Pages

Friday, August 24, 2012

Konsep Syarikat

Revisited


BAB 8

KONSEP SYARIKAT
(AL-SYIRKAH/MUSYARAKAH)


  1. Pengenalan
Aktiviti ekonomi boleh dilakukan secara individu jika mempunyai kekuatan yang sepatutnya. Ia juga boleh dilaksanakan secara perkongsian atau usahasama bagi membentuk kekuatan bersama dan menggembeling kekuatan. Perniagaan secara perkongsian ini boleh dikembangkan terutama bagi menggembeling usaha dan modal sehingga muncul syarikat yang mampu menggunakan sumber  dalaman dengan efektif bagi menjana keuntungan.
                                                                                       
  1. Definasi
Percampuran harta yang dimiliki oleh dua orang sehingga tiada perbezaan di antara mereka. Dua orang atau lebih membuat perjanjian perkongsian untuk menjalankan sesuatu projek perniagaan dan mereka bersama menyumbang modal dan berkongsi untung-rugi. Syarikat ini meliputi kegiatan ekonomi kecil-kecilan, sederhana dan besar yang dilakukan secara perkongsian bijak.

  1. Jenis-Jenis Syarikat
            3.1 Syarikat al-Mufawadah (Sama banyak dalam semua hal, untung dan rugi)
Setiap rakan kongsi menyumbang sejumlah modal yang sama banyak dan mereka sama-sama berniaga. Sekiranya mendapat keuntungan (aset) ataupun mengalami kerugian (liabiliti), mereka akan membahagikannya sama banyak juga. Setiap mereka bertanggungjawab antara satu sama lain dengan perjanjian bertulis atau dengan lafaz yang diumumkan. Ia membawa maksud sama iaitu sama dari segi modal, untung dan pengurusannya.
Dari sudut istilah ia membawa maksud dua orang atau lebih berpakat dalam sesuatu kerja dengan syarat modal, pengurusan dan agama mereka adalah sama kedudukan dan masing-masing saling bertanggungjawab. Setiap mereka menjadi ejen kepada rakan kongsi yang lain dan berhak menjual atau membeli sesuatu, meminjam atau memberi pinjam sesuatu dengan mengikat rakan kongsi ayng lain. Syarikat ini mempunyai skop yang lebih luas mencakupi semua jenis syarikat dan mudarabah. Keuntungan yang diperolehi adalah dibahagi mengikut persetujuan bersama.

            3.2 Syarikat al-Inan (Sumbangan modal dan penerimaan untung yang berbeza)
Syarikat al-Inan ialah syarikat perkongsian dua orang atau lebih dan kalangan mereka yang mempunyai hak melakukan transaksi (tasarruf) dalam pengumpulan sejumlah harta dengan cara pembahagian yang dimaklumi atau dalam bentuk saham yang ditentukan. Mereka bekerja bersama-sama untuk 

Wednesday, August 22, 2012

Revisited: al-Rahn Bab 6

Revisited

al-Rahn

BAB 6
AL-RAHN
(Pajak Gadai Islam)




  1. Pengenalan
Al-Rahn merupakan salah satu mekanisme sistem ekonomi Islam sebagai suatu alternatif atau jalan keluar untuk menyelesaikan masalah untuk mendapatkan wang tunai segera terutama di kalangan masyarakat yang berpendapatan rendah dan miskin untuk mendapatkan pinjaman jangka pendek, segera dan mudah yang bebas dari amalan riba sebagai suatu bentuk amal salih, semangat persaudaraan, tolong menolong dan mengikut hukum Islam. Al-Rahn ditubuhkan atas dasar fardu Kifayah dan bukan atas dasar keuntungan semata-mata. Antara tujuan utamanya ialah untuk menghapuskan riba atau hasil bunga (faedah) dan gharar yang dikenakan oleh pengusaha kedai pajak gadai secara konvensional.

