. Alexander The Great penakluk agong. Thomas Edison pencipta lampu. Henry Ford pencipta kereta. Sigmund Freud ilmuan psikologi. Semua mereka ini mencurahkan amalan dedikasi yang berpanjangan sebelum mencipta kejayaan.
Senarai yang masih panjang ini membicarakan dedikasi mereka terhadap apa yang mereka lakukan iaitu sumbangan kepada ilmu pengetahuan. Kejayaan mereka mendapat sanjungan dunia dan memberi manfaat kepada kemanusiaan. Menelusuri biografi tokoh-tokoh hebat yang memberikan dedikasi kepada kemanusiaan ini tidak lengkap jika tiada anggapan bahawa mereka ini pernah dituduh sebagai manusia gila tidak siuman hanya kerana dedikasi yang berterusan kepada ilmu  pengetahuan.
Top of Form
Bottom of Form
Menurut kamus Dewan, dedikasi ialah pengabdian diri, masa dan lain-lain sepenuhnya kepada sesuatu tujuan tertentu. Pengorbanan tenaga, fikiran dan masa demi menyempurnakan suatu usaha yang mulia untuk melaksanakan tuntutan ilmu dan kepakaran dalam hidup. Dedikasi ini merupakan keyakinan spiritual sehingga menyebabkan seseorang itu dalam hidupnya mengamalkan sifat  tekun, bersungguh-sungguh, tulus ikhlas dan berbakti menghasilkan proses kerja yang menyeluruh untuk menghasilkan sesuatu yang memuaskan hati. Dedikasi menzahirkan amalan rajin, bersemangat tinggi dan amanah terhadap tanggungjawab.
Setiap manusia secara semulajadinya mesti memiliki sifat dedikasi untuk hidup tanpa mengira siapa pun dia dan di mana pun ia tinggal serta apa jua pekerjaannya. Dedikasi inilah yang membolehkan ia hidup melakukan sesuatu, berhadapan dengan rintangan serta halangan dan berakhir dengan membina kehidupan yang sesempurna mungkin.
Sebagai seorang pensyarah, sifat dedikasinya tergambar apabila ia melupakan keselesaan hidup dan melihat masa sebagai suatu jalan lurus dengan memberikan tumpuan yang sepenuhnya untuk melakukan sesuatu yang boleh meningkatkan kualiti kerjanya melalui; pengajaran, penilaian, penyeliaan, penyelidikan dan penulisan. Untuk tujuan itu seorang pensyarah harus bersedia dari segi mental, fizikal dan masa untuk terlibat dalam pelbagai aktiviti seperti latihan perkhidmatan, kolaborasi kumpulan, refleksi kendiri, budaya ilmu, role-model akhlak yang baik, pemikiran kritis dan kreatif. Dalam masa yang sama ia juga harus bertindak bagai seorang pengurus yang bijaksana, ahli psikologi yang memberi motivasi dan ahli sosiologi yang memahami serta berkemahiran menggunakan teknologi maklumat terkini. Semua ini dapat dikuasai kerana amalan dedikasinya kepada tanggungjawab kerja. Dia mesti melaksanakan tanggungjawab terhadap kerjanya dengan penuh dedikasi kerana tugasnya tidaklah mudah. Ia mesti berhadapan dengan cabaran kerana pelajar yang diajar di dewan kuliah harus terhasil dalam bentuk graduan yang mempunyai ketinggian akademik, sahsiah terpuji, kreatif, kebolehpasaran, berpotensi dan berkemahiran dalam pelbagai bidang.
Sifat dedikasi ini adalah suatu yang positif kerana ia mempunyai kekuatan yang dapat melenyapkan kesukaran semasa bekerja dan menjadikan seseorang lebih  berinisiatif untuk melakukan sesuatu sehingga sempurna. Dedikasi untuk mencapai matlamat kerja sebagai suatu ibadah dapat mendekatkan diri dengan Allah Tuhan Sekelian Alam dan berpahala. Dedikasi dapat membantu manusia sejagat melalui apa sahaja yang  dilakukannya; baik di sektor ekonomi dengan bertanggungjawab, hubungan sosial yang harmonis dan amalan politik yang amanah. Mereka yang dedikasi ini melihat matlamat yang lebih jauh iaitu demi berbakti kepada Tuhan dan manusia sejagat.
Pensyarah yang dedikasi akan bersifat membantu sesiapa sahaja yang memerlukan ilmu pengetahuan dan tidak mengeluh di kala berhadapan dengan masalah kerjanya. Ini adalah rutin hidupnya. Dia perlu sentiasa membuat pembaikan proses pengajaran-pembelajaran yang dilakukannya dan tidak membiarkan sesuatu yang salah berterusan. Bahkan sentiasa berusaha mengatasi rintangan tanpa mengalah kepada keadaan. Pelajarnya yang datang dari pelbagai latar belakang diasuh  dengan dedikasi supaya ia beroleh ilmu pengetahuan yang bermanfaat dan memasuki pasaran kerja dengan kemahiran yang dipertingkatkan serta dididik menjadi manusia yang beradab baik.
Pensyarah yang dedikasi memperluaskan persediaan pengajarannya bagi memenuhi tuntutan perubahan globalisasi dengan bacaan yang mantap, hasil tulisan dan penyelidikan yang releven dan idea serta dorongan yang tajam. Dedikasi ini memerlukan banyak sumbangan, pengorbanan dan perhatian pensyarah dari segi masa, tenaga, wang. Masa kerjanya hanya di atas kertas 8 pagi hingga 5 petang tapi hakikatnya masa yang disumbangkan itu tidak ada sempadan yang nyata. Waktu senggang antara kelas, sebelah malam dan hujung minggunya dipenuhi dengan membaca, menulis buku atau artikel, membuat uji kaji dan menyemak kertas soalan. Banyak masa dikorban kerana dedikasi kepada kualiti pendidikan. Masa santai dan rehat didedikasikan untuk membaca, menyemak, memperbetul dan melapor. Banyak wang dibelanjakan untuk membeli buku, majalah, komputer, membuat perjalanan, bengkel dan seminar untuk memudahkan pengajaran dan menambah maklumat semasa.
Pensyarah yang dedikasi akan memperuntukkan perhatiannya dalam pembentukan sahsiah rupa diri dan dan prestasi pelajar serta keperluan pengembangan akademik organisasi. Memang benar dedikasi ini disebut seperti “membakar diri”. Al-Jahiz seorang ilmuan Islam menemui ajal di perpustakaan peribadinya ketika mendalami ilmu apabila ditimpa oleh buku-bukunya yang banyak. Dalam lingkungan profesion pensyarah, tidak kurang ada kalangan mereka yang ditimpa stress, darah tinggi, serangan jantung, tumor otak dan bergelut dengan ketidakcukupan kerana banyak yang dikorbankan kerana mendedikasikan diri dengan ilmu tetapi sering terlupa menjaga kesihatan diri dan fokus hidup.
Membalas jasa pensyarah yang dedikasi ini tidak cukup hanya dengan menghadiahkannya dengan plak, sijil penghargaan, anugerah dan hadiah wang. Ia dedikasi kerana ia suatu kepuasan yang taida tolok bandingannya. Namun itulah kedinamikan makhluk bernama manusia apabila ia membuat sesuatu ia melakukannya dengan bersungguh-sungguh untuk kepuasan dirinya demi Tuhannya dan untuk kebaikan manusia sejagat.
Manakala kualiti pula ialah darjah kecemerlangan yang tinggi dengan keupayaan untuk memenuhi dan memuaskan kehendak pelanggan. Kualiti mendorong seseorang untuk meningkatkan produktiviti dan mengurangkan kesilapan. Ia juga membentuk falsafah hidup kepada seorang pensyarah supaya dedikasi dalam pencarian ilmu, menjana kebijaksanaan dan melakukan kebaikan dalam bekerja. Dalam aspek perkhidmatan kerja, ciri-ciri kualiti adalah seperti keselesaan, kesopanan, kecekapan, keberkesanan, jujur, kebolehpercayaan, cepat, responsif dan keselamatan. Setiap organisasi terutamanya UiTM mesti mempunyai suatu sistem kualiti iaitu struktur organisasi, tanggungjawab, prosedur, proses dan sumber bagi melaksanakan pengurusan kualiti yang berkesan. Ia juga mesti menggunakan suatu proses yang dirancang dan tersusun mengenai kawalan kualiti (Quality Control) dan kepastian kualiti (Quality Assurance), teknik dan aktiviti operasi yang digunakan untuk memenuhi kehendak dan keperluan kualiti sehingga semua pensyarah perlu ada kesedaran, pengetahuan dan komitmen untuk memberikan perkhidmatan kerja yang berkualiti berserta dengan nilai, sikap berkualiti dan amalan operasi yang berkualiti. Semua ini dapat dirangkumkan betapa seorang pensyarah yang dedikasi dapat memberikan perkhidmatan pengajaran yang berkualiti bagi melahirkan graduan yang berpengetahuan dan berkemahiran tinggi sehingga menjadikan organisasi Uitm disegani dan dipandang tinggi kerana sumbangan yang tidak ternilai kepada sumber tenaga manusia untuk pembangunan negara Malaysia yang tercinta.


No comments:

Post a Comment