Pages

Tuesday, December 25, 2012

CLAIM APA YANG JADI HAK KITA

Saban bulan kita membayar bahagian kita...bila sampai ketikanya...kita patut dapat kembali apa yang kita laburkan suatu ketika dulu...

Friday, December 21, 2012

Kejayaan Alia Syafiqa PMR 2012

Alhamdulillah Syukur...
Rezeki dari Allah...
Atas kejayaan...ALIA SYAFIQA 
Kerana memperolehi keputusan 9A
Dalam peperiksaan PMR 2012
Di SMK Zainab 1, Kota Bharu, kelantan.

Tahniah!

Kejayaan ini bukan suatu yang mudah untuk digapai...
Ia memerlukan ketekunan, kesabaran, kepayahan yang tidak pernah putus...
Tidak sedikit yang perlu dikorbankan...
Jauh sekali untuk dilihat mudah tanpa kegigihan...
Semoga ia membuka rezeki untuk pergi lebih jauh dan lebih tinggi... dari Abah, Mama, Aina dan Aiza......
Insyaallah.



























Tuesday, November 20, 2012

Saturday, November 17, 2012

Pilihan Lain



Tuesday, November 6, 2012

Persaraan Prof Madya Dr Russanani Hassan

Di restoren Arab-Malaysia Tarbush milik kawanku Zainudin Hamid... Diadakan majlis farewell... Jasamu Dikenang. Selamat bersara Ustazah, Saya doakan sejahtera & rahmat. Saya pun akan menyusul...





Perkumpulan Warisan Che Isa

Setiap tahun keluarga Che Isa akan mengadakan pertemuan untuk merapatkan silaturahim, bercerita kisah suka dan duka, menikmati pelbagai juadah makanan dan sukaneka...



Friday, October 19, 2012

Semester bagi student Diploma hampir berakhir. Markah telah diupload, skrip dah dihantar, invigilation dah disempurnakan...fikiran sudah mula lapang...boleh mula tumpu pada student degree... dan kerja lain yang ditinggalkan ke tepi buat sementara. Aku akan bercuti seminggu untuk memberi tumpuan kembali kepada kerja koporat ku...cherrio...

Saturday, September 29, 2012

Kuliah September Program Degree UiTM Bermula

20 Jam seminggu untuk Bachelor marketing, ekonomi dan Finance..komited untuk tugas ini.

Wednesday, September 5, 2012

Iman & Amal Penting Bagi Setiap Muslim


IMAN DAN AMAL
OLEH
MOHD ZUHAIRI SAFUAN


“Sesiapa yang mengerjakan amal salih sama ada lelaki ataupun perempuan sedang ia beriman, sesungguhnya kami akan menghidupkannya dengan kehidupan yang penuh dengan kebaikan dan pasti Kami akan memberikan ganjaran kepada mereka dengan ganjaran yang lebih baik dari apa yang telah mereka lakukan”. (al-Nahl: 97)
Iman mengikut pengertian syarak ialah keyakinan yang teguh dalam hati, mengakui dengan lidah dan melaksanakan dengan anggota. Inilah yang dinamakan ketaatan, amal yang salih dan perlakuan yang baik. Iman sebagai syarat penerimaan terhadap sesuatu amalan yang dilakukan kerana tidak akan ada satu amalan pun yang akan diterima oleh Allah melainkan setelah ada iman di dalam diri pelakunya. Seseorang yang beriman dengan Allah sebagai Tuhan yang esa dan maha berkuasa, perlu mematuhi segala perintah dan larangan-Nya sehingga membentuk jati dirinya sebagai seorang manusia Islam.
“Bukanlah iman itu dengan berangan-angan mahupun berharap, tetapi iman ialah sesuatu yang menetap di dalam hati dan dibenarkan dengan amal”.  (Hadith riwayat Ibn-Najjar dan al-Dailamy)
Iman adalah fitrah yang dicipta Allah kepada manusia. Ia sifat jiwa manusia. Nabi Adam bersin menyebut “alhamdulillah”. Iman membentuk kecenderungan manusia. Manusia yang beriman akan mencorakkan hidupnya menurut peraturan agama. Iman menundukkan manusia kepada Allah dan membebaskannya dari perhambaan kepada yang boleh menjahanamkan hidupnya. Ia mendorong manusia hidup bersih dan suci. Merangsang manusia hormat-menghormati dan bersatupadu. Mengingatkan manusia mengenai kesabaran dan kebaikan sesama manusia. Iman yang benar memberi kesan kepada kepada manusia; jiwa kuat, yakin, tidak mudah kecewa, tidak lemah semangat; redha dan tenang, bersih dari penyakit hati; jiwa yang suka kebaikan dan membenci kejahatan;.
Iman mempunyai 6 rukun iaitu beriman kepada; Allah, malaikat, rasul, kitab, hari Akhirat dan qada’ dan qadar. Iman adalah pendorong kepada amal salih. Kafir pendorong kepada amal keburukan. Iman menjadi tenaga kepada jiwa. Manusia yang beriman akan gigih, sabar dan tabah mengharungi hidup, suka membantu, menjaga maruah diri. Walaupun ia tidak dipuji. Iman membawa kebahagiaan kerana manusia memperoleh perlindungan Allah dan bersama-sama manusia lain belajar, bekerja  dan solat. Tidak menyesali masa lalu dengan sedih menangis, tidak menghadapi masa kini dengan keluh kesah dan tidak menghadapi masa depan dengan takut. Tiada apa yang perlu ditakuti kerana Allah segala-galanya seperti rezeki, jodoh dan ajal. Iman menghasilkan harapan, optimis dan gembira kerana Allah maha berkuasa mengabulkan segala doa dan menolak kemudaratan. Jika sakit, tak putus asa. Jika dalam kesulitan, ia mengharapkan kemudahan. Iman menjadi pendinding amal dari melakukan perkara sia-sia, mungkar dan dosa. Iman menyebabkan kita menghargai masa (muda, sihat, lapang). Tidak lalai dan menangguh amal kebaikan, berdoa diberi kekuatan, kesihatan dan kebaikan.
“Orang yang melupakan Allah, maka Allah akan membuat mereka lupa kepada diri mereka sendiri” (al-Hasyr: 19)
“Apakah manusia menyangka bahawa mereka akan dibiarkan sahaja mengatakan; Kami telah beriman, sedangkan mereka tidak diuji lagi? Dan sesungguhnya Kami telah menguji orang-orang yang sebelum mereka...”. (al-Ankabut: 2-3)
Iman berdepan dengan ujian; suka dan duka sebagai bukti kebenaran ucapan lidah dan keyakinan hatinya. Iman boleh bertambah besar dan boleh mengecil hilang dengan; menambah ilmu, membanyakkan ibadah dan menjauhi segala larangan. Amal mendidik dengan persaudaraan, persamaan, kerja keras, sabar dan fokus. Amal memakmurkan dunia dengan pelbagai kegiatan. Tawakal bermaksud melakukan sebab amal dan menyerahkan hasilnya kepada keputusan baik dari Allah.
“Allah tidak mengubah nasib sesuatu kaum sehingga kaum itu sendiri mengubah nasib mereka sendiri”. (al-Ra’d: 11)
Amal dan perubahan bukan perkara mudah, ia perlu pengorbanan dan kekuatan iman. Adalah menjadi Sunnatullah, orang yang pemalas tidak akan memperoleh apa yang dicita-citakannya. Kita takut kepada Allah sebab itu kita menyempurnakan amal (Ihsan) seolah-olah Allah melihat amal kita. Ketenteraman jiwa dalam belajar kerana Allah bersama kita. Untuk kesempurnaan ibadah, penghayatan Islam dan untuk kebahagiaan hidup.

Friday, August 24, 2012

Konsep Syarikat

Revisited


BAB 8

KONSEP SYARIKAT
(AL-SYIRKAH/MUSYARAKAH)


  1. Pengenalan
Aktiviti ekonomi boleh dilakukan secara individu jika mempunyai kekuatan yang sepatutnya. Ia juga boleh dilaksanakan secara perkongsian atau usahasama bagi membentuk kekuatan bersama dan menggembeling kekuatan. Perniagaan secara perkongsian ini boleh dikembangkan terutama bagi menggembeling usaha dan modal sehingga muncul syarikat yang mampu menggunakan sumber  dalaman dengan efektif bagi menjana keuntungan.
                                                                                       
  1. Definasi
Percampuran harta yang dimiliki oleh dua orang sehingga tiada perbezaan di antara mereka. Dua orang atau lebih membuat perjanjian perkongsian untuk menjalankan sesuatu projek perniagaan dan mereka bersama menyumbang modal dan berkongsi untung-rugi. Syarikat ini meliputi kegiatan ekonomi kecil-kecilan, sederhana dan besar yang dilakukan secara perkongsian bijak.

  1. Jenis-Jenis Syarikat
            3.1 Syarikat al-Mufawadah (Sama banyak dalam semua hal, untung dan rugi)
Setiap rakan kongsi menyumbang sejumlah modal yang sama banyak dan mereka sama-sama berniaga. Sekiranya mendapat keuntungan (aset) ataupun mengalami kerugian (liabiliti), mereka akan membahagikannya sama banyak juga. Setiap mereka bertanggungjawab antara satu sama lain dengan perjanjian bertulis atau dengan lafaz yang diumumkan. Ia membawa maksud sama iaitu sama dari segi modal, untung dan pengurusannya.
Dari sudut istilah ia membawa maksud dua orang atau lebih berpakat dalam sesuatu kerja dengan syarat modal, pengurusan dan agama mereka adalah sama kedudukan dan masing-masing saling bertanggungjawab. Setiap mereka menjadi ejen kepada rakan kongsi yang lain dan berhak menjual atau membeli sesuatu, meminjam atau memberi pinjam sesuatu dengan mengikat rakan kongsi ayng lain. Syarikat ini mempunyai skop yang lebih luas mencakupi semua jenis syarikat dan mudarabah. Keuntungan yang diperolehi adalah dibahagi mengikut persetujuan bersama.

            3.2 Syarikat al-Inan (Sumbangan modal dan penerimaan untung yang berbeza)
Syarikat al-Inan ialah syarikat perkongsian dua orang atau lebih dan kalangan mereka yang mempunyai hak melakukan transaksi (tasarruf) dalam pengumpulan sejumlah harta dengan cara pembahagian yang dimaklumi atau dalam bentuk saham yang ditentukan. Mereka bekerja bersama-sama untuk 

Wednesday, August 22, 2012

Revisited: al-Rahn Bab 6

Revisited

al-Rahn

BAB 6
AL-RAHN
(Pajak Gadai Islam)




  1. Pengenalan
Al-Rahn merupakan salah satu mekanisme sistem ekonomi Islam sebagai suatu alternatif atau jalan keluar untuk menyelesaikan masalah untuk mendapatkan wang tunai segera terutama di kalangan masyarakat yang berpendapatan rendah dan miskin untuk mendapatkan pinjaman jangka pendek, segera dan mudah yang bebas dari amalan riba sebagai suatu bentuk amal salih, semangat persaudaraan, tolong menolong dan mengikut hukum Islam. Al-Rahn ditubuhkan atas dasar fardu Kifayah dan bukan atas dasar keuntungan semata-mata. Antara tujuan utamanya ialah untuk menghapuskan riba atau hasil bunga (faedah) dan gharar yang dikenakan oleh pengusaha kedai pajak gadai secara konvensional.

  1. Sejarah Perkembangan al-Rahn
Pajak gadai berkaitan dengan hutang dan berhutang merupakan sifat semulajadi manusia untuk mendapatkan barangan dan juga wang. Hutang menyebabkan wujud amalan riba sebagai jalan keluar untuk jaminan setiap hutang dibayar balik. Riba dikenakan oleh pemberi hutang dan mengenakan syarat sekiranya dalam tempoh tertentu sekiranya hutang gagal diselesaikan maka gadaian akan luput (hangus) atau menjadi hak milik pemberi hutang. Ini merupakan salah satu bentuk eksploitasi, tipu muslihat dan kezaliman orang yang berharta ke atas orang lain.
Di Malaysia industri Pajak Gadai tertakluk di bawah Akta Pemegang Pajak Gadai 1972 yang bercanggah dengan Islam iaitu mengenakan faedah atas pinjaman yang tidak melebihi 2% sebulan atas pinjaman (Seksyen 17) dan gadaian akan lesap selepas tempoh gadaian bagi pinjaman yang tidak melebihi RM100.
Untuk mengelakkan masyarakat Islam terus terjerumus kepada amalan ekonomi yang bertentangan dengan syariah, banyak negeri di Malaysia mula merintis ke arah penubuhan institusi al-Rahn. Pada tahun 1992, kerajaan Kelantan, Terengganu dan Bank Kerjasama Rakyat Malaysia Berhad telah menubuhkan institusi al-Rahn masing-masing. Ia beroperasi dengan memberi pinjaman ihsan sementara kepada yang memerlukan dengan cagaran atau barang sandaran yang berharga yang dinamakan marhun sebagai cagaran bagi hutang. Sekiranya hutang tersebut tidak dapat dibayar maka marhun itu akan digunakan untuk menjelaskan baki hutang. Tujuan marhun ialah untuk meyakinkan pemberi hutang/pemiutang bahawa risiko pembayaran semula hutang dapat dikurangkan. Dalam pada itu penghutang tidak perlu menanggung beban pembayaran semula hutang yang tinggi. Hutang itu pula adalah berdasarkan prinsip al-Qardh al-Hasan iaitu pinjaman tanpa faedah yang lebih bersifat kepada sikap tolong menolong dan bantu membantu sesama Islam dengan memperkenalkan pinjaman berdasarkan prinsip Qard al-Hasan yang tidak mengenakan sebarang kadar faedah terhadap pinjaman yang dibuat. Penggadai dikehendaki menyerahkan sejumlah barang emas sebagai sandaran terhadap pinjaman yang dibuat. Barang emas yang dicagarkan itu disimpan berdasarkan prinsip al-Wadi’ah iaitu akad di antara tuan punya barang dengan pihak yang menyimpan barang gadaian tersebut dengan mengenakan bayaran upah simpan selamat ke atas barang gadaian. Apabila cukup tempoh gadaian atau sebelumnya, penggadai dikehendaki membayar balik jumlah wang yang telah dipinjamkan kepadanya dahulu. Selepas itu penggadai berhak mendapatkan semula barang emas yang digadaikan dengan membayar sejumlah wang yang telah ditetapkan oleh institusi al-Rahn sebagai bayaran upah perkhidmatan atau ujrah kerana telah menyimpan dan menjaganya dengan selamat.  Butiran al-Rahn adalah seperti berikut;
Kadar pinjaman
Maksima RM5000.00
Barang yang digadai
Barang emas tulen
Keuntungan diperolehi
Bergantung kepada nilai emas yang digadai

Nilai barang emas
Upah perkhidmatan (Ujrah)
RM400.00 atau kurang
0.75%
RM401.00 – RM2000.00
0.90%
RM2001.00 – RM10,000.00
1.00%

Pada kebiasaannya pajak gadai konvensional menetapkan; apabila nilai barangan sandaran rendah maka tinggi kadar bunga, tidak memberikan nilai semasa barangan gadaian, penggadai akan kehilangan hak jika barang gadaian tidak ditebus dalam tempohnya. Ia penuh dengan muslihat dan tipu helah.

  1. Definasi al-Rahn
Pinjaman wang dengan meletakkan barangan (emas) sebagai cagaran dalam tempoh tertentu. Atau menjadikan sesuatu (barangan atau emas) sebagai cagaran (jaminan) kepada hutang yang menjadikannya sebagai bayaran sekiranya hutang tidak dapat dijelaskan.
Ia menjadikan sesuatu barang berharga sebagai cagaran yang terikat dengan hutang untuk menyakinkan pihak yang memberikan hutang bahawa haknya tidak akan hilang sekiranya peminjam tidak dapat membayar hutang tersebut.
Dalam bahasa Inggeris ia dikenali sebagai pawn dan mortgage iaitu cagaran yang diserahkan oleh penggadai atau peminjam kepada pihak yang memberikan pinjaman untuk jangka masa tertentu.

  1. Hukum al-Rahn
Keharusan al-Rahn dijelaskan oleh ayat al-Quran surah al-Baqarah ayat 283 yang bermaksud;
“Dan jika kamu berada di dalam musafir (lalu kamu berhutang atau memberi hutang yang bertempoh) sedangkan kamu tidak mendapati jurutulis maka hendaklah diadakan barang gadaian untuk dipegang oleh orangyang memberi hutang”.
Bahkan Rasulullah s.a.w. bergadai baju besinya untuk mendapatkan 30 sha  (50 kg) gandum untuk keluarganya dari seorang Yahudi bernama Abu Shaham dan baginda tidak dapat menebusnya sehingga kewafatannya.

  1. Rukun al-Rahn
5.1  Penggadai atau orang yang menggadai; iaitu orang yang berhutang.
5.2  Penerima gadaian atau pemegang gadaian; iaitu pihak yang memberi pinjaman.
5.3  Barang gadaian; iaitu barang berharga yang dipunyai oleh peminjam dan dalam kawalan penerima gadaian.
5.4   Tanggungan gadaian; iaitu jumlah yang dihutang.
5.5  Sighah atau perjanjian; iaitu perjanjian berkaitan pinjaman/ hutang dan gadaian.

  1. Falsafah al-Rahn
6.1  Keadilan
Islam menentang segala bentuk penindasan, eksploitasi pemberi hutang ke atas orang yang berhutang. Keadilan mesti ditegakkan dalam kehidupan bukan sahaja sesama Islam tetapi juga sesama manusia.

6.2  Konsep harta
Harta adalah milik Allah yang dikurniakan kepada manusia hasil dari daya usaha yang dibenarkan syarak. Ia dikawal oleh manusia dan menjadi tanggungjawab kepada manusia untuk menguruskannya sebaik mungkin.

6.3  Tanggungjawab
Penggadai dan pihak yang menerima gadaian mesti bertanggungjawab dengan tidak merampas, menipu dan sebagainya dan bermuamalah dengan batasan kemanusiaan untuk saling bantu membantu memberi modal kepada yang kurang berkemampuan.

6.4  Kebajikan
Transaksi gadaian merupakan kerja amal untuk semata-mata kebajikan dan pertolongan terhadap mereka yang memerlukan. Ia bukan bermotifkan keuntungan walaupun ia adalah suatu industri perniagaan.

  1. OPERASI AL-RAHN DI MALAYSIA
7.1  Qard al-Hasan
Merupakan pinjaman tanpa faedah semata-mata untuk mencari kebaikan / kebajikan. Peminjam hanya perlu membayar pokok pinjaman sahaja. Tiada bayaran lain yang dikenakan. Walau bagaimanapun sekiranya penggadai hendak memberikan saguhati / hadiah kepada pemberi pinjaman adalah dibenarkan.

7.2  Bai Bi Thaman Ajil
Merupakan bayaran ansuran pinjaman. Penjual barangan memberikan barangan kepada pembeli tetapi pembeli menangguhkan bayaran sehingga ke suatu tempoh tertentu.

7.3  Bai Wafa’
Jual beli hutang iaitu perniagaan hutang apabila seseorang yang memberi hutang kepada pihak lain boleh menjual haknya untuk mengutip hutang itu kepada pihak lain menurut sebagaimana harga yang dipersetujui.

7.4  Bayaran Perkhidmatan
Sejumlah bayaran tertentu meliputi kawalan keselamatan, lesen, deposit, sewa bangunan dan sebagainya untuk menjalankan operasi syarikat al-Rahn.

7.5  Upah Simpan
Bayaran untuk selain bayaran perkhidmatan seperti membayar gaji pekerja al-Rahn. Ia dikenakan berdasarkan nilai barangan gadaian (emas tulen).

7.6  Barang gadaian tidak lupus
Barang yang digadai walaupun nilai gadaian itu pada kadar 65% atau 50% adalah menjadi hak penggadai dan tidak akan lupus bahkan jika ada lebihan hasil dari proses lelongan hendaklah diserahkan kepada penggadai kerana ia tidak boleh mengambil hak orang lain.

7.7  Kadar upah mengikut nilai barang
Setelah penggadai membayar pinjamannya, ia boleh mendapatkan kembali barang gadaiannya dengan membayar sama upah simpan barang berdasarkan nilai barangan gadaian dan bukannnya jumlah pinjaman.

7.8  Lelong sebagai jalan terakhir
Melelong atau menjual barangan gadaian (emas) dibenarkan dengan syarat mendapat izin dari penggadai terlebih dahulu walaupun penerima gadaian juga mempunyai hak. Akan tetapi sekiranya penggadai enggan maka penerima gadaian boleh membawa tuntutan ke mahkamah bagi mendapatkan haknya kembali (hutang).

  1. PAJAK GADAI KONVENSIONAL: SUATU PERBANDINGAN DENGAN AL-RAHN
8.1  Tidak mengenakan faedah tetapi mengenakan bayaran upah simpan. Pajak gadai konvensional mengenakan kadar faedah (riba) yang tinggi bagi pinjaman yang diberikan.
8.2  Nilai gadaian emas adalah mengikut harga semasa. Pajak gadai konvensional memberikan nilai gadaian yang rendah yang tidak berdasarkan barangan gadaian.
8.3  Perjanjian gadaian mudah difahami terma rujukannya sedangkan surat gadaian pajak gadai konvensional sukar difahami dengan tujuan untuk menjerat penggadai. Ada kalanya kadar faedah tidak dipamerkan untuk tatapan umum. Ini menjerat kalangan mereka yang tidak memahami prosedur pajak gadai.
8.4  Acara lelong barang gadaian yang tidak dapat ditebus akan diberitahu kepada penggadai. Pajak gadai konvensional melelong gadaian tanpa memberitahu penggadai supaya pemberi hutang gadaian boleh memindahkan milik barang gadaian kepada mereka.
8.5  Wang lebihan gadaian akan diberikan kepada penggadai setelah ditolak hutang dan kos acara lelongan. Barang gadaian yang tidak ditebus selepas tamat tempoh pinjaman akan dilelong mengikut harga pasaran semasa. Hasil lelongan akan ditolak pinjaman yang tidak berbayar, upah simpan dan kos-kos lain yang terbabit. Bakinya akan dipulangkan kepada penggadai. Pajak gadai konvensional tidak memulangkan wang lebihan gadaian kepada penggadai.
8.6  Al-Rahn mengisytiharkan kepada penggadai dan masyarakat umum acara lelongan. Bagi pajak gadai konvensional, acara lelong tidak dimaklumkan secara meluas bahkan tempat dan masa tidak diberitahu. Barang gadaian yang hendak dilelong juga tidak dipamerkan.

  1. PENUTUP
Sistem al-Rahn pesat berkembang di Malaysia. Banyak syarikat al-Rahn muncul seperti Sistem Gadaian Islam Kelantan (al-Rahn), Muassasah Gadaian Islam Terengganu, Sistem Gadaian al-Rahn Bank Kerjasama Rakyat Malaysia Berhad (Bank Rakyat), Sistem Gadaian Islam Bank Islam Malaysia Berhad dan Sistem gadaian Islam (al-Rahn) Pahang. Ia menjadi satu pilihan bagi skim kredit mikro bagi mengatasi masalah kewangan untuk kegiatan ekonomi kecil dan sederhana malah membuktikan kepentingan emas sebagai cagaran/sandaran dalam urusan peminjaman wang dan selaras dengan dasar Islam iaiu saling tolong menolong antara manusia.




Monday, July 30, 2012

Ramadan Adalah Perjuangan


RAMADAN ADALAH PERJUANGAN
Oleh
Mohd Zuhairi Safuan


1. IBADAH PUASA RAMADAN: RAHMAT: Islam mewajibkan berbagai bentuk ibadat. Bulan Ramadan merupakan bulan yang mempunyai banyak kelebihan. Kedatangannya selepas dua bulan istimewa iaitu Rejab dan Sya'ban. Menyuburkan rasa tanggungjawab dan rasa ingin menambahkan ibadat kepada Allah sepanjang Ramadan ini. Apabila telah tibanya Ramadan, dibuka pintu-pintu syurga dan ditutup segala pintu neraka dan diikat segala syaitan. Sesiapa yang berpuasa Ramadan dengan penuh keimanan dan keikhlasan nescaya akan diampun segala dosanya yang telah lalu. Bau mulut orang berpuasa lebih harum di sisi Allah pada hari Kiamat daripada bau kasturi. Bagi orang berpuasa dua kegembiraan iaitu; waktu berbuka dan apabila bertemu Tuhannya. Puasa ialah ibadat menahan diri dari makan dan minum dan hubungan seks dengan isteri dari terbit fajar hingga terbenam matahari. Puasa adalah perisai kerana dilarang bercumbu, tidak meninggikan suara, bertengkar, jauhi mengumpat, saksi bohong, maksiat anggota dan pancaindera. Sabar pahalanya syurga, bertimbang rasa, ditambah rezeki dan mendapat keampunan. Menahan keinginan nafsu sebagai latihan berjuang menentang musuh. Puasa latihan sifat sabar, tenang  dan kuat iman. Niat beribadah Jauhi sifat keji seperti  mengumpat, mengeji, berbohong, buat maksiat, leka, lalai, megah, takbur. Amal puasa dengan ikhlas. Penganut agama lain pun telah mengamalkan puasa. Puasa tidak menghalang kerja dan solat. Islam menjadikan puasa; latihan jasmani dan rohani. Jasmani; menghindari sisa keracunan, kelebihan zat. Rohani; membersih jiwa, mendapatkan keredaan Ilahi, tingkatkan iman dan takwa. Perasaan simpati terhadap penderitaan orang kelaparan dan susah secara amalan bukan sahaja dengan perkataan. Orang kaya mengosongkan perut untuk menolong si miskin. Hidup sederhana. Jauhi boros atau membazir. Tidak makan sebelum lapar. Seimbangkan keperluan perut antara makanan, minuman dan udara. 11 bulan perut bekerja, Ramadan merehat dan menguatkan perut. Tidak berlebih-lebihan dalam makan minum. Berat badan dan lemak akan berkurang. Ramadan bulan peluang mencapai keredaan dan kemenangan. Wujud perkaitan erat puasa dan jihad. Jihad antara lain menentang musuh Islam dan syaitan. Ia bukan musim kenduri keramaian makanan yang lazat. Banyakkan membaca al-Quran, berzikir dan solat berjemaah.  Sifat pemurah mencari pahala. Fidyah ialah memberi makan seorang miskin dengan cukup lauknya iaitu makanan yang mengenyangkan.
2. MALAM LAILATUL QADAR: KEAMPUNAN. Berusaha memperolehi malam yang ganjaran pahalanya sama dengan 1000 bulan = 83 tahun 4 bulan. Setiap detik malam itu mesti dimanfaatkan dengan: solat berjemaah maghrib, isyak dan subuh; solat tarawih, sunat rawatib, tahajud, witir; iktikaf di masjid; berdoa. Peristiwa Nuzul al-Quran berlaku pada malam Jumaat, 17 Ramadan tahun ke 41 Nabi Muhamad s.a.w. ‘Nuzul’ bererti turun atau berpindah dari atas ke bawah. Al-Quran mukjizat terbesar baginda. ‘Al-Quran’ bererti bacaan atau himpunan. Di dalamnya terhimpun ayat pelbagai perkara seperti tauhid, ibadat, jinayat, muamalat, sains, teknologi dan sebagainya. Tidak ada satu perkara pun yang dicuaikan atau tertinggal di dalam al-Quran. Dengan lain perkataan segalanya terdapat di dalam al-Quran. Ia adalah hidayah, rahmat, syifa, nur, furqan dan pemberi penjelasan bagi manusia. Isi kandungannya benar. Al-Quran juga dikenali sebagai Al-Nur bererti cahaya yang menerangi, al-Furqan bererti yang dapat membezakan di antara yang hak dan batil dan al-Zikr pula bermaksud yang memberi peringatan. Ayat al-Quran yang mula-mula diturunkan Allah melalui perantaraan malaikat Jibril ialah lima ayat pertama surah Al-‘Alaq. maksudnya: ”Bacalah (wahai Muhammad) dengan nama Tuhan mu yang menciptakan (sekalian makhluk), Ia menciptakan manusia dari sebuku darah beku; Bacalah, dan Tuhan mu Yang Maha Pemurah, -Yang mengajar manusia melalui pena dan tulisan, -Ia mengajarkan manusia apa yang tidak diketahuinya.” (al-‘alaq:1-5)
Lailatul Qadar pula ialah suatu malam pada bulan Ramadan yang begitu istimewa sekali fadilatnya. Malam al-Qadar adalah suatu malam yang biasanya berlaku pada 10 akhir Ramadan dan amalan pada malam itu lebih baik baik dari 1000 bulan. Al-Quran dan malam Lailatul Qadar mempunyai hubungan erat sebagaimana ayat bermaksud: “Sesungguhnya Kami telah menurunkan (Al-Quran) ini pada Malam Lailatul Qadar, Dan apa jalannya engkau dapat mengetahui apa dia kebesaran Malam Lailatul-Qadar itu? Malam Lailatul-Qadar lebih baik daripada seribu bulan. Pada Malam itu, turun malaikat dan Jibril dengan izin Tuhan mereka, kerana membawa segala perkara (yang ditakdirkan berlakunya pada tahun yang berikut); Sejahteralah Malam (yang berkat) itu hingga terbit fajar!” (al-Qadar:1-5).
Ayat ini diturunkan  berdasarkan satu riwayat dari Ali bin Aurah, pada satu hari Rasulullah telah menyebut 4 orang Bani Israel yang telah beribadah kepada Allah selama 80 tahun. Mereka sedikit pun tidak derhaka kepada Allah, lalu para sahabat kagum dengan perbuatan mereka itu. Jibril datang memberitahu kepada Rasulullah menyatakan  bahawa Allah menurunkan yang lebih baik dari amalan mereka. Jibril pun membaca surah al-Qadar dan Jibril berkata kepada Rasulullah ayat ini lebih baik daripada apa yang kamu kagumkan. Rasulullah dan para sahabat amat gembira. Hadith yang lain Aishah meriwayatkan bahawa Rasulullah bersabda; “Bersedialah dengan bersungguh-sungguh untuk menemui malam Lailatul Qadar pada malam-malam yang ganjil dalam 10 malam yang akhir daripada bulan Ramadan”.
Menghayati nuzul al-Quran peristiwa besar penuh hikmah bererti melihat al-Quran sebagai kitab ilmu pengetahuan untuk memajukan manusia. Dasar keimanan tentang Lailatul Qadar ialah: Al-Quran diturunkan pada malam Lailatul Qadr. Lailatul Qadr lebih baik daripada seribu bulan. Malaikat dan ruh diturunkan pada malam tersebut. Sejahtera malam itu hingga terbit fajar (masuknya waktu Subuh). Ibadah yang jujur, ikhlas, konsisten, iltizam dan khusyuk pada sebarang masa. Tiada tanda-tanda fizikal yang dijelaskan oleh nas kecuali khabar-khabar angin semata. Lailatul Qadar dipilih pada 10 malam terakhir kerana kebijaksanaan Allah setelah 20 hari berpuasa manusia sudah mencapai tahap kerohanian yang tinggi dalam amalannya. Malaikat turun pada malam tersebut sehingga terdorong orang mukmin melakukan ibadah dengan izin Allah s.w.t. dan merasai sejahtera dan selesa hingga pagi. Amalan yang patut dilakukan pada malam Lailatul Qadar ialah membanyakkan ibadah, membaca al-Quran, iktikaf dan berdoa. Tanda berlakunya Lailatul Qadar ialah langit bersih, terang seperti bulan purnama, tenang, tidak dingin dan tidak pula panas. Pada pagi harinya putih tanpa sinar. Malam al-Qadar tidak dapat dirasai atau dialami oleh pancaindera. Kalau perkara pelik berlaku hanya satu kebetulan dan ketentuan Allah. Pertingkatkan amalan pada 10 malam terakhir Ramadan kerana jika pun bertemu dengan malam Lailatul Qadar tetapi tidak mempunyai amalan, persiapan ibadah atau penyucian batin, maka tiada mendapat keberkatan dan manafaat malam tersebut.
3. AIDIL FITRI: KEJAYAAN: 1 syawal. Aidil fitri ertinya kembali kepada suci bersih dari dosa. Semangat dan latihan Ramadan patut diteruskan pada bulan yang lain sepanjang usia. Simbol kegembiraan kejayaan melaksanakan puasa selama satu bulan dan pengakuan terhadap kebesaran dan keagungan Allah. Mandi sunat hariraya dan memakai wangian serta pakaian yang terbaik bagi menunaikan solat sunat hari raya fitrah. Laungan Takbir, tahmid, tasbih dan istighfar serta membaca  al-Quran dan berdoa pada malam hari raya hingga solat hari raya. Syukur kejayaan menempuh cabaran ramadan. Makan sebelum menuju ke masjid. Banyakkan sedekah, berziarah dan bermaafan. Ziarah orang muda kepada yang tua. Makan bersama boleh eratkan kemesraan. Besederhana dan tawaduk dalam persiapan hari raya. Adakan rumah terbuka. Bukan untuk bermegah tetapi untuk bermaafan. Dapatkan hiburan yang menenangkan fikiran dan tidak melalaikan. Tidak semua program media untuk semua orang bagi setiap masa. Mesti bijak memilih. Budaya sedekah dan derma duit raya selepas berzakat fitrah. Menziarahi kubur, insaf dan berdoa serta membantu golongan susah.