  1. Sejarah Perkembangan al-Rahn
Pajak gadai berkaitan dengan hutang dan berhutang merupakan sifat semulajadi manusia untuk mendapatkan barangan dan juga wang. Hutang menyebabkan wujud amalan riba sebagai jalan keluar untuk jaminan setiap hutang dibayar balik. Riba dikenakan oleh pemberi hutang dan mengenakan syarat sekiranya dalam tempoh tertentu sekiranya hutang gagal diselesaikan maka gadaian akan luput (hangus) atau menjadi hak milik pemberi hutang. Ini merupakan salah satu bentuk eksploitasi, tipu muslihat dan kezaliman orang yang berharta ke atas orang lain.
Di Malaysia industri Pajak Gadai tertakluk di bawah Akta Pemegang Pajak Gadai 1972 yang bercanggah dengan Islam iaitu mengenakan faedah atas pinjaman yang tidak melebihi 2% sebulan atas pinjaman (Seksyen 17) dan gadaian akan lesap selepas tempoh gadaian bagi pinjaman yang tidak melebihi RM100.
Untuk mengelakkan masyarakat Islam terus terjerumus kepada amalan ekonomi yang bertentangan dengan syariah, banyak negeri di Malaysia mula merintis ke arah penubuhan institusi al-Rahn. Pada tahun 1992, kerajaan Kelantan, Terengganu dan Bank Kerjasama Rakyat Malaysia Berhad telah menubuhkan institusi al-Rahn masing-masing. Ia beroperasi dengan memberi pinjaman ihsan sementara kepada yang memerlukan dengan cagaran atau barang sandaran yang berharga yang dinamakan marhun sebagai cagaran bagi hutang. Sekiranya hutang tersebut tidak dapat dibayar maka marhun itu akan digunakan untuk menjelaskan baki hutang. Tujuan marhun ialah untuk meyakinkan pemberi hutang/pemiutang bahawa risiko pembayaran semula hutang dapat dikurangkan. Dalam pada itu penghutang tidak perlu menanggung beban pembayaran semula hutang yang tinggi. Hutang itu pula adalah berdasarkan prinsip al-Qardh al-Hasan iaitu pinjaman tanpa faedah yang lebih bersifat kepada sikap tolong menolong dan bantu membantu sesama Islam dengan memperkenalkan pinjaman berdasarkan prinsip Qard al-Hasan yang tidak mengenakan sebarang kadar faedah terhadap pinjaman yang dibuat. Penggadai dikehendaki menyerahkan sejumlah barang emas sebagai sandaran terhadap pinjaman yang dibuat. Barang emas yang dicagarkan itu disimpan berdasarkan prinsip al-Wadi’ah iaitu akad di antara tuan punya barang dengan pihak yang menyimpan barang gadaian tersebut dengan mengenakan bayaran upah simpan selamat ke atas barang gadaian. Apabila cukup tempoh gadaian atau sebelumnya, penggadai dikehendaki membayar balik jumlah wang yang telah dipinjamkan kepadanya dahulu. Selepas itu penggadai berhak mendapatkan semula barang emas yang digadaikan dengan membayar sejumlah wang yang telah ditetapkan oleh institusi al-Rahn sebagai bayaran upah perkhidmatan atau ujrah kerana telah menyimpan dan menjaganya dengan selamat.  Butiran al-Rahn adalah seperti berikut;
Kadar pinjaman
Maksima RM5000.00
Barang yang digadai
Barang emas tulen
Keuntungan diperolehi
Bergantung kepada nilai emas yang digadai

Nilai barang emas
Upah perkhidmatan (Ujrah)
RM400.00 atau kurang
0.75%
RM401.00 – RM2000.00
0.90%
RM2001.00 – RM10,000.00
1.00%

Pada kebiasaannya pajak gadai konvensional menetapkan; apabila nilai barangan sandaran rendah maka tinggi kadar bunga, tidak memberikan nilai semasa barangan gadaian, penggadai akan kehilangan hak jika barang gadaian tidak ditebus dalam tempohnya. Ia penuh dengan muslihat dan tipu helah.

  1. Definasi al-Rahn
Pinjaman wang dengan meletakkan barangan (emas) sebagai cagaran dalam tempoh tertentu. Atau menjadikan sesuatu (barangan atau emas) sebagai cagaran (jaminan) kepada hutang yang menjadikannya sebagai bayaran sekiranya hutang tidak dapat dijelaskan.
Ia menjadikan sesuatu barang berharga sebagai cagaran yang terikat dengan hutang untuk menyakinkan pihak yang memberikan hutang bahawa haknya tidak akan hilang sekiranya peminjam tidak dapat membayar hutang tersebut.
Dalam bahasa Inggeris ia dikenali sebagai pawn dan mortgage iaitu cagaran yang diserahkan oleh penggadai atau peminjam kepada pihak yang memberikan pinjaman untuk jangka masa tertentu.

  1. Hukum al-Rahn
Keharusan al-Rahn dijelaskan oleh ayat al-Quran surah al-Baqarah ayat 283 yang bermaksud;
“Dan jika kamu berada di dalam musafir (lalu kamu berhutang atau memberi hutang yang bertempoh) sedangkan kamu tidak mendapati jurutulis maka hendaklah diadakan barang gadaian untuk dipegang oleh orangyang memberi hutang”.
Bahkan Rasulullah s.a.w. bergadai baju besinya untuk mendapatkan 30 sha  (50 kg) gandum untuk keluarganya dari seorang Yahudi bernama Abu Shaham dan baginda tidak dapat menebusnya sehingga kewafatannya.

  1. Rukun al-Rahn
5.1  Penggadai atau orang yang menggadai; iaitu orang yang berhutang.
5.2  Penerima gadaian atau pemegang gadaian; iaitu pihak yang memberi pinjaman.
5.3  Barang gadaian; iaitu barang berharga yang dipunyai oleh peminjam dan dalam kawalan penerima gadaian.
5.4   Tanggungan gadaian; iaitu jumlah yang dihutang.
5.5  Sighah atau perjanjian; iaitu perjanjian berkaitan pinjaman/ hutang dan gadaian.

  1. Falsafah al-Rahn
6.1  Keadilan
Islam menentang segala bentuk penindasan, eksploitasi pemberi hutang ke atas orang yang berhutang. Keadilan mesti ditegakkan dalam kehidupan bukan sahaja sesama Islam tetapi juga sesama manusia.

6.2  Konsep harta
Harta adalah milik Allah yang dikurniakan kepada manusia hasil dari daya usaha yang dibenarkan syarak. Ia dikawal oleh manusia dan menjadi tanggungjawab kepada manusia untuk menguruskannya sebaik mungkin.

6.3  Tanggungjawab
Penggadai dan pihak yang menerima gadaian mesti bertanggungjawab dengan tidak merampas, menipu dan sebagainya dan bermuamalah dengan batasan kemanusiaan untuk saling bantu membantu memberi modal kepada yang kurang berkemampuan.

6.4  Kebajikan
Transaksi gadaian merupakan kerja amal untuk semata-mata kebajikan dan pertolongan terhadap mereka yang memerlukan. Ia bukan bermotifkan keuntungan walaupun ia adalah suatu industri perniagaan.

  1. OPERASI AL-RAHN DI MALAYSIA
7.1  Qard al-Hasan
Merupakan pinjaman tanpa faedah semata-mata untuk mencari kebaikan / kebajikan. Peminjam hanya perlu membayar pokok pinjaman sahaja. Tiada bayaran lain yang dikenakan. Walau bagaimanapun sekiranya penggadai hendak memberikan saguhati / hadiah kepada pemberi pinjaman adalah dibenarkan.

7.2  Bai Bi Thaman Ajil
Merupakan bayaran ansuran pinjaman. Penjual barangan memberikan barangan kepada pembeli tetapi pembeli menangguhkan bayaran sehingga ke suatu tempoh tertentu.

7.3  Bai Wafa’
Jual beli hutang iaitu perniagaan hutang apabila seseorang yang memberi hutang kepada pihak lain boleh menjual haknya untuk mengutip hutang itu kepada pihak lain menurut sebagaimana harga yang dipersetujui.

7.4  Bayaran Perkhidmatan
Sejumlah bayaran tertentu meliputi kawalan keselamatan, lesen, deposit, sewa bangunan dan sebagainya untuk menjalankan operasi syarikat al-Rahn.

7.5  Upah Simpan
Bayaran untuk selain bayaran perkhidmatan seperti membayar gaji pekerja al-Rahn. Ia dikenakan berdasarkan nilai barangan gadaian (emas tulen).

7.6  Barang gadaian tidak lupus
Barang yang digadai walaupun nilai gadaian itu pada kadar 65% atau 50% adalah menjadi hak penggadai dan tidak akan lupus bahkan jika ada lebihan hasil dari proses lelongan hendaklah diserahkan kepada penggadai kerana ia tidak boleh mengambil hak orang lain.

7.7  Kadar upah mengikut nilai barang
Setelah penggadai membayar pinjamannya, ia boleh mendapatkan kembali barang gadaiannya dengan membayar sama upah simpan barang berdasarkan nilai barangan gadaian dan bukannnya jumlah pinjaman.

7.8  Lelong sebagai jalan terakhir
Melelong atau menjual barangan gadaian (emas) dibenarkan dengan syarat mendapat izin dari penggadai terlebih dahulu walaupun penerima gadaian juga mempunyai hak. Akan tetapi sekiranya penggadai enggan maka penerima gadaian boleh membawa tuntutan ke mahkamah bagi mendapatkan haknya kembali (hutang).

  1. PAJAK GADAI KONVENSIONAL: SUATU PERBANDINGAN DENGAN AL-RAHN
8.1  Tidak mengenakan faedah tetapi mengenakan bayaran upah simpan. Pajak gadai konvensional mengenakan kadar faedah (riba) yang tinggi bagi pinjaman yang diberikan.
8.2  Nilai gadaian emas adalah mengikut harga semasa. Pajak gadai konvensional memberikan nilai gadaian yang rendah yang tidak berdasarkan barangan gadaian.
8.3  Perjanjian gadaian mudah difahami terma rujukannya sedangkan surat gadaian pajak gadai konvensional sukar difahami dengan tujuan untuk menjerat penggadai. Ada kalanya kadar faedah tidak dipamerkan untuk tatapan umum. Ini menjerat kalangan mereka yang tidak memahami prosedur pajak gadai.
8.4  Acara lelong barang gadaian yang tidak dapat ditebus akan diberitahu kepada penggadai. Pajak gadai konvensional melelong gadaian tanpa memberitahu penggadai supaya pemberi hutang gadaian boleh memindahkan milik barang gadaian kepada mereka.
8.5  Wang lebihan gadaian akan diberikan kepada penggadai setelah ditolak hutang dan kos acara lelongan. Barang gadaian yang tidak ditebus selepas tamat tempoh pinjaman akan dilelong mengikut harga pasaran semasa. Hasil lelongan akan ditolak pinjaman yang tidak berbayar, upah simpan dan kos-kos lain yang terbabit. Bakinya akan dipulangkan kepada penggadai. Pajak gadai konvensional tidak memulangkan wang lebihan gadaian kepada penggadai.
8.6  Al-Rahn mengisytiharkan kepada penggadai dan masyarakat umum acara lelongan. Bagi pajak gadai konvensional, acara lelong tidak dimaklumkan secara meluas bahkan tempat dan masa tidak diberitahu. Barang gadaian yang hendak dilelong juga tidak dipamerkan.

  1. PENUTUP
Sistem al-Rahn pesat berkembang di Malaysia. Banyak syarikat al-Rahn muncul seperti Sistem Gadaian Islam Kelantan (al-Rahn), Muassasah Gadaian Islam Terengganu, Sistem Gadaian al-Rahn Bank Kerjasama Rakyat Malaysia Berhad (Bank Rakyat), Sistem Gadaian Islam Bank Islam Malaysia Berhad dan Sistem gadaian Islam (al-Rahn) Pahang. Ia menjadi satu pilihan bagi skim kredit mikro bagi mengatasi masalah kewangan untuk kegiatan ekonomi kecil dan sederhana malah membuktikan kepentingan emas sebagai cagaran/sandaran dalam urusan peminjaman wang dan selaras dengan dasar Islam iaiu saling tolong menolong antara manusia